Thursday, 2 October 2014

DIA YANG KUCARI BAB 9

LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUALA LUMPUR menyambut kepulangan Puan Syarifah dan Encik Hisyam dengan suasana yang agak lengang. Kebetulan tidak ramai orang yang berada di situ pada ketika ini. Puan Syarifah memandang sekeliling. Sudah ada perubahan di sini, tidak sama lagi seperti dahulu ketika dia meninggalkan Kuala Lumpur. Sudah lebih lima tahun dia dan suaminya berada di perantauan dan selama itu jugalah dia telah meninggalkan bumi Malaysia. 

Puas sudah Puan Syarifah dan Encik Hisyam duduk di negara orang, kini tiba masanya untuk mereka pulang dan kembali semula ke tanah air. Rasa sayu menjentik tangkai hati Puan Syarifah apabila menjejakkan semula kakinya di bumi kelahirannya ini. Terasa terubat rindunya kepada tanah air sendiri. Maklumlah, sudah lama dia menetap di bumi asing. Puan Syarifah terasa air matanya hampir menitis, kepulangannya semula ke sini kali ini dirasakan benar-benar lain. 

Entahlah,dia sendiri tidak mengerti dengan perasaannya saat ini. Suaminya yang masih setia berada di sisinya kelihatan tenang sahaja. Telah banyak pengajaran yang diperoleh oleh Puan Syarifah dan suaminya selama hidup di negara orang. Di sanalah juga Puan Syarifah dan Encik Hisyam lebih mengenali Tuhan. Dahulu, ketika berada di Malaysia, Puan Syarifah tidak pula sedar akan hidupnya yang sering melupakan Maha Penciptanya. Dia dan suaminya kini sudah mendapat pengajaran dan mereka suami isteri sudah berubah kini. Cuba untuk menjadi khalifah yang lebih baik di muka bumi Allah ini selagi masih diberi kesempatan untuk terus hidup. Apa yang terjadi dahulu biarlah terus menjadi pengajaran buat mereka suami isteri. 

Kini, Puan Syarifah dan Encik Hisyam lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah. Mereka tidak lagi sibuk seperti dahulu dan terlalu mementingkan urusan dunia berbanding urusan dengan Tuhan. Syukur, mereka suami isteri masih diberi kesempatan dan peluang untuk berubah sebelum terlambat. Perkenalan mereka dengan Ustazah Azizah, merupakan jiran yang tinggal bersebelahan rumah ketika di London telah banyak membantu mereka kembali mendekatkan diri kepada Tuhan. 

Ustazah Azizah dahulunya merupakan guru yang mengajar agama di sekolah menengah. Dia berhenti mengajar apabila suaminya terpaksa bertugas di London. Sehingga kini Ustazah Azizah dan suaminya masih lagi menetap di Londan kerana suaminya, Encik Tajuddin masih lagi bertugas di pejabat kedutaan Malaysia di sana. Ustazah Azizahlah yang telah banyak membimbing Puan Syarifah kembali semula ke pangkal jalan. Kalau bukan kerana jasa Ustazah Azizah, belum tentu Puan Syarifah mampu berubah seperti hari ini. Apa pun Puan Syarifah tetap memanjatkan rasa syukurnya yang tidak terhingga.




EMIR sedang berbincang dengan Suzzy tentang kertas kerja yang berada di hadapannya. Perbincangan antara dia dan Suzzy sudah pun hampir selesai. Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu biliknya. Serentak itu, terjengul muka Haiqal di muka pintu. Haiqal sedikit terkejut apabila melihat Suzzy berada di dalam bilik Emir ketika itu. Sudahlah sesuka hati sahaja membuka pintu. Mana nak tahu Suzzy berada di dalam bersama Emir. Salahnya juga kerana main serbu macam tu aje. 

“Sorry, Mir... aku tak tau kau ada guest. Tak apa la. Aku keluar dulu, tak nak ganggu korang berbincang,”kata Haiqal, menyedari kesilapan dirinya. 

“Eh Haiqal, masuk la. Kebetulan kita orang dah siap bincang pun.”Emir menahan Haiqal yang ingin melangkah keluar. 

“Suzzy, awak boleh keluar sekarang. Rasanya cukup sampai sini saja untuk hari ini.”Emir memberi arahan kepada Suzzy. 

“Baik Encik Emir, saya keluar dulu.”Suzzy berkata dengan sopan sebelum melangkah keluar. Sempat dia tersenyum kecil kepada Haiqal. 

“Kebetulan aku ada urusan dekat pejabat kau ni, sebab tu la aku datang. Tak tau pulak kau tengah berbincang dengan Suzzy tadi. Sorry la aku dah ganggu korang,”ucap Haiqal. 

“Hal kecil aje la.”Emir tergelak kecil.

Haiqal memandang wajah Emir. Rakannya itu kelihatan gembira sekali. Entah apalah yang seronok sangat sampai senyuman tak lekang di bibir. 

“Kau ni kenapa? Dari tadi tersengih-sengih. Dah macam kerang busuk aje aku tengok.”Haiqal bertanya, hairan. 

Emir tidak menjawab. Sebaliknya gelengan kepala sahaja dihadiahkan sebagai jawapan kepada pertanyaan Haiqal. Bibirnya pula tidak putus-putus mengorak senyuman ceria. 

“Aku tanya tak nak jawab. Dah tu tersengih-sengih sorang-sorang. Kau ni dah tak betul ke?”Haiqal menggelengkan kepalanya. Geram juga dengan sikap Emir yang dari tadi menyengih tak bertempat. Entah apalah yang seronok sangat tu. Tak nak pulak beritahu. 

“Ala... kau ni salah ke kalau aku happy? Kalau aku sedih karang bukan ke kau jugak yang susah hati tengok aku macam tu,”kata Emir sambil tergelak perlahan. 

“Kalau dah gembira sangat cepat la cerita dengan aku. Nak jugak aku tau apa yang buat kau happy sangat tu.”Tertanya-tanya juga Haiqal apa yang membuatkan rakannya yang seorang ini gembira semacam aje. 

“Tak ada apa pun sebenarnya. Well, lambat-laun kau akan tau jugak nanti.”Emir masih ingin berahsia. Senyuman gembira masih jelas terpancar di wajah Emir. Haiqal mengangkat bahunya. Tidak mahu memaksa. Kalau dah begitu kata Emir, apa boleh buat. Lagipun seperti kata Emir, lambat-laun pasti perkara tersebut sampai juga ke telinganya. 

“Kau tu datang sini takkan la nak cakap pasal tu aje. Mesti ada benda lain yang kau nak cakap dekat aku, kan? Cakap cepat apa dia? Tengok muka kau aje aku dah tahu, ni mesti ada sesuatu, kan?”tanya Emir. 

“Aku saja datang sini nak jumpa kau. Kau tu pulak asyik tersengih aje, bukannya nak kongsi dengan aku pun,”jawab Haiqal dengan nada merajuk. 

“Takkan merajuk kut?”Emir sekadar mengusik. “Aku ni bukannya perempuan la nak merajuk tak tentu pasal.”Haiqal menafikan kata-kata Emir. Sambil itu Haiqal sempat lagi melihat Emir yang sedang tersengih suka tanpa sebab. 

Emir tersenyum-senyum, mempamerkan wajah tidak bersalahnya. Kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan. 

“Dah lama peristiwa tu berlaku. Dah makan masa bertahun. Kau macam mana sekarang?”Haiqal sekadar tersenyum nipis. Memang sudah beberapa tahun peristiwa itu berlalu namun, sehingga kini dirinya masih tidak mampu melupakan Dania. 

“Okey la Emir, aku ada hal lain lagi ni. Aku balik dulu la.”Ujar Haiqal lalu bangun melangkah keluar daripada bilik Emir. Emir hanya mengangguk dan pemergian Haiqal dengan ekor matanya. menghantar





HAIQAL melangkah menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari ofis Emir. Sambil Haiqal berjalan matanya tertumpu kepada seorang gadis yang leka memandang telefon bimbitnya yang berada di tangan. Tanpa gadis itu sedari, hampir sahaja tubuh tegap Haiqal dilanggarnya. Hampir terlepas telefon bimbit yang berada di tangan gadis itu akibat terkejut.



“Errr... sorry....”Gadis itu berkata perlahan. 

Haiqal sekadar tersenyum. Semakin lebar senyumannya melihat gadis yang tidak diketahui nama itu sedikit menggelabah. 

“Tak apa... hal kecil aje.”Balas Haiqal bersahaja. Sayangnya, Haiqal tidak sempat langsung melihat wajah gadis itu dengan jelas. Gadis itu tergesa-gesa meninggalkan dia di situ tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya semula.

No comments:

Post a Comment