BAB 2
DALAM
keadaan yang masih separuh mamai, Dania terdengar ketukan di pintu biliknya.
Bingit telinganya mendengar suara mama yang memanggil namanya berulang kali.
Matanya dihalakan ke arah pintu. Sudah menjadi kebiasaan mamanya akan terus
masuk sahaja ke dalam bilik, tidak pula mamanya mengetuk pintu berkali-kali
begini. Mungkin pintu biliknya dikunci secara tidak sengaja ketika dia pulang
semalam.
Dania bangun untuk membuka pintu walaupun
matanya terasa amat berat untuk dibuka. Sakit telinga Dania mendengar suara
mamanya yang semakin kuat diselangselikan dengan bunyi ketukan di pintu bilik.
“Kenapa kunci pintu? Tak pernah-pernah
pun sebelum ni kunci pintu. Kenapa kali ni kunci pintu pulak? Ada apa-apa yang
nak disorok daripada mama ke?” Belum apa-apa lagi telinga Dania sudah diserbu
dengan pelbagai soalan daripada mamanya. Tangannya menggaru kepala yang tidak
gatal. Saki-baki mengantuk masih belum hilang sepenuhnya walaupun diterjah
dengan suara mamanya. Kacau daun betullah. Tak bolehkah kalau mamanya biarkan
sahaja dia tidur dengan aman?
“Mana ada sorok apa-apa. Semalam Dania
tak sengaja terkunci pintu agaknya.”Dania menjawab malas. “Mama nak apa? Dania
ngantuklah....”
“Mana tak ngantuknya. Semalam balik pukul
berapa? Sejak akhir-akhir ni selalu sangat balik lambat,” bebel Puan Syarifah.
Dania menuju semula ke katil untuk
menyambung tidurnya yang terganggu sebentar tadi. Matanya yang separuh terbuka
melihat mamanya yang sedang mengelilingi bilik. Lagaknya seperti orang hendak
memeriksa sahaja. Entah apa agaknya yang sedang dicari oleh mamanya. Takkanlah
mamanya tiba-tiba curiga dengan dirinya pulak? Ah, biarlah mamanya nak buat apa
pun. Dia bukannya ada buat sebarang kesalahan.
“Selalunya mama tak kisah pun kalau Dania
balik lambat. Kenapa tiba-tiba mama tanya ni?” Dania merengus sedikit. Suaranya
kedengaran agak serak kerana baru sahaja bangun tidur.
Hairan juga Dania, sejak
bila mamanya kisah pukul berapa dia balik? Selama ini mamanya memang tidak
pernah bertanya pukul berapa dirinya pulang, dengan siapa dirinya keluar dan
berkawan serta ke mana dia pergi. Mamanya memang tidak pernah kisah. Kenapa
hari ini baru nak tanya? Mamanya lebih mementingkan kawan-kawan, persatuan dan
entah apa-apa lagi.
Kalau ikutkan orang lain pun sibuk juga. Bukan mamanya
seorang sahaja yang bekerja. Tetapi entah di mana silapnya mamanya memang tiada
masa untuk dirinya. Apatah lagi untuk bertanya masalahnya atau berbual mesra
seperti ibu orang lain.
Papa pula dua kali lima sahaja dengan
mama. Sentiasa sibuk. Kalau tidak ada urusan di pejabat, papa akan ke luar
negara. Ada sahaja urusannya seolah-olah semuanya bagaikan tidak pernah
selesai. Hari ni jumpa Tan Sri, esok pula jumpa Datuk Sri. Ada sahaja orang
kenamaan yang ingin ditemuinya. Tetapi bertemu dan meluangkan masa dengan anak
sendiri tiada pula masanya. Dalam masa seminggu, sehari nak jumpa papanya pun
susah. “Kenapa mama cari Dania pagi-pagi ni? Selalunya kalau nak tengok muka
mama pagi-pagi macam ni pun payah,”ujar Dania dengan mata yang separuh
tertutup.
“Saja mama nak tengok anak mama ni.
Takkan nak tengok anak sendiri pun tak boleh? Lagipun mama pelik
kenapa
Dania kunci pintu bilik. Ingatkan Dania tak ada dalam bilik. Tak pun memang
Dania ada sorok sesuatu daripada mama tak?” soal Puan Syarifah lagi bernada
curiga.
“Hesy... mama ni, mana ada Dania sorokkan
apa-apa daripada mama. Mama ni kacau Dania nak tidur la...” rungut Dania.
“Ya la... mama nak keluar la ni. Ada
mesyuarat kejap lagi. Jangan bangun lambat sangat. Ni pun matahari dah tegak
atas kepala.” Puan Syarifah masih lagi membebel. Dania kembali memejamkan
matanya, rapat. Baru sahaja dia ingin beralih menghala ke dinding, Dania
terdengar semula suara mamanya.
“Tak lama lagi dah nak berangkat. Barang
dah siap kemas?” Dania tidak terus menjawab. Sebaliknya Dania hanya mengangguk
sebagai jawapan kepada pertanyaan mamanya. Matanya kembali dipejam rapat. Dah
agak dah, mamanya memang tak pernah kisah pun tentang dirinya.
Agaknya, masuk biliknya pun sekadar nak
tanya sama ada sudah selesai mengemas barang atau belum. Kalau tak, jangan
harap nak tengok mamanya pagi-pagi begini. Sering saja papa dan mamanya tiada
di rumah.
Entah berapa banyak lagilah duit dan
kemewahan yang ingin dicari oleh papa dan mama. Yang ada ni pun sudah lebih
daripada cukup. Dari dulu sampai sekarang Dania sentiasa dibiarkan keseorangan.
Lantaran itulah Dania sering menghabiskan masa bersama Tasya dan rakan-rakannya
yang lain. Tempat yang mereka kunjungi sudah semestinya pusat-pusat hiburan.
Maklumlah, bukankah banyak tempat-tempat sebegini di kota metropolitan yang gah
seperti Kuala Lumpur? Dengan cara sebegini saja Dania merasakan kekosongan
hatinya dapat diisi. Lagipun bukan mama dan papanya ambil tahu.
“Kamu tu kalau nak keluar jangan balik
lambat sangat,”pesan Puan Syarifah lagi.
“Okey....” Balas Dania pendek. Pelik
dengan perangai mamanya. Sejak bila pula mamanya suka membebel ni?
“Okey la,
mama pergi dulu.”
“Hmmm....” Itu sahaja jawapan Dania
apabila sayup-sayup kedengaran suara mamanya yang sedang melangkah keluar dari
bilik tidurnya. Terus disambung lenanya yang kembali datang menjemput.
HAMPIR
pukul dua belas tengah hari barulah Dania terjaga daripada tidurnya. Kepalanya
dirasakan berat dan pening. Tidur selepas subuh dan terbawa-bawa sehingga ke
tengah hari pastilah kesannya pening dan sakit kepala. Terasa malas nak bangun,
tetapi tidak munasabah pula kalau Dania terus menyambung tidurnya semula.
Selesai membersihkan diri, Dania turun ke
bawah. Perutnya yang terasa lapar perlu diisi. Sampai sahaja di dapur,
kelihatan Mak Ton sedang menyediakan lauk untuk makan tengah hari. Segera
dilemparkan senyuman manis untuk insan yang banyak berjasa di rumah besar ini.
“Dania lapar? Kuih dengan makaroni goreng
pagi tadi ada lagi. Kalau Dania nak, Mak Ton boleh tolong panaskan semula.”
Dania terdiam sejenak, matanya dilarikan seketika memandang ruang kabinet
dapur.
“Tak apa la, Mak Ton. Dania breakfast
dengan roti aje,” jawab Dania bersahaja.
Mak Ton hanya tersenyum. Dah tengah hari
baru nak sarapan. Dia sebenarnya kasihan dengan anak majikannya ini. Ibu bapa
Dania sentiasa tiada di rumah. Kedua-duanya sama sibuk untuk mencari harta
dunia sampaikan tiada masa langsung untuk anak sendiri. Mak Ton tahu Dania sering pulang lewat. Kawan-kawan Dania pula kalau diikutkan pada pandangan matanya tidaklah dia begitu berkenan melihatnya. Namun, apa yang lebih menyedihkannya ialah sikap ibu bapa Dania yang sedikit pun tidak menghalang atau menegur anak mereka ini. Macam manalah nak tegur kalau sentiasa sibuk bekerja sahaja. Duduk dekat rumah sendiri pun payah nak lekat. Alih-alih orang gaji yang duduk. Rugi je buat rumah besar tapi diri sendiri pun tak ada masa nak duduk. Sekadar menjadi santapan mata orang yang melihat dan tujuan utamanya sudah tentulah untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk harta dunia yang dimiliki.
Kadang kala Mak Ton perasan yang Dania seringkali rasa tertekan dan sunyi kerana sentiasa sendirian di rumah. Tiada papa dan mamanya sebagai tempat untuk dia bermanja.
Lantaran itulah
Dania sering menghabiskan masanya dengan kawan-kawan dan aktiviti yang tidak
berfaedah di luar. Jatuh simpati Mak Ton pada anak majikannya itu. Namun
siapalah dirinya untuk bersuara atau menegur. Dia hanyalah orang gaji yang mencari
rezeki di rumah besar ini. Tidak layak untuk berkata apa-apa. Harapan dan doanyanya
hanya satu, agar Dania tidak terus tersalah jalan.
“Ada apa-apa
yang Dania nak makan tengah hari ni? Mak Ton boleh masakkan kalau Dania nak.” Lembut
suara Mak Ton bertanya.
Dania hanya
menggeleng. Alangkah indahnya jika mamanya yang bertanyakan soalan itu
kepadanya. Tentu Dania akan merasakan yang dirinya lebih disayangi. Malangnya
tidak pernah sekalipun mamanya bertanya soalan seumpama itu. Sekarang pun tidak
pernah, akan datang pun belum tentu lagi.
“Tak payah
masak banyak sangatlah Mak Ton. Dania ingat nak keluar kejap lagi. Mama dengan
papa pun rasanya tak balik makan tengah hari.” Roti di tangannya segera di
habiskan. Air milo yang masih berbaki diteguk perlahan.
Mak Ton hanya
mengangguk lemah. Semalam lambat balik. Tengah hari ni nak keluar lagi. Terasa
ingin ditegur anak majikannya ini tetapi takut dikatakan menyibuk pula.
Dania sudah
selesai sarapan. Mug yang digunakan sebentar tadi diletakkan di sinki.
“Dania naik
dululah mak Ton.” Segera Dania mendaki anak tangga meninggalkan Mak Ton keseorangan
di ruang dapur tersebut.
Sampai sahaja
di bilik tidur, Dania terus mencapai telefon bimbitnya. Segera nombor telefon
Tasya didail. Ingin diajak temannya itu keluar berjalan-jalan. Tak pun pergi shopping atau tengok wayang ke. Duduk di
rumah pun bukannya boleh buat apa. Lainlah kalau papa dan mamanya ada bersama.
Tetapi itu tidak munkin terjadi.
Sebaik saja
panggilan disambungkan terdengar suara Tasya menjawab panggilan di hujung
talian.
“Ha... kau
Dania, call aku ni mesti nak ajak
keluar. Betul tak?” kata Tasya di hujung talian.
Dania tergelak
sebaik sahaja mendengar suara Tasya di corong telefon bimbitnya.
“Tahu pun. Apa
lagi, cepatlah bersiap,” gesa Dania.
Setelah
panggilan di matikan Dania terus bersiap-siap untuk berpakaian.
Dania melarikan
kereta Mini Cooper miliknya. Sebentar lagi dia akan mengambil Tasya di rumahnya
seperti yang dijanjikan.
No comments:
Post a Comment