Wednesday, 3 February 2016

CINTA LOLIPOP (KISAH SI LOLIPOP)

CINTA LOLIPOP (KISAH SI LOLIPOP): Pertelingkahan
kecil yang bermula dari zaman persekolahan akhirnya menjadikan Aryana dan
Haniff teman yang rapat sehingga ke zaman universiti. Namun keakrapan hubungan
persahabatan...

Tuesday, 2 February 2016

JOM BERSEDEKAH

APAKAH SEDEKAH SUBUH?
Sedekah subuh ialah sedekah yang diberikan pada waktu sebaik sahaja matahari terbit atau masuk waktu subuh dan dilaksanakan selepas seseorang itu solat subuh. Jangkawaktu yang dicadangkan ialah selepas subuh sebelum masuk waktu syuruk. Pendekatan sedekah ini dilaksanakan dengan memasukkan sedikit wang ke dalam satu bekas secara istiqomah selama 40 hari.


https://www.facebook.com/sdk.subuh/photos

SEDEKAH SUBUH,

APAKAH SEDEKAH SUBUH? Sedekah subuh ialah sedekah yang diberikan pada waktu sebaik sahaja matahari terbit atau masuk waktu subuh dan dilaksanakan selepas seseorang itu solat subuh. Jangkawaktu yang dicadangkan ialah selepas subuh sebelum masuk waktu syuruk. Pendekatan sedekah ini dilaksanakan dengan memasukkan sedikit wang ke dalam satu bekas secara istiqomah selama 40 hari,

CARA-CARA MELAKSANAKAN SEDEKAH SUBUH. LANGKAH-LANGKAH

1. Sediakan satu bekas yang boleh diisi duit. Saya cadangkan bekas kuih raya plastic bertutup merah yang jernih warnanya (atau apa saja bekas yang sesuai) Rasional langkah 1 • Lestari – kitar semula • Mudah dan murah • Nampak duit kita terkumpul sebab warna bekas tu jernih – jadi motivasi 2. Tulis nama anda dan lekatkan di tabung itu jika ramai yang nak buat dalam rumah anda (tak tulis pun tak berdosa!) Rasional langkah

2 • bertanggungjawab terhadap tabung anda sendiri

3. Setiap pagi selepas solat subuh masukkanlah sedikit duit dalam tabung tersebut – seikhlas hati, RM2.00 atau RM1.00 ataupun RM0.10… tak kisah asal ikhlas dan mampu Rasional langkah 3 • Biar sikit asal istiqomah • Sederhana dalam amalan

4. Semasa anda memasukkannya, niatlah dalam hati tentang hajat @ apa keperluan anda – mudah-mudahan Allah perkenankan Rasional langkah 4 • Tidak salah memohon dari pemilik kita • ALLAH tempat meminta • Jgn fikir ikhlas @ tidak sebab utk ikhlas kena latihan

5. Selepas itu doa (ringkas saja dlm Bahasa Melayu pun boleh dan yakinlah bahawa setiap janji ALLAH benar) cth: Ya Allah,perkenankanlah hajatku. Rasional langkah 5 • Bertawasul dengan amal soleh • Membentuk keyakinan ke peringkat haqqul yakin

6. Teruskan setiap subuh hingga cukup 40 hari @ 30 hari - tak salah kalau tiap-tiap hari nak pergi beri sendiri ke rumah anak yatim Rasional langkah 6 • Untuk membentuk sikap istiqomah – tekal bukan bermusim • Untuk menjimatkan masa sebab waktu pagi adalah sibuk dengan urusan pergi kerja/sekolah dll

7. Waktu yang dicadangkan ialah SELEPAS SUBUH SEBELUM SYURUK (boleh juga waktu bila-bila pun buat sebab sedekah ni tak ada had masa) Rasional langkah 7 • Setiap pagi ada malaikat yang mendoakan orang yang membuat amal soleh. – rebut peluang ini dengan iringan doa malaikat.

8. Setelah 40 hari terus keluarkan untuk dibuat agihan – teruskan sedekah subuh pada hari 41 dikira hari 1 semula.Tidak menjadi kesalahan jika tak cukup 40 hari – misalnya saya buat “calling for SEDEKAH SUBUH” – jadi tuan/puan boleh keluarkan walaupun baru 1 minggu kerana nak jemaah dengan Team Sedekah Subuh melaksanakan 1 projek – tetapi esoknya kena sambung seperti biasa. Rasional langkah 8 • 40 hari ini hanya latihan utk istiqomah • Juga utk membentuk kesabaran • Juga utk menguji keimanan – sejauhmanakah kita amanah menjaga duit sedekah selama 40 hari tu • Untuk memudahkan @ Jika mampu pergi cari fakir miskin setiap subuh setiap hari(ini lebih baik)

9. Jika outstation masih teruskan, lepas subuh, asingkan duit yang hendak disedekahkanitu ke dalam sampul duit raya/envelope terpakai atau apa saja bekas yang berasingan, dan apabila sampai di rumah kelak, masukkan duit yang disedekahkan itu dalam tabung sedekah subuh kita. Iaitu dipindahkan ke tabung yang sedia ada. Rasional langkah 9 • Supaya kita tetap melaksanakan sedekah walaupun berada di mana sahaja

APA JADI KALAU SAYA TERLAJAK SUBUH?
 Teruskan sedekah seperti biasa dan berazam dengan sebenar-benarnya esok saya akan sedekah pada waktu subuh.

BOLEH TAK KALAU SAYA SEDEKAH SUBUH TAPI TIDAK SOLAT SUBUH? Solat itu wajib, sedekah itu sunat. Amalan wajib mesti dilakukan kalau tidak bagaimana hendak mengira amalan sunat jika wajib tidak dibuat? Boleh sedekah, tetapi adakah diambil kira oleh ALLAH?..

 APA NAK BUAT DENGAN DUIT SEDEKAH SUBUH TU?

 1. Joint Team Sedekah Subuh. Kami membuat projek-projek kebajikan seperti wakaf (sekolah, masjid, Al-Quran, jalan, telaga dan lain-lain), supaya dapat menimbulkan semangat Ukhwah dan hasilnya Nampak secara jelas. Team Sedekah Subuh akan membahagikan sumbangan itu kepada wakaf, sarapan pagi anak yatim dan fakir miskin, serta lain-lain kebajikan. (rujuk facebook : Sedekah Subuh atau Mahawa Pilus)

 2. Tuan/puan boleh agihkan sendiri sama ada dalam bentuk tunai atau barangan kepada penerima yang tuan/puan fikirkan layak dan sesuai.

 3. Beli makanan kucing, burung dan sebagainya – sedekah kepada haiwan.

 4. Beri kepada ahli keluarga, yang termasuk dalam golongan anak yatim atau asnaf iaitu layak menerima zakat.(misalnya sepupu/anak buah) PANTANG LARANG: Duit yang telah tuan/puan sedekahkan (walaupun masih Nampak di mata dalam tabung sedekah subuh itu) tidak boleh digunakan untuk kegunaan peribadi kerana sebaik sahaja tuan/puan mengeluarkan wang dari dompet/saku tuan/puan untuk dimasukkan dalam tabung maka hak duit itu sudah berpindah kepada HAK ALLAH DAN MENJADI MILIK ALLAH…agihkan kepada mereka yang selayaknya.


PERINGATAN

Allah akan beri dalam bentuk:
1. Ketenangan hati
2. Material
3. Kemudahan urusan seharian diri sendiri atau anak-anak/ahli keluarga
4. Kesihatan
5. Dan sebagainya Allah memberi mengikut keperluan seseorang kerana ALLAH lebih mengetahui.Ini serah kepada ALLAH kerana ALLAH sahaja yang tahu apa sebenarnya keperluan anda.

Allah juga akan beri secara
1. Cash – segera
2. Lambat
3. Beri di dunia
4. Beri di akhirat

 BOLEHKAH KALAU SAYA TAK MAHU KUMPUL 40 HARI TETAPI NAK AGIH TERUS? Sangat baik dan saya ucapkan tahniah kepada anda jika anda dapat melaksanakannya setiap hari dalam waktu yang ditentukan.

BUKANKAH CARA INI MACAM TAK IKHLAS? MENGHARAP BALASAN…
Bila buat sedekah subuh ni niat macam-macam, nak mintak macam-macam, macam tak ikhlas pulak, nak balasan…(mungkin persoalan ini ada dalam minda anda) Ikhlas itu milik Allah, hanya Allah sahaja yang mengetahui sama ada sipenderma ikhlas atau tidak.Dan adakah mengharapkan balasan itu salah? Dan adakah meminta dari ALLAH itu salah? ALLAH memiliki segala kerajaan di langit dan di bumi, ALLAH sentiasa menunggu kita meminta dariNYA…DIA memiliki sekunjur jasad dan roh kita, kenapa rasa bersalah meminta dari DIA dan tidak bersalah meminta dari makhluk ciptaanNYA? Ikhlas perlu latihan, bertatih, berlatih, jatuh bangun, tersungkur, hingga sampai satu masanya nanti kita akan jadi ikhlas….tunggu sajalah saatnya akan tiba, tanpa latihan begini, agak sukar kita mencapai ke tahap tersebut.

 DESCLAIMER
 Cara spesifik yang diajarkan ini bukanlah satu-satunya cara sedekah subuh dan bukanlah menganggap membuat tabung sedekah subuh itu sebagai sunnah. Ada banyak cara lagi, dan boleh diinovasikan selagi tidak bercanggah dengan syarak. KEMUSYKILAN? Hubungi Mahawa Pilus di talian 016-3283909 atau facebook Mahawa Pilus atau Sedekah Subuh.





COPY PASTE DARI https://www.facebook.com/sdk.subuh/posts/1461793347376421

Friday, 22 January 2016

CINTA LOLIPOP




BLURB

Pertelingkahan kecil yang bermula dari zaman persekolahan akhirnya menjadikan Aryana dan Haniff teman yang rapat sehingga ke zaman universiti. Namun keakrapan hubungan persahabatan mereka bagai musnah apabila Haniff meninggalkan Aryana tanpa sebarang pesan.

“Selama ni I tertanya-tanya. I ada buat salah ke dengan you? I ada kecilkan hati you ke sampai you tinggalkan I macam tu? Seingat I tak ada. Jadi kenapa you tak bagitahu I mana you nak pergi?” –ARYANA–

Pertemuan yang tidak diduga di pinggiran Mediterranean menyatukan kembali teman yang dahulunya akrab. Sekalipun kisah Aryana dan Haniff bagai satu hikayat yang panjang, namun hati Aryana telah pun dicuri insan yang bernama Danial.

            “Cakap pasal pekara lainlah. Saya cemburu tau bila awak asyik sebut nama Haniff.”  –DANIAL–

            Indahnya musim percintaan Aryana, sayangnya entah sampai bila ia akan berkekalan. Sekali lagi hatinya diuji dengan satu perkataan yang sama. KEJUJURAN.

            “Sayang? Lain kali kalau ada lelaki cakap yang dia sayangkan you, you sepatutnya tanya diri you semula. Betul ke lelaki tu sayangkan you macam mana mak ayah you sayangkan you. Boleh ke lelaki tu jaga you macam mana mak ayah you jaga you. Jangan percaya bulat-bulat. Kalau ada lelaki cakap yang dia sayangkan you lebih dari segalanya, bawa lelaki tu jumpa I. Sebab I pun nak tahu siapa orangnya.” –HANIFF–

            Entah di mana penghujungnya kisah mereka. Titik noktah yang dinanti Aryana untuk penyatuan dua hati.




BELI ONLINE DI SINI

BACA JUGA DI SINI

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195

CINTA LOLIPOP BAB 17






MALAM terakhir di atas gunung dinikmati sepenuhnya oleh semua pendaki. Sejuk-sejuk begini seronok juga dapat duduk beramai-ramai mengelilingi unggun api sambil minum kopi panas, berbual dan berkongsi pelbagai cerita. Apabila Abe Man membuka mulut untuk bercerita. Pada mulanya, teruja jugalah Aryana mahu mendengarnya. Tetapi, lama-kelamaan Aryana terasa ingin menutup telinga.
Mana tidaknya, dari pengalaman Abe Man mula-mula menjejakkan kaki ke gunung ini sehinggalah pengalaman mistik yang pernah dilaluinya ketika berada di atas gunung ini habis diceritakan kesemuanya. Itu yang membuatkan Aryana tidak tahan sampai rasa ingin tutup telinga. Malam yang gelap gelita seperti ini semakin seram apabila ditambah cerita seram dan pengalaman mistik Abe Man. Baru hendak berangan yang indah-indah terus terbantut bila dengar cerita begitu.
“Dah takutlah tu.” Haniff yang duduk berhampiran Aryana seperti biasa mudah sangat meneka apa jua yang ada dalam fikiran Aryana.
Mahunya tak takut. Bila dah keluar cerita seram macam tu, hati yang berani dan keras macam besi waja pun boleh jadi takut.
“Garang bukan main, tapi penakut,” usik Haniff lagi. Tidak dipedulikan langsung Aryana yang memandang geram ke arahnya.
Berhadapan dengan orang ramai seperti sekarang, malaslah Aryana hendak bertegang urat dengan Haniff. Lainlah jika tinggal mereka berdua sahaja. Mahu Aryana menjawab balik semua kata-kata Haniff sebentar tadi. Tadi bukan main baik lagi Haniff bagi nasihat. Suruh jaga keselamatan diri. Sekarang bila sudah tiba perangai kuat mengusik dia tu, mulalah tidak tahu duduk diam.
“Lah... Yana ni penakut ke orangnya?” usik Pa’an pula.
“Yana ni memanglah. Bila keluar aje cerita hantu, dialah yang paling penakut sekali.” Selamba Haniff ketawa mengusik.
“Jangan percaya sangatlah cakap Anip ni,” balas Aryana pantas. Membulat matanya memandang Haniff.
“Hah, kau tengok tu Pa’an. Bukan main bulat lagi mata Si Yana ni. Garang bukan main. Tapi bila orang cerita pasal hantu tahu pulak dia takut.”
Wah, bukan main sedap lagi Haniff mengutuknya. Tengok cerita hantu atau dengar kisah hantu, memang Aryana tidak suka.
Tetapi sebagai manusia, takut hanya pada ALLAH, bukan pada makhluk ciptaan-NYA. 


KEESOKAN hari, bila keluar sahaja kepala dari khemah, orang pertama yang Aryana lihat adalah Haniff. Di khemah sebelah sana Haniff sedang duduk santai menampakkan sebahagian kepala dan kakinya yang terlunjur keluar dari khemah. Sebahagian badannya pula masih berada di dalam khemah. Haniff yang sedang duduk santai leka memandang telefon bimbit di tangan.
Tadi selepas Solat Subuh, Aryana berbaring-baring dahulu di dalam khemah. Tidak seperti semalam. Pukul 6.30 dia sudah tercongok di atas batu semata-mata ingin melihat matahari terbit. Gembira punya pasal sampai sanggup meredah kabus di waktu pagi walaupun satu badan menggigil-gigil.

Beranganlah tu.

Itu mesej yang Aryana terima seawal pagi. Wajah diangkat memandang Haniff. Ketika itu Haniff sedang tersenyum nakal ke arahnya. Lalu mesej dari Haniff dibalas.

Sibuk aje!

Sesudah menghantar mesej tersebut kepada Haniff, jam tangan yang masih berada di dalam khemah diambil Aryana.
“Tengok matahari terbit, jom.” Haniff sudah tercegat di hadapan Aryana yang masih duduk di dalam khemah.
Aryana yang sebahagian tubuhnya masih berada di dalam khemah mendongak memandang Haniff. Agak terkejut melihat Haniff yang sudah berdiri tegak di hadapannya.
Matahari masih belum kelihatan tetapi langit sudah mula cerah. Sama seperti semalam mereka duduk santai di atas batu besar. Kabus tebal membentuk seperti kepulan awan yang memutih. Dingin terkena kulit.
“Dengar lagu apa tu?” tanya Aryana apabila Haniff dari tadi leka mendengar koleksi lagu dari telefon bimbit miliknya.
Tiada kata-kata balasan, sebaliknya Haniff memasukkan earphone ke dalam lubang telinga Aryana. Satu masih di telinga kirinya. Satu lagi di telinga kanan Aryana.
I Can Love You Like That nyanyian All 4 One bergema di corong telinga. Sesekali Aryana dapat mendengar suara Haniff yang menyanyi perlahan mengikut rentak muzik di telinga.
Dapat kekasih yang suka hiking kan seronok. Sempat pula Aryana berangan seperti semalam. Hendak mendaki gunung bersama kekasih hati. Boleh mereka sama-sama panjat gunung sambil melihat matahari terbit. Apabila diri berada di puncak yang tinggi begini, mulalah angan-angan pun tinggi melangit.
“Kan best bila kekasih hati melamar atas gunung macam ni. Tak payah fikir panjang. Terus terima. Lagi best kalau dilamar ketika matahari tengah nak terbit macam sekarang ni. Romantiknya.” Aryana tersenyum sendiri dengan penuh perasaan. 
“Sekarang pun boleh.” Bersahaja Haniff mengeluarkan getah gelang dari kocek seluarnya.
Getah gelang yang bulat seperti roda disimpulkan di bahagian tengah. Terbentuk dua lubang lebih kecil seperti reben apabila getah tersebut disimpulkan di bahagian tengah.
“Cuba sarung kat jari,” usul Haniff.
Aryana sudah tersenyum lebar menyambut huluran Haniff. Tidak sangka Haniff boleh terfikir begitu. Terus sahaja Aryana memasukkan jari tengahnya ke dalam kedua-dua bulatan getah gelang yang terbentuk apabila disimpulkan di bahagian tengahnya. Sekali tengok bentuknya memang seperti cincin yang mempunyai permata bila disarungkan ke jari. Elok tersarung kemas di jari Aryana dan kelihatan seperti cincin yang mempunyai permata yang menonjol di bahagian tengah.
“Ni cincin getah sebagai ganti cincin permata,” ujar Haniff tersenyum mesra.
Getah gelang yang sudah tersarung di jari Aryana diperhatikan.

I can love you like that
I will make you my world
Move heaven and earth
If you were my girl

I would give you my heart
Be all that you need
Show you you're everything
That's precious to me
If you give me a chance

Lirik lagu yang sedang mereka dengar bersama mengalunkan baris rangkap tersebut. Aryana dan Haniff sama-sama berpandangan sesama sendiri sebelum mereka sama-sama ketawa kecil.  
Seketika Haniff menyanyi kecil mengikut rentak korus yang berulang. Aryana diam tidak terkata. Sekali lagi matanya memandang cincin getah gelang yang berada di jari.
Sekali lagi Aryana menoleh memandang Haniff yang sedang menyanyi perlahan. Cincin getah buatan Haniff elok tersarung di jari tengahnya. Jari-jemarinya yang runcing sekali lagi bermain dengan bahagian simpulan getah yang membentuk seperti permata. Nun di sana, sang mentari perlahan-lahan menjelmakan dirinya. Bahang panas sudah mula terasa dan alam mula disimbah cahaya matahari.
Saat ini terasa begitu indah dan berharga untuk dilepaskan begitu sahaja. Di puncak gunung, bersaksikan mentari pagi yang baru memancarkan cahayanya, semakin meninggi kedudukannya di langit pagi yang cerah. Cahayanya yang memancar mengindahkan alam yang terbentang luas, bunyi air terjun yang megah mengalir bagaikan irama yang mengasyikkan. Dingin kabus tidak lagi terasa.
“Tak sangka kawan aku ni bijak sampai boleh terfikir perkara macam ni.”
“Hmm...” Haniff berjeda seketika. “Tiba-tiba aje aku terfikir tadi.” Haniff yang sedang memandang cincin getah buatannya di jari Aryana tersenyum kecil sebelum pandangannya dialihkan ke wajah Aryana yang sedang memandang ke arahnya.

I never make a promise,
I don't intend to keep,
So when I say forever,
forever's what I mean,


I'm no Casanova,
But I swear this much is true,
I'll be holding nothing back,
When it comes to you.

Sekali lagi Haniff ikut menyanyi perlahan lagu yang sedang mereka dengari.
“Dalam ramai-ramai kawan perempuan yang aku ada, yang kat sebelah aku ni jugaklah yang paling unik sekali. Nak dilamar atas gunung.” Haniff kembali menyambung kata setelah melagukan perlahan lirik lagu yang dinyanyikan sebentar tadi.
Orang lain sibuk mahukan bunga ros di tempat yang mewah apabila kekasih hati melamar. Tetapi Aryana, sibuk nak dilamar atas gunung. Perempuan lain mungkin tidak mahu atau tidak terfikir langsung macam tu.
“Sebab aku rasa tempat ni romantik sangat. Dapat cincin sambil tengok matahari terbit.” Ceria bercampur teruja suara Aryana.
Wajah Haniff dipandang seketika. Tetapi entah-entah dirinya sahaja yang berperasaan begitu. Orang lain rasa biasa sahaja.
“Hah, kenapa pulak tersengih-sengih ni? Berangan lagilah tu.” Haniff memandang pelik Aryana yang sedang tersenyum-senyum dari tadi.
“Taklah.” Aryana bersuara perlahan. Tetapi bibir masih lagi tersenyum nipis.
“Habis tu?” tanya Haniff pelik.
“Lesung pipit kau tu...”
“Comel eh?” Pantas Haniff memintas sebelum tersenyum nakal.
Ketawa kecil Aryana apabila Haniff bereaksi begitu. Tetapi malas mahu mengulas lanjut tentang lesung pipit Haniff yang mahal sangat itu. Susah sangat untuk dilihat. Nanti kalau puji, kembang semangkuk pula Haniff.
Lesung pipit Haniff tidak akan keluar sekiranya Haniff sedang tersenyum lebar atau sedang ketawa. Tetapi sebaliknya hanya akan keluar apabila Haniff tersenyum nipis. Sama ada senyuman kecil yang nakal atau bersahaja. Juga akan keluar sekiranya Haniff tersenyum sinis. Sama ada sinis nakal atau sinis memerli.
“Dulu orang tu nakal sangat. Kuat mengusik. Tapi tak sangka sekarang kita boleh duduk berdua atas gunung macam ni.”
“Betul ke tak suka kena usik dengan aku?” Anak mata Haniff merenung anak mata Aryana yang sedang memandang ke arahnya.
Suara dan senyuman Haniff yang kelihatan nakal mengundang senyuman kecil di bibir Aryana. Soalan yang sama yang pernah ditanya Haniff ketika mereka masih bersekolah dahulu.


PERJALANAN turun tidak begitu lama bila laluan pintas menjadi pilihan. Hati terasa sayang untuk meninggalkan tempat yang indah ini. Petang semalam, sempat Abe Man membawa mereka mendaki ke bahagian yang lebih tinggi berbanding kawasan tapak perkhemahan. Sempat Abe Man menunjukkan kawasan Telaga Tujuh. Teringat Seven Wells yang juga dikenali sebagai Telaga Tujuh ketika berkunjung ke Pulau Langkawi.
Tidak disangka atas Gunung Setong ini pun ada Telaga Tujuh. Lekukan batu yang agak dalam membentuk lorongan lubang yang kelihatan seperti telaga. Betul kata Abe Man, cerita dongeng rakyat dahulu kala ini lebih kurang sama saja di serata negeri. Seperti di Langkawi, di Gunung Setong ini pun kisah yang lebih kurang sama diceritakan semula.
Ikut cerita rakyat, di Gunung Setong ini pun turunnya puteri tujuh beradik dari kayangan yang mandi di kawasan ini. Betul atau tidak, tiada siapa yang boleh pastikan. Ia sekadar cerita rakyat yang disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi. Terpulang kepada diri sendiri hendak percaya atau tidak. Hebatnya Abe Man kerana dia sudah menghafal serata ceruk kawasan di Gunung Setong.
Siap tolong ambilkan lagi air mata air gunung. Boleh diminum terus katanya. Selamat tanpa perlu dimasak terlebih dahulu. Sejuknya sama seperti air yang baru dikeluarkan dari peti sejuk. Bahkan lebih sejuk dan menyegarkan.


SEBELUM pulang ke rumah keluarga untuk bercuti, Aryana mengasingkan terlebih dahulu apa yang perlu dan tidak perlu dibawa balik. Tidak perlu dibawa balik semua barang-barang yang ada di dalam beg ketika pergi mendaki.
Tiba-tiba Mira memegang jari Aryana.
“Apa ni?”
Dari atas gunung tadi Mira sudah perasan getah gelang tersebut di jari Aryana. Tetapi baru sekarang berkesempatan untuk bertanya.
Serta-merta senyuman kecil terukir di bibir Aryana.
“Oh... ni, tak ada apa. Cincin...”
“Cincin?” Membulat mata Mira memandang Aryana. “Cincin apa? Getah?”
Aryana sekadar mengangkat bahunya. Malas hendak mengulas apa-apa.
“Dari atas gunung lagi pakai, lama dah tu. Tak sakit ke jari?” tanya Mira lagi.
“Taklah...” jawab Aryana perlahan sambil memandang cincin getah di jari tengahnya. Jemari runcingnya sekali lagi bermain dengan ikatan getah yang membentuk seperti permata.


http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195

CINTA LOLIPOP BAB 16



ARYANA duduk di atas batu besar sambil sebahagian kaki dicelupkan ke dalam air yang mengalir. Novel di tangan dibaca membuatkan Aryana leka dalam dunianya sendiri. Sambil itu mulut disumbat dengan lolipop.
“Rajinnya bawak novel sekali.” Haniff yang duduk santai di atas batu besar tidak jauh dari Aryana turut mencelupkan kakinya ke dalam air jernih yang mengalir sama seperti yang Aryana lakukan.
Berbaju T-shirt lengan panjang bewarna hitam tanpa sebarang corak, seperti biasa Haniff nampak santai dengan gayanya yang bersahaja. Seluar tiga suku separas lutut berwarna coklat cair membuatkan penampilan Haniff nampak segar. Rambutnya yang hitam berkilat sedikit lembab kerana baru lepas mandi.
“Memang dari hari tu lagi berangan nak rasa apa perasaannya baca novel masa atas gunung macam ni. Sebab tu aku bawak,” beritahu Aryana dengan wajah yang ceria.
Buku yang berada di tangan ditutup sambil senyuman dilemparkan ke arah Haniff. Duduk di atas batu, di tempat yang tinggi dan mata disajikan dengan pemandangan yang indah serta udara yang segar, novel yang sedang dibaca terasa lebih manis dan romantik dari biasa walaupun sudah banyak kali novel yang sama dibaca.
“Meh sini nak tengok,” pinta Haniff sambil mengambil novel dari tangan Aryana.
Seketika Haniff leka membelek novel yang berada di tangannya. Khusyuk melihat novel sampaikan Aryana yang ada di sebelah seolah-olah tidak wujud.
“Berangan nak ada boyfriend macam dalam novel ke?” tanya Haniff pula.
“Tak... tapi dapat boyfriend yang suka panjat gunung lagi best. Boleh hiking sama-sama,” jawab Aryana sambil tersenyum.
“Hmm... dah sahlah ni kuat berangan sebab suka sangat baca novel.”
“Taklah, ini tak ada kena-mengena dengan novel. Tiba-tiba aje terfikir masa kita mula-mula sampai semalam. Sebab pemandangan kat sini cantik sangat. Damai, tenang dan tempat ni boleh bertukar jadi tempat yang sangat romantik,” ujar Aryana selamba.
Tempat ini sememangnya romantik. Tetapi untuk orang yang tahu menilainya sahaja. Kalau jenis yang tidak suka masuk hutan dan tengok alam semula jadi memang tidak akan tahu. Dengar orang lain bercerita sampai berbuih mulut tentang keseronokan mendaki, tetap tidak akan merasai apa-apa kerana tidak minat. Tetapi bagi mereka yang suka, dengar sahaja sudah pasti mendatangkan rasa teruja. Mendaki gunung begini bukan tujuannya semata-mata untuk melihat pemandangan indah atau tujuannya sekadar mencabar diri untuk menguji kemampuan sendiri.
Bukan juga untuk menabur angan-angan kosong. Tetapi apabila mendaki, mampu membuatkan seseorang itu lebih dekat dengan Maha Pencipta. Terbentang luas di hadapan mata segala kekuasaan-NYA. Mata yang diberi untuk melihat, akal waras yang diberi untuk berfikir, tubuh badan yang sihat digunakan sebaik mungkin untuk mencari redha ALLAH dan di situ satu per satu nikmat-NYA mampu dirasa. Berdepan dengan laluan sukar, berdepan dengan bahaya di depan mata. Hati dan akal semakin mengingati ALLAH. Hanya berserah kepada-NYA.
Perasaan dari atas yang melihat sesuatu di bawah sana membuatkan Aryana sedar ada sesuatu di atas langit sana yang jauh lebih berkuasa. Sentiasa  melihat dan memerhati setiap perbuatan makhluk ciptaan-NYA dari atas sana. Setinggi ini manusia mampu naik, tetapi ada yang lebih tinggi di atas sana menyaksikan segala-galanya. Amal baik atau buruk yang sentiasa dicatat setiap saat oleh malaikat yang ada di kiri dan kanan bersaksikan DIA.
Sebagaimana menyaksikan apa yang ada di bawah sana, begitu jugalah dengan DIA yang lebih berkuasa sentiasa melihat perlakuan hamba-NYA. Benarlah, jika mahu merasakan kekuasaan ALLAH, maka lihatlah bumi yang terbentang luas. Lihatlah makhluk ciptaan-NYA. Ketika itu mampu dirasai kekuasaan-NYA bagi orang yang celik hatinya.


‘Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar. Belumkah cukup bagi mereka bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?’ (Surah Fussilat, ayat 53)


KETIKA Aryana sedang duduk di atas batu sambil kaki dicelupkan ke dalam air, waktu-waktu begini mulalah terasa ingin bermain simbah air. Baru sahaja perkara itu terlintas di fikiran Aryana, tiba-tiba pula Aryana terasa ada percikan air mengenai dirinya. Terus Aryana menoleh memandang Haniff yang sedang tergelak nakal.
“Apa main percik-percik air ni?” Aryana dengan garangnya membulatkan mata ke arah Haniff.
Tanpa amaran Aryana turut melakukan perkara yang sama. Air yang menyentuh tangan dipercikkan ke arah Haniff.
“Alah... la... la... Yana.” Haniff sengaja mengusik sambil terkekeh ketawa.
Boleh pula mereka berdua berkejar di situ sambil membalas simbahan air antara satu sama lain. Suara mereka yang ketawa riang senada dengan keceriaan di wajah masing-masing.
“Dahlah. Tak nak... tak nak... basah satu badan nanti.” Aryana akhirnya mengalah.
Bukannya banyak baju yang dibawa Aryana untuk mendaki gunung. Kalau basah, susahlah nanti.
“Okey, aku tak simbah dah.” Haniff akhirnya mengalah.
Fuh! Lega bila Haniff cakap begitu. Terus Aryana tersenyum kecil. Heh, ingat Aryana hendak mengalah begitu saja? Aryana yang sebenarnya sama nakal dengan Haniff, sepantas kilat memercikkan semula air yang disentuh dengan jari sebaik sahaja Haniff berpaling membelakanginya.
Sepantas kilat juga Haniff berpusing semula ke arah Aryana.
“Hah, pandai nak kenakan aku balik.” Haniff mula membongkokkan badannya sekali lagi. Bersedia untuk menyimbah air ke arah Aryana.
Terus Aryana mengangkat kedua-dua tangannya gaya orang menyerah diri.
“Okey... okey... aku tak simbah air dah. Janji.”
Haniff mula tersengih nakal. Tahu pun takut.
“Eh, Yana. Apa kat belakang tu?” suara Haniff bertukar cemas tiba-tiba.
“Hah, apa dia?” Membulat mata Aryana memandang Haniff. Wajahnya bertukar panik serta-merta.
“Tu dalam air. Kat kaki. Warna hitam.”
Dalam air? Warna hitam? Terjerit kecil Aryana sebelum berlari lalu bersembunyi di belakang Haniff.
“Mana-mana?” Meliar mata Aryana memandang tempat di mana kakinya berdiri sebentar tadi.
Haniff ketawa nakal. Badannya segera dipusingkan ke arah Aryana yang sedang berdiri agak rapat di belakangnya.
“Mana ada. Aku tipu aje.” Nakal suara Haniff senakal senyumannya.
Dengan selambanya Haniff ketawa sakan apabila Aryana sudah mencuka dengan helahnya.
Itulah, tadi bukan main lagi Aryana cari helah nak mengenakan dirinya.
“Teruklah! Buat orang terkejut aje.” Aryana melampiaskan rasa tidak puas hatinya.
Haniff masih seperti tadi. Hanya menunjukkan wajah selamba gaya tidak berdosa.
“Siapa suruh percaya. Baru acah sikit aje dah percaya bulat-bulat.”
Kadangkala Haniff pelik juga dengan rakannya yang seorang ini. Aryana kadangkala lurusnya tak bertempat. Ketika di zaman sekolah lagi. Apabila orang cakap betul-betul bukannya Aryana percaya. Tetapi kalau orang bergurau, senang pula Aryana nak percaya. Tak faham betul.
“Sudahlah. Jom kita duduk atas batu semula. Keringkan baju.” Terus sahaja Haniff melangkah semula ke arah batu besar yang mereka duduki sebentar tadi.
Sekalipun geram dengan kenakalan Haniff kaki tetap juga melangkah. Matahari 11.00 pagi sudah mula meninggi. Boleh sangatlah duduk santai di atas batu sambil keringkan baju. Jangan terdampar macam ikan kering sudah.
“Hah, dah puas main simbah air?” tegur Mira sambil menghalakan lensa kamera ke arah Aryana dan Haniff. Mira dengan selamba mengambil gambar dua orang rakannya yang gemar sangat bertekak.
“Taklah... Tadi baru part one aje. Kejap lagi kita orang sambung balik. Part two pulak.” Haniff berkata nakal.
“Hah!” Pantas Aryana menoleh ke arah Haniff yang berada di sebelahnya.
“Tak naklah...”
“Tipulah.” Haniff ketawa lagi.
Aryana masih dalam mood lurus tidak bertempat. Haniff hanya menyimpan gelak di dalam hati. Kalau ketawa kuat-kuat nanti mengamuk pulak Aryana ni.


MALAM kembali menjelmakan diri. Sekali lagi pakat ramai-ramai bertenggek atas batu sambil melihat bintang di langit. Malam terakhir di Gunung Setong. Esok lebih kurang sebelas pagi mereka akan pulang. Tinggal segala kenangan yang bertapak di sini. Aryana yang terpandangkan kelibat Haniff sedang duduk santai di atas batu pantas merapati rakannya itu.
“Nak tanya sesuatu boleh?” soal Aryana tiba-tiba.
“Selalunya main redah aje tanya. Kenapa malam ni tiba-tiba skema habis. Nak minta izin bagai.” Terdengar suara Haniff yang ketawa mengusik.
“Nak tanya tu memang boleh. Tapi sebelum aku jawab, ada satu syarat. Kena teka dulu. Antara tangan kanan dan kiri aku ni, yang mana satu ada cincin?” sambung Haniff.
Heh, banyak songeh pula Haniff ni. Nak main syarat-syarat pulak. Layan ajelah, fikir Aryana.
“Tangan kanan,” jawab Aryana sambil lewa. Tidak serius. Setakat melayan kerenah Haniff.
“Salah... tangan kirilah.” Serentak itu Haniff membuka genggaman tangan kirinya. Ketika itu terlihat sebentuk cincin silver yang sentiasa dipakai Haniff. Entah bila masa Haniff menanggalkan cincin tersebut. Tidak pula Aryana perasan.
Sambil tersengih nakal Haniff melambung perlahan cincin yang berada di atas tapak tangannya.
“Dah salah jawab ni, kiranya tak payahlah aku jawab soalan yang belum ditanya tu kan Yana.”
Tetapi entah bagaimana tiba-tiba sahaja cincin silver yang sedang dilambung Haniff terlepas dari tangan dan terjatuh ke arah Aryana sebelum cincin tersebut jatuh ke arah batuan besar yang curam di kawasan yang gelap.
“Itulah, main-main lagi. Kan dah jatuh cincin tu.” Aryana cuba melihat dengan mata kasarnya dan mencari-cari cincin Haniff yang jatuh entah ke mana di dalam samar cahaya.
 Haniff turut membongkokkan badannya. Mencari-cari sekiranya cincin yang terjatuh sebentar tadi boleh dijumpai semula. Sama seperti Haniff, Aryana yang masih duduk di atas batu besar di tempat yang sama turut membongkokkan badannya mencari di celahan batu.
“Dah terjatuh ke bawah agaknya. Tak payahlah cari lagi.” Risau Haniff melihat cara Aryana membongkokkan badannya sambil tercari-cari di dalam gelap.
“Tapi kau kan sayang cincin tu.” Tanpa mempedulikan Haniff, sekali lagi Aryana membongkokkan badannya mencari cincin milik Haniff yang terjatuh.
Aryana yang semakin membongkokkan badannya tiba-tiba terasa lengannya dipaut kemas. Serentak itu Aryana terasa tubuhnya ditarik agak laju. Automatik Aryana yang masih duduk di atas batu tegak semula. Pantas Aryana berpaling ke arah Haniff.
“Tapi aku sayang kau lagi.” Tegas kata-kata Haniff sambil matanya tepat memandang Aryana.
Mereka sama-sama terdiam memandang satu sama lain sebelum Haniff kembali bersuara.
“Aku sayang kau lagi dari cincin tu.”
Sekali lagi mereka terdiam memandang antara satu sama lain.
“Tak sayang ke kalau tak dapat cincin tu semula?” tanya Aryana lambat-lambat.
“Dah jatuh nak buat macam mana. Salah aku. Kenapa susah-susah bahayakan diri. Kita tengah duduk atas gunung sekarang ni. Curam. Bukannya atas busut. Bahaya tahu tak. Dah terjatuh nak buat macam mana.”
“Niat aku nak tolong aje.” Bukannya Aryana tidak tahu Haniff sayangkan cincin itu.
“Yana... kalau ada apa-apa terjadi tadi macam mana? Tak fikir mak ayah? Tak fikir orang sekeliling yang selama ni sayangkan kau?” Jelas kedengaran suara Haniff yang tegas.
Sorry, okay.”
“Yana... ni bukan pasal maaf. Ni tentang keselamatan sendiri, faham tak? Jangan buat orang sekeliling risau. Boleh?” Suara Haniff masih seperti tadi, tegas dalam kelembutannya menuturkan kata.



CINTA LOLIPOP BAB 15






LANGIT yang cerah membiru, awan putih terus bergerak di atas sana. Tumbuhan segar yang menghijau menyejukkan mata yang memandang. Gunung Setong atau juga dikenali sebagai Gunung Stong menjanjikan satu pengalaman yang berbeza bagi mereka yang mencintai alam semula jadi dan meminati aktiviti sukan lasak. Terletak di Daerah Dabong, gunung yang berada di negeri Cik Siti Wan Kembang ini menjanjikan pengalaman baru buat Aryana.
Semangat yang asalnya berkobar-kobar seperti api yang marak menyala tiba-tiba padam. Peluh dingin mula keluar membasahi dahi. Tertanya-tanya pada diri sendiri, mampu atau tidak hendak meneruskan perjalanan sehingga ke puncak atau tersangkut di tengah jalan sahaja? Abe Man yang dipanggil mengikut dialek negeri ini sesekali memantau pergerakan setiap peserta.
“Boleh ke tidak ni? Belum apa-apa lagi dah semput semacam aje,” soal Haniff.
“Boleh.” Rendah sahaja suara Aryana. Tidak boleh sekalipun, perlu dilakukan juga. Sudah tidak boleh berpatah balik lagi.
“Makanlah lolipop tu. Tak adalah cepat sangat pancit.”
Sekali dengar bunyinya macam orang yang mengambil berat. Tetapi, dua kali dengar dalam mengambil berat pun sempat lagi Haniff mengutuknya secukup rasa. Aryana mencebik geram. Mira yang berada tidak jauh darinya kelihatan masih gagah dari tadi. Sebelum ini, Mira juga yang beria-ia takut hendak mendaki gunung. Tetapi hari ini Aryana lihat rakannya itu okey sahaja. Tiada gaya orang takut pun.
Haniff yang santai bergaya dengan pakaian mendakinya sempat tersenyum nakal memandang Aryana. Seluar yang kelihatan agak ranggi dan bersaiz agak besar, bercorak celoreng-celoreng dan mempunyai poket di bahagian tepi kiri dan kanan serta belakang nampak padan dengan tubuh Haniff yang tinggi.
Berbaju T-shirt lengan pendek bewarna hijau lumut nampak kena dengan tubuh atlet Haniff yang tinggi serta berbahu lebar. Topi hitam kosong yang sedikit lusuh sentiasa melekat kemas di kepala nampak kontra dengan warna kulit Haniff yang cerah. Kasut dan jam tangan Adidas berwarna hitam melengkapkan gaya. Beg yang penuh dengan muatan sentiasa melekat kemas di belakang Haniff.
“Hah... jangan buang sampah merata-rata pulak.” Sempat Haniff menegur Aryana yang sedang menyumbat masuk lolipop ke dalam mulut.
Ketika ini mereka sedang berehat di perhentian yang berupa pondok tetapi tidak berdinding yang sememangnya sudah ada di sini.
“Tahulah...” Aryana menjawab sepatah.
Tempat yang indah, aman damai lagi permai ini, tidak sanggup rasanya hendak dicemari dengan plastik lolipop. Tidak perlu Haniff ingatkan, Aryana tidak akan buat begitu.
“Hati-hati sikit jalan tu. Tengok bawah. Takut nanti jatuh sampai terseliuh kaki kan susah.” Perlahan suara Haniff tapi kedengaran tegas di telinga.
Dari tadi Haniff memerhatikan setiap langkah Aryana. Aryana pula jenis yang meredah sesuka hati. Apabila berjalan mata sibuk tengok kiri kanan. Bukannya nak pandang bawah langsung.
“Tak perasan. Nak buat macam mana.” Oleh kerana tidak perasan, Aryana hampir terjatuh.
“Buatnya terseliuh sampai tak boleh berjalan tadi macam mana? Kan susah. Lain kali hati-hatilah sikit.” Berkerut dahi Haniff memandang Aryana.
“Yalah, nanti terjatuh atau terseliuh susahkan orang tu pulak.” Datar suara Aryana seolah-olah berjauh hati.
“Yana… Tahu kan bukan tu maksud aku.” Suara Haniff mula berubah tegas.
Anak mata Haniff dicari.
“Tahulah. Gurau aje.” Aryana mengendurkan nada suara.
“Tahu pun.” Haniff masih dengan wajah kelatnya.
“Tak payah risau sangatlah.”
“Ini bukan soal susahkan orang lain. Buatnya jatuh sampai tercedera, orang pertama yang susah diri sendiri jugak, bukannya orang lain.” Suara Haniff yang mengendur tetap kedengaran tegas.


SEMANGAT yang tadinya hampir terpadam tiba-tiba melonjak-lonjak semula. Bunyi air terjun sudah mula kedengaran. Semakin tiba di puncak, kedinginan mula terasa. Perasaan turut teruja melihat air terjun yang gah mengalir menuruni lekukan batu yang curam. Laluan untuk mendaki ke puncak gunung semakin curam dan licin. Ingatkan bila dah sampai di kawasan air terjun, dah sampailah ke kawasan perkhemahan. Rupanya tidak.
Nak sampai ke tapak perkhemahan perlu mendaki lagi rupanya. Laluannya semakin mencabar dengan pokok-pokok yang berduri. Tiba di puncak Gunung Setong terus rasa ingin melompat gembira. Seawal mendaki tadi, kemampuan diri sendiri diragui.
Tetapi apabila sudah sampai ke puncak rasa tidak percaya pun ada. Terlupa segala penat lelah ketika mendaki digantikan pula dengan rasa gembira, puas dan rasa bersyukur yang teramat. Sekalipun bukanlah memenangi pingat Olimpik, tetapi tetap gembira dan berbangga dengan pencapaian sendiri.
Mungkin rasa gembiranya tidak sama dengan rasa gembira ketika menawan puncak Everest. Tapi cukuplah pencapaian yang satu ini membuktikan kemampuan sendiri. Bunyi deruan air terjun yang berdekatan dengan tapak perkhemahan menarik perhatian Aryana. Jernih lagi dingin airnya. Bersih tanpa sebarang pencemaran. Rasa tak sabar nak terjun masuk ke dalam air yang jernih.
Di atas batuan besar Aryana berdiri. Di bawah sana kelihatan tanah landai. Tinggi. Terasa ngeri dan gayat apabila memandang ke bawah. Rasa tidak percaya pun ada kerana mampu berdiri di puncak air terjun yang dilihatnya ketika mula mendaki sebelum ini.
“Cantik kan?” Haniff yang entah bila berada di situ sama-sama berdiri di atas batu besar bersebelahan Aryana.
Aryana mengangguk perlahan. Memang cantik, sampai tidak terkata. Benar kata orang, selagi tidak cuba sendiri memang tidak akan tahu.
Kembali semula ke tapak perkhemahan, di situ El dan Kak Nik sudah mula menghidupkan api untuk memasak air yang akan diletakkan ke dalam mi cawan. Apabila sampai sahaja di puncak sebentar tadi, semuanya sudah kelaparan.
Kawasan tapak perkhemahan lebih rata dan landai tanahnya sekalipun ditumbuhi akar pokok yang panjang menjalar dan berceracak serta batuan gunung yang agak besar.
“Pandai pasang khemah ke tak ni?” tegur Haniff apabila khemah yang cuba dipasang Aryana masih belum tegak-tegak dari tadi.
“Tahulah. Pergilah sana. Kacau orang kat sini buat apa?” Selamba Aryana menghalau Haniff yang bagaikan sengaja mahu memperkecilkan kemampuannya.
“Tapi khemahnya tak tegak-tegak jugak dari tadi. Senget sana, senget sini. Boleh ke tidak ni?” Makin selamba Haniff bersuara.
Khemah yang sedang dipasang Aryana adalah jenis khemah moden. Senang untuk dipasang. Bukannya khemah jenis lama yang memang agak sukar untuk dipasang. Tetapi jika dilihat dari gaya Aryana ketika ini, seperti sangat susah untuk dipasang.
“Janganlah kacau. Tak concentrate aku nak pasang khemah ni,” rungut Aryana geram.
“Bukan nak kacau, tapi aku nak tolonglah.” Laju bibir Haniff menuturkan kata sambil cuba membantu Aryana.
“Tak payah, aku boleh buat sendiri,” tolak Aryana tidak mahu menerima bantuan Haniff.
“Orang nak tolong dia tak kasi. Pasang khemahnya tak siap-siap jugak dari tadi. Kalau macam nilah gayanya, sampai malam esok pun tak payah tidur.”
“Eee... sibuklah. Pergi sana!” halau Aryana, selamba.
“Pakai kasut bukan main sama. Mengalahkan pakwe-makwe. Tapi nak pasang khemah pun bergaduh. Sudahnya khemah macam tu jugak dari tadi,” tegur Kak Nik.
Kak Nik, walaupun dia tidak marah atau suaranya tidak melenting tinggi seperti komando, tetapi tegasnya tetap ada. Kalau Kak Nik bercakap, seorang pun tidak berani melawan. Itu baru tegur manja-manja. Terus Aryana tayang muka tidak puas hati pada Haniff apabila Kak Nik sudah beredar jauh dari mereka. Ini semua Haniff punya pasal.
“Meh sini aku buat.” Sekali lagi Haniff membantu apabila Aryana bagaikan blur saja nak memasang khemah yang sebenarnya sangatlah senang untuk dipasang.
“Betullah cara ni aku guna tadi. Apa bezanya?” rungut Aryana pula.
“Cuba tengok betul-betul,” kata Haniff perlahan sambil memandang Aryana.
“Tadi besi ni termasuk dalam lubang yang lain. Sebab tu khemah ni tak boleh tegak dari tadi. Degil kan? Tak nak dengar cakap orang,” sambung Haniff lagi.
Sedar salah sendiri. Tetapi sengaja Aryana tayang muka tidak bersalah.
Setelah mi segera dalam cawan sudah elok mengembang, tak tunggu lama, terus diambil lalu dimakan. Aryana duduk berjuntai di sebelah Kak Ila dan Mira. Tidak jauh dari situ Haniff, Nasrul, Pa’an dan Adli sudah mula makan.
“Makan mi segera atas gunung ni tiba-tiba rasa mi ni ekstra sedap pulak,” ujar Mira, tergelak kecil.
Mi segera yang berada di tangan disuap ke mulut sekali lagi.
“Mi ni rasa sama aje. Sebab lapar tu yang rasa mi ni ekstra sedap.” Nasrul ikut mencelah.


CAHAYA bulan dan bintang mula menjelma. Pendaki lelakilah yang paling seronok. Boleh berbaring santai di atas batu besar sambil mengira bintang di langit macam yang Pa’an dan Nasrul tengah buat. Kalau Aryana memang tidaklah. Segan dengan semua pelajar lelaki yang ada.
Mata mula terasa mengantuk. Aryana melangkah masuk ke dalam khemah. Mira sudah mula melelapkan mata. Sedang elok Aryana berlingkar dalam sleeping bag, tiba-tiba telefon bimbit yang berada di tepi kepala melagukan irama menandakan masuknya pesanan ringkas.

Anip: Dah tidur ke?
Yana: Belum.
Anip: Okey tak sleeping bag tu? Selesa?
Yana: Okey aje. Selesa.
Anip: Dah tu kenapa tak tidur lagi? Takut nak tidurlah tu.

Bagaimana mata hendak tidur kalau tangan sibuk sangat membalas mesej yang dihantar. Aryana keluar dari khemah. Sekalipun telefon bimbit telah disetkan ke mode senyap tetapi risau juga jika mengganggu rakan-rakan lain yang sedang lena.
Keluar dari khemah, Aryana sudah ternampak kelibat Haniff di sebelah sana. Sama seperti Aryana, Haniff di sebelah sana duduk di atas tikar di tepi khemah. Lampu suluh yang sentiasa terpasang diletakkan di sebelah tepi. Walaupun khemah perempuan dan khemah lelaki tidaklah dekat mana, jauh jugalah jarak dan kedudukannya. Tetapi mata masih mampu melihat Haniff di sebelah sana dengan bantuan cahaya dari lampu suluh yang terpasang.

Yana: Tak ada maknanya takut.
Anip: Tak nak ngakulah tu.
Yana: Ramai orang. Nak takut apanya.
Anip: Keluar malam-malam dari khemah macam ni. Tak takut nampak kepala ke?

Kepala? Tiba-tiba Aryana teringat semula kenangan lama mereka ketika di bangku sekolah. Mesti Haniff hendak cakap pasal kepala paip. Tidak sempat Aryana membalas semula mesej, Haniff terlebih dahulu menghantar satu lagi pesanan ringkas.

Anip: Tapi atas gunung ni tak ada kepala paip Yana. Kepala hantu penanggal mungkin ada. Jaga2, nanti tiba2 dia ada kat sebelah masa dalam khemah. Hee...

Berasap telinga bila baca mesej Haniff yang satu ini. Terus meremang bulu roma. Terang-terangan Haniff cuba menakut-nakutkannya. Malam yang indah damai dan permai begini sangatlah tak seronok bila ada cerita-cerita hantu. Agaknya di sebelah sana Haniff sudah gelak sakan sambil ketawa bergolek-golek.

Yana: Sudah-sudahlah tu kacau aku. Pergi tidur.
Anip: Mata tak ngantuk lagi.
Yana: Ke tak boleh tidur sebab teringatkn seseorang?

Dalam hati Aryana tersenyum sendiri. Haniff pun sama dengannya juga agaknya. Mata tidak mahu lelap sekalipun badan terasa penat.

Anip: Memang pun tengah teringatkan seseoranglah ni.
Yana: Ingatkan Hannalah tu.
Anip: ...:p
Yana: Ceh, tak nak ngaku pulak.
Anip: Rindu tak semestinya pada yang jauh.
Yana: Bila orang yang disayang ada depan mata. Tak sempat nak rindulah rasanya.
Anip: Tak semestinya. Kadang-kadang, yang dekat tu jugaklah yang dirindu.
Yana: Aik? Boleh pulak macam tu?
Anip: Rindu bukan sekadar diukur pada jarak.
Yana: Dah rindu sangat call ajelah.
Anip: Tak perlu rasanya.

Tadi kata rindu. Bila disuruh telefon katanya tak perlu pula. Tak ke pelik tu?

Anip: Pergilah tidur.
Yana: Okey.

Aryana masuk semula ke dalam khemah. Sebelum zip khemah ditutup sempat Aryana melihat Haniff yang sedang memandang ke arahnya. Sengih sahaja Aryana walaupun mungkin Haniff tidak nampak. Baru hendak melelapkan mata, sekali lagi telefon bimbit Aryana menyala-nyala tanda ada pesanan ringkas yang baru diterima. Haniff? Sah tak tidur lagi. Orang lain semuanya sudah terbongkang kepenatan. Tetapi Haniff pula tidak tidur-tidur lagi dari tadi.

Anip: Hah... jangan lupa baca doa tidur. Karang mimpi benda lain pulak.

Ini yang membuatkan Aryana hendak meletup tengah-tengah malam begini. Elok-elok tengah berani, mulalah takut semula. Walaupun Haniff tidak cakap secara terang-terangan, tetapi mesej Haniff itu seperti sengaja mahu menakut-nakutkan dirinya.

Yana: Tahulah!

Haniff di sebelah sana sedang terkekeh ketawa sambil berguling-guling dalam khemah agaknya. Apabila sudah lama berkawan mulalah semua kelemahannya diketahui Haniff. Senang sangatlah Haniff ambil kesempatan untuk menakut-nakutkan dirinya. Kelakar pun ada kerana mereka berada di tempat yang sama tapi masih mahu berbalas pesanan ringkas begitu. Paling seronok di Gunung Setong ini ada liputan rangkaian telefon. Bolehlah mereka berbalas mesej begitu.
Lebih elok berbalas mesej begitu daripada mereka duduk berdua-duaan di dalam gelap. Apabila orang tengok pun tak bagus apatah lagi masa semakin menginjak malam. Memanglah atas gunung ni tiada pencegah maksiat. Tetapi diri sendiri dulu yang perlu mencegah. Sekalipun tiada orang yang memantau dan menghalang. Atas gunung atau bawah gunung, jangan sengaja cari pasal duduk berdua-duaan yang boleh menimbulkan fitnah.
Sebelum kena lebih baik elak sebarang perbuatan zina atau perkara-perkara yang mengarah kepada perbuatan zina. Syaitan ada di mana-mana. Kiri, kanan, depan atau belakang. Tunggu masa nak menghasut dan menyesatkan seluruh keturunan Adam.


Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua-dua ibu bapa kamu dari syurga, ia melucutkan pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan aurat mereka berdua. Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dimana kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang yang tidak beriman. (Surah Al-A’Raaf, ayat-27)


KEESOKAN harinya selepas Solat Subuh, semuanya segar-bugar. Masing-masing teruja menunggu matahari terbit. Kabus pagi terasa dingin. Sejuk tidak terkata sehingga mencengkam tulang hitam. Langit yang tadinya gelap mula bertukar cerah. Di bawah sana kelihatan kabus putih yang tebal. Jelas kelihatan satu lapisan kabus membentuk seperti awan apabila melihat ke bawah tebing yang curam. 
Kedudukan tapak perkhemahan ini lebih tinggi dari lapisan kabus yang terbentuk. Betul-betul terasa diri seperti berada di atas awan.
“Semalam boleh tidur tak?” soal Haniff yang baru muncul lalu duduk di atas batu tidak jauh dari Aryana.        
“Bolehlah. Tapi, sejuk sangat semalam sampai menggigil-gigil,” jawab Aryana sambil menggosok-gosok kedua-dua tapak tangannya. Cuba mengumpul haba untuk menghilangkan sejuk.
Sejuk semakin terasa apabila menjelang subuh. Semasa mengambil wuduk untuk Solat Subuh pagi tadi, sejuknya tidak terkata. Menggigil-gigil Aryana. Jika tidak memikirkan kewajipan yang satu itu pada yang Maha Esa, jangan haraplah Aryana hendak menyentuh air dingin subuh-subuh begitu. Lebih baik berlingkar dalam sleeping bag.
Matahari yang tadinya bersembunyi di ufuk timur mula menjelmakan diri. Indah bercahaya sang mentari pagi yang mula garang memancarkan cahaya. Semakin lama, semakin besar matahari yang sedang naik meninggi mengikut aturan alam. Warna jingga keemasan terpancar pada kabus yang memutih. Tangan diangkat. Terasa seperti matahari berada di tapak tangan sendiri. Dari saiz awalnya yang kelihatan seperti bola golf kini sudah semakin membesar kelihatan seperti saiz bola sepak.
Perlahan-lahan kabus yang tadinya tebal memutih menghilang di sebalik cahaya matahari yang memancar. Dingin yang terasa semakin menghilang diganti dengan rasa bahang mentari yang selesa menyentuh tubuh yang masih terasa sejuk. Menjadikan Aryana semakin selesa di tempat duduknya. Pertama kali melihat matahari terbit dari atas gunung, membuatkan Aryana tidak mahu terlepas walau sesaat pun detik indah saat ini.
Puas tengok matahari terbit, leka pula mengambil gambar tumbuhan yang ada di sekeliling. Bunga hutan yang tumbuh meliar jarang dijumpai menarik perhatian Aryana.
“Sejak bila ada hobi macam ni?” Haniff mula bersuara apabila Aryana begitu leka mengambil gambar bunga hutan.
“Sejak tahu Danial sukakan fotografi,” jawab Aryana selamba.
“Patutlah pun.” Memang Haniff dah agak. Apa sahaja hobi baru Aryana sekarang ni semuanya berkaitan dengan Danial.
“Tapi, Danial suka ambil gambar bangunan,” sambung Aryana lagi sambil menghalakan lensa kameranya ke arah bunga hutan yang tumbuh renek.
“Tapi minat kita berdua sama. Aku pun suka ambil gambar tumbuhan,” balas Haniff bersahaja sambil tangannya menekan butang kamera.


Di sebelah sana sesi masak-memasak sarapan sedang bermula. Padahal bukan masak apa sangat. Setakat masak air untuk buat kopi dan teh panas. Sarapan pagi hanya makan roti sahaja. Aryana membantu apa yang perlu sambil menyalakan lilin memasak untuk menghidupkan api. Tetapi kalau memasak dalam mess tin menggunakan lilin memasak dan ranting kayu, perlu pandai mengawal apinya kerana nyalaan api memang agak susah dikawal. 




BACA LAGI DI SINI http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195