Wednesday 24 July 2013

DIA YANG KUCARI BAB 3

BAB 3

      Senyuman manis terukir di wajah Dani. Suasana kelab yang sesak dengan kehadiran pengunjung yang sedang ghairah menari tidak sedikit pun menghalangnya untuk Tidak sangka malam ini dia akan bertemu kembali dengan Tasya dan Dania. Haiqal pula tetap kelihatan apabila melihat kelibat Dania dan Tasya. Masih jelas lagi diingatan Haiqal dengan sikap jual mahal Dania tempoh hari. Tidak menunggu lama terus saja Dani menegur Tasya yang sudah pun berada di hadapannya. Reaksi Tasya yang kelihatan gembira dengan kehadiran mereka melebarkan lagi senyuman Dani.
    Dalam pada itu sempat juga Haiqal memandang kearah Dania. Dikerlingnya Dania yang berada disebelah Tasya dari atas hingga ke bawah untuk melihat penampilan gadis tersebut. Dania pula buat-buat tidak nampak. Reaksinya masih seperti dahulu ketika kali pertama mereka bertemu. Selamba sahaja, sama seperti orang yang tiada perasaan. Jual mahal betul perempuan ni. Detik hati Haiqal. Atau sememangnya Dania sedang menunggu kehadiran lelaki yang bernama Zack tempoh hari.
     “Selalu ke datang sini? Sebelum ni tak ada pulak kita terserempak macam ni.” Dani bertanya memulakan perbualan. 
     “Boleh la... tak la selalu sangat,”jawab Tasya bersahaja. “Kalau macam tu apa kata kita duduk sekali. Boleh borak-borak,” pelawa Haiqal. Dia sebenarnya cuba mencari ruang agar Dania turut bercakap. Tapi malangnya Dania masih mendiamkan diri. 
    “Okey, tak ada masalah!” Terus persetujuan diberikan oleh Tasya. 
   Dani duduk di sebelah Tasya manakala Haiqal duduk berhampiran dengan Dania. Dani dan Tasya leka berbual bersama. Tidak mempedulikan Haiqal dan Dania. 
   “Tak nak order air lagi ke? Atau awak nak saya yang tolong orderkan?”Haiqal bersuara agak nakal sambil tersenyum, cuba untuk menarik perhatian Dania. Dania masih lagi mendiamkan diri. Masih belum ada tanda-tanda yang dia akan bercakap. Cuma pandangannya sudah mula terarah kepada Haiqal. Satu permulaan yang baik bagi Haiqal. Haiqal tersenyum. 
    “Coke, maybe?” soal Haiqal lagi. 
    “Okey,”jawab Dania sepatah. 
  Namun, itu sudah cukup untuk membuatkan Haiqal tersenyum lebar. Akhirnya bercakap jugak minah ni. Ditelitinya Dania satu per satu. Memang cantik orangnya. Rambutnya yang lurus panjang keperangan itu dipotong layer. Matanya yang bulat kelihatan galak bersinar, kulitnya pula putih gebu. Mempunyai ketinggian yang sederhana tetapi kelihatan cukup menawan dengan tubuh langsingnya. Kebetulan pula Dania memang seorang yang pandai bergaya. Keseluruhannya gadis di hadapannya ini memang cantik menawan jika dilihat daripada gaya dan penampilannya dan boleh juga dikategorikan sebagai seksi. Teringat kembali kejadian yang berlaku tempoh hari. 
 Haiqal seolah-olah dapat melihat semula wajah Zack yang mentertawakannya. Ego lelakinya kembali tercabar. Kalau diikutkannya, dia memang tiada sebarang masalah dengan Zack. Tetapi, apabila dia teringatkan senyuman sinis Zack kepadanya tempoh hari, dapat dirasakan seolah-olah Zack mengejeknya. Ternyata Haiqal juga tidak mahu kalah dalam pertaruhan egonya. Mungkin inilah masanya untuk dia merapati Dania. Haiqal tersenyum sinis. Silap hari bulan Dania akan menjadi miliknya dan Zack akan berputih mata. Dania di sebelahnya dipandang lagi. 
  “Kawan awak yang hari tu tak datang ke? Apa nama dia...?” Haiqal meleretkan suaranya, buat-buat lupa. Padahal dia masih ingat lagi nama anak muda tersebut. Sengaja Haiqal mahu menarik perhatian Dania untuk bercakap.     Dania buat muka bosan. Banyak tanya pulak Haiqal ni. Apesal la mamat ni sibuk sangat? 
   “Takkan la selama kita duduk sini awak nak diam aje? Lagipun, takkanlah awak tak nak berkenalan dengan saya yang handsome ni?” soal Haiqal nakal. Sengaja mahu mengusik Dania. Mahu dilihat sejauh mana ego gadis yang bernama Dania ini. 
   Dania tersenyum sinis. Meluat pula dia mendengar kata-kata Haiqal yang dianggap perasan ni. Boleh tahan poyo jugak mamat ni.
   “Awak ni tak boleh duduk diam-diam ke? Atau awak ada masalah kalau saya tak bercakap?” Selamba ayat yang dituturkan oleh Dania. Rimas juga dia dengan Haiqal yang duduk rapat di sebelahnya ini. Sudahlah mata lelaki itu asyik memandang dan merenung dirinya. Korek biji mata baru tahu. Macamlah tak ada benda lain yang nak dipandang. 
  “Boleh pun bercakap. Ingatkan bisu tadi,” balas Haiqal sambil ketawa mengusik. 
   “Tengah tunggu kekasih hati ke? Zack mungkin?” Sengaja Haiqal bertanya. Mahu dilihat bagaimana pula reaksi Dania apabila nama Zack disebut. 
   “Jangan sebut nama lelaki tu boleh tak?” Dania bersuara agak kasar sambil menjeling ke arah Haiqal. Panas hati apabila nama Zack mula disebut. 
   “Bunyi macam ada masalah aje. Takkan la awal-awal lagi dah ada masalah dengan boyfriend, kut?” Haiqal bersuara agak sinis. Namun, senyumannya pula semakin lebar. 
   Nampaknya makin senanglah kerjanya kali ini. Peluang untuk merapatkan diri dengan Dania sudah semakin terbuka luas. Dania ingin membalas namun, terhenti apabila suara Tasya mendahului kata-katanya. 
   “Dania, aku dengan Dani nak pergi menari ni. Kau nak ikut tak?” soal Tasya tiba-tiba. 
  “Kau menari aje la dengan Dani tu. Aku malas la nak menari malam ni.” Meluat betul Dania melihat Dani yang tersengih-sengih ke arahnya macam kerang busuk. Dah tak ada kerja lain ke? 
   “Sure?”soal Tasya lagi meminta kepastian. Dania mengangguk. 
  “Betul, aku nak duduk aje kat sini. Aku memang tak ada mood nak menari. Dah penat nanti pandai-pandai la kau datang sini semula.” 
  Leka Haiqal memerhatikan Dania. Sekilas dia terpandangkan tanda hitam di pergelangan tangan Dania. Saiznya tidaklah begitu besar tetapi cukup jelas pada pandangan matanya. Sekali pandang sudah boleh ingat. Haiqal terus memerhati tanpa menyedari Dania perasan akan perbuatannya itu. 
  “Kenapa?”tanya Dania sambil memandang wajah Haiqal. Kurang selesa dengan cara Haiqal memandangnya. Haiqal hanya menggeleng perlahan. Sekadar tersenyum memandang Dania yang sedang merenung ke arahnya dengan wajah yang sengaja diselambakan. Dania memandang pergelangan tangannya. Kemudian pandangannya dihalakan ke arah Haiqal sekali lagi yang sedang merenungnya. Tentu tanda lahir yang berada di pergelangan tangannya ini menarik perhatian Haiqal. 
   “Tahi lalat ni sebenarnya tanda lahir. Mama cakap kalau hilang senang nak cari....”
  “Betul la tu. Kalau awak hilang suatu hari nanti, senang la saya nak cari awak. Tengok sekali aje dah boleh ingat.” Haiqal tersengih kecil. 
  Kata-kata Haiqal disambut dengan suara tawa Dania. Terpaku seketika Haiqal melihat Dania dalam keadaan sebegitu. Barisan gigi Dania yang putih bersih serta tersusun rapi menambahkan lagi seri di wajahnya. Bibir halusnya menguntum senyuman ceria. Pertama kali dia melihat Dania ketawa seumpama itu. Haiqal terasa hatinya bagaikan dijentik satu perasaan indah. 
    “Hmmm... tanda lahir pun comel macam tuannya,”komen Haiqal bersahaja.
   “Tak sangka ek, playboy macam awak pun pandai buat lawak jugak.”Dania terus ketawa dengan kata-katanya.
  Haiqal turut ketawa mendengar ungkapan playboy yang ditujukan kepadanya. Pada mulanya sahaja Dania kelihatan seperti susah untuk didekati. Atau mungkinkah jeratnya sudah mulai mengena? Haiqal tersenyum sinis. 
    “Opsss... silap tu. Saya bukan playboy.”Haiqal menafikan sambil tersengih.
  “Mana ada playboy yang mengaku diri dia playboy,”balas Dania sambil tersenyum sinis. 
   “Hmmm... kalau pergi uji bakat filem untuk watak playboy agaknya tentu dah lama David Teo ambil awak berlakon,” sambung Dania lagi. 
    Dalam pada itu Haiqal ketawa sinis dalam hatinya. Playboy atau tidak, itu tidak penting. Apa yang penting Dania akan ditundukkan malam ini. Haiqal memandang pula dirinya dari atas hingga ke bawah. Ada gaya playboy ke aku ni? Muka aku ni ala-ala muka playboy ke? Haiqal bertanya kepada dirinya sendiri. Sebelum ni, tak ada pula orang kata dirinya playboy. Lagipun dia memang bukan playboy. Cuma mungkin dia boleh dikategorikan sebagai agak nakal. 
    Selama ini pun bukan dia yang datang kepada mana-mana perempuan. Nak buat macam mana kalau diorang datang menyerah diri kepadanya? Kalau nak dibandingkan dengan Dani, rasanya lelaki itu lebih layak digelar sebagai playboy. “Kenapa? Awak takut ke kawan dengan playboy macam saya ni?”duga Haiqal sambil mengangkat keningnya. Dania hanya ketawa sambil meneguk minumannya. Malas mahu mengulas apa-apa.
    “Kenapa tak ajak boyfriend datang sini? Kawan yang nama Zack hari tu tak datang ke?” Haiqal bertanya ingin tahu. 
   “Buat apa ajak dia? Lagi menyakitkan hati ada la.” Dania merengus marah. Sakit hatinya apabila lelaki itu menyebut nama Zack sekali lagi. Buat rosak mood aje. Dia sudah malas mahu ambil tahu tentang Zack. Kalau boleh, nama Zack pun dia tidak mahu dengar lagi. Haiqal tersenyum meleret. Di sebalik senyumannya tersembunyi seribu satu makna. Yang pasti makna itu tidak diketahui oleh Dania. Nampaknya kali ini Zack benar-benar tidak lagi menjadi penghalang. 
   “Jangan la marah. Takkan la sebab Zack kita nak rosakkan mood malam ni.” Haiqal bersuara seperti ingin menggoda. Dirapatkan lagi kedudukannya dengan Dania. Dengan selamba tangan sasa Haiqal merangkul erat bahu Dania sambil membelai-belai rambut Dania. Semakin lebar senyumannya apabila Dania langsung tidak membantah perbuatannya itu. Akhirnya, kau mengalah juga kepada aku. Haiqal ketawa dalam hatinya. Dulu kau tidak layan pun aku, pandang aku pun kau tak mahu. Sekarang kau dah pun berada dalam pelukan aku. Bukannya susah sangat pun nak tundukkan gadis secantik kau ni. 
   “Awak pun sama. Kenapa tak ajak girlfriend, maybe?”soal Dania sambil tersenyum sinis memandang Haiqal. Sengaja mahu mengenakan lelaki itu pula. Tapi Dania sendiri hairan, kenapa dia dengan begitu mudah melayan Haiqal? Sedangkan sebelum ini begitu sukar untuk dia berkawan atau melayan sembarangan lelaki. Mungkin kerana dia begitu kecewa dengan sikap Zack membuatkan dirinya dengan mudah menerima Haiqal pula.                        “Kalau nak tahu, saya ni single lagi.”Haiqal berkata perlahan. Tangannya bermain-main dengan hujung rambut Dania. Dania masih tersenyum sinis. Lelaki! Mudahnya mengaku single, tetapi kekasih keliling pinggang. 
   “Malam ni nak buat apa? Takkan sepanjang malam nak lepak dekat sini aje? Tak ada apa-apa rancangan ke selepas ni?” Haiqal sudah mula menjerat. Suaranya begitu hampir di telinga Dania. 
   “Nak buat apa lagi? Balik rumah terus tidur la.” Dania tersenyum kecil. Entah mengapa dengan senang sahaja dia merelakan Haiqal menyentuhnya.       “Takkan terus nak balik rumah? Rugi la. Dekat rumah bukannya boleh buat apa-apa pun. Selain dari balik rumah ada banyak lagi perkara lain yang kita boleh buat.” Haiqal melunakkan suaranya. Bahu Dania dielus mesra. 
    “Habis tu awak nak suruh saya buat apa?” Mata Dania tepat memandang ke arah Haiqal. 
   “Apa kata kalau kita pergi ke suatu tempat?” Haiqal tersenyum menggoda.      “Ke mana?”Soal Dania ingin tahu. Dia sedikit kehairanan. 
  “Rahsia... tapi kalau nak tahu, kena la ikut.”Haiqal tersenyum meleret. Jeratnya sudah mengena.



PAGI itu, Dania terjaga dalam keadaan yang amat keliru. Diperhatikan ruang kamar yang begitu asing pada pandangan matanya. Yang pasti, ini bukan bilik tidurnya. Dania memegang kepalanya yang terasa pening. Bagaimana dia boleh ada disitu? Ketika ini fikirannya dirasakan kosong. Dia langsung tidak ingat apa-apa. Apa yang telah berlaku sebenarnya? 
    Dania cemas apabila menyedari keadaannya sekarang. Kain selimut ditarik menutupi tubuhnya yang terdedah. Selimut tebal yang membaluti tubuhnya dicengkam erat. Dania hampir menjerit apabila dia baru menyedari yang Haiqal sedang tidur lena di sebelahnya. Lebih menakutkan apabila melihat dirinya dan Haiqal sekadar dibaluti dengan selimut. Saat itu juga Dania mencampak bantal ke arah Haiqal yang masih lena. Dia menjerit-jerit bagaikan orang terkena histeria. 
   “Lelaki tak guna!”tempik Dania kuat. Haiqal tersedar daripada tidurnya. Dia menggosok matanya beberapa kali. Masih lagi separuh mamai. 
  “Kau ni memang lelaki tak guna yang pernah aku jumpa! Dari mula aku jumpa kau hari tu, aku dah tau yang kau ni memang lelaki tak guna. Kau ni manusia yang bertopengkan syaitan!” Dania menjerit kuat. Suaranya bergema ke seluruh ruang bilik. Sekali lagi Dania mencampakkan bantal ke arah Haiqal.    “Apa ni pagi-pagi lagi dah bising?!” marah Haiqal apabila tidurnya diganggu. Mendengarkan kata-kata Haiqal itu, Dania bertambah marah. Perasaan bencinya pula semakin meluapluap. 
   “Apa yang kau dah buat kepada aku, hah?! Apa yang kau dah buat?!” tempik Dania lagi. Sudah hilang sabar sepenuhnya. 
  “Aku buat apa?”Haiqal bertanya dengan angkuh. Dania bagaikan tidak percaya mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Haiqal. Kalau diikutkan hatinya mahu dirobek-robekkan sahaja wajah tampan Haiqal dengan tangannya. 
    “Kau ni memang lelaki tak guna!!!” jerit Dania sekali lagi. 
  “Kenapa nak marah-marah pulak ni? Bukan ke semalam kau yang rela? Bukannya aku yang paksa kau pun. Takkan dah tak ingat?” soal Haiqal dengan sinis. Riak wajahnya terlalu selamba seperti tiada apa yang berlaku. 
    Dania terdiam. Benarkah begitu? 
   “Bukannya aku yang paksa kau datang sini. Kau jugak yang rela ikut aku datang sini. Takkan la sekarang nak salahkan aku pulak? Semalam aku tengok kau seronok aje, ni kau nak marah-marah pulak?” ujar Haiqal yang mula berang. Langsung tidak menunjukkan rasa bersalah. 
   Sedikit demi sedikit memori semalam kembali ke dalam ingatan Dania. Benar, malam semalam dia juga yang mengikut Haiqal dan dengan rela hati membiarkan Haiqal melakukan apa sahaja terhadap dirinya. Memang silap dirinya yang mudah sahaja hanyut dengan mainan perasaan. Kenapalah dia menjadi begitu bodoh bagaikan lembu dicucuk hidung? Menurut sahaja setiap kata-kata Haiqal. Begitu mudah dia terpedaya dan begitu mudah juga dirinya digoda oleh Haiqal dengan kata-kata manis lelaki itu sehingga dia sendiri yang terjerat. 
     Akhirnya, sekelip mata sahaja dirinya tewas di tangan Haiqal. Serta-merta Dania menjadi takut. Tubuhnya menggeletar dan seram sejuk. Dunia yang tadinya terangbenderang serta-merta menjadi gelap-gelita. 
    “Kau ni memang tak guna! Lelaki yang paling tak guna pernah aku jumpa!” Serentak itu Dania memukul Haiqal kuat. Berkali-kali pukulannya mengenai tubuh Haiqal akibat rasa takut yang yang semakin merantai jiwanya. 
     Haiqal naik berang. Kenapa pagi ini Dania mahu menyalahkan dirinya pula? Haiqal mencengkam kuat pergelangan tangan Dania. Tangan Dania ditarik kuat sekali gus menghentikan perbuatan gadis itu yang sedang memukul-mukul tubuhnya. 
   “Kau...!”tempik Haiqal kuat. Namun, Haiqal tidak jadi meneruskan kata-katanya. Tiba-tiba sahaja lidahnya menjadi kelu. Suaranya yang ingin keluar tersekat di kerongkong. Rasa marahnya serta-merta hilang. Saat itu juga Haiqal dapat melihat air mata Dania yang mengalir menuruni wajahnya. Hati lelakinya tersentuh. Tumpah rasa bersalah terhadap gadis itu. Serta-merta rasa kasihan terbit di hati Haiqal apabila melihat air mata Dania yang mengalir perlahan. Rasa teramat berdosa memperlakukan Dania sebegitu. Sudahlah Dania masih terlalu muda, masih terlalu mentah. Tidak patut perkara seperti semalam berlaku kepada Dania. 
    Rasa bersalah yang tiada langsung pada mulanya semakin menggigit tangkai hati Haiqal. Sekelip mata sahaja perasaannya bertukar kasihan apabila melihat Dania dalam keadaan begini. Haiqal terdiam. Cuba disentuhnya wajah Dania namun, segera tangannya ditepis kasar. 
     “Jangan kau sentuh aku lagi! Aku benci kau! Benci! Kau dah rosakkan hidup aku. Sampai bila-bila aku bencikan kau!” marah Dania walaupun dia tahu salah itu terletak juga di bahunya sendiri. Air matanya pula semakin laju merembes keluar. Dania semakin gementar apabila dia kembali teringat dengan jelas setiap peristiwa yang berlaku semalam. Itu yang membuatkan dirinya menghamburkan perasaan marahnya kepada Haiqal. Rasa takut dengan impak peristiwa semalam menjadikan Dania semakin tidak keruan. Kini, seratus peratus setiap kesalahan mereka diletakkan di bahu Haiqal sepenuhnya.    
    “Dania... aku tak....”Haiqal masih belum mampu berkata-kata. Suaranya masih tidak mahu keluar. Dia ingin meminta maaf. Rasa bersalah terus menyelubungi Haiqal membuatkan lidahnya menjadi kelu. 
     “Aku dah tak nak dengar apa yang kau nak cakap. Sampai bila-bila pun aku takkan maafkan kau! Ingat tu.” Ujar Dania dengan tegas. Terus dia bangun dan meninggalkan katil. Pakaiannya yang bertaburan di atas lantai dikutip. Kakinya melangkah ke bilik air untuk menyarung kembali tubuhnya dengan pakaian. 
     Haiqal menunduk lemah, dipandang sekeliling bilik itu. Kepalanya diangkat apabila terdengar pintu bilik air dibuka. Tanpa sempat Haiqal bersuara, Dania terlebih dahulu meninggalkan dirinya keseorangan di situ.


     


                
                                                 

DIA YANG KUCARI BAB 2


BAB 2

DALAM keadaan yang masih separuh mamai, Dania terdengar ketukan di pintu biliknya. Bingit telinganya mendengar suara mama yang memanggil namanya berulang kali. Matanya dihalakan ke arah pintu. Sudah menjadi kebiasaan mamanya akan terus masuk sahaja ke dalam bilik, tidak pula mamanya mengetuk pintu berkali-kali begini. Mungkin pintu biliknya dikunci secara tidak sengaja ketika dia pulang semalam.
      Dania bangun untuk membuka pintu walaupun matanya terasa amat berat untuk dibuka. Sakit telinga Dania mendengar suara mamanya yang semakin kuat diselangselikan dengan bunyi ketukan di pintu bilik.
      “Kenapa kunci pintu? Tak pernah-pernah pun sebelum ni kunci pintu. Kenapa kali ni kunci pintu pulak? Ada apa-apa yang nak disorok daripada mama ke?” Belum apa-apa lagi telinga Dania sudah diserbu dengan pelbagai soalan daripada mamanya. Tangannya menggaru kepala yang tidak gatal. Saki-baki mengantuk masih belum hilang sepenuhnya walaupun diterjah dengan suara mamanya. Kacau daun betullah. Tak bolehkah kalau mamanya biarkan sahaja dia tidur dengan aman?
      “Mana ada sorok apa-apa. Semalam Dania tak sengaja terkunci pintu agaknya.”Dania menjawab malas. “Mama nak apa? Dania ngantuklah....”
      “Mana tak ngantuknya. Semalam balik pukul berapa? Sejak akhir-akhir ni selalu sangat balik lambat,” bebel Puan Syarifah.
      Dania menuju semula ke katil untuk menyambung tidurnya yang terganggu sebentar tadi. Matanya yang separuh terbuka melihat mamanya yang sedang mengelilingi bilik. Lagaknya seperti orang hendak memeriksa sahaja. Entah apa agaknya yang sedang dicari oleh mamanya. Takkanlah mamanya tiba-tiba curiga dengan dirinya pulak? Ah, biarlah mamanya nak buat apa pun. Dia bukannya ada buat sebarang kesalahan.
      “Selalunya mama tak kisah pun kalau Dania balik lambat. Kenapa tiba-tiba mama tanya ni?” Dania merengus sedikit. Suaranya kedengaran agak serak kerana baru sahaja bangun tidur. 
      Hairan juga Dania, sejak bila mamanya kisah pukul berapa dia balik? Selama ini mamanya memang tidak pernah bertanya pukul berapa dirinya pulang, dengan siapa dirinya keluar dan berkawan serta ke mana dia pergi. Mamanya memang tidak pernah kisah. Kenapa hari ini baru nak tanya? Mamanya lebih mementingkan kawan-kawan, persatuan dan entah apa-apa lagi. 
      Kalau ikutkan orang lain pun sibuk juga. Bukan mamanya seorang sahaja yang bekerja. Tetapi entah di mana silapnya mamanya memang tiada masa untuk dirinya. Apatah lagi untuk bertanya masalahnya atau berbual mesra seperti ibu orang lain.
      Papa pula dua kali lima sahaja dengan mama. Sentiasa sibuk. Kalau tidak ada urusan di pejabat, papa akan ke luar negara. Ada sahaja urusannya seolah-olah semuanya bagaikan tidak pernah selesai. Hari ni jumpa Tan Sri, esok pula jumpa Datuk Sri. Ada sahaja orang kenamaan yang ingin ditemuinya. Tetapi bertemu dan meluangkan masa dengan anak sendiri tiada pula masanya. Dalam masa seminggu, sehari nak jumpa papanya pun susah. “Kenapa mama cari Dania pagi-pagi ni? Selalunya kalau nak tengok muka mama pagi-pagi macam ni pun payah,”ujar Dania dengan mata yang separuh tertutup.
      “Saja mama nak tengok anak mama ni. Takkan nak tengok anak sendiri pun tak boleh? Lagipun mama pelik 
kenapa Dania kunci pintu bilik. Ingatkan Dania tak ada dalam bilik. Tak pun memang Dania ada sorok sesuatu daripada mama tak?” soal Puan Syarifah lagi bernada curiga.
      “Hesy... mama ni, mana ada Dania sorokkan apa-apa daripada mama. Mama ni kacau Dania nak tidur la...” rungut Dania.
      “Ya la... mama nak keluar la ni. Ada mesyuarat kejap lagi. Jangan bangun lambat sangat. Ni pun matahari dah tegak atas kepala.” Puan Syarifah masih lagi membebel. Dania kembali memejamkan matanya, rapat. Baru sahaja dia ingin beralih menghala ke dinding, Dania terdengar semula suara mamanya.
      “Tak lama lagi dah nak berangkat. Barang dah siap kemas?” Dania tidak terus menjawab. Sebaliknya Dania hanya mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan mamanya. Matanya kembali dipejam rapat. Dah agak dah, mamanya memang tak pernah kisah pun tentang dirinya.
      Agaknya, masuk biliknya pun sekadar nak tanya sama ada sudah selesai mengemas barang atau belum. Kalau tak, jangan harap nak tengok mamanya pagi-pagi begini. Sering saja papa dan mamanya tiada di rumah.
       Entah berapa banyak lagilah duit dan kemewahan yang ingin dicari oleh papa dan mama. Yang ada ni pun sudah lebih daripada cukup. Dari dulu sampai sekarang Dania sentiasa dibiarkan keseorangan. Lantaran itulah Dania sering menghabiskan masa bersama Tasya dan rakan-rakannya yang lain. Tempat yang mereka kunjungi sudah semestinya pusat-pusat hiburan. Maklumlah, bukankah banyak tempat-tempat sebegini di kota metropolitan yang gah seperti Kuala Lumpur? Dengan cara sebegini saja Dania merasakan kekosongan hatinya dapat diisi. Lagipun bukan mama dan papanya ambil tahu.
      “Kamu tu kalau nak keluar jangan balik lambat sangat,”pesan Puan Syarifah lagi. 
      “Okey....” Balas Dania pendek. Pelik dengan perangai mamanya. Sejak bila pula mamanya suka membebel ni? 
      “Okey la, mama pergi dulu.”
      “Hmmm....” Itu sahaja jawapan Dania apabila sayup-sayup kedengaran suara mamanya yang sedang melangkah keluar dari bilik tidurnya. Terus disambung lenanya yang kembali datang menjemput.
     

HAMPIR pukul dua belas tengah hari barulah Dania terjaga daripada tidurnya. Kepalanya dirasakan berat dan pening. Tidur selepas subuh dan terbawa-bawa sehingga ke tengah hari pastilah kesannya pening dan sakit kepala. Terasa malas nak bangun, tetapi tidak munasabah pula kalau Dania terus menyambung tidurnya semula.
      Selesai membersihkan diri, Dania turun ke bawah. Perutnya yang terasa lapar perlu diisi. Sampai sahaja di dapur, kelihatan Mak Ton sedang menyediakan lauk untuk makan tengah hari. Segera dilemparkan senyuman manis untuk insan yang banyak berjasa di rumah besar ini.
      “Dania lapar? Kuih dengan makaroni goreng pagi tadi ada lagi. Kalau Dania nak, Mak Ton boleh tolong panaskan semula.” 
      Dania terdiam sejenak, matanya dilarikan seketika memandang ruang kabinet dapur.
      “Tak apa la, Mak Ton. Dania breakfast dengan roti aje,” jawab Dania bersahaja.
      Mak Ton hanya tersenyum. Dah tengah hari baru nak sarapan. Dia sebenarnya kasihan dengan anak majikannya ini. Ibu bapa Dania sentiasa tiada di rumah. Kedua-duanya sama sibuk untuk mencari harta dunia sampaikan tiada masa langsung untuk anak sendiri. Mak Ton tahu Dania sering pulang lewat. 
      Kawan-kawan Dania pula kalau diikutkan pada pandangan matanya tidaklah dia begitu berkenan melihatnya. Namun, apa yang lebih menyedihkannya ialah sikap ibu bapa Dania yang sedikit pun tidak menghalang atau menegur anak mereka ini. Macam manalah nak tegur kalau sentiasa sibuk bekerja sahaja. Duduk dekat rumah sendiri pun payah nak lekat. Alih-alih orang gaji yang duduk. Rugi je buat rumah besar tapi diri sendiri pun tak ada masa nak duduk. Sekadar menjadi santapan mata orang yang melihat dan tujuan utamanya sudah tentulah untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk harta dunia yang dimiliki.
       Kadang kala Mak Ton perasan yang Dania seringkali rasa tertekan dan sunyi kerana sentiasa sendirian di rumah. Tiada papa dan mamanya sebagai tempat untuk dia bermanja. 
       Lantaran itulah Dania sering menghabiskan masanya dengan kawan-kawan dan aktiviti yang tidak berfaedah di luar. Jatuh simpati Mak Ton pada anak majikannya itu. Namun siapalah dirinya untuk bersuara atau menegur. Dia hanyalah orang gaji yang mencari rezeki di rumah besar ini. Tidak layak untuk berkata apa-apa. Harapan dan doanyanya hanya satu, agar Dania tidak terus tersalah jalan.
       “Ada apa-apa yang Dania nak makan tengah hari ni? Mak Ton boleh masakkan kalau Dania nak.” Lembut suara Mak Ton bertanya.
       Dania hanya menggeleng. Alangkah indahnya jika mamanya yang bertanyakan soalan itu kepadanya. Tentu Dania akan merasakan yang dirinya lebih disayangi. Malangnya tidak pernah sekalipun mamanya bertanya soalan seumpama itu. Sekarang pun tidak pernah, akan datang pun belum tentu lagi.
       “Tak payah masak banyak sangatlah Mak Ton. Dania ingat nak keluar kejap lagi. Mama dengan papa pun rasanya tak balik makan tengah hari.” Roti di tangannya segera di habiskan. Air milo yang masih berbaki diteguk perlahan.
       Mak Ton hanya mengangguk lemah. Semalam lambat balik. Tengah hari ni nak keluar lagi. Terasa ingin ditegur anak majikannya ini tetapi takut dikatakan menyibuk pula.
       Dania sudah selesai sarapan. Mug yang digunakan sebentar tadi diletakkan di sinki.
       “Dania naik dululah mak Ton.” Segera Dania mendaki anak tangga meninggalkan Mak Ton keseorangan di ruang dapur tersebut.
       Sampai sahaja di bilik tidur, Dania terus mencapai telefon bimbitnya. Segera nombor telefon Tasya didail. Ingin diajak temannya itu keluar berjalan-jalan. Tak pun pergi shopping atau tengok wayang ke. Duduk di rumah pun bukannya boleh buat apa. Lainlah kalau papa dan mamanya ada bersama. Tetapi itu tidak munkin terjadi.
       Sebaik saja panggilan disambungkan terdengar suara Tasya menjawab panggilan di hujung talian.
       “Ha... kau Dania, call aku ni mesti nak ajak keluar. Betul tak?” kata Tasya di hujung talian.
       Dania tergelak sebaik sahaja mendengar suara Tasya di corong telefon bimbitnya.
       “Tahu pun. Apa lagi, cepatlah bersiap,” gesa Dania.
       Setelah panggilan di matikan Dania terus bersiap-siap untuk berpakaian.
Dania melarikan kereta Mini Cooper miliknya. Sebentar lagi dia akan mengambil Tasya di rumahnya seperti yang dijanjikan.

Tuesday 23 July 2013

DIA YANG KUCARI BAB 1



Bab 1


ALUNAN muzik yang terpasang kuat membingitkan telinga. Selang-seli terdengar suara DJ berceloteh menghangatkan lagi suasana. Kerlipan lampu disko memancar mengikut rentak muzik yang rancak melekakan manusia yang sedang ghairah menari. Ditambah pula dengan bisikan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan anak keturunan Adam. Berpelukan dan bersentuhan antara lelaki dan perempuan menjadi satu kebiasaan.
           
            Dania menari sepuasnya, tidak sedikit pun mempedulikan orang di sekelilingnya. Seboleh mungkin mahu dihilangkan segala tekanan yang dirasainya. Tanpa disedari, ada mata yang begitu asyik memandang dirinya yang sedang leka menari. Tasya juga leka seperti rakannya, Dania. Tidak sedikit pun terbit rasa segan apabila ada mata yang rakus memerhati tubuhnya yang hanya dibaluti baju dan skirt yang sendat. Malah, timbul rasa bangga apabila dirinya menjadi perhatian.

            Tasya meleretkan senyuman menggodanya apabila sesekali matanya bertembung pandang dengan seorang lelaki muda yang dari tadi tersenyum ke arahnya. Dalam hati, Tasya ketawa penuh keangkuhan. Sangkanya, lelaki tersebut sudah tergoda dengan dirinya. Sayang sekali tidak diketahui oleh Tasya apa yang tersirat dalam fikiran anak muda tersebut. Penat menari, Dania mengajak Tasya berehat seketika. Ingin dibasahkan tekak yang sudah mulai kering. Tasya hanya menurut. Dia sekadar tersenyum apabila ada suara yang bersiul nakal ke arahnya. Dia mahupun Dania, kedua-dua mereka mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

            “Haiqal, kau nampak tak dua orang girl kat sana tu? Apa kata kita berkenalan dengan diorang nak?” Dani bersuara sambil tersengih-sengih. Matanya masih melekat pada dua orang gadis yang sedang leka meneguk minuman. Sengaja dicucuk jarum kepada Haiqal agar lelaki itu turut teruja.

            Haiqal meleretkan senyumannya. Sememangnya dari tadi dia turut memerhatikan dua orang gadis tersebut. Nampaknya, Dani juga sama seperti dirinya. Sejak dari awal lagi matanya telah melekat pada dua orang gadis tersebut. Paling menarik perhatian Haiqal ialah gadis seksi yang baju berwarna merah darah tersarung di tubuhnya. Dari tadi lagi gadis itu begitu lincah menari bersama rakannya.

            “Happy kau malam ni. Kejap lagi dapat girl baru la kau. Yang ke berapa dah ni?” kata Haiqal sambil ketawa. Matanya masih lagi tajam memerhatikan dua orang gadis tersebut.

            Kata-kata Haiqal disambut dengan suara ketawa Dani yang agak kuat.

            “Belum tentu lagi, bro. Kena usyar dulu. Mana boleh main redah aje.” Dani tersengih-sengih. Minuman yang berada di tangannya diteguk lagi.

            “Dari tadi lagi aku tengok kau asyik duk usyar girl yang pakai baju merah tu. Ingatkan tadi aku yang nak sambar dulu.” Semakin kuat Dani ketawa. Cuma suaranya agak tenggelam dek bunyi muzik yang terpasang.

            Haiqal tersengih. Tidak sangka perbuatannya disedari oleh Dani.

            “Aku bukan apa, girl yang pakai baju merah ni lain sikit. Aura dia semacam aje....” Haiqal meleretkan senyuman sinisnya. Keningnya diangkat sebelah sambil matanya tepat memandang gadis yang diperkatakan. Dalam kepalanya sudah merangka helah untuk memikat gadis tersebut.

            “Hai... belum apa-apa lagi, takkan dah sangkut?” usik Dani nakal. Dari tadi lagi dia perasan mata Haiqal tidak lepas-lepas daripada memandang gadis tersebut.

            “Aku tengok kau macam dah syok gila dekat girl yang pakai baju merah tu. Tak dapat girl yang pakai baju merah tu, kawan dia pun okey. Boleh tahanlah jugak.” Sambung Dani lagi sambil meleretkan senyumannya.

            “Well... kalau macam tu jom kita jalankan ‘tugas’ sekarang. Takkan nak tercegat aje dekat sini. Kau pun macam dah tak sabar-sabar.” Haiqal gelak kuat. Baginya, sebelum ada yang sambar lebih baik mereka bertindak dahulu.

            Haiqal dan Dani bergerak meninggalkan tempat yang sedang mereka duduki. Dengan penuh yakin, mereka merapati dua orang gadis yang sedang rancak berbual itu. Mereka Sedikit pun tidak menyedari mereka sedang didekati. Dania dan Tasya yang sedang leka berbual, tiba-tiba ditegur oleh satu suara garau.

“Haiii...” tegur Dani sambil tersengih-sengihdengan lagak playboynya. Matanya tidak lepas daripada memandang Tasya dan Dania. Memang cun awek dua orang ni. Bila tengok dekat-dekat lagi bertambah cun dan seksi.

“Dua orang aje ke? Nak kami temankan?” Haiqal meleretkan senyuman nakalnya. Dania hanya memandang sekali imbas. Manakala Tasya sudah tersenyum lebar. Bangga apabila dua lelaki tampan menghulurkan salam perkenalan. Sudah menjadi kebiasaan ke mana sahaja mereka pergi, pasti ada lelaki yang ingin merapati. Biasalah lelaki seperti ini, pantang nampak yang berdahi licin, terus nak sambar.

“Dani... hmmm... what a nice name.” Tasya meleretkan suaranya sambil tersenyum memandang Dani setelah lelaki itu memperkenalkan dirinya.

“Tasya.” Tasya memperkenalkan dirinya pula. Dia menyambut huluran tangan Dani sambil matanya melirik memandang wajah tampan Haiqal. Dari awal lagi Tasya memang sudah teruja dengan kehadiran dua jejaka tampan di hadapannya itu. Huluran salam perkenalan daripada Dani disambut dengan hati yang gembira. Cuma Dania sahaja yang masih buat tidak tahu. Tasya sudah masak dengan sikap Dania. Tidak akan melayan lelaki yang tidak dikenalinya sesuka hati.

“Yang ni kawan I, Ameer Haiqal,” kata Dani sambil meletakkan tangannya di atas bahu Haiqal. Terangkat kening Haiqal apabila nama penuhnya disebut oleh Dani.

“Just call me, Haiqal.”Haiqal tersenyum meleret sambil memandang Dania yang masih kelihatan selamba.

“Dan yang ni...?”Haiqal meleretkan suaranya. Dia masih tidak puas hati dengan reaksi gadis tersebut. Huluran tangannya pula masih belum bersambut. Jual mahal betul kawan Si Tasya ni, omel Haiqal dalam hati.

“Janganlah sombong sangat. Takkan nak berkenalan pun tak boleh.”Haiqal masih berusaha menarik perhatian gadis yang berbaju merah itu. Bengang juga Haiqal sebenarnya dengan reaksi kawan Tasya ni. Boleh dia buat derk aje. Tetapi suaranya masih mampu dikawal. Tetap lembut dan menggoda. Senyuman manis masih tetap menghiasi wajahnya. Tak boleh la nak buat muka bengang. Nak pikat perempuan kena la tunjuk baik dulu. Dania tidak membalas senyuman yang dihulurkan oleh Haiqal.

“Ada masalah ke kalau saya sombong?”Dania berkata selamba. Rasa terpukul dengan kata-kata Haiqal yang nyata ditujukan kepadanya. Dania memandang Haiqal sekali imbas.

Banyak cakap pulak mamat ni. Sememangnya dia sudah terlalu bosan dengan kerenah lelaki-lelaki yang berhidung belang seperti ini. Muak dan merimaskan. Mungkin dua orang lelaki yang berada di hadapannya ini tidak terkecuali juga. Tengok daripada gaya mereka sahaja dia sudah tahu.

“Mak aih... garangnya cik adik kita ni. Kami ni nak berkenalan aje, bukannya luak apa-apa pun,”seloroh Dani. Biar betul minah ni? Kerek semacam aje. Haiqal yang tampan pun tidak mampu menarik perhatian gadis ini ke? Apa tidak cukup tampankah Si Haiqal ni? Dani bingung sendiri. Nampaknya kena kerja keraslah Haiqal malam ini. Nampak macam susah aje nak jinakkan awek yang sorang ni, desis hati Dani.

Tasya menyiku lengan Dania apabila gadis tersebut masih buat tidak tahu. Kalau ya pun janganlah jual mahal sangat, detik hati Tasya.

“Dania.”Akhirnya Dania memperkenalkan dirinya. Mendatar sahaja suaranya seperti orang yang tiada perasaan.

Huluran tangan Haiqal disambut. Sempat mereka bertentangan mata seketika. Dania tetap kelihatan selamba. Sebentar sahaja tangan Dania berada dalam genggaman tangan Haiqal. Tidak selesa dengan cara pandangan mata Haiqal yang memerhatikan dirinya dari atas hingga ke bawah. Haiqal tersenyum puas, seolah-olah meraikan satu kemenangan. Akhirnya dia tahu juga nama gadis cantik yang berada di hadapannya kini.

Tidak seperti Tasya, gadis cantik yang bernama Dania ni kelihatan ‘mahal’. Selalunya orang yang kelihatan lincah ini mudah untuk didekati. Jinak-jinak merpati aje rupanya Si Dania ni. Selama ini Haiqal belum pernah jumpa gadis seperti Dania. Selalunya gadis-gadis yang berkunjung ke kelab ni mudah benar didekati. Tetapi Dania memang berbeza. Gadis itu berada di kelasnya yang tersendiri. Namun, reaksi Dania yang selamba bagaikan mencabar ego Haiqal. Selalunya dia sering didampingi oleh gadis-gadis yang ghairah ingin berkenalan dengan dirinya. Sering saja ketampanan dan kemewahan yang dimilikinya menarik mana-mana gadis untuk merapati dirinya. Tetapi, malam ini nyata berbeza. Kehadirannya di sini ibarat tunggul kayu di mata Dania. Gadis itu langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadapnya yang cuba merapati dirinya.

“Hmmm... I rasa bertuah sangat malam ni sebab dapat berkenalan dengan you all yang cantik manis ni....” Dani bersuara romantis sambil tersengih-sengih.

“Bak kata orang berkawan biar seribu, bercinta biar satu...” sampuk Haiqal sambil meleretkan suaranya. Sengaja mahu menarik perhatian Dania. Walaupun dia sedang berkata-kata dengan Tasya tetapi, matanya melirik ke arah Dania.

Tasya menyilangkan kakinya. Skirt pendek yang dipakainya sekadar cukup menutupi bahagian pahanya yang terdedah. Benar-benar membuatkan Tasya kelihatan begitu seksi. Gayanya persis seperti ingin menggoda.

“Well... so do I. Terutama sekali dapat berkenalan dengan you.”Tasya meleretkan senyumannya, cuba untuk menggoda Haiqal walaupun dia tahu dari tadi lagi mata lelaki itu sudah terarah kepada Dania. Bagi Tasya, Haiqal adalah lelaki yang cukup tampan dan kelihatan begitu seksi. Rambutnya hitam berkilat dan kulitnya pula putih bersih. Penampilan Haiqal memang cukup menarik, melambangkan lelaki moden. Telinga kiri Haiqal ditindik dengan subang silver berbentuk bulat, melengkapkan lagi gayanya.

Malangnya, Dania masih selamba seperti tadi. Pelbagai cara dilakukan oleh Haiqal semata-mata mahu menarik perhatian gadis tersebut. Tapi sayang, Dania hanya buat tidak tahu sahaja. Haiqal bengang sendiri. Bengkak hatinya menahan perasaan. Sikap endah tak endah Dania terhadapnya membuatkan dia semakin sakit hati. Dalam hati, Haiqal sudah memasang tekad, tidak akan sesekali mengalah. Suatu hari nanti pasti Dania akan ditundukkan. Ketika itu Haiqal akan memastikan Dania akan menyerah kepadanya. Dania pula bagaikan tenggelam dalam dunianya sendiri. Tidak dipedulikan rakannya, Tasya yang leka berbual bersama Dani.

Haiqal yang pada mulanya ingin berkata sesuatu, terus terhenti. Senyumannya mati. Baru saja dia mahu memulakan langkah untuk memikat Dania tetapi, sudah ada yang mengganggu. Mata Haiqal dihidangkan dengan sesuatu yang tidak disangka. Seorang lelaki kacak berkumis datang secara tiba-tiba merapati Dania. Tangannya liar menjalar dan erat memaut bahu gadis tersebut. Serentak itu Dania menarik muka masam memandang lelaki tersebut. Tangan lelaki yang melingkar liar di bahunya ditolak.

“Sorry, Dania... Zack lambat. Dah lama ke tunggu?”pujuk Zack.

Namun, Dania masih beriak seperti tadi. Wajahnya masih dimasamkan dan tangannya menolak tubuh lelaki tersebut sebagai tanda merajuk.

“Apesal kau lambat sangat ni, Zack? Dah lama tau Dania tunggu kau. Janji pukul berapa, sekarang ni dah pukul berapa? Hah, pandai-pandai la kau pujuk Si Dania ni,” tutur Tasya, sengaja mahu membakar hati Zack. Siapa suruh datang lambat?

Dani yang sedang duduk rapat di sebelah Tasya hanya memerhatikan sahaja lelaki asing yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka. Sedikit pun Dani tidak menyampuk. Dia memandang ke arah Haiqal yang kelihatan sudah mula bengang. “Sorry la, sayang. Zack bukannya sengaja nak datang lambat. Lagipun ada hal sikit tadi.”Sambil tersenyum Zack mengucup jari-jemari Dania sebagai tanda memohon maaf. Dibelainya pipi Dania dan rambut lurus milik Dania yang keperangan melepasi bahu. Bahu Dania dirangkul erat bertujuan untuk memujuk gadis tersebut.

Dania masih membatukan dirinya. Masih tidak puas hati dengan kelewatan Zack. Cuma wajahnya sudah tidak semasam tadi. Kali ini, Dania hanya membiarkan saja tangan Zack yang merangkul erat bahunya.
“Jangan la merajuk macam ni, sayang. Tell me, apa yang perlu Zack buat supaya Dania tak merajuk macam ni. I’ll do anything for you, my princess. Dania pun tahu, kan yang Zack sanggup buat apa aje untuk tebus kesalahan Zack ni?” Zack terus memujuk.

Haiqal tergamam dengan apa yang terhidang di hadapan matanya kini. Kehadiran Zack yang tiba-tiba membuatkan dia kehilangan kata. Dania terlalu jual mahal dengan dirinya sebentar tadi. Tetapi kini, gadis itu bagaikan tidak kisah dan membiarkan sahaja lelaki yang bernama Zack itu menyentuhnya malah memeluknya erat. Haiqal tidak puas hati. Entah dari mana lelaki itu datang. Tiba-tiba aje muncul. Kacau daun betullah mamat ni, desis Haiqal dalam hati. Dania akhirnya tersenyum. Jarinya yang runcing memegang muka Zack dan ditarik supaya menghala tepat ke wajahnya.

“Janji lepas ni jangan datang lambat lagi. Kalau datang lambat lagi, kita tak payah jumpa langsung lepas ni,”tutur Dania seolah-olah mengugut Zack.

Haiqal yang memerhati tingkah Dania dan Zack bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Patutlah tak layan. Haiqal terasa hatinya semakin membengkak. Terasa kalah dalam pertarungan egonya. Terasa seperti Zack mengejek dan mentertawakan dirinya. Dia tidak sepatutnya kalah pada lelaki sementah Zack. Hati Haiqal semakin mendidih.

“Sumpah, ni kali terakhir Zack datang lambat. After this, Zack janji takkan datang lambat lagi.” Zack mengangkat kelima-lima jarinya seperti orang bersumpah. Zack tersenyum puas apabila melihat Dania mengangguk.

Ditariknya Dania agar mengikut langkahnya. Sebelum berlalu pergi, sempat lagi Zack melemparkan senyuman sinis ke arah Haiqal. Sengaja mahu menyakitkan hati lelaki itu. Dia masih belum buta untuk menilai sikap Haiqal yang cuba untuk merapati Dania. Haiqal yang melihat bertambah sakit hati. Sedikit pun Dania tidak menoleh ke arahnya. Terasa dirinya seperti tunggul kayu sahaja di hadapan gadis tersebut.



DARI jauh Haiqal memerhatikan Dania yang sedang leka menari. Dia masih berada di tempat duduknya seperti tadi. Hilang terus moodnya untuk menari. Panas juga hatinya apabila melihat Zack merangkul erat pinggang Dania tanpa segan-silu. Tetapi, apa yang hendak dihairankan? Kalau diikutkan, dia juga sering melakukan perkara yang sama terhadap mana-mana perempuan yang pernah menari bersamanya.

Namun kali ini, perasaan Haiqal terasa lain macam. Entah kenapa hatinya bagaikan dijentik perasaan cemburu melihat kemesraan antara Dania dan Zack. Haiqal meneguk minuman yang masih berbaki di hadapannya. Gadis cantik seperti Dania tentulah tidak akan sesuka hati melayan sesiapa sahaja. Orang cantiklah katakan. Sudah pasti Dania sering didatangi oleh lelaki kacak yang ingin mendampinginya. Tidak hairanlah jika kedatangannya sebentar tadi tidak dipedulikan oleh Dania.

Jika diteliti, Haiqal yakin Dania lebih muda daripadanya. Kalau dilihat daripada gaya gadis tersebut mungkin Dania masih remaja ataupun mungkin baru mencecah dua puluh tahun. Paling kurang tiga atau empat tahun lebih muda daripadanya. Dani dari tadi hanya memerhatikan sahaja tingkah Haiqal. Nampaknya, mood rakannya hari ini sudah benarbenar rosak.

“Jom la kita menari Haiqal, takkan kau nak duduk dekat sini aje?”kata Dani tiba-tiba sambil tangannya erat merangkul bahu Tasya.

Haiqal hanya mendiamkan diri, tidak mempedulikan kata-kata Dani. Dani hanya mengangkat bahu memandang Tasya yang berada di sebelahnya. Dia menggelengkan kepala mengenangkan sikap Haiqal.

“Siapa Zack tu?”soal Dani kepada Tasya. Ingin tahu juga gerangan lelaki yang berjaya menjinakkan Dania.

“Zack tu kawan kita orang, dekat setahun jugaklah dia dah couple dengan Dania. Selalu jugaklah kita orang lepak dengan dia,”terang Tasya bersahaja.

“Couple? Wow!” Dani kagum. Memang hebat Zack ni rupanya. Orang yang ‘mahal’ macam Dania tu berjaya juga ditundukkan. Tiba-tiba Dania datang merapati mereka.

“Mana Zack?”soal Tasya ingin tahu. “Ada dekat sana tu, dia kata nak jumpa kawan lama kejap.” Sambil itu mata Dania memandang ke arah Zack yang sedang bercakap dengan seseorang. Dania hanya buat-buat tidak nampak renungan tajam Haiqal ke arahnya. Sebentar sahaja, Zack sudah kembali mendapatkan Dania.

“Sekejapnya... kata pergi jumpa kawan?”soal Tasya kepada Zack.

“Mana boleh tinggalkan Dania ni lama-lama. Baru tinggal kejap, dah ada boy lain yang nak ganggu.”Zack berkata sinis. Senyuman angkuh dilemparkan buat Haiqal. Dia sengaja merangkul erat bahu Dania di hadapan Haiqal untuk menambahkan lagi rasa sakit hati Haiqal. Matanya pula tajam memandang wajah tampan Haiqal. Dania tersenyum memandang Zack. Dia hanya membiarkan sahaja dirinya berada di dalam rangkulan lelaki buaya seperti Zack.

“Orang cantik macam Dania ni ramai yang nak kebas,”tambah Zack lagi.

“Memang la nak yang cantik. Lagilah kalau yang tak bertuan.” Haiqal membalas sinis. Tahu kata-kata Zack sebentar tadi memang sengaja ditujukan kepadanya.

“Tak bertuan?” Zack tergelak suka. Hati Haiqal semakin mendongkol geram. Kurang ajar betul budak mentah ni. Zack seolah-olah sengaja mahu mencari pasal dengannya.

“Silap besarlah kalau ingat si cantik manis ni tak bertuan. Dania ni girl aku dan kau jangan sesuka hati nak datang dekat dia.” Zack memberi amaran. Dia geram melihat Haiqal yang sengaja mahu mendekati Dania. Kesabaran Haiqal sudah semakin menipis. Rasa mahu ditumbuk sahaja wajah Zack ketika itu. Sakit juga hatinya apabila mengenangkan orang yang jual mahal seperti Dania ini boleh tunduk kepada budak mentah seperti Zack tetapi tidak kepada dirinya.

“Zack, dah la tu... kita datang sini, kan nak seronok-seronok. Jangan la layan dia ni.”Dania memaut erat tangan Zack.

“Hmmm... betul jugak. Malam ni kita enjoy puaspuas, okey.” Zack ketawa kuat.

“Tau pun... buat apa nak layan sangat orang yang kita tak kenal,” ujar Dania dengan selamba. Dengan bangga Zack merangkul bahu Dania meninggalkan Haiqal di situ. Sekali lagi senyuman sinis dilemparkan buat Haiqal.

Hati Haiqal mendongkol geram. Lihatlah nanti, Zack mahupun Dania. Satu hari nanti Dania akan tersungkur di kakinya. Gelas minuman yang berada di tangan dihentak kuat ke atas meja. Dani terkejut melihat aksi rakannya itu.

“Relax la, Haiqal.” Kata Dani, cuba untuk menenangkan Haiqal setelah agak lama dia mendiamkan diri.

Haiqal dapat melihat cara Zack merapatkan tubuhnya kepada Dania. Entah apa yang mahu dibisikkannya kepada Dania. Menggunakan alasan muzik kuat untuk mengambil kesempatan. Taktik yang sering digunakan. Sebagai lelaki, Haiqal dapat mengagak apa yang ada dalam kepala anak muda tersebut. Terasa dirinya sudah tewas kepada anak muda seperti Zack. Nampak pun macam budak lagi. Mungkin Zack sebaya dengan Dania. Penolakan Dania terhadap dirinya sebentar tadi serta kehadiran Zack yang seolah-olah mempersendakan dirinya membuatkan Haiqal nekad. Pasti Dania akan menyesal kelak. Dania akan menjadi miliknya suatu hari nanti. Mungkin pada awal tadi dia sekadar ingin berkenalan dengan Dania. Tetapi kini tidak lagi.


Akan dijeratnya Dania agar gadis itu tunduk kepadanya kelak. Dia tidak akan sesekali kalah kepada sesiapa. Tiba-tiba sahaja keinginan untuk memiliki Dania begitu membuak-buak di hati Haiqal. Haiqal bangun dari tempat duduknya, dia ingin segera pulang. Tidak dipedulikan langsung Dani yang sedang memanggil namanya berulang kali. Makin lama duduk di sini pun makin sakit hatinya.