Showing posts with label DIA YANG KUCARI. Show all posts
Showing posts with label DIA YANG KUCARI. Show all posts

Friday, 22 January 2016

~s!N@pSis~





Pertemuan Dania dan Haiqal bermula di sebuah kelab malam yang terkenal di ibu kota. Dania seorang gadis lincah sering menghabiskan masanya di kelab malam. Manakala bagi Haiqal pula kelab malam ini adalah tempat untuknya berhibur. Sikap Dania yang tidak mengendahkan Haiqal benar-benar membuatkan Haiqal tercabar. Dalam diam dan tanpa sedar Haiqal sudah jatuh hati kepada Dania. Haiqal bertekad untuk menundukkan Dania.

Dania yang merupakan anak tunggal kurang mendapat kasih sayang daripada keluarga. Menghabiskan masa di kelab malam merupakan cara untuk membuang rasa bosan apabila dirinya sering ditinggalkan oleh papa dan mamanya yang sentiasa sibuk bekerja. Pertemuan kedua Dania dengan Haiqal terus disambar oleh Haiqal apabila dia mendapat tahu hubungan Zack dan Dania bermasalah. 

Lima tahu berlalu. Atas urusan kerja Haiqal berkenalan dengan Maisara, seorang gadis yang sopan bertudung. Maisara berbeza dengan gadis-gadis yang pernah dikenalinya sebelum ini. Sedikit sebanyak kehadiran Maisara telah menarik perhatian Haiqal. Dalam masa yang sama Haiqal sering berpelesiran dengan Linda. Bagi Haiqal hubungannya dengan Linda sekadar suka-suka, tetapi tidak pula bagi Linda. Dengan penuh harapan Linda benar-benar mengharapkan yang Haiqal akan menyukai dirinya.

Pada hari pertunangan Emir iaitu rakan baik Haiqal, Haiqal dikejutkan dengan berita Maisara adalah tunang rakan baiknya itu. Maisara adalah sepupu kepada Emir. Emir memang mencintai Maisara sejak kecil dan ikhlas menerima Maisara seadanya. Maisara tidak menyangka yang Emir berkawan rapat dengan Haiqal, lelaki yang punya kisah silam bersama dirinya suatu ketika dahulu. Tidak sanggup mahu mengkhianati rakannya sendiri, Haiqal mengkhabarkan rasa hatinya kepada Maisara, tetapi sayang Maisara tidak mempunyai rasa yang serupa.

Akhirnya terbuka juga pintu hati Haiqal untuk berubah.  Haiqal perlahan-lahan berubah dan menjadi lelaki yang lebih baik.

Suratan menentukan Haiqal kemalangan lalu koma. Maisara yang datang bersendirian ketika melawat Haiqal di hospital mengalirkan air mata apabila melihat keadaan Haiqal. Emir yang kebetulan datang ke hospital untuk melawat Haiqal hairan melihat Maisara datang bersendirian dan tidak pula mengkhabarkan kepadanya. Maisara akhirnya memberitahu Emir siapa Haiqal dalam kehidupan silamnya.

Demi kebahagiaan Haiqal dan Maisara, Emir mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan Maisara.

Setelah Maisara sah menjadi isteri Haiqal dugaan datang menimpa. Maisara keguguran. Linda menabur fitnah hingga mengundang kesengsaraan Maisara.

Setelah sedar akan kesilapannya, Haiqal segera meminta kemaafan daripada Maisara. Puas Haiqal cuba meyakinkan Maisara yang dirinya tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Namun, Maisara enggan menerima kemaafan suaminya.

“Kucari dia yang jauh di mata.... rupa-rupanya dia dekat di hati....”


BELI ONLINE DI SINI

Thursday, 2 October 2014

DIA YANG KUCARI BAB 10

AWAN mendung beransur-ansur berarak pergi. Mentari yang tadinya bersembunyi di sebalik awan, kembali menjelmakan diri. Bumi yang tadinya basah ditimpa hujan, kembali panas apabila disimbah cahaya mentari. Jam baru sahaja merangkak ke angka sebelas setengah pagi. Haiqal berdiri sambil melihat pemandangan gah kota metropolitan Kuala Lumpur yang terbentang luas di hadapan mata. Pemandangan alam menjadi begitu indah dan mempesonakan selepas dibasahi hujan. Kelihatan beberapa ekor burung berterbangan bebas. 

Kesibukan kota tidak sedikit pun memberikan kesan terhadap makhluk ciptaan Tuhan itu. Haiqal sukakan suasana hening sebegini. Begitu damai dan mengasyikkan. Dipandang lagi titik-titik kecil air hujan yang menitik jatuh ke bumi. Jernih bak mutiara. Bersinar apabila dipanah cahaya matahari. Ketenangan yang Haiqal rasakan kini rupa-rupanya bukan miliknya yang kekal. Kenangan lalu tiba-tiba mengganggu fikirannya. Membawa pergi ketenangan yang baru bermukim di hatinya. Satu per satu rentetan perjalanan hidupnya terlayar di ruang minda. 

“Andainya hujan ini dapat membawa pergi segala dosaku....”Haiqal menundukkan kepalanya, mengeluh sendirian. 

Sampai bila dia harus berperasaan begini? Tidak bolehkah segalanya hilang begitu sahaja? Haiqal masih tidak jemu menikmati pemandangan luar yang masih kelihatan lembap. Bumi Allah ini kelihatan bercahaya dan tenang selepas dibasahi hujan. Segala kekotoran dibawa pergi. Alangkah bertuahnya jika hujan ini mampu memadam segala dosa silamnya sepertimana bumi Allah ini kelihatan bersih selepas hujan. 

Bukankah elok jika hujan ini mampu menyucikan dirinya daripada semua noda hitam? Tidaklah dirinya akan terus terbeban dengan rasa bersalah ini. 

“Tak mungkin semudah itu....”Haiqal merintih perlahan. 

Tiba-tiba Haiqal tersenyum sinis. Mampukah dia berubah? Berubah menjadi insan yang lebih baik. Terus terang dia masih belum bersedia meninggalkan cara hidupnya kini. Mampukah dalam sekelip mata segala keseronokan dunia ini ditinggalkan begitu sahaja? Rasanya tidak mudah untuk Haiqal melakukan perubahan yang drastik dalam hidupnya. 

Perlahan-lahan keluhannya dilepaskan, cuba melepaskan lelah di dada. Terasa seperti satu bebanan perasaan yang begitu menekan. Kata orang, pelangi akan muncul selepas hujan di tengah hari. Sepertimana hatinya yang ditimpa hujan ketika ini. Adakah pelangi itu akan mucul mewarnai hatinya kelak? Alangkah indahnya jika pelangi itu mengusir pergi awan mendung yang masih berada di hatinya. Sepertimana indahnya pelangi yang dilihat ketika ini, menerangi langit yang tadinya mendung ditimpa hujan. 

Semoga suatu hari nanti pelangi itu akan menerangi seluruh hatinya yang kini dirasakan kosong dan sunyi. Haiqal berharap benar agar dirinya tidak lagi dibalut luka dengan kenangan silam yang sentiasa mengganggu ketenangannya selama ini. 

“Dania....”Sekali lagi nama itu meniti di bibir Haiqal. Jiwanya dicengkam pilu setiap kali mengingati gadis tersebut. 

Kenapa sejak akhir-akhir ini ingatannya sering saja kepada Dania? Sering saja wajah Dania bermain di mindanya. Senyuman Dania sentiasa menabiri ruang matanya. Masihkah dia ingat kepada diri Haiqal? Satu-satunya gadis yang meninggalkan kesan paling mendalam dalam hidupnya. Mana mungkin semudah itu Haiqal dapat melupakan Dania. Tidak pernah sesaat pun gadis tersebut hilang daripada ingatannya. 

Sudah lama kejadian itu berlaku. Hari demi hari, tahun demi tahun. Namun, berita mengenai Dania langsung tidak diketahuinya. Segala-galanya masih segar di ingatannya, bagaikan baru semalam ia terjadi. Satu peristiwa yang begitu disesalinya sehingga kini. Peristiwa yang tidak mungkin dapat dilupakan daripada lipatan sejarah hidupnya. 

“Di mana dia sekarang?”Haiqal sendiri tiada jawapannya. 

Pertemuan mereka dahulu terlalu singkat namun, memberi impak yang besar kepada kehidupannya kini. Terasa rindu kepada gadis tersebut. Bahkan rasa rindu itu semakin mendalam dari sehari ke sehari. Haiqal terasa semakin berdosa terhadap Dania setiap kali kenangan silam itu menerjah ingatannya. Bagaimanakah caranya untuk menebus segala dosanya terhadap Dania?
  
Lamunan Haiqal terhenti apabila terdengar bunyi ketukan di pintu. Haiqal melangkah ke arah meja kerjanya dan kembali duduk di atas kerusi empuk miliknya. Kot biru gelap yang membaluti tubuhnya dibetulkan agar kelihatan lebih kemas. 

“Masuk!”Haiqal memberi arahan. 

Terjengul muka Lisa di sebalik pintu. Slack hitam dan kemeja pink cair dipadankan dengan kasut tumit tinggi menyerlahkan penampilannya. Sesuai benar dengan jawatan yang disandangnya kini. 

“Ada apa, Lisa?”Haiqal mengangkat kepala, matanya diarahkan ke wajah Lisa yang sudah pun berdiri di hadapannya. 

“Encik Haiqal, petang ni pukul tiga kita ada perjumpaan dengan wakil Syarikat Khazanah Holdings.”Lisa mengingatkan Haiqal. 

Haiqal mengangguk. Dia sudah berpesan kepada Lisa pagi tadi agar mengingatkan dirinya mengenai janji temu tersebut. Lisa mengatur langkah menuju ke pintu setelah memberitahu maklumat penting kepada bosnya. Haiqal hanya memandang. Ingatan terhadap Dania beransur-ansur berlalu pergi. Haiqal mengeluh seketika, cuba mengusir pergi kenangan yang tiba-tiba datang menjelma. 

Dia mencapai fail yang diletakkan di atas meja. Sehelai demi sehelai isi kandungan fail itu diselak dan diteliti. Tiba-tiba telefon bimbit Haiqal berbunyi nyaring menandakan ada panggilan masuk. Tanpa melihat nama si pemanggil, Haiqal terus menekan butang answer. 

“Kenapa you buat I macam ni, Haiqal?”Suara Linda menerjah di hujung talian. Sengaja mahu melepaskan rasa tidak puas hatinya. 

Haiqal menjarakkan sedikit telefon bimbit tersebut daripada telinganya. Sakit gegendang telinganya apabila tibatiba saja diterjah oleh suara Linda yang agak kuat. “I buat apa?”tanya Haiqal sedikit kasar. 

“You tahu, kan I ada call you banyak kali? You sengaja tak nak jawab, betul tak?”marah Linda. Sakit hatinya mengenangkan sikap endah tak endah Haiqal. Lenguh jarijemarinya mendail nombor Haiqal berkali-kali. Bukan setakat hari ni sahaja malah sebelum ini pun sama. 

“Kan I dah jawab ni. You nak apa call I ni?”tanya Haiqal bernada bosan. Memang dia malas mahu melayan panggilan telefon daripada Linda. 

“Kenapa sekarang ni susah sangat I nak jumpa you? Nak jawab panggilan telefon I pun payah. Bila I ajak keluar, you tak nak. Dulu tak macam ni pun,”rungut Linda. Kalau dulu senang aje. Tapi sekarang bukan setakat susah nak jumpa, nak dengar suara pun payah. 

“I tengah sibuk la sekarang ni, banyak kerja. Lagipun you tak pernah complaint pun sebelum ni. Kenapa sekarang nak marah pulak?”Kata Haiqal dengan selamba. Rimas dengan sikap Linda yang mengada-ada. 

“Tapi you tak patut buat I macam ni. At least bila I call, jawab la....”Haiqal sudah mula bosan. Suka hati la nak jawab ke tak nak jawab ke. Yang Linda sibuk tu buat apa? 

“Linda, I tengah ada kerja ni. You pun tak ada perkara penting nak cakap pada I, kan? Okey la Linda, bye!”Haiqal memutuskan talian. Menyesal dia menjawab panggilan daripada Linda sebentar tadi. 

Buat semak kepala aje. Telefon bimbitnya sekali lagi berbunyi nyaring. Tertera nama Linda di skrin telefon. Haiqal membiarkan sahaja telefon bimbitnya terus berbunyi sehinggalah panggilan tersebut mati begitu sahaja.




HAIQAL dan Lisa sudah sampai di tempat yang dijanjikan. Mereka sedang menunggu wakil dari Syarikat Khazanah Holdings. Tidak sampai lima minit menunggu, kelihatan kelibat wakil dari Syarikat Khazanah Holdings. Haiqal tersenyum penuh kelegaan. 

“Apa khabar, Encik Haiqal? Dah lama ke tunggu? Rasanya kami tak lambat, kan?”Azean bertanya ramah kepada Haiqal dan Lisa. 

Tangannya dihulurkan untuk bersalaman dengan Lisa, pembantu Haiqal yang akan bersama-sama menguruskan projek mereka di Sepang nanti. 

“Fine, thank you. Memang tak lambat, tepat seperti yang dijanjikan.”Haiqal tersenyum senang. 

Dalam pada itu ada sesuatu yang lebih menarik perhatian Haiqal. Matanya terpaku memandang rakan sekerja Azean. Cantik orangnya, tak pernah lihat pun sebelum ni. Rasanya ini baru pertama kali mereka bertemu. Gadis itu benar-benar menarik perhatiannya. 

“Perkenalkan ini Maisara, rakan sekerja saya yang baru.”Azean memperkenalkan Maisara kepada Haiqal dan Lisa. 

“Yang ni pulak Encik Haiqal, selaku pengurus projek di Sepang nanti. Yang cantik manis ni Lisa, pembantu Encik Haiqal,”terang Azean kepada Maisara.
  
“Lisa, selamat berkenalan.”Lisa tersenyum ramah memperkenalkan dirinya sambil menyambut huluran tangan Maisara. Haiqal menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Maisara. 

“Ameer Haiqal. Just call me Haiqal. Nice to meet you Cik Maisara. Harap lepas ni kita dapat bekerjasama dengan baik.”Haiqal tersenyum kecil. 

“Sorry, Encik Haiqal, saya....”Maisara tidak menghabiskan kata-katanya. Dia berharap yang lelaki itu akan faham sendiri. Tangan Haiqal dibiarkan sahaja tidak bersambut. Seboleh mungkin dia tidak mahu Haiqal salah faham ataupun berkecil hati. 

“Tak apa, saya... faham.”Haiqal segera menarik tangannya kembali. Seboleh mungkin Haiqal cuba mengawal riak wajahnya. 

Macam manalah boleh lupa. Orang yang bertudung macam Maisara ni tentulah lain sikit. Buat malu aje. Haiqal mengutuk dirinya sendiri. Walau apa pun, Haiqal kagum dengan Maisara. Pandai membawa dan menjaga diri ke mana sahaja gadis itu pergi. Gadis di hadapannya ini tentulah lain daripada manamana perempuan yang pernah ditemuinya sebelum ini. 

Wajah Maisara direnung lagi. Bagaikan ada sesuatu pada Maisara yang membuatkan Haiqal terus merenung gadis tersebut. Ah, tak mungkinlah... detik hati kecil Haiqal. 

“Encik Haiqal ingat lagi Taufiq, kan? Sara yang akan menggantikan Taufiq untuk projek di Sepang ni,”terang Azean, cuba menghilangkan rasa serba salah Haiqal. 

“Hmmm... Taufiq... dah tentu ingat.”Haiqal mengangguk beberapa kali. Di ruang matanya terbayang wajah anak muda yang begitu komited terhadap kerjanya.

Seketika kemudian perbincangan dimulakan. Maisara tidak banyak bercakap. Dirinya lebih banyak mendengar untuk lebih memahami memandangkan tugas ini baru diambil alih daripada Taufiq. Dia hanya menambah apabila perlu sahaja. 

Azean yang lebih banyak memainkan peranan berbincang dengan Haiqal dan Lisa. Selesai perbincangan, Azean dan Maisara meminta diri terlebih dahulu. Cuma Haiqal dan Lisa sahaja masih di tempat duduk mereka. Haiqal hanya memerhatikan sahaja Maisara dan Azean yang berlalu pergi.





KETIKA dalam perjalan pulang, mulut Azean becok bertanya itu dan ini. Tak boleh duduk diam langsung. Ada sahaja perkara yang ingin diperkatakannya. 

“Apesal kau diam aje waktu perbincangan tadi? Cakap pun bila perlu aje. Kenapa ek? Takkan kau segan dengan Encik Haiqal tu?”Azean bertanya kehairanan. Wajah Maisara dipandang lama. 

“Aku, kan baru aje ambil tugas ni. Jadi, aku guna masa ni untuk aku study betul-betul pasal projek ni. Akan datang senang la aku nak buat kerja. Faham?”Maisara ketawa apabila Azean menganggukkan kepalanya berkali-kali. Kelakar betul, macam aksi budak tadika pun ada. 

“Ooo....”Azean menjawab tanda mengerti. Tetapi suara Azean lain macam saja bunyinya. Macam orang tak percaya sahaja lagaknya. 

“Lagipun nikan pertama kali aku jumpa diorang, tak biasa lagi. Lain la macam kau, peramah. Kau pun tentu dah biasa dengan Encik Haiqal dan Cik Lisa tu,”kata Maisara sambil memandang Azean. 

“Hmmm... betul la tu. Aku memang dah selalu sangat jumpa dengan Encik Haiqal tu. Kebetulan ni bukan projek pertama kita orang bekerjasama. Lagipun Encik Haiqal tu memang selalu datang ofis kita. Kau tak perasan ke?”tanya Azean lagi. 

“Selalu datang ofis kita? Tapi kenapa aku tak pernah jumpa dia pun sebelum ni?”Maisara berkata dengan wajah kehairanan. Tidak pernah pula dia bertembung dengan Haiqal di pejabat mereka kalau benarlah lelaki itu kerap datang. 

“Mungkin sebab kau baru lagi kerja. Lagipun Encik Haiqal tu selalunya berurusan terus dengan Datuk Othman, bapa saudara kau tu. Kalau dia ada datang pun mungkin kau tak perasan. Kebetulan kebelakangan ni dia dah jarang datang,”terang Azean. 

Maisara mengangguk. Mungkin benar kata Azean. Barulah dia tahu duduk perkara sebenar. 

“Kalau kau nak tau, Encik Haiqal tu pekerja kesayangan. Bos dia, Tengku Ismail tu sanggup bayar tinggi semata-mata nakkan Encik Haiqal tu terus bekerja dengan dia. Orang profesional la katakan. Sebab tu la ramai yang suka bekerja dengan dia. Buat kerja pun tip top,”puji Azean sambil menaikkan ibu jari kanannya. 

“Kalau macam tu tinggi la payment dia.”Maisara mengangkat keningnya. 

“Tau tak apa. Aku dengar keluarga dia ada syarikat sendiri, tapi dia tetap kerja dengan Tengku Ismail. Orang nak cari pengalaman la katakan.”Azean tergelak sendiri. 

“Tapi, kan... dari tadi aku perasan dia asyik tengok kau aje. Tak berkelip-kelip mata dia pandang kau. Janganjangan dia suka dekat kau tak?”Azean serkap jarang. 

“Merepek la kau ni.”gelengkan kepalanya beberapa kali. Maisara menggeleng-

“Eleh... merepek konon,”usik Azean lagi sambil tersengih-sengih. 

Maisara terdiam seketika. Tidak mengulas usikan Azean sebentar tadi. 

“Kau ni kenapa pulak, Sara? Boleh pulak kau termenung aje sambil aku tengah bercakap. Sempat jugak kau berkhayal ek?”sergah Azean agak kuat. Azean menggelengkan kepalanya. Buat habis air liur aje. Ruparupanya dia bercakap sorang-sorang. Pelik benar perangai Maisara hari ini. Maisara tersentak daripada lamunannya apabila ditegur oleh Azean. 

“Dah la, jom balik.”Ajak Maisara. Azean di belakang hanya menggeleng. Dituruti langkah Maisara yang sudah pun dua langkah di hadapannya.





MAISARA singgah sebentar di Seven Eleven ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Ketika itu jam sudah menunjukkan angka lapan malam. Ada barang yang hendak dibelinya. Tambahan pula tekaknya tiba-tiba terasa dahaga. Maisara mencapai barang yang ingin dibelinya. Sesudah itu kakinya melangkah menuju ke kaunter untuk membuat bayaran. Ketika Maisara ingin melangkah keluar, dia hampir terlanggar seorang lelaki muda yang ingin masuk ke dalam Seven Eleven tersebut. 

Saat itu juga terlepas plastik barang daripada pegangan tangan Maisara. 

“Errr... cik... minta maaf,”ucap lelaki yang hampir dilanggar oleh Maisara itu. 

Maisara tidak sempat memandang wajah lelaki yang hampir dilanggarnya itu. Tubuhnya menunduk sedikit untuk mengambil beg plastik yang sudah terjatuh. Baru sahaja tangan Maisara ingin mencapai beg plastik, tiba-tiba dia terdengar namanya disebut oleh lelaki itu. 

“Cik Sara?”Suara lelaki itu penuh nada kejutan. 

Maisara segera mengangkat wajahnya, ingin melihat gerangan lelaki yang menyebut namanya itu. Dahinya dikerutkan. Haiqal? 

“Awak rupanya....”Haiqal tergelak perlahan. Maisara mengetap bibirnya. Pertemuan yang tidak disangka-sangka. 

“Sorry... saya betul-betul tak perasan awak nak keluar tadi.”Haiqal memohon maaf. 

“Hal kecil aje.”Ujar Maisara yang cuba beriak bersahaja. 

“Ada barang yang rosak tak? Saya gantikan semula.”Haiqal memandang barang yang berada di dalam beg plastik yang dipegang oleh Maisara. 

“Tak ada apa yang rosak pun, semuanya elok lagi.”Maisara menjawab dengan tenang pertanyaan Haiqal itu. 

Haiqal tersenyum lega. Wajah Maisara direnung lagi. Sejak pertemuan mereka tempoh hari dirinya bagaikan tidak dapat melupakan Maisara. Sering sahaja wajah Maisara bermain di mindanya. 

“Saya... balik dulu.”Maisara cuba memaniskan wajahnya. 

Tidak betah dia berlama-lama di situ apatah lagi setelah melihat Haiqal yang merenung dirinya sebegitu rupa. Betul-betul membuatkan dia rasa tidak selesa. 

Haiqal ingin menahan. Entah kenapa Maisara nampak seperti tergesa-gesa sahaja. Langkah Maisara sudah semakin jauh. Akhirnya Haiqal hanya mampu memerhatikan sahaja Maisara yang semakin menghilang daripada pandangan matanya.

DIA YANG KUCARI BAB 9

LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUALA LUMPUR menyambut kepulangan Puan Syarifah dan Encik Hisyam dengan suasana yang agak lengang. Kebetulan tidak ramai orang yang berada di situ pada ketika ini. Puan Syarifah memandang sekeliling. Sudah ada perubahan di sini, tidak sama lagi seperti dahulu ketika dia meninggalkan Kuala Lumpur. Sudah lebih lima tahun dia dan suaminya berada di perantauan dan selama itu jugalah dia telah meninggalkan bumi Malaysia. 

Puas sudah Puan Syarifah dan Encik Hisyam duduk di negara orang, kini tiba masanya untuk mereka pulang dan kembali semula ke tanah air. Rasa sayu menjentik tangkai hati Puan Syarifah apabila menjejakkan semula kakinya di bumi kelahirannya ini. Terasa terubat rindunya kepada tanah air sendiri. Maklumlah, sudah lama dia menetap di bumi asing. Puan Syarifah terasa air matanya hampir menitis, kepulangannya semula ke sini kali ini dirasakan benar-benar lain. 

Entahlah,dia sendiri tidak mengerti dengan perasaannya saat ini. Suaminya yang masih setia berada di sisinya kelihatan tenang sahaja. Telah banyak pengajaran yang diperoleh oleh Puan Syarifah dan suaminya selama hidup di negara orang. Di sanalah juga Puan Syarifah dan Encik Hisyam lebih mengenali Tuhan. Dahulu, ketika berada di Malaysia, Puan Syarifah tidak pula sedar akan hidupnya yang sering melupakan Maha Penciptanya. Dia dan suaminya kini sudah mendapat pengajaran dan mereka suami isteri sudah berubah kini. Cuba untuk menjadi khalifah yang lebih baik di muka bumi Allah ini selagi masih diberi kesempatan untuk terus hidup. Apa yang terjadi dahulu biarlah terus menjadi pengajaran buat mereka suami isteri. 

Kini, Puan Syarifah dan Encik Hisyam lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah. Mereka tidak lagi sibuk seperti dahulu dan terlalu mementingkan urusan dunia berbanding urusan dengan Tuhan. Syukur, mereka suami isteri masih diberi kesempatan dan peluang untuk berubah sebelum terlambat. Perkenalan mereka dengan Ustazah Azizah, merupakan jiran yang tinggal bersebelahan rumah ketika di London telah banyak membantu mereka kembali mendekatkan diri kepada Tuhan. 

Ustazah Azizah dahulunya merupakan guru yang mengajar agama di sekolah menengah. Dia berhenti mengajar apabila suaminya terpaksa bertugas di London. Sehingga kini Ustazah Azizah dan suaminya masih lagi menetap di Londan kerana suaminya, Encik Tajuddin masih lagi bertugas di pejabat kedutaan Malaysia di sana. Ustazah Azizahlah yang telah banyak membimbing Puan Syarifah kembali semula ke pangkal jalan. Kalau bukan kerana jasa Ustazah Azizah, belum tentu Puan Syarifah mampu berubah seperti hari ini. Apa pun Puan Syarifah tetap memanjatkan rasa syukurnya yang tidak terhingga.




EMIR sedang berbincang dengan Suzzy tentang kertas kerja yang berada di hadapannya. Perbincangan antara dia dan Suzzy sudah pun hampir selesai. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu biliknya. Serentak itu, terjengul muka Haiqal di muka pintu. Haiqal sedikit terkejut apabila melihat Suzzy berada di dalam bilik Emir ketika itu. Sudahlah sesuka hati sahaja membuka pintu. Mana nak tahu Suzzy berada di dalam bersama Emir. Salahnya juga kerana main serbu macam tu aje. 

“Sorry, Mir... aku tak tau kau ada guest. Tak apa la. Aku keluar dulu, tak nak ganggu korang berbincang,”kata Haiqal, menyedari kesilapan dirinya. 

“Eh Haiqal, masuk la. Kebetulan kita orang dah siap bincang pun.”Emir menahan Haiqal yang ingin melangkah keluar. 

“Suzzy, awak boleh keluar sekarang. Rasanya cukup sampai sini saja untuk hari ini.”Emir memberi arahan kepada Suzzy. 

“Baik Encik Emir, saya keluar dulu.”Suzzy berkata dengan sopan sebelum melangkah keluar. Sempat dia tersenyum kecil kepada Haiqal. 

“Kebetulan aku ada urusan dekat pejabat kau ni, sebab tu la aku datang. Tak tau pulak kau tengah berbincang dengan Suzzy tadi. Sorry la aku dah ganggu korang,”ucap Haiqal. 

“Hal kecil aje la.”Emir tergelak kecil.

Haiqal memandang wajah Emir. Rakannya itu kelihatan gembira sekali. Entah apalah yang seronok sangat sampai senyuman tak lekang di bibir. 

“Kau ni kenapa? Dari tadi tersengih-sengih. Dah macam kerang busuk aje aku tengok.”Haiqal bertanya, hairan. 

Emir tidak menjawab. Sebaliknya gelengan kepala sahaja dihadiahkan sebagai jawapan kepada pertanyaan Haiqal. Bibirnya pula tidak putus-putus mengorak senyuman ceria. 

“Aku tanya tak nak jawab. Dah tu tersengih-sengih sorang-sorang. Kau ni dah tak betul ke?”Haiqal menggelengkan kepalanya. Geram juga dengan sikap Emir yang dari tadi menyengih tak bertempat. Entah apalah yang seronok sangat tu. Tak nak pulak beritahu. 

“Ala... kau ni salah ke kalau aku happy? Kalau aku sedih karang bukan ke kau jugak yang susah hati tengok aku macam tu,”kata Emir sambil tergelak perlahan. 

“Kalau dah gembira sangat cepat la cerita dengan aku. Nak jugak aku tau apa yang buat kau happy sangat tu.”Tertanya-tanya juga Haiqal apa yang membuatkan rakannya yang seorang ini gembira semacam aje. 

“Tak ada apa pun sebenarnya. Well, lambat-laun kau akan tau jugak nanti.”Emir masih ingin berahsia. Senyuman gembira masih jelas terpancar di wajah Emir. Haiqal mengangkat bahunya. Tidak mahu memaksa. Kalau dah begitu kata Emir, apa boleh buat. Lagipun seperti kata Emir, lambat-laun pasti perkara tersebut sampai juga ke telinganya. 

“Kau tu datang sini takkan la nak cakap pasal tu aje. Mesti ada benda lain yang kau nak cakap dekat aku, kan? Cakap cepat apa dia? Tengok muka kau aje aku dah tahu, ni mesti ada sesuatu, kan?”tanya Emir. 

“Aku saja datang sini nak jumpa kau. Kau tu pulak asyik tersengih aje, bukannya nak kongsi dengan aku pun,”jawab Haiqal dengan nada merajuk. 

“Takkan merajuk kut?”Emir sekadar mengusik. “Aku ni bukannya perempuan la nak merajuk tak tentu pasal.”Haiqal menafikan kata-kata Emir. Sambil itu Haiqal sempat lagi melihat Emir yang sedang tersengih suka tanpa sebab. 

Emir tersenyum-senyum, mempamerkan wajah tidak bersalahnya. Kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan. 

“Dah lama peristiwa tu berlaku. Dah makan masa bertahun. Kau macam mana sekarang?”Haiqal sekadar tersenyum nipis. Memang sudah beberapa tahun peristiwa itu berlalu namun, sehingga kini dirinya masih tidak mampu melupakan Dania. 

“Okey la Emir, aku ada hal lain lagi ni. Aku balik dulu la.”Ujar Haiqal lalu bangun melangkah keluar daripada bilik Emir. Emir hanya mengangguk dan pemergian Haiqal dengan ekor matanya. menghantar





HAIQAL melangkah menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari ofis Emir. Sambil Haiqal berjalan matanya tertumpu kepada seorang gadis yang leka memandang telefon bimbitnya yang berada di tangan. Tanpa gadis itu sedari, hampir sahaja tubuh tegap Haiqal dilanggarnya. Hampir terlepas telefon bimbit yang berada di tangan gadis itu akibat terkejut.



“Errr... sorry....”Gadis itu berkata perlahan. 

Haiqal sekadar tersenyum. Semakin lebar senyumannya melihat gadis yang tidak diketahui nama itu sedikit menggelabah. 

“Tak apa... hal kecil aje.”Balas Haiqal bersahaja. Sayangnya, Haiqal tidak sempat langsung melihat wajah gadis itu dengan jelas. Gadis itu tergesa-gesa meninggalkan dia di situ tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya semula.

DIA YANG KUCARI BAB 8

SUASANA di Tropicana Golf & Country Resort sedikit sebanyak membantu menghilangkan resah di hati Haiqal. Cuaca agak terik namun, masih terdapat tiupan angin yang mampu menghilangkan bahang cuaca. Haiqal sukakan keindahan landskap kawasan tersebut. Suasana padang golf yang menghijau menggamit pandangan matanya. Begitu santai dan mendamaikan. Hilang sedikit rasa tegang yang bermukim di hatinya. 

“Kau ni kenapa, Haiqal? Dari mula kita datang tadi aku tengok kau asyik termenung aje. Kebelakangan ni aku tengok kau lain macam pulak,”soal Emir dengan wajah bersahaja. 

“Entah la Mir, aku sendiri pun tak tau nak cakap macam mana.”Haiqal mengeluh perlahan sambil memandang rakannya itu. 

“Kau ada masalah ke? Cuba kau cakap pada aku, mana tau aku boleh tolong.”Emir memerhatikan reaksi di wajah Haiqal.

“Aku... aku dah banyak buat dosa, Mir.”Haiqal berkata lambat-lambat. Sukar baginya untuk meluahkan kata yang terpendam di lubuk hatinya kini. Emir tersenyum kecil memandang Haiqal. Dia ketawa perlahan sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Semua orang buat dosa. Aku atau kau, kita semua ni sama aje. Selagi kita bergelar manusia, selagi itu la kita tak lari daripada buat silap dan buat dosa macam orang lain.”

“Tapi dosa aku kali ni terlalu besar, Mir.”Haiqal berkata lagi. 

“Aku tau....”Emir berkata perlahan. 

“Perempuan tu... aku tak pernah lupakan dia...”luah Haiqal. Dia terdiam seketika. Emir turut terdiam memerhatikan Haiqal, cuba menyelami apa yang dirasai oleh rakannya itu. Dia sudah tahu apa yang pernah terjadi kepada Haiqal. Dahulu, Haiqal sudah menceritakan segala kisah hidupnya. 

“Aku rasa terbeban dengan rasa tanggungjawab aku kepada dia, Mir. Dia pulak tiba-tiba hilang macam tu aje. Betul-betul buat aku tak tentu arah.”Haiqal meraup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Tengkuknya yang terasa lenguh dipicit perlahan. 

“Mungkin satu hari nanti kau akan jumpa dia?”Emir cuba memberi keyakinan kepada Haiqal. 

“Aku dah tak tau nak cari dia dekat mana. Rumah dia pun aku dah pergi tapi dia langsung tak ada. Kat mana lagi aku nak cari dia, Mir? Bila aku call handphone dia, langsung tak dapat.”Sudah pelbagai usaha yang dilakukan oleh Haiqal selama ini namun, semuanya tidak mendatangkan hasil. Apa yang dia dapat hanya perasaan lelah yang tidak henti.

“Aku takkan pernah dapat lupakan dia, Mir. Aku nak minta maaf dengan dia dan aku nak tebus segala dosa aku pada dia. Aku betul-betul rasa bersalah. Selagi aku tak jumpa dia dan tak minta maaf dengan dia, selagi itu la hidup aku tak akan tenang. Aku berdosa dengan apa yang aku dah buat.”Haiqal mengeluh perlahan. 

“Insya-Allah Haiqal, aku yakin suatu hari nanti kau tetap akan jumpa dia semula.”Sebagai rakan, Emir memberi keyakinan kepada Haiqal. 

“Selagi aku hidup, aku akan terus cari dia. Cuma sekarang ni aku betul-betul buntu. Ke mana lagi aku nak cari dia?”Haiqal memandang Emir, dalam hatinya terasa hiba tiba-tiba. 

“Mungkin belum masanya untuk kau jumpa dengan dia lagi. Mesti ada sebabnya. Mungkin Allah tak nak pertemukan lagi kau dengan dia masa ni. Akan datang, mana tau? Tanpa perlu kau cari, dia sendiri yang akan datang kepada kau.”Tenang Emir menuturkan kata-katanya. Masih tidak putus asa memberi keyakinan kepada Haiqal. 

“Mungkin betul, tapi macam mana kalau aku tak akan jumpa dia langsung sampai bila-bila? Tentu seumur hidup, aku akan rasa bersalah. Macam mana aku nak tebus semula dosa aku pada dia, Mir?”Haiqal berkata lemah. 

“Kita serahkan segalanya kepada Allah, Haiqal. Dia yang menentukan segalanya. Insya-Allah... suatu hari nanti bila tiba masanya, kau dan dia akan tetap berjumpa. Kau kena yakin Haiqal, ni semua ketentuan Allah.”Emir masih menasihati rakannya itu. Bahu Haiqal ditepuk perlahan. 

“Kalau boleh, aku betul-betul nak bertanggungjawab atas perbuatan aku. Selepas kejadian tu, tak pernah sekali pun aku dapat tidur lena, setiap masa aku teringatkan dia.

Emir terdiam, tersentuh juga hatinya melihat keadaan Haiqal begitu. Nampaknya Haiqal benar-benar sudah menyesal atas segala kesilapannya. Begitu bersungguhsungguh Haiqal mahu menebus segala dosanya. 

“Mesti dia bencikan aku. Mungkin dia tak akan maafkan aku sampai bila-bila. Kalau aku jadi dia pun, mesti aku buat perkara yang sama.”

“Sekarang mungkin dia bencikan kau. Mana tau satu hari nanti Allah gerakkan hati dia untuk maafkan kau. Selama mana dia akan marahkan kau? Ada hikmahnya kau tak dapat jumpa dia sekarang. Mungkin masa yang akan ubati luka dia tu. Lama-kelamaan dia akan maafkan kau jugak. Mana tahu masa yang akan datang bila kau jumpa dia semula, dia dah boleh maafkan kau? Percaya la cakap aku.”Kalau boleh Emir tidak mahu Haiqal berputus asa dan terus menyalahkan takdir. 

“Aku pun harap macam tu. Selagi dia tak maafkan aku, selagi itu la aku tak dapat nak maafkan diri aku, Mir.”“Insya-Allah, Haiqal... insya-Allah....”Emir menepuk bahu Haiqal beberapa kali. 

“Aku lega sebab aku ada kawan macam kau. Dalam keadaan aku macam ni kau masih boleh terima aku seadanya sebagai kawan kau walaupun aku dah banyak buat silap. Kau sanggup dengar semua masalah aku dan nasihatkan aku.”Haiqal tersenyum hambar. Dalam ramai-ramai rakannya hanya Emir seorang sahaja yang berbeza. 

“Aku, kan kawan kau. Tak ada guna la kalau aku kawan dengan kau tapi tak boleh nak tolong kau.”Emir tergelak perlahan sambil memandang Haiqal yang kelihatan lebih tenang berbanding tadi. Haiqal ikut tergelak. 

“Kau pun tahu la kawan-kawan aku yang lain, sorang pun tak ada yang sama macam kau. Semuanya kaki enjoy macam aku ni. Bila ada kau, lega sikit hati aku sekarang ni. Sekurang-kurangnya dapat jugak aku share masalah aku ni dengan kau.”Emir tersenyum kecil, ada sesuatu yang ingin disampaikannya kepada Haiqal. Kalau boleh biarlah Haiqal benar-benar mengerti apa yang cuba disampaikan ini. 

“Apa kata kau ambil peluang ni untuk kau ubah cara hidup kau, Haiqal. Aku tak bermaksud apa-apa, cuma apa kata kau guna kesempatan ni untuk kau tinggalkan segala keseronokan dunia yang kau kejar selama hari ni. Hidup tanpa arah tujuan yang akhirnya tak bawa kau ke mana-mana pun,”nasihat Emir penuh berhati-hati. Takut temannya terasa hati dengan kata-katanya. 

“Aku faham maksud kau... tapi... entah la. Aku tak bersedia lagi nak tinggalkan cara hidup aku sekarang ni. Pintu hati aku ni masih belum terbuka sepenuhnya untuk berubah,”ujar Haiqal berterus terang. Emir mengangguk perlahan. Dalam hal begini dia tidak boleh memaksa Haiqal untuk terus berubah menjadi baik secara mendadak. 

“Aku sedar, aku tak boleh nak paksa kau, Haiqal. Tapi, kalau tak hari ni, aku harap sangat suatu hari nanti kau boleh berubah menjadi lebih baik. Setiap orang yang nak berubah tu tak boleh buat secara drastik, semuanya kena buat secara perlahan-lahan.”Emir tersenyum di akhir katakatanya. Haiqal terdiam seketika. Ya, mungkin suatu hari nanti dia akan berubah. Yang pasti bukan ketika ini, bisiknya dalam hati. 

“Kau ni asyik dengar cerita pasal aku aje, bila aku nak dengar cerita pasal hidup kau pulak?”soal Haiqal tibatiba setelah mendiamkan diri seketika. 

“Hmmm... tak ada yang menarik tentang aku pun. Tak tau nak cerita macam mana pada kau.”Emir tergelak suka. Riang sahaja bunyinya. 

“Takkan la tak ada? Kau masih taruh hati pada sepupu kau tu ke? Dari kecil sampai besar takkan kau tak berubah hati lagi?”usik Haiqal sambil tergelak. 

“Yup... aku masih sukakan dia. Tapi kau pun tahu, kan kisah cinta aku ni one sided love aje. Sampai sekarang pun adik sepupu aku tu tak tau yang aku cintakan dia. Cara aku layan dia selama ni pun sama macam cara aku layan seorang adik. Sebab tu sampai sekarang dia tak perasan aku sukakan dia.”Emir akui memang sudah lama dia memendam rasa cinta buat sepupunya itu. Tapi dirinya masih tiada keberanian untuk berterus terang. 

“Takkan sampai sekarang kau masih tak bagitau dia? Mana tahu kalau dia pun sukakan kau.”Haiqal memberi semangat. 

“Aku masih tak ada kekuatan nak bagitau dia. Akan datang tak tau la.”Emir tergelak lagi. 

“Sampai bila kau nak tunggu, Mir? Nanti tak pasalpasal orang lain yang kebas dulu,”kata Haiqal lagi. 

“Entah la Haiqal, aku pun tak pasti sampai bila. Aku tak tau macam mana nak mula.”Emir berterus terang. 

“Kau kena la yakin, Mir. Terus terang dengan sepupu kau tu tentang perasaan kau yang sebenarnya pada dia. Lagi cepat kau cakap, lagi bagus. Kata la sekalipun kalau sepupu kau tu minat pada sesiapa, sekurang-kurangnya kau boleh tau lebih awal. Tak ada la kau terus mengharap macam ni,”nasihat Haiqal pula.

“Tengok la dulu macam mana.”Emir tergelak kecil. Haiqal juga ikut tergelak memandang rakannya itu. 

“Kelakar la kita nikan? Tadi aku yang nasihatkan kau, sekarang ni kau yang nasihatkan aku pulak,”kata Emir yang masih dengan sisa tawanya. 

“Biasa la tu... kawan-kawan....”Ujar Haiqal di hujung sisa tawanya.




HAIQAL tersandar lemah di keretanya. Wajahnya diraup beberapa kali. Sejak kebelakangan ini prestasi kerjanya semakin merosot. Entahlah, fikirannya sering sahaja terganggu. Kerjanya tidak mampu disiapkan dengan segera. Bayangan wajah Dania sentiasa menabiri ruang matanya. Walaupun segala kisah hidupnya sudah diceritakan kepada Emir namun, hatinya tetap tidak tenang. Terasa begitu sukar hidupnya kebelakangan ini. 

Tidak mungkin perkara ini akan berakhir dengan begitu mudah. Haiqal tidak pernah menyangka segalanya akan bertukar begini. Tidak pernah lagi sebelum ini hidupnya tidak keruan disebabkan seorang perempuan. Dahulu hatinya memang keras, ego lelakinya terlalu tinggi. Pada mulanya, Dania sekadar sama seperti perempuan yang lain, langsung tiada sebarang makna buat dirinya. 

Tetapi selepas apa yang telah berlaku antara dirinya dan Dania, Haiqal terasa dirinya pula dibelenggu rasa bersalah yang tidak sudah atas perbuatannya terhadap Dania. Masih Haiqal ingat dengan jelas wajah Dania yang mengalirkan air mata pagi itu. Ketika itulah ego lelakinya kalah dengan permainan yang diciptanya sendiri.

Bagaimanalah agaknya keadaan Dania kini? Entah di mana pula gadis itu berada kini. Sejak Dania hilang tempoh hari, Haiqal tetap berharap dan masih cuba untuk mencari Dania. Sudah beberapa kali Haiqal pergi semula ke rumah Dania, berharap benar agar gadis itu dapat ditemuinya di situ. Namun, sebanyak itu jugalah dia kecewa dan semakin hampa. Harapan yang hanya tinggal harapan. 

Kelibat Dania langsung tidak kelihatan di rumah itu. Pernah juga Haiqal terfikir, perlukah dia menghentikan sahaja segala usaha pencariannya selama ini? Adakah dirinya harus pasrah sahaja dengan ketentuan ini? Mungkin benar kata Emir, masih belum masanya lagi untuk dirinya bertemu semula dengan Dania. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah adanya peluang untuk dirinya bertemu semula dengan Dania. 

Ingatannya terhadap Dania tidak mungkin dapat dipadam begitu sahaja. Selagi rasa bersalah dan rasa berdosa ini tidak surut dari hatinya, selagi itulah dirinya tidak akan berhenti berharap.

DIA YANG KUCARI BAB 7

DANIA mundar-mandir di dalam bilik tidurnya. Duduk salah, berdiri pun salah. Semuanya bagaikan tidak kena. Mamanya sudah hampir tahu yang dirinya mengandung. Kalau mamanya benar-benar sudah tahu nanti bagaimana pula? Pasti mama dan papa mengamuk. Apa yang harus dilakukannya kini? Dania buntu, terasa seperti ingin digugurkan sahaja kandungannya ini. Sudah tidak sanggup lagi untuk menyimpan bayi yang semakin hari semakin membesar di dalam rahimnya ini.
Namun, akal waras Dania pula menegah. Takut juga untuk berhadapan dengan sebarang komplikasi. Tapi jika terus menyimpan anak ini, dirinya pula yang akan menghadapai kesukaran kelak. Syaitan sentiasa berbisik di telinganya. Akal jahat pula tidak henti-henti menghasut dan menyuruh dia memilih jalan kejahatan. Tiada satu pun jalan keluar yang mampu difikirkannya saat ini. Dania duduk di atas katil dengan perasaan yang berbelah bahagi. Pil yang berada di tangannya dipandang lama. 

Mahu makan ataupun tidak? Itulah persoalan yang berlegar-legar di fikiran Dania saat ini. Jika dia menelan pil ini, serta-merta sahaja kandungannya ini boleh gugur. Tapi Dania bagaikan tidak sanggup pula untuk membunuh bayi yang tidak bersalah ini. Terus-terusan Dania berperang dengan perasaannya sendiri. Daripada dia terus mengandung, lebih baik jika kandungan ini digugurkan sahaja. Jika bayi ini lahir tanpa bapa bukankah akan lebih susah kelak? Mungkin lebih baik jika bayi ini tidak dilahirkan terus. Dirinya juga yang akan terlepas daripada beban ini. 

Akal jahat dan bisikan syaitan terus meracuni fikiran Dania, biar anak keturunan Adam ini terus hanyut dan sesat bermandikan dosa. Baru sahaja Dania ingin memasukkan pil tersebut ke dalam mulutnya, tangannya terlebih dahulu ditepis kuat. Baru kini Dania menyedari kehadiran mamanya di situ. Berterabur pil-pil di dalam genggamannya ke atas lantai. 

“Ubat apa yang Dania cuba makan ni?!”tanya Puan Syarifah agak kuat. Hatinya sudah mula rasa tidak sedap. Takkan Dania nak bunuh diri pulak? 

“Ubat biasa aje la, mama. Lagipun Dania rasa nak demam, takkan makan ubat pun tak boleh?”bohong Dania kepada mamanya. Wajahnya ditundukkan agar mamanya tidak perasan yang dia sedang berbohong. 

“Jangan nak tipu mama. Cakap betul-betul pada mama, ubat apa ni?”soal Puan Syarifah lagi. Entah mengapa sukar benar untuk dia mempercayai kata-kata anaknya itu. Puan Syarifah yakin Dania berbohong kepadanya. Tengok daripada reaksi Dania sahaja dia sudah tahu yang anaknya itu sedang berbohong. “Jangan-jangan Dania mengandung tak?”teka Puan Syarifah dengan nada yang penuh curiga.

“Mana ada!”Dania menafikan tekaan Puan Syarifah yang sememangnya tepat. 

“Cakap betul-betul! Dania mengandung, kan? Jangan nak tipu mama lagi!”gesa Puan Syarifah. “Dania tak mengandung la.”Dania sudah mula takut-takut. 

“Kalau tak mengandung, habis tu ni ubat apa? Dania nak gugurkan kandungan, kan?”Bulat mata Puan Syarifah memandang anaknya itu. Dania terdiam. Wajah mamanya tidak berani lagi dipandang. 

“Jadi, betul la Dania mengandung?”Puan Syarifah meminta kepastian. Tiada kata yang keluar daripada mulut Dania. Tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk terus membohongi mamanya. 

“Sejak bila Dania mengandung ni? Siapa lelaki tu? Mama dan papa akan minta dia bertanggungjawab pada Dania. Cepat cakap siapa lelaki tu?!”Bertubi-tubi soalan daripada Puan Syarifah. 

“Dania tak cakap pun yang Dania mengandung. Kenapa mama tak percayakan Dania ni?”Dania masih mahu mengelak. Seboleh mungkin dia tidak mahu mamanya tahu perkara sebenar. 

“Agaknya perkara ni Dania dah lama tau tak? Saja, kan Dania tak nak bagitau perkara yang sebenar kepada papa dan mama?!”Puan Syarifah bagaikan sudah hilang sabar. Jika benar Dania memang mengandung, nampaknya perkara ini sudah bertukar menjadi perkara yang besar. 

“Mama ni kenapa? Tak habis-habis nak tuduh Dania yang bukan-bukan?”ujar Dania tidak puas hati apabila rahsianya hampir terbongkar. 

“Kalau tak mengandung, kenapa Dania macam takut-takut bila mama tanya tadi? Mama dapat rasakan yang Dania memang ada sembunyikan sesuatu daripada mama, kan?”Dania tidak menjawab. Semakin dia menidakkan kata-kata mamanya semakin mamanya akan mencurigai dirinya pula. Tapi, kalau dia berdiam diri pula seolah-olah mengiakan apa yang diteka oleh mamanya itu. Dania buntu. 

“Kalau betul Dania mengandung, perkara ni tak boleh dibiarkan macam tu aje! Mama kena bagitau hal yang sebenarnya kepada papa.”Tegas Puan Syarifah kepada anaknya sebelum dia melangkah keluar. 

Dania sudah tidak keruan. Fikirannya semakin berserabut. Beg tangannya dicapai sebaik sahaja mamanya keluar dari bilik. Dikeluarkan beberapa jenis ubat yang terdapat di dalam begnya. Dania nekad. Dia tetap mahu menggugurkan kandungannya ini. Barulah semua masalah ini boleh selesai, fikirnya. Dosa pahala sudah tidak dihiraukannya. Yang dia tahu, kandungannya ini harus gugur saat itu juga. Hasutan syaitan telah berjaya memperdayakan Dania. 

Syaitan bersorak kegembiraan, biar seorang lagi anak Adam mati dalam kekafiran. Tanpa berfikir panjang terus sahaja Dania menelan berjenis-jenis ubat yang berada di tangannya itu. Begitu banyak ubat yang ditelan sehinggakan Dania sendiri pun sudah tidak tahu jumlah ubat yang telah diambilnya. Air mineral yang berada di sisi katil diambil untuk membantunya menelan ke semua ubat tersebut. Sebentar sahaja, akhirnya Dania terasa seluruh dunianya kini telah bertukar menjadi gelap-gelita. Dania sudah tidak sedarkan diri. Tubuhnya terbaring kaku di atas lantai.





PUAN SYARIFAH mengetuk pintu bilik tidur Dania. Naik lenguh tangannya mengetuk pintu bilik Dania yang berkunci rapat. Namun masih tiada sebarang tindak balas daripada anaknya itu. Puan Syarifah memanggil Dania berkalikali tetapi Dania langsung tidak menyahut panggilannya. Selalunya Dania tidak begini. Kali ini bunyi ketukan di pintu semakin kuat. Puan Syarifah sudah tidak sedap hati. Dia bergegas mendapatkan kunci pendua yang disimpannya di dalam bilik tidurnya. Dia bergegas membuka pintu bilik tidur Dania. 

Sebaik sahaja pintu berjaya dibuka, Puan Syarifah hampir pengsan. Terlepas kunci yang berada di tangannya akibat rasa terkejut. Kelihatan Dania sudah terbaring kaku berhampiran katil. Langsung tidak sedarkan diri. Puan Syarifah semakin gerun apabila melihat darah yang mengalir. Paha dan betis anaknya sudah dibasahi dengan darah merah yang pekat. Puan Syarifah sudah menggigil ketakutan. Berhampiran Dania pula bertaburan ubat yang pelbagai jenis. Berlari dia mendapatkan Dania. Terketar-ketar tangannya menyentuh tubuh anak gadisnya yang terbaring kaku. 

“Dania! Dania anak mama... bangun nak!!!!”Puan Syarifah sudah meraung kesedihan. Tubuh Dania dipangku dan pipi Dania ditampar perlahan. Dania langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Wajah dan bibirnya sudah bertukar pucat bagaikan tiada darah langsung yang mengalir dalam tubuhnya. Puan Syarifah perasan tubuh Dania pula sudah mula terasa sejuk. 

“Anak mama... kenapa jadi macam ni? Bangun Dania... bangun!”Puan Syarifah meraung sambil berkali-kali memanggil nama Dania dengan kuat. Air matanya sudah mengalir deras. 

Tubuh Dania dirangkul erat, perasaannya semakin takut dan berdebar-debar. Terasa seperti ada batu besar yang menghempap kepala Puan Syarifah kala ini. Tidak sangka Dania sanggup bertindak sejauh ini. Puan Syarifah memandang sekeliling. Darah merah mengalir di atas lantai. Pil dan pelbagai jenis ubat yang bertaburan di merata-rata tempat mencemaskan hatinya. Kenapa dia begitu cuai sebentar tadi? Sebagai ibu, dia sepatutnya mengawasi Dania. Kalau apa-apa terjadi kepada anaknya ini, dialah orang pertama yang harus dipersalahkan. Puan Syarifah bergegas mendapatkan telefon bimbitnya. Nombor telefon suaminya didail.





SUASANA di sekeliling bilik terasa dingin dan sunyi. Puan Syarifah dan suaminya, Encik Hisyam kini berada di hospital. Tidak sedikit pun suara dari luar mengganggu dan memecah kesunyian yang dirasai oleh mereka. Puan Syarifah menangis teresak-esak menahan rasa sendu. Selang-seli terdengar suara suaminya Encik Hisyam yang memujuk lembut. Encik Hisyam turut menahan sebak, sesekali kelopak matanya turut berair. 

Apa lagi yang boleh disesalkan,semuanya sudah terjadi. Mungkin ini sudah suratan takdir daripada Ilahi. Encik Hisyam pasrah. 

“Semua ni salah saya, bang... salah saya....”Puan Syarifah merintih lagi kepada suaminya. Suaranya tersekatsekat menahan sebak. 

“Sabar la... mungkin ini dugaan Allah untuk kita.”Encik Hisyam mengeluh perlahan. Dia turut sebak. Mahu tidak mahu inilah yang harus mereka tempuhi. 

“Kalau tak kerana saya, tentu Dania tak jadi macam ni. Dia la satu-satunya anak kita tapi kita tak mampu nak jaga dia....”Puan Syarifah teresak di bahu suaminya. Air matanya semakin laju mengalir. 

“Salah abang juga... kita yang tak mampu nak jaga Dania elok-elok.”Encik Hisyam menepuk bahu isterinya perlahan-lahan. 

“Kita berdua terlalu sibuk sampaikan kita lupa tanggungjawab kita kepada Dania.”Sedikit sebanyak Encik Hisyam turut menyesal dengan sikapnya yang terlalu mementingkan kerja sehinggakan Dania terabai. 

Sekarang, kalau mahu menyesal pun sudah tiada gunanya lagi. Anak mereka, Dania sudah menjadi mangsa akibat kesibukan mereka suami isteri. 

“Dia la satu-satunya anak kita, bang... tapi sekarang....”Semakin kuat pula tangisan Puan Syarifah. 

“Memang Dania satu-satunya anak kita... dan kita gagal jadi ibu bapa yang baik untuk dia.”Encik Hisyam berkata lemah. Suaranya turut kedengaran sebak. 

“Apa yang kita dah buat, bang? Apa yang kita dah buat pada anak kita?!”raung Puan Syarifah lagi. 

“Sabar la, ya....”Encik Hisyam terus memujuk isterinya itu.


“Rupa-rupanya dah lama Dania berahsia dengan kita. Kenapa dia tak bagitau kita awal-awal?”Puan Syarifah mengelap air matanya. 

“Kita yang terlalu sibuk sampai abaikan Dania. Sekarang anak kita sendiri pun dah tak percayakan kita. Sebab itu la agaknya Dania dah tak reti nak kongsi masalah dia dengan kita.”Encik Hisyam akhirnya mengeluh perlahan. Masa yang berlalu terus menyaksikan tangisan Puan Syarifah dan Encik Hisyam yang penuh penyesalan.

DIA YANG KUCARI BAB 6

DANIA kini sudah pun berada di London. Pengajiannya di universiti sudah bermula. Walaupun kejadian hitam itu masih belum mampu surut daripada ingatannya, Dania bertekad, dia mahu melupakan segala yang berlaku. Namun sehingga kini, dia langsung tiada sebarang kekuatan untuk berterus terang kepada papa dan mamanya. Dua bulan Dania berada di negara orang. Hatinya masih lagi sunyi dan kosong. Malah, dirinya lebih sunyi berbanding dahulu. Terasa dirinya terpinggir keseorangan di bumi asing ini. 

Papa dan mamanya pula lebih sibuk berbanding dahulu. Tiada langsung masa dan ruang yang diperuntukkan untuk dirinya. Segala kemungkinan buruk yang bermain di fikirannya sebelum ini seolah-olah menjadi kenyataan. Kebelakangan ini dia kerap muntah-muntah apatah lagi pada waktu pagi. Tubuhnya cepat letih dan tidak bermaya walaupun dirinya tidak melakukan sebarang kerja berat. Kepalanya pula sering terasa pening. Bagaimana dia mahu menghadapi situasi ini jika segala sangkaan buruk itu benarbenar berlaku sedangkan tiada sesiapa pun yang berada di sisinya ketika ini? 

Dania mencapai beg sandangnya yang terletak di atas katil. Sebelum pulang ke rumah sebentar tadi, dia sempat ke farmasi yang terletak berhampiran jalan yang menuju ke rumahnya. Pregnancy test yang dibeli di farmasi sebentar tadi dikeluarkan dari dalam beg. Alat itu digenggam sekuat hati. Ada rasa ragu-ragu di hati Dania namun, ini sahaja cara yang ada untuk mengetahui sama ada dirinya mengandung ataupun tidak. Dengan perasaan yang semakin berdebar, Dania melangkah ke dalam bilik air. Dania semakin tidak keruan. Perasaannya sudah tidak tentu arah. Alat yang berada di tangannya hampir terlepas. 

Menggigil tangannya memandang alat ujian kehamilan tersebut. Saat itu juga air mata yang sudah sedia bertakung di kelopak matanya gugur. Ujian kehamilannya adalah positif, bermakna dirinya kini benar-benar mengandung. Dania terasa dunianya serta-merta telah bertukar menjadi gelap. Seluruh tubuhnya kini sudah menggigil ketakutan, risau dan cemas. Serta-merta Dania terduduk. Tubuhnya tersandar lesu di pintu bilik air yang ditutup rapat dari dalam. Kakinya kini sudah tidak mampu lagi menampung tubuhnya untuk terus berdiri. Dania meraung sendirian di situ. Kenapalah nasibnya jadi begini? Saat itu juga terlintas bayangan wajah papa dan mamanya di ruang mata. 

Bagaimana kalau papa dan mamanya tahu yang dirinya sudah mengandung? Dania semakin takut, masa depannya kini bagaikan sudah musnah. Tidak dapat dibayangkan, bagaimanalah dia mahu menghadapi hari-hari yang mendatang? Bagaimana dia mahu menyorokkan kandungan ini? Lambat-laun papa dan mamanya sudah tentu akan perasan. Perubahan fizikal dirinya sudah tentu akan lebih ketara dari sehari ke sehari. Tidak sanggup rasanya ke hulu ke hilir dengan membawa perut yang kian membesar. Sungguh ngeri rasanya mahu membayangkan semua itu. Apa pula kata orang di sekeliling nanti? 

Dirinya masih belum bersuami tapi sudah mengandung pula. Tidak semena-mena terlintas pula bayangan wajah Haiqal di minda. Serta-merta Dania menjadi marah. Alat ujian kehamilan yang berada di tangannya dicampak kuat ke arah dinding. Seolah-olah alat tersebut dicampakkan ke arah Haiqal yang sedang berdiri di hadapannya kini. Barangbarang yang berada di bilik air tersebut turut menjadi mangsa. Habis semua barang tersebut dicampak sekuat hati. 

Berterabur semuanya di atas lantai. Pasti dirinya akan berdendam dengan Haiqal seumur hidup. Dania teresak-esak lagi setelah dia penat mencampakkan semua barang yang ada di situ. Bahunya terenjut-enjut menahan tangis. Sesungguhnya hakikat yang maha pedih ini tidak mampu diterima. Tiada siapa yang memberikan dirinya semangat kala ini melainkan bisikan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan dan menghasut dirinya ke arah kejahatan.




PAGI itu, Dania bangun daripada tidur dengan rasa mual yang teramat. Dia berlari menuju ke bilik air lalu membasuh mukanya yang pucat. Air yang terpasang laju membuak-buak keluar daripada paip sedikit sebanyak menyegarkan dirinya. Tekaknya terasa pahit dan masam. Dania berkumur berkalikali untuk menghilangkan rasa yang tidak selesa.

“Dania kenapa ni? Mama dengar teruk sangat Dania muntah. Tak sihat ke?”Terjengul wajah Puan Syarifah di pintu bilik air. Dia memandang anak tunggalnya itu semacam sahaja. 

Dania berpaling ke arah mamanya, terkejut dengan kemunculan mamanya yang tiba-tiba sahaja. Wajahnya seboleh mungkin diselambakan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Paip air ditutup. Dania melangkah keluar dari bilik air. Tidak dipedulikan mamanya yang masih lagi tercegat memandang ke arahnya. 

“Mama tanya ni, Dania tak sihat ke? Sampai muntah-muntah macam ni?”Puan Syarifah mengulang soalannya apabila Dania langsung tidak mahu menjawab pertanyaannya sebentar tadi. 

“Tak ada apa-apa la, mama,”jawab Dania dengan selamba. Tubuhnya dibaringkan semula di atas katil. Kepalanya terasa agak pening seperti hari-hari sebelumnya. Dania pura-pura tidur. Tidak mahu mamanya bertanya itu dan ini. Kalau mamanya sudah mengesyaki sesuatu, dia juga yang akan susah nanti. Sudah pasti sampai ke lubang cacing mamanya akan mengorek rahsia yang disimpan kemas selama ini. Bukannya dia tidak tahu perangai mamanya ini. 

“Mana boleh tak ada apa-apa. Dua tiga hari ni mama dengar Dania asyik muntah-muntah aje,”ujar Puan Syarifah yang masih tidak puas hati dengan jawapan anak tunggalnya itu. 

Pertama kali Puan Syarifah terdengar Dania muntah-muntah begini adalah secara tidak sengaja apabila dia kebetulan lalu berhampiran bilik Dania. Sekali terdengar tu tidak apalah memandangkan ketika itu dirinya sedang tergesa-gesa mahu bertemu rakan niaganya. Tapi apabila sudah kali kedua terdengar Dania muntah-muntah begitu, Puan Syarifah sudah mula rasa tidak sedap hati. 

Dania ni memang benar tidak sihat atau.... Dania yang pada mulanya berbaring terus bangun menghadap mamanya. Kata-kata mamanya itu tiba-tiba sahaja menaikkan suhu kemarahannya. 

“Kalau dah dua tiga hari mama dengar Dania asyik muntah-muntah, kenapa hari ni mama baru nak tanya? Sibuk sangat ke mama sampai anak mama sendiri pun mama tak boleh nak ambil tau? Selama hari ni mama tak pernah ambil kisah pun, kenapa hari ni mama baru nak tanya?!”kata Dania tidak puas hati. Suaranya sudah mula meninggi. Hilang terus rasa hormatnya selama ini kepada mamanya. 

Puan Syarifah tergamam seketika. Tidak pernah Dania meninggikan suara dan berkata kasar kepadanya seperti ini. Sejak bila pula Dania berperangai seperti ini? 

“Kenapa kurang ajar sangat ni? Mama tanya elokelok tak boleh nak jawab elok-elok ke?!”Suara Puan Syarifah turut meninggi. Sakit hatinya apabila mengenangkan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh selama ini akhirnya meninggikan suara kepadanya. 

“Selama hari ni mama tak pernah nak ambil tau hal Dania pun. Sakit pening Dania, makan pakai Dania, ada mama ambil tau? Kalau pasal syarikat boleh pula mama ambil tau!”Dania melepaskan rasa tidak puas hatinya. Sudah tidak peduli lagi jika mamanya marah. 

“Dania! Jangan nak melampau sangat. Nak jadi anak kurang ajar pulak?!”Tinggi suara Puan Syarifah. Baginya, kata-kata Dania memang sudah melampau kali ini.


“Memang Dania kurang ajar! Dania jadi kurang ajar pun disebabkan siapa? Salah papa dan mama sendiri yang selama ni tak cukup mengajar Dania. Kalau Dania kurang ajar siapa yang sepatutnya ajar Dania supaya jangan jadi anak kurang ajar? Takkanlah tanggungjawab tu semuanya nak diserahkan kepada ustaz atau ustazah dekat sekolah?!”jerit Dania, sengaja mencabar kesabaran Puan Syarifah. 

Saat itu juga tangan Puan Syarifah mengenai pipi Dania. Kuat tamparannya ke wajah Dania sehingga tangannya turut terasa perit. Kata-kata Dania sebentar tadi benar-benar telah membuatkan Puan Syarifah hilang sabar. Dania memegang pipinya yang terasa pijar dan sudah mula bertukar kemerahan. Tidak pernah-pernah lagi mamanya menamparnya seperti ini. Dania hanya tersenyum hiba memandang mamanya. 

Puan Syarifah tergamam dengan perbuatannya sendiri. 

“Kenapa mama tampar Dania? Betul, kan apa yang Dania cakap ni?”Balas Dania. Tidak dipedulikan langsung perasaan mamanya itu. 

“Dania... mama....”Puan Syarifah memandang tapak tangannya. Tidak percaya dengan perbuatannya terhadap Dania sebentar tadi. 

“Dania ni satu-satunya anak mama yang ada dekat dunia ni. Dania tak mintak banyak, mama. Dania cuma nak kasih sayang papa dan mama aje. Takkan itu pun papa dan mama tak boleh bagi pada Dania? Mahal sangat ke harga kasih sayang papa dan mama tu sampaikan anak mama sendiri pun tak boleh nak rasa kasih sayang papa dan mama tu?”Dania bersuara lirih. 

Dania terasa seperti ingin menangis. Bukan kerana rasa sakit di pipinya tetapi sedih mengenangkan nasib dirinya selama ini yang terlalu menagih perhatian daripada papa dan mamanya yang tidak pernah mahu mengerti. Sukar benarkah papa dan mamanya mahu meluangkan sedikit sahaja waktu bersamanya? 

“Tapi, papa dan mama tetap sayangkan Dania walaupun kami sibuk.”Perlahan sahaja suara Puan Syarifah di hujung kata-katanya. Dia akui, dia memang menyayangi anaknya itu, cuma dia dan suaminya memang terlalu sibuk. Sebagai ibu yang melahirkan Dania, mustahil dia langsung tidak menyayangi anaknya itu. 

“Bukan dengan kata-kata aje, mama....”Dania berkata lemah sambil air matanya mula mengalir perlahan. Dia tahu, mama dan papanya memang menyayangi dirinya. Apa sahaja kemahuannya selama ini pasti dituruti. Apa sahaja yang dia mahu pasti akan diperolehinya. Dia memang terlalu dimanjakan dengan harta benda dan wang ringgit. Tapi bukan sekadar harta dunia dan wang ringgit yang Dania perlukan, kasih sayang dan perhatian daripada papa dan mamanya amat Dania harapkan selama ini. 

Puan Syarifah sudah kehilangan kata. Perlahanlahan kakinya melangkah keluar dari bilik Dania. Terlupa terus tujuan asalnya masuk ke bilik Dania sebentar tadi.