Bab 1
ALUNAN muzik
yang terpasang kuat membingitkan telinga. Selang-seli terdengar suara DJ
berceloteh menghangatkan lagi suasana. Kerlipan lampu disko memancar mengikut
rentak muzik yang rancak melekakan manusia yang sedang ghairah menari. Ditambah
pula dengan bisikan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan anak keturunan
Adam. Berpelukan dan bersentuhan antara lelaki dan perempuan menjadi satu
kebiasaan.
Dania menari sepuasnya, tidak
sedikit pun mempedulikan orang di sekelilingnya. Seboleh mungkin mahu
dihilangkan segala tekanan yang dirasainya. Tanpa disedari, ada mata yang
begitu asyik memandang dirinya yang sedang leka menari. Tasya juga leka seperti
rakannya, Dania. Tidak sedikit pun terbit rasa segan apabila ada mata yang
rakus memerhati tubuhnya yang hanya dibaluti baju dan skirt yang sendat. Malah,
timbul rasa bangga apabila dirinya menjadi perhatian.
Tasya meleretkan senyuman
menggodanya apabila sesekali matanya bertembung pandang dengan seorang lelaki
muda yang dari tadi tersenyum ke arahnya. Dalam hati, Tasya ketawa penuh
keangkuhan. Sangkanya, lelaki tersebut sudah tergoda dengan dirinya. Sayang
sekali tidak diketahui oleh Tasya apa yang tersirat dalam fikiran anak muda
tersebut. Penat menari, Dania mengajak Tasya berehat seketika. Ingin dibasahkan
tekak yang sudah mulai kering. Tasya hanya menurut. Dia sekadar tersenyum
apabila ada suara yang bersiul nakal ke arahnya. Dia mahupun Dania, kedua-dua
mereka mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
“Haiqal, kau nampak tak dua orang
girl kat sana tu? Apa kata kita berkenalan dengan diorang nak?” Dani
bersuara sambil tersengih-sengih. Matanya masih melekat pada dua orang gadis
yang sedang leka meneguk minuman. Sengaja dicucuk jarum kepada Haiqal agar
lelaki itu turut teruja.
Haiqal meleretkan senyumannya.
Sememangnya dari tadi dia turut memerhatikan dua orang gadis tersebut.
Nampaknya, Dani juga sama seperti dirinya. Sejak dari awal lagi matanya telah
melekat pada dua orang gadis tersebut. Paling menarik perhatian Haiqal ialah gadis
seksi yang baju berwarna merah darah tersarung di tubuhnya. Dari tadi lagi
gadis itu begitu lincah menari bersama rakannya.
“Happy kau malam ni. Kejap lagi
dapat girl baru la kau. Yang ke berapa dah ni?” kata Haiqal sambil ketawa.
Matanya masih lagi tajam memerhatikan dua orang gadis tersebut.
Kata-kata Haiqal disambut dengan
suara ketawa Dani yang agak kuat.
“Belum tentu lagi, bro. Kena usyar
dulu. Mana boleh main redah aje.” Dani tersengih-sengih. Minuman yang berada di
tangannya diteguk lagi.
“Dari tadi lagi aku tengok kau asyik
duk usyar girl yang pakai baju merah tu. Ingatkan tadi aku yang nak sambar
dulu.” Semakin
kuat Dani ketawa. Cuma suaranya agak tenggelam dek bunyi muzik yang terpasang.
Haiqal tersengih. Tidak sangka perbuatannya
disedari oleh Dani.
“Aku bukan apa, girl yang pakai baju
merah ni lain sikit. Aura dia semacam aje....” Haiqal meleretkan senyuman
sinisnya. Keningnya diangkat sebelah sambil matanya tepat memandang gadis yang
diperkatakan. Dalam kepalanya sudah merangka helah untuk memikat gadis
tersebut.
“Hai... belum apa-apa lagi, takkan
dah sangkut?” usik
Dani nakal. Dari tadi lagi dia perasan mata Haiqal tidak lepas-lepas daripada
memandang gadis tersebut.
“Aku tengok kau macam dah syok gila
dekat girl yang pakai baju merah tu. Tak dapat girl yang pakai baju merah tu,
kawan dia pun okey. Boleh tahanlah jugak.” Sambung Dani lagi sambil
meleretkan senyumannya.
“Well... kalau macam tu jom kita
jalankan ‘tugas’ sekarang. Takkan nak tercegat aje dekat sini. Kau pun macam
dah tak sabar-sabar.” Haiqal gelak kuat. Baginya, sebelum ada yang sambar
lebih baik mereka bertindak dahulu.
Haiqal dan Dani bergerak
meninggalkan tempat yang sedang mereka duduki. Dengan penuh yakin, mereka
merapati dua orang gadis yang sedang rancak berbual itu. Mereka Sedikit pun
tidak menyedari mereka sedang didekati. Dania dan Tasya yang sedang leka
berbual, tiba-tiba ditegur oleh satu suara garau.
“Haiii...” tegur
Dani sambil tersengih-sengihdengan lagak playboynya. Matanya tidak lepas
daripada memandang Tasya dan Dania. Memang cun awek dua orang ni. Bila tengok
dekat-dekat lagi bertambah cun dan seksi.
“Dua orang
aje ke? Nak kami temankan?” Haiqal meleretkan senyuman nakalnya. Dania hanya
memandang sekali imbas. Manakala Tasya sudah tersenyum lebar. Bangga apabila
dua lelaki tampan menghulurkan salam perkenalan. Sudah menjadi kebiasaan ke
mana sahaja mereka pergi, pasti ada lelaki yang ingin merapati. Biasalah lelaki
seperti ini, pantang nampak yang berdahi licin, terus nak sambar.
“Dani...
hmmm... what a nice name.” Tasya meleretkan suaranya sambil tersenyum
memandang Dani setelah lelaki itu memperkenalkan dirinya.
“Tasya.” Tasya
memperkenalkan dirinya pula. Dia menyambut huluran tangan Dani sambil matanya
melirik memandang wajah tampan Haiqal. Dari awal lagi Tasya memang sudah teruja
dengan kehadiran dua jejaka tampan di hadapannya itu. Huluran salam perkenalan
daripada Dani disambut dengan hati yang gembira. Cuma Dania sahaja yang masih
buat tidak tahu. Tasya sudah masak dengan sikap Dania. Tidak akan melayan
lelaki yang tidak dikenalinya sesuka hati.
“Yang ni
kawan I, Ameer Haiqal,” kata Dani sambil meletakkan tangannya di atas bahu
Haiqal. Terangkat kening Haiqal apabila nama penuhnya disebut oleh Dani.
“Just call
me, Haiqal.”Haiqal tersenyum meleret sambil memandang Dania yang masih
kelihatan selamba.
“Dan
yang ni...?”Haiqal meleretkan suaranya. Dia masih tidak puas hati dengan reaksi
gadis tersebut. Huluran tangannya pula masih belum bersambut. Jual mahal betul
kawan Si Tasya ni, omel Haiqal dalam hati.
“Janganlah
sombong sangat. Takkan nak berkenalan pun tak boleh.”Haiqal masih berusaha
menarik perhatian gadis yang berbaju merah itu. Bengang juga Haiqal sebenarnya
dengan reaksi kawan Tasya ni. Boleh dia buat derk aje. Tetapi suaranya masih
mampu dikawal. Tetap lembut dan menggoda. Senyuman manis masih tetap menghiasi
wajahnya. Tak boleh la nak buat muka bengang. Nak pikat perempuan kena la
tunjuk baik dulu. Dania tidak membalas senyuman yang dihulurkan oleh Haiqal.
“Ada
masalah ke kalau saya sombong?”Dania berkata selamba. Rasa terpukul dengan
kata-kata Haiqal yang nyata ditujukan kepadanya. Dania memandang Haiqal sekali
imbas.
Banyak
cakap pulak mamat ni. Sememangnya dia sudah terlalu bosan dengan kerenah
lelaki-lelaki yang berhidung belang seperti ini. Muak dan merimaskan. Mungkin
dua orang lelaki yang berada di hadapannya ini tidak terkecuali juga. Tengok
daripada gaya mereka sahaja dia sudah tahu.
“Mak
aih... garangnya cik adik kita ni. Kami ni nak berkenalan aje, bukannya luak
apa-apa pun,”seloroh Dani. Biar betul minah ni? Kerek semacam aje. Haiqal yang
tampan pun tidak mampu menarik perhatian gadis ini ke? Apa tidak cukup
tampankah Si Haiqal ni? Dani bingung sendiri. Nampaknya kena kerja keraslah Haiqal
malam ini. Nampak macam susah aje nak jinakkan awek yang sorang ni, desis hati
Dani.
Tasya
menyiku lengan Dania apabila gadis tersebut masih buat tidak tahu. Kalau ya pun
janganlah jual mahal sangat, detik hati Tasya.
“Dania.”Akhirnya
Dania memperkenalkan dirinya. Mendatar sahaja suaranya seperti orang yang tiada
perasaan.
Huluran
tangan Haiqal disambut. Sempat mereka bertentangan mata seketika. Dania tetap
kelihatan selamba. Sebentar sahaja tangan Dania berada dalam genggaman tangan
Haiqal. Tidak selesa dengan cara pandangan mata Haiqal yang memerhatikan
dirinya dari atas hingga ke bawah. Haiqal tersenyum puas, seolah-olah meraikan
satu kemenangan. Akhirnya dia tahu juga nama gadis cantik yang berada di
hadapannya kini.
Tidak
seperti Tasya, gadis cantik yang bernama Dania ni kelihatan ‘mahal’. Selalunya
orang yang kelihatan lincah ini mudah untuk didekati. Jinak-jinak merpati aje
rupanya Si Dania ni. Selama ini Haiqal belum pernah jumpa gadis seperti Dania.
Selalunya gadis-gadis yang berkunjung ke kelab ni mudah benar didekati. Tetapi
Dania memang berbeza. Gadis itu berada di kelasnya yang tersendiri. Namun,
reaksi Dania yang selamba bagaikan mencabar ego Haiqal. Selalunya dia sering
didampingi oleh gadis-gadis yang ghairah ingin berkenalan dengan dirinya.
Sering saja ketampanan dan kemewahan yang dimilikinya menarik mana-mana gadis
untuk merapati dirinya. Tetapi, malam ini nyata berbeza. Kehadirannya di sini
ibarat tunggul kayu di mata Dania. Gadis itu langsung tidak menunjukkan
sebarang reaksi terhadapnya yang cuba merapati dirinya.
“Hmmm...
I rasa bertuah sangat malam ni sebab dapat berkenalan dengan you all yang
cantik manis ni....” Dani bersuara romantis sambil tersengih-sengih.
“Bak
kata orang berkawan biar seribu, bercinta biar satu...” sampuk Haiqal sambil
meleretkan suaranya. Sengaja mahu menarik perhatian Dania. Walaupun dia sedang
berkata-kata dengan Tasya tetapi, matanya melirik ke arah Dania.
Tasya
menyilangkan kakinya. Skirt pendek yang dipakainya sekadar cukup menutupi
bahagian pahanya yang terdedah. Benar-benar membuatkan Tasya kelihatan begitu
seksi. Gayanya persis seperti ingin menggoda.
“Well...
so do I. Terutama sekali dapat berkenalan dengan you.”Tasya meleretkan
senyumannya, cuba untuk menggoda Haiqal walaupun dia tahu dari tadi lagi mata
lelaki itu sudah terarah kepada Dania. Bagi Tasya, Haiqal adalah lelaki yang
cukup tampan dan kelihatan begitu seksi. Rambutnya hitam berkilat dan kulitnya
pula putih bersih. Penampilan Haiqal memang cukup menarik, melambangkan lelaki
moden. Telinga kiri Haiqal ditindik dengan subang silver berbentuk bulat,
melengkapkan lagi gayanya.
Malangnya,
Dania masih selamba seperti tadi. Pelbagai cara dilakukan oleh Haiqal
semata-mata mahu menarik perhatian gadis tersebut. Tapi sayang, Dania hanya
buat tidak tahu sahaja. Haiqal bengang sendiri. Bengkak hatinya menahan
perasaan. Sikap endah tak endah Dania terhadapnya membuatkan dia semakin sakit
hati. Dalam hati, Haiqal sudah memasang tekad, tidak akan sesekali mengalah.
Suatu hari nanti pasti Dania akan ditundukkan. Ketika itu Haiqal akan
memastikan Dania akan menyerah kepadanya. Dania pula bagaikan tenggelam dalam
dunianya sendiri. Tidak dipedulikan rakannya, Tasya yang leka berbual bersama
Dani.
Haiqal
yang pada mulanya ingin berkata sesuatu, terus terhenti. Senyumannya mati. Baru
saja dia mahu memulakan langkah untuk memikat Dania tetapi, sudah ada yang
mengganggu. Mata Haiqal dihidangkan dengan sesuatu yang tidak disangka. Seorang
lelaki kacak berkumis datang secara tiba-tiba merapati Dania. Tangannya liar
menjalar dan erat memaut bahu gadis tersebut. Serentak itu Dania menarik muka
masam memandang lelaki tersebut. Tangan lelaki yang melingkar liar di bahunya
ditolak.
“Sorry,
Dania... Zack lambat. Dah lama ke tunggu?”pujuk Zack.
Namun,
Dania masih beriak seperti tadi. Wajahnya masih dimasamkan dan tangannya
menolak tubuh lelaki tersebut sebagai tanda merajuk.
“Apesal
kau lambat sangat ni, Zack? Dah lama tau Dania tunggu kau. Janji pukul berapa,
sekarang ni dah pukul berapa? Hah, pandai-pandai la kau pujuk Si Dania ni,” tutur
Tasya, sengaja mahu membakar hati Zack. Siapa suruh datang lambat?
Dani
yang sedang duduk rapat di sebelah Tasya hanya memerhatikan sahaja lelaki asing
yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka. Sedikit pun Dani tidak menyampuk. Dia
memandang ke arah Haiqal yang kelihatan sudah mula bengang. “Sorry la, sayang.
Zack bukannya sengaja nak datang lambat. Lagipun ada hal sikit tadi.”Sambil
tersenyum Zack mengucup jari-jemari Dania sebagai tanda memohon maaf.
Dibelainya pipi Dania dan rambut lurus milik Dania yang keperangan melepasi
bahu. Bahu Dania dirangkul erat bertujuan untuk memujuk gadis tersebut.
Dania
masih membatukan dirinya. Masih tidak puas hati dengan kelewatan Zack. Cuma
wajahnya sudah tidak semasam tadi. Kali ini, Dania hanya membiarkan saja tangan
Zack yang merangkul erat bahunya.
“Jangan
la merajuk macam ni, sayang. Tell me, apa yang perlu Zack buat supaya Dania tak
merajuk macam ni. I’ll do anything for you, my princess. Dania pun tahu, kan
yang Zack sanggup buat apa aje untuk tebus kesalahan Zack ni?” Zack terus
memujuk.
Haiqal
tergamam dengan apa yang terhidang di hadapan matanya kini. Kehadiran Zack yang
tiba-tiba membuatkan dia kehilangan kata. Dania terlalu jual mahal dengan
dirinya sebentar tadi. Tetapi kini, gadis itu bagaikan tidak kisah dan
membiarkan sahaja lelaki yang bernama Zack itu menyentuhnya malah memeluknya
erat. Haiqal tidak puas hati. Entah dari mana lelaki itu datang. Tiba-tiba aje
muncul. Kacau daun betullah mamat ni, desis Haiqal dalam hati. Dania akhirnya
tersenyum. Jarinya yang runcing memegang muka Zack dan ditarik supaya menghala
tepat ke wajahnya.
“Janji
lepas ni jangan datang lambat lagi. Kalau datang lambat lagi, kita tak payah
jumpa langsung lepas ni,”tutur Dania seolah-olah mengugut Zack.
Haiqal
yang memerhati tingkah Dania dan Zack bagaikan tidak percaya dengan apa yang
dilihatnya. Patutlah tak layan. Haiqal terasa hatinya semakin membengkak.
Terasa kalah dalam pertarungan egonya. Terasa seperti Zack mengejek dan
mentertawakan dirinya. Dia tidak sepatutnya kalah pada lelaki sementah Zack.
Hati Haiqal semakin mendidih.
“Sumpah,
ni kali terakhir Zack datang lambat. After this, Zack janji takkan datang
lambat lagi.” Zack mengangkat kelima-lima jarinya seperti orang bersumpah. Zack
tersenyum puas apabila melihat Dania mengangguk.
Ditariknya
Dania agar mengikut langkahnya. Sebelum berlalu pergi, sempat lagi Zack
melemparkan senyuman sinis ke arah Haiqal. Sengaja mahu menyakitkan hati lelaki
itu. Dia masih belum buta untuk menilai sikap Haiqal yang cuba untuk merapati
Dania. Haiqal yang melihat bertambah sakit hati. Sedikit pun Dania tidak
menoleh ke arahnya. Terasa dirinya seperti tunggul kayu sahaja di hadapan gadis
tersebut.
DARI jauh Haiqal
memerhatikan Dania yang sedang leka menari. Dia masih berada di tempat duduknya
seperti tadi. Hilang terus moodnya untuk menari. Panas juga hatinya apabila
melihat Zack merangkul erat pinggang Dania tanpa segan-silu. Tetapi, apa yang
hendak dihairankan? Kalau diikutkan, dia juga sering melakukan perkara yang
sama terhadap mana-mana perempuan yang pernah menari bersamanya.
Namun
kali ini, perasaan Haiqal terasa lain macam. Entah kenapa hatinya bagaikan
dijentik perasaan cemburu melihat kemesraan antara Dania dan Zack. Haiqal
meneguk minuman yang masih berbaki di hadapannya. Gadis cantik seperti Dania
tentulah tidak akan sesuka hati melayan sesiapa sahaja. Orang cantiklah
katakan. Sudah pasti Dania sering didatangi oleh lelaki kacak yang ingin
mendampinginya. Tidak hairanlah jika kedatangannya sebentar tadi tidak
dipedulikan oleh Dania.
Jika
diteliti, Haiqal yakin Dania lebih muda daripadanya. Kalau dilihat daripada
gaya gadis tersebut mungkin Dania masih remaja ataupun mungkin baru mencecah
dua puluh tahun. Paling kurang tiga atau empat tahun lebih muda daripadanya.
Dani dari tadi hanya memerhatikan sahaja tingkah Haiqal. Nampaknya, mood
rakannya hari ini sudah benarbenar rosak.
“Jom la
kita menari Haiqal, takkan kau nak duduk dekat sini aje?”kata Dani tiba-tiba
sambil tangannya erat merangkul bahu Tasya.
Haiqal
hanya mendiamkan diri, tidak mempedulikan kata-kata Dani. Dani hanya mengangkat
bahu memandang Tasya yang berada di sebelahnya. Dia menggelengkan kepala
mengenangkan sikap Haiqal.
“Siapa
Zack tu?”soal Dani kepada Tasya. Ingin tahu juga gerangan lelaki yang berjaya
menjinakkan Dania.
“Zack tu
kawan kita orang, dekat setahun jugaklah dia dah couple dengan Dania. Selalu
jugaklah kita orang lepak dengan dia,”terang Tasya bersahaja.
“Couple?
Wow!” Dani kagum. Memang hebat Zack ni rupanya. Orang yang ‘mahal’ macam Dania
tu berjaya juga ditundukkan. Tiba-tiba Dania datang merapati mereka.
“Mana
Zack?”soal Tasya ingin tahu. “Ada dekat sana tu, dia kata nak jumpa kawan lama
kejap.” Sambil itu mata Dania memandang ke arah Zack yang sedang bercakap
dengan seseorang. Dania hanya buat-buat tidak nampak renungan tajam Haiqal ke
arahnya. Sebentar sahaja, Zack sudah kembali mendapatkan Dania.
“Sekejapnya...
kata pergi jumpa kawan?”soal Tasya kepada Zack.
“Mana
boleh tinggalkan Dania ni lama-lama. Baru tinggal kejap, dah ada boy lain yang
nak ganggu.”Zack berkata sinis. Senyuman angkuh dilemparkan buat Haiqal. Dia
sengaja merangkul erat bahu Dania di hadapan Haiqal untuk menambahkan lagi rasa
sakit hati Haiqal. Matanya pula tajam memandang wajah tampan Haiqal. Dania
tersenyum memandang Zack. Dia hanya membiarkan sahaja dirinya berada di dalam
rangkulan lelaki buaya seperti Zack.
“Orang
cantik macam Dania ni ramai yang nak kebas,”tambah Zack lagi.
“Memang
la nak yang cantik. Lagilah kalau yang tak bertuan.” Haiqal membalas sinis.
Tahu kata-kata Zack sebentar tadi memang sengaja ditujukan kepadanya.
“Tak
bertuan?” Zack tergelak suka. Hati Haiqal semakin mendongkol geram. Kurang ajar
betul budak mentah ni. Zack seolah-olah sengaja mahu mencari pasal dengannya.
“Silap
besarlah kalau ingat si cantik manis ni tak bertuan. Dania ni girl aku dan kau
jangan sesuka hati nak datang dekat dia.” Zack memberi amaran. Dia geram
melihat Haiqal yang sengaja mahu mendekati Dania. Kesabaran Haiqal sudah
semakin menipis. Rasa mahu ditumbuk sahaja wajah Zack ketika itu. Sakit juga
hatinya apabila mengenangkan orang yang jual mahal seperti Dania ini boleh
tunduk kepada budak mentah seperti Zack tetapi tidak kepada dirinya.
“Zack,
dah la tu... kita datang sini, kan nak seronok-seronok. Jangan la layan dia ni.”Dania
memaut erat tangan Zack.
“Hmmm...
betul jugak. Malam ni kita enjoy puaspuas, okey.” Zack ketawa kuat.
“Tau
pun... buat apa nak layan sangat orang yang kita tak kenal,” ujar Dania dengan
selamba. Dengan bangga Zack merangkul bahu Dania meninggalkan Haiqal di situ.
Sekali lagi senyuman sinis dilemparkan buat Haiqal.
Hati
Haiqal mendongkol geram. Lihatlah nanti, Zack mahupun Dania. Satu hari nanti
Dania akan tersungkur di kakinya. Gelas minuman yang berada di tangan dihentak
kuat ke atas meja. Dani terkejut melihat aksi rakannya itu.
“Relax
la, Haiqal.” Kata Dani, cuba untuk menenangkan Haiqal setelah agak lama dia
mendiamkan diri.
Haiqal
dapat melihat cara Zack merapatkan tubuhnya kepada Dania. Entah apa yang mahu
dibisikkannya kepada Dania. Menggunakan alasan muzik kuat untuk mengambil
kesempatan. Taktik yang sering digunakan. Sebagai lelaki, Haiqal dapat mengagak
apa yang ada dalam kepala anak muda tersebut. Terasa dirinya sudah tewas kepada
anak muda seperti Zack. Nampak pun macam budak lagi. Mungkin Zack sebaya dengan
Dania. Penolakan Dania terhadap dirinya sebentar tadi serta kehadiran Zack yang
seolah-olah mempersendakan dirinya membuatkan Haiqal nekad. Pasti Dania akan
menyesal kelak. Dania akan menjadi miliknya suatu hari nanti. Mungkin pada awal
tadi dia sekadar ingin berkenalan dengan Dania. Tetapi kini tidak lagi.
Akan
dijeratnya Dania agar gadis itu tunduk kepadanya kelak. Dia tidak akan sesekali
kalah kepada sesiapa. Tiba-tiba sahaja keinginan untuk memiliki Dania begitu
membuak-buak di hati Haiqal. Haiqal bangun dari tempat duduknya, dia ingin
segera pulang. Tidak dipedulikan langsung Dani yang sedang memanggil namanya
berulang kali. Makin lama duduk di sini pun makin sakit hatinya.
wow. . Interesting. . :D
ReplyDeleteTQ
Delete