Thursday 2 October 2014

CINTA LOLIPOP (KISAH SI LOLIPOP) BAB 4

LAGU Allahyarham Sudirman Haji Arshad bergema di corong radio. Bulan kemerdekaan sudah tiba. Sedar tidak sedar kini Aryana sudah melangkah ke tingkatan lima. Cepat sahaja masa berlalu. Alih-alih sudah masuk tingkatan lima.
“Dulu masa kat sekolah lama. Bila masuk bulan Ogos mesti cerita hantu mula keluar,” ujar Atin, tergelak-gelak mengingati kenangan yang dikorek dari kotak memori.
“Ada hantu Jepun keluar ke?” soal Helmy separuh mengusik.
“Hantu Jepun, hantu Cina, hantu British, semuanya keluar. Bila masuk aje bulan Ogos macam-macam hantu keluar,” sambung Atin lagi. Rajin sangat melayan soalan Helmy.
“Pernah nampak ke?” soal Syikin pula ingin tahu.
“Nampak tu tak pernahlah. Tapi senior selalu cerita. Tiap-tiap tahun keluar cerita yang sama. Junior yang baru masuk dah sah-sahlah takut.”
Budak lelaki apabila mendengar cerita hantu mereka ketawa saja. Sedikit pun tidak takut. Begitu juga Haniff, Helmy, Megat Faiz dan Fauzi hanya gelak sakan.
“Cerita hantu ni bermusim. Satu aje cerita hantu keluar, lepas tu mulalah keluar pulak cerita hantu yang lain. Tiap-tiap tahun pun memang macam tu. Padahal tak ada apa sangat pun,” ujar Atin tak habis lagi dengan cerita hantu dia.
“Hantu tengkuk panjang. Hantu tulah yang paling glamor kat hostel dulu.” Megat Faiz ikut menambah.
“Sampai nak masuk tandas pun takut.”
“Hantu bungkus pun glamour jugak. Tengah-tengah tidur bukan main sedap lagi peluk. Ingatkan peluk bantal golek. Tapi rupa-rupanya... peluk hantu golek,” ujar Helmy ketawa nakal. Sengaja menakut-nakutkan pelajar perempuan.
Hampir terjerit Atin dan Saleha. Aryana juga.
“Dalam banyak-banyak hantu yang wujud di hostel, hantu loker yang paling popular. Ayat yang selalu hantu tu sebut., ‘saya tahu awak tak tidur lagi’. Elok aje hantu tu bercakap sambil tengah bertenggek atas loker.” Sekarang Fauzi pula yang ikut mengusik.
 “Hati-hati tidur malam ni Yana. Silap-silap kembar awak yang ada kat makmal patologi tu datang teman malam ni. Elok-elok aje pusing dia dah ada kat sebelah.” Haniff mula menyakat dengan wajah nakalnya.
“Eee....” Aryana menahan geram.
Mana boleh mengaku takut depan Haniff. Padahal dalam hati rasa seram juga mendengar cerita hantu yang diceritakan. Memang betullah cakap Atin tadi. Satu sahaja cerita hantu keluar, mulalah diikuti cerita hantu lain.
Rangka lengkap tulang manusia yang berada di Makmal Patologi tidaklah begitu seram jika dilihat di siang hari. Tetapi apabila Haniff cakap macam tu, memanglah seram. Daripada tiada perasaan takut, terus jadi takut. Imaginasi pula terlebih advance. Sudah terbayang di kepala Aryana bentuk tulang manusia itu berada di sebelah.
“Hah, nak ke mana pulak tu?” tegur Syikin apabila melihat Aryana melangkah ke luar kelas.
“Nak pergi toilet.”
Syikin mengangguk perlahan. Takut sangat ke apa ni, sampai nak ke toilet bagai, fikir Syikin.
“Yana!” laung Haniff sebelum Aryana melangkah lebih jauh.
Terus sahaja Aryana berpaling memandang Haniff.
“Hati-hati...” tutur Haniff dengan wajah yang bersahaja.
“Kenapa?” tanya Aryana pelik.
“Nanti jumpa kepala.”
“Anip!” Hampir menjerit Aryana di situ.
Elok-elok tiada perasaan takut, tiba-tiba jadi takut semula. Di minda automatik terbayangkan kepala manusia yang sudah bercerai dari badan. Berdarah dan berambut panjang mengurai di dalam tandas.
“Kepala paiplah,” ujar Haniff tergelak kuat. Buat-buat tidak nampak muka Aryana yang sudah merah menyala menahan geram.


GAMBANG dipukul perlahan. Sudah tiga minggu Aryana dan rakan-rakannya gigih berlatih gamelan sempena sambutan Karnival Hari Merdeka peringkat negeri. Syikin di sebelah tepi bermain keromong, manakala Atin pula bermain kenong. Ikut pantang larang, semua alatan gamelan tidak boleh dilangkah. Jika terlangkah, akan sumbanglah bunyinya menurut kata Cikgu Samad.
Entah betul atau tidak. Tetapi mungkin itu adalah pantang larang yang orang tua-tua dahulu buat. Lebih kepada memupukkan sikap hormat kepada alat muzik tradisional sekalipun ia tidak bernyawa. Tetapi kalau memang tidak pandai main, setakat main ketuk-ketuk sahaja, terlangkah ataupun tidak, memanglah sumbang bunyinya.
Lagu Ya Maulai bergema di seluruh dewan mengiringi persembahan kumpulan tarian yang sedang berlatih di pentas utama. Raptai penuh diadakan hari ini untuk membetulkan mana yang sumbang.
“Yana, tengok tu,” arah Syikin yang menghalakan pandangannya ke arah sudut dewan.
Aryana mengikut sorot pandangan mata Syikin dan ketika itu wajah Haniff bertamu di ruang mata. Terpegun seketika melihat Haniff yang lengkap dengan pakaian silat serba hitam. Memanglah Cikgu Hazli sudah memaklumkan persembahan silat akan diadakan selepas persembahan tarian tamat. Tetapi tidak disangka Haniff yang akan membuat persembahan. Tidak pernah lihat Haniff berlatih sebelum ini.
“Dah macam Pendekar Melayu Terakhir,” tambah Syikin.
Memanglah dia sudah tahu Haniff adalah ahli Persatuan Seni Silat Gayong, tetapi apabila melihat Haniff buat persembahan, kagum juga dengan persembahannya. Bunga silatnya nampak berseni. Kuda-kudanya kemas dan tangkas. Betul kata Syikin, sekali tengok nampak seperti Pendekar Melayu Terakhir.
“Ada darah keturunan Hang Jebat ke Anip ni?” Mata Aryana masih lagi menyoroti setiap gerakan dan bunga silat Haniff.
“Entah-entah darah keturunan Hang Tuah kot.” Ketawa Syikin sudah berpadu dengan ketawa Aryana.
“Lepas ni panggil Aniplah kalau ada orang buli kita,” ujar Atin tidak habis-habis lagi dengan pujian melambung dia.
“Buatnya Anip dengar kita puji dia, mesti dia kembang semangkuk.” Sudah terbayang di minda Aryana, Haniff yang tersengih-sengih apabila dipuji.
Nasib baik hari ini cuma raptai penuh. Yang ada di dalam dewan ini cuma cikgu-cikgu dan para pelajar yang terlibat. Bolehlah mereka bergelak ketawa dan tidak serius begitu. Tetapi andai kata hari ini adalah hari persembahan yang sebenar, pasti semuanya serius. Mahu kena pancung dengan Cikgu Samad sebab buat bising.


DI belakang pentas, Aryana yang sudah lengkap berpakaian tiba-tiba pula terasa gemuruh sementara menunggu masa untuk membuat persembahan. Terus sahaja lolipop disumbat ke dalam mulut. Rasa manis lolipop mengurangkan debaran. Memang sengaja seplastik kecil lolipop dibawa dan diletakkan di atas meja yang berhampiran dengannya sebagai bekal. Ada lebih boleh bagi pada kawan-kawan.
“Nak satu.” Haniff yang entah dari mana tiba-tiba sahaja muncul lalu dengan selamba mengambil satu lolipop milik Aryana yang ada di atas meja.
Aryana sekadar mengangguk. Sudah biasa sangat dengan perangai selamba Haniff. Haniff yang sudah segak dengan pakaian silat yang tersarung kemas di tubuh rupanya baru keluar dari bilik persalinan lelaki.
Say cheese...
Suara seseorang membuatkan Aryana dan Haniff serentak berpaling. Serentak itu juga cahaya yang memancar berserta bunyi klik menyilaukan mata.
Blur seketika Aryana dibuatnya. Cahaya dari flash kamera masih terasa silau di mata.
“Hmm... dua-dua tengah makan lollipop,” ujar Farah tersengih sambil memandang kamera di tangan.
“Comel kot. Dua-dua tengah pandang kamera.” Farah mengomel sendirian sambil memerhatikan gambar kandid Aryana dan  Haniff.
Ambil gambar rupanya. Kenangan di belakang pentas. Mulut masing-masing menggumam lolipop. Yang kelihatan hanyalah tangkai lolipop yang putih. Kebetulan kedua-duanya sedang memandang kamera.
Suara Cikgu Nisa yang mengarahkan semua pelajar yang akan membuat persembahan agar bersedia menyedarkan Aryana dan rakannya yang lain. Sebentar lagi tetamu kehormat akan tiba. Semuanya perlu bersedia di posisi masing-masing. Dewan pula sudah dipenuhi dengan pelbagai rupa manusia.





MASA yang terus bergerak membuka lembaran baru. Habis tingkatan lima, masing-masing membawa haluan sendiri. Namun walaupun sesi persekolahan sudah tamat, Aryana tetap berhubung dengan rakan-rakan sekelasnya yang lain.
Syikin sentiasa menjadi keutamaan. Rakan baiknya itu sedang sibuk membuat persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Di meja batu marmar berhampiran rumah, Aryana tersenyum sendirian memandang komputer riba sambil berchating dengan Syikin. Mulutnya pula disumbat dengan lolipop.
“Mentang-mentanglah dah tak sekolah. Bukan main sibuk lagi berchit-chat. Kawan ke pakwe?”
Aryana menoleh ke arah abangnya, Firdaus Izzany.
“Alah… dengan siapa lagi, dengan Syikinlah. Adik abang ni mana ada pakwe.”
“Papa... anak papa kata dia dah apa pakwe!”
Terjegil mata Aryana memandang abangnya yang tiba-tiba menjerit nakal.
“Apalah abang ni. Memandai aje. Orang cakap lain, dia cakap lain pulak.” Sempat Aryana menampar perlahan lengan kanan abangnya.
“Tahu pun takut. Baru usik sikit aje tu.”
Selamba Aryana mencebik. Geram dengan abangnya yang masih tergelak-gelak mengusik.
“Ajaklah Syikin datang sini.”
“Dia sibuklah,” ujar Aryana sambil menaip di komputer riba.
“Memanglah semua orang sibuk. Awak seorang aje yang tak sibuk. Asyik dengan laptop aje.”
“Mana ada selalu pun. Sekali-sekala aje. Abang tu sibuk pasal Yana. Nanti Yana bagi tahu papa dan mama abang dah ada makwe baru tahu.” Aryana bagaikan mengugut pula.
“Senyaplah.” Pantas Firdaus Izzany menekup mulut Aryana.
Dengan pantas juga Aryana menepis tangan abangnya yang masih menekup mulutnya.
“Tahu pun takut.” Aryana sudah tergelak-gelak nakal.
“Memandai aje. Mana ada girlfriend lagi.”
“Ye ke tak ada. Habis semalam bergayut dengan siapa?” tanya Aryana kembali.
“Yang semalam tu kawan ajelah.”
“Yalah tu.” Sengaja Aryana mempamerkan reaksi kurang mempercayai.
Serentak itu mereka sama-sama ketawa.
“Lepas habis matrik nanti nak apply course apa masa dekat U nanti?” tanya Firdaus Izzany setelah ketawa mereka reda.
“Rasanya macam nak pilih bidang ekonomilah,” beritahu Aryana.
“Kata hari tu minat Sains Bioperubatan.” Berkerut dahi Firdaus Izzany memandang Aryana.
“Tak jadilah. Rasanya memang nak ambil ekonomi,” ujar Aryana tersengih-sengih.
“Papa dan mama kata apa?”
“Dia orang tak kisah. Yana dah tanya dah hari tu. Papa dan mama okey aje,” balas Aryana.
Firdaus Izzany mengangguk lagi. Puas hati dengan jawapan Aryana.


BACA LAGI DI SINI
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195

CINTA LOLIPOP (KISAH SI LOLIPOP) BAB 3

‘Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat yang telah kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kepada mereka di bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan ke atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain.’ (Surah Al-An’am, ayat-6)

MAKSUD Surah Al-An’am meresap jauh ke dasar hati. Aryana memandang buku teks di atas meja. Tajuk yang dibincangkan hari ini ialah manusia perlu bersyukur. Sukatan tajuk pelajaran Pendidikan Islam tingkatan empat. Manusia adalah sebaik-baik ciptaan kerana dikurniakan akal dan fikiran. Mampu membezakan yang baik dan yang buruk. Al-Quran pula sebagai sumber ilmu yang lengkap merangkumi semua aspek dijadikan sebagai pedoman untuk menjalani kehidupan.
Maksud ayat Surah Al-An’am ayat enam dibincangkan dengan terperinci oleh Ustazah Fatimah. Istiqamah dalam membaca al-Quran adalah cara untuk menghayati al-Quran itu sendiri. Memahami kandungan di dalamnya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Al-Quran terpelihara dari sebarang perubahan. Setiap huruf yang dibaca di dalam al-Quran dikira sebagai ibadah.
“Haniff, bacakan petikan ayat ini,” arah Ustazah Fatimah.
Surah Al-An’am, ayat enam diulang baca oleh Haniff. Tadi Ustazah Fatimah menyuruh Syikin membacakan ayat itu. Sekarang tiba giliran Haniff pula. Kebetulan dalam kalangan pelajar lelaki Haniff yang terkena.
Terpegun seketika Aryana mendengar suara Haniff yang sedang membaca ayat hafazan dengan lancar dan fasih. Sedap jugaklah suara Haniff bila mengaji. Pertama kali dengar ni, getus hati Aryana.
“Bagus! Tajwidnya pun betul,” puji Ustazah Fatimah.
Apabila berhadapan dengan ustazah, mana mungkin Haniff hendak tunjuk perangai nakalnya. Apabila tiba sesi subjek Pendidikan Islam, terus Haniff bertukar menjadi budak paling baik di abad ini. Khusyuk dan diam sahaja apabila ustazah masuk ke kelas sambil menunjukkan muka budak baik. Tetapi apabila pandangan mata Aryana dan Haniff bertembung, terus Haniff menayangkan wajah nakalnya di sebalik buku teks yang diangkat agar terlindung dari pandangan Ustaza Fatimah.
Menggeleng perlahan Aryana. Tarik balik segala pujiannya terhadap Haniff yang dari tadi sekadar dipuji di dalam hati.


SELEPAS tamat waktu rehat, subjek Sejarah pula yang mengisi slot pembelajaran. Sudahlah waktu tengah hari, ditambah pula dengan perut yang masih lagi kenyang. Betul-betul menguji iman! Waktu-waktu begini memang mengantuk apatah lagi subjek yang sedang dipelajari adalah subjek Sejarah.
Rasa mengantuknya mengalahkan orang yang tertelan ubat tidur! Mata pula senang sangat tertutup rapat. Lainlah kalau dapat sumbat lolipop dalam mulut. Kot lah boleh hilang sikit rasa mengantuk. Tapi, kalau makan lolipop, ketara sangat pula. Tangkai lolipop yang berwarna putih tu nak sorok kat mana? Bukan sekadar tak sopan tapi akan nampak macam tak cukup diajar pula kalau makan lolipop ketika cikgu sedang mengajar di depan, rungut hati Aryana.
Setelah Cikgu Aswani keluar, lolipop yang disimpan di dalam laci meja diambil. Mahu disumbatkan ke dalam mulut untuk menghilangkan rasa mengantuk. Baru hendak membuka plastik pembalut lolipop, Aryana terdengar namanya dipanggil Haniff.
“Nak satu boleh?” pinta Haniff sambil tayang muka kasihan gaya budak tadika inginkan gula-gula.
Aryana pula yang jadi serba salah. Lolipop yang tinggal hanyalah satu, iaitu yang berada di tangannya kini. Lolipop itu jugalah yang diharapkan dapat menghilangkan rasa mengantuk yang teramat sangat. Tetapi apabila melihatkan muka Haniff yang polos keanak-anakan, Aryana pula yang tidak sampai hati mahu menghampakan Haniff. Muka Haniff juga sudah mengantuk semacam. Lolipop yang berada di tangan diberikan kepada Haniff.
Ucapan terima kasih mengetuk gegendang telinga Aryana. Sepantas itu juga Haniff memasukkan lolipop ke dalam mulut. Wajah yang mengantuk bertukar ceria. Aryana telan air liur memandang lolipopnya yang selamat dimakan Haniff. Mata mengantuk bukan main, tetapi sabar sajalah. Takkan nak minta balik. Nanti, tak pasal-pasal siku sendiri yang buruk.
“Tak makan ke?” soal Haniff apabila sudah tinggal separuh saiz lolipop yang bukan main enak lagi dimakan.
“Tak apa, makanlah.” Hanya itu jawapan Aryana. Takkan nak cakap, ‘awak dah makan lolipop terakhir saya’. Bagi ikhlas ya!
Haniff terdiam seketika. Bagaikan baru tersedar sesuatu.
“Tak apa ke saya makan lolipop awak ni?” soal Haniff nampak ragu-ragu.
“Awak dah makan pun kan?” Perlahan sahaja suara Aryana.
Mahu tergelak pun ada. Mungkin sekarang Haniff baru perasan. Lolipop yang terakhir sudah selamat dimakannya. Sedangkan Aryana tidak kisah sangat pun. Takkanlah setakat lolipop hendak berkira sangat.
Haniff tersenyum kelat seperti tertelan buah langsat yang tidak berapa masak.
“Nak pulangkan tapi... dah makan...” kata-kata Haniff terhenti di situ.
“Nanti saya gantikan dengan yang lain.” Bukan main bersungguh-sungguh lagi Haniff menuturkan kata.
“Betul nak ganti?” soal Aryana kembali.
Sudah mula rasa hendak mengusik. Idea nakal mula terbayang-banyang di kepala. Tanduk pun sudah tumbuh dua ni ha! Sekali-sekala balas dendam pada Haniff yang sering mengusiknya seronok juga.
Pantas Haniff mengangguk. Nampak lurus sangat di mata Aryana. Muka sudah bertukar menjadi budak paling baik di abad ini. Ke dia tertinggal muka nakal dekat Planet Marikh? Usik hati Aryana.
“Gantilah. Ganti banyak-banyak. Ganti satu plastik lagi bagus!” Aryana menyimpan tawa di dalam hati. Jangan suara ketawanya terhambur keluar sudah. Bukan main lagi ditahan rasa lucu yang semakin menjentik-jentik tangkai hati.
“Okey.” Itu pula jawapan Haniff.
Walaweh! Hampir jatuh rahang Aryana mendengar jawapan Haniff. Rasanya tidaklah kejam sangat sampai Haniff perlu ganti dengan seplastik lolipop. Tak ganti terus pun tak apa Encik Haniff oi!


TAMAN Botanikal Buluh menyambut kedatangan Aryana dengan cuaca yang baik. Pokok-pokok yang merimbun subur membuatkan kawasan sekitar sentiasa teduh. Selepas meletakkan pakaian di dalam khemah, setiap peserta diarahkan untuk berkumpul di Lapangan Kawad untuk mendengar taklimat terlebih dahulu.
“Tahun lepas saya dah jadi macam Zorro, nak kena tangkap senior kamu yang terkena histeria.”
Histeria? Gulp! Aryana telan air liur. Biar betul Encik Hamid ni. Bergurau ke betul-betul? Di tempat yang indah lagi permai ni sangatlah tidak seronok apabila terdengar jeritan orang yang terkena histeria. Lagilah kalau sudah masuk waktu malam atau senja. Seram! Tetapi, daripada memikirkan hal itu, lebih baik hirup udara segar puas-puas.
Kawasan perkhemahan ini sememangnya luas. Ada tasik untuk aktiviti kayak. Sesiapa yang meminati aktiviti lasak, boleh cuba flying fox, abseiling dan rope climbing. Habis sahaja taklimat sebentar tadi, setiap peserta kembali semula pada pasukan masing-masing.
“Yana, ada bawak insect repellent tak?” soal Haniff yang sudah seperti kera kena belacan. Habis merah tangannya kerana digigit nyamuk.
Insect repellent dikeluarkan dari kocek seluar lalu dihulurkan ke arah Haniff. Muka Haniff seperti biasa, selamba sahaja. Ikut rasa geram, malas Aryana mahu berikan kepada Haniff. Tetapi kalau tidak diberi, kasihan pula. Senyuman kecil terukir di bibir. Belum apa-apa lagi sudah kena gigit nyamuk.
Dalam hati Aryana terasa ingin ketawa kuat-kuat. Kelakar tengok muka Haniff yang sedang menahan rasa gatal akibat digigit nyamuk. Dalam ramai-ramai, Haniff juga yang diserang nyamuk-nyamuk di situ. Sebelum ini, Haniff juga yang cakap tidak perlu bawa insect repellent kerana tiada nyamuk. Alih-alih diri sendiri yang terkena dulu.
“Ingatkan kebal.”
“Memang kebal pun. Tak kebal dengan nyamuk aje,” balas Haniff selamba.


APA yang perlu dan apa yang tidak perlu ada di dalam peti pertolongan cemas? Tidak semua tahu dan tidak semua pasti. Inilah salah satu pertandingan yang diadakan untuk menguji pengetahuan asas setiap wakil sekolah untuk perkhemahan St John Ambulance kali ini. Pasti ramai yang tidak tahu, ada juga yang meletakkan Panadol dalam peti pertolongan cemas, dan ia menjadi kebiasaan di rumah. Sedangkan peti pertolongan cemas bukanlah tempat yang sewajarnya untuk menyimpan Panadol.
Triangular bandage (kain anduh), sterile gauze, roller bandage, acriflavine, kapas, plaster dan beberapa jenis barang lagi adalah antara barang asas yang perlu disimpan di dalam peti pertolongan cemas.
Aryana dan Haniff yang mewakili sekolah dalam pertandingan ini sudah ingat-ingat lupa. Sekejap rasa sepuluh barang sahaja yang perlu ada. Sekejap lagi rasa ada 12 barang pula. Masing-masing keliru.
Mata sudah terkebil-kebil melihat barang yang diletakkan di depan mereka. Sampaikan Optium (alat mengukur kadar glucose dalam darah) pun dilambakkan sekali. Sudahnya Aryana dan Haniff main campak sahaja apa yang dirasakan betul. Lagi lucu apabila ada peserta yang memasukkan sekali Urinary Catheter (tiub kencing). Terus menjadi bahan ketawa.
Selesai pertandingan kawad kaki, mereka berehat sebentar kemudian pertandingan CPR (cardiopulmonary resuscitation) bermula. CPR dilakukan apabila pernafasan seseorang itu terhenti atau apabila jantung terhenti bertujuan untuk mengekalkan fungsi otak secara manual. Darah yang beroksigen akan terus mengalir ke otak dan organ-organ penting jika teknik yang digunakan adalah betul sementara menunggu seseorang itu mendapat rawatan susulan. Tekanan pada dada pula sekurang-kurangnya lima sentimeter.
Teringat ketika pertandingan anduh. Macam-macam gaya ikatan yang dibuat. Sebelum pertandingan bukan main lagi praktis. Apabila tiba hari pertandingan jadi berdebar sakan, sampai tersilap ikat. Kata Haniff ketika itu, kain anduh kena diikat elok-elok, kalau salah teknik ikatan, akan kelihatan seperti mumia pula.
Malamnya aktiviti Pandu Arah bermula tepat jam 9.00 malam. Dalam samar cahaya Aryana dan rakan-rakannya meredah kegelapan malam. Tangan Syikin yang berada di belakang digenggam erat. Bunyi cengkerik bukan main kuat lagi kedengaran di telinga diselang-selikan dengan bunyi nyamuk yang riang berterbangan.
Mana tidak riang-ria nyamuk-nyamuk ini. Makanan terhidang di depan mata. Yang pendek dan yang tinggi, yang macam-macam warna kulitnya. Putih atau kelabu. Pilih sahaja mana yang mahu. Agaknya itulah kata-kata nyamuk yang sedang berkomunikasi nyaring bersama rakan-rakan yang seangkatan mereka.
Bulan kelihatan mengambang terang. Agak-agaknya kalau ditambah bunyi serigala menyalak di sebalik bukit, mahu Aryana terkucil di sini juga.
Berbekalkan cahaya bulan dan hanya dua buah lampu suluh sahaja yang dibenarkan untuk dibawa, harap-harap tiada yang digigit pacat. Haru juga kalau ada yang tiba-tiba terjerit-jerit malam-malam begini disebabkan pacat.
Udin yang berada di belakang Helmy pun sudah berkeluh kesah. Kena gigit nyamuk agaknya. Bukan main lagi tangan dia bersilat ke kiri dan ke kanan, ke depan dan belakang menghalau nyamuk yang bingit di tepi telinga.
Gaya seperti Hang Jebat hendak bertarung dengan Hang Tuah yang berebut Keris Taming Sari. Aryana pula, insect repellent 24 jam dilumur pada badan. Kurang sedikit gangguan. Mereka kembali semula ke Lapangan Kawad. Encik Hamid mengarahkan mereka mengira semula ahli kumpulan. Sama ada cukup atau tidak bilangannya.
“Masa pergi tadi cukup-cukup aje ahlinya. Macam mana bila balik terlebih seorang.” Terdengar suara Encik Hamid yang kehairanan.
Encik Hamid mengira sekali lagi masih juga terlebih seorang ahli. Berkali-kali kira pun masih sama jumlahnya.
“Kurang bilangan ahli bermaksud ada yang tercicir. Bahaya ni. Tapi bila balik, terlebih pulak bilangan ahlinya, lagi bahaya. Siapa pulak yang ikut?”
Encik Hamid dah mula nak berlucu. Sempat dia buat lawak waktu kecemasan begini. Encik Rafal yang ada di sebelah ikut tersenyum-senyum. Eii... malam-malam begini seram pula buat lawak begitu.
“Ada hantu Kak Limah ikut sekali ke apa?”
Entah suara nakal siapalah yang berkata begitu. Mulut memang tidak ada insurans. Tetapi sempat jugalah kata-kata itu singgah di telinga Aryana. Yang pasti kata-kata itu bukan datang dari rakan sekolahnya. Entah pelajar dari sekolah mana yang main lepas cakap waktu malam-malam begini.
Jam sudah merangkak hampir pukul 12.00 malam. Terus meremang bulu roma! Sampai sudah tidak ingat berapa kali kira, barulah betul jumlah ahlinya. Haru jugak buatnya sampai esok pagi pun ahli kumpulan masih terlebih seorang! Alamatnya satu malam tidak boleh tidur!


HARI terakhir perkhemahan, semua pelajar dibenarkan melakukan aktiviti sendiri. Sudah puas bergayut masa aktiviti flying fox, Aryana mencuba pula aktiviti rope climbing. Di bawah pokok Haniff sudah tergelak-gelak. Tidak tahu di mana silapnya tali yang digunakan tiba-tiba tersekat menyebabkan Aryana tergantung di tengah-tengah antara tanah dan dahan pokok.
“Sebijik macam rupa Si Jane dah Yana ni? Bergayut sambil tunggu Tarzan datang,” ujar Haniff, tersenyum lebar sambil memandang Syikin.
Syikin tersengih sahaja. Tidak berani komen lebih-lebih. Takut menyinga pula Aryana nanti. Sudah habis segala aksi Tarzan dan Jane ketika aktiviti rope climbing, Aryana kemudiannya mencuba aktiviti abseiling.
“Berani ke nak cuba,” ujar Haniff mula menyakat.
“Nak takut apanya? Tengok kakilah.” Yakin Aryana bersuara.
Entah bagaimana, Aryana sendiri pun kurang pasti. Tetapi sekarang dia sudah boleh berbual santai dengan Haniff begini. Kalau di awal-awal dahulu, asal ternampak kelibat Haniff saja, perasaan Aryana akan menggelegak panas macam lahar gunung berapi. Tetapi sekarang sudah okey.
“Kaki macam orang lidi,” kutuk Haniff sambil tergelak-gelak.
Orang lidi? Memang sengaja agaknya Haniff mencurah minyak tanah atas bara api. Ada ke patut dikatanya kaki orang lidi.
Apabila tiba aktiviti berkayak, Haniff juga sibuk ingin berkayak. Tadi aman damai Aryana dan Syikin berkayak berdua. Tiba-tiba Haniff datang menyibuk. Udin yang menaiki kayak bersama Haniff bersusah payah mendayung sendiri. Haniff pula bersenang-lenang gaya Sultan Mahmud duduk santai di atas kayak sambil menyilangkan tangan. Kerjanya asyik mengusik sahaja. Gamat tengah-tengah tasik itu dengan suara dia seorang.
“Pergilah jauh-jauh. Tasik ni kan luas lagi,” halau Aryana selamba apabila kayak yang dinaiki Haniff semakin menghampiri dengan kayak yang dinaikinya.
“Hari tu Udin jumpa lintah besar. Habislah kau orang kena gigit,” sakat Haniff lagi tanpa mempedulikan kata-kata Aryana sebentar tadi.
Jangankan Aryana, Syikin yang mendengar pun turut geli-geleman. Haniff yang sedang memegang pendayung merapatkan kayak yang dinaikinya dengan kayak yang dinaiki Aryana. Tiba-tiba Haniff menolak kayak Aryana dengan pendayung yang dipegangnya membuatkan kayak yang dinaiki Aryana dan Syikin bergoyang-goyang ke kiri dan kanan.
“Janganlah!” marah Aryana.
Haniff tidak mempedulikan kata-kata larangan dari Aryana sebaliknya terus terkekeh ketawa. Sekali lagi Haniff menggunakan pendayung yang dipegangnya untuk menolak dan mengetuk-ngetuk kayak yang dinaiki Aryana dan menyebabkan mereka panik.
“Weh, janganlah! Buatnya kita orang jatuh macam mana?” Sudah mula terdengar suara Syikin yang tidak puas hati.
Makin dilarang, makin menjadi-jadi pula usikannya. Buatnya kayak ni terbalik, habislah basah satu badan. Orang lain boleh mendayung dengan tenang sambil menikmati keindahan alam. Tetapi Aryana tidak sempat bertenang, kerana asyik diganggu. Huru-hara jadinya. Tetapi Haniff tetap Haniff. Gelakkan orang sampai merah muka. Cuma tangannya sahaja yang tidak senakal tadi mengetuk dan menggoyang-goyangkan kayak yang dinaiki Aryana dan Syikin.
“Nasib baik tak jatuh,” ujar Aryana sambil menayangkan muka tidak puas hati. Buatnya jatuh tengah-tengah tasik ini pasti menjadi bahan ketawa.
“Jatuh pun apa salahnya. Udin boleh jadi penyelamat,” ujar Haniff, selamba.
Air tasik yang tadinya berombak kecil kini sudah mula tenang. Aryana sudah malas bertikam lidah. Tidak terjatuh ke dalam tasik pun sudah cukup baik. Hari yang tidak terlalu terik mendamaikan suasana. Sudah hampir lima minit mereka semua terdiam di situ. Banyak sangat bertekak sampai sudah tiada tenaga untuk mendayung balik. Haniff yang sudah berada di hadapan menoleh ke belakang. Dilihatnya perlahan sahaja dayungan Aryana dan Syikin.
“Dah tak larat nak dayung ke?” soal Haniff tersengih sambil menoleh ke arah Aryana.
Pandangan pelik dilemparkan kepada Haniff. Ni nak memerli ke apa? Aryana sudah kembali cuak. Jangan Haniff sengaja cari pasal hendak terbalikkan kayak yang dinaikinya sudahlah. Memang sudah tiada tenaga hendak melawan.
“Kau orang berdua tak payah susah-susah dayung. Biar kita orang aje yang dayung,” ujar Haniff tiba-tiba sambil mencapai tali yang berada pada kayak yang dinaikinya dan disangkutkan pada kayak yang dinaiki Aryana dan Syikin.
Di bahagian belakang kayak yang dinaiki mereka ada tali yang sudah sedia terpasang. Tali tersebut disangkutkan di bahagian depan kayak yang dinaiki Aryana dan Syikin. Biasanya tali penyambung kayak ini digunakan ketika aktiviti menyelamat. Bukannya mereka tidak larat sangat sampai tidak boleh mendayung balik. Tetapi Haniff terlebih baik sangat hari ni. Terlebih rajin! Tak payahlah mereka bersusah payah nak mendayung bagai. 
Orang dah offer kita rembat aje. Boleh mereka bersenang-lenang di atas kayak yang ditarik oleh Haniff dan Udin dari depan, fikir Aryana.
Pendayung diletakkan di atas riba dan tangan didepakan ala-ala kisah Titanic. Biar Haniff dan Udin tarik mereka sambil mendayung sehingga ke hujung tasik.
Aryana tenang apabila terasa angin meniup ke muka. Tiba-tiba terasa diri seperti tuan puteri zaman dahulu kala. Di hadapan pula si panglima gagah berani sedang mendayung sampan. Bukan senang hendak merasa apabila sesekali budak yang nakal bertukar jadi baik. Di bawah langit biru, bersaksikan segalanya. Dan memori itu terus terukir di lubuk hati.

SAMBIL menunggu bas sekolah, Aryana dan rakan-rakannya yang lain menanti bas di bawah pokok buluh.
“Besarnya beg. Letak apa dalam tu?” soal Haniff apabila terpandangkan beg Aryana.
“Bajulah,” jawab Aryana sambil lewa.
“Apasal besar sangat?” Haniff sudah mula menyakat.
“Angkut sekali teddy bear ke? Buat peluk waktu malam bila sejuk.”
Sampai ke situ pula tekaan Haniff. Tidak kuasalah nak bawa teddy bear. Sekalipun sejuk, tidaklah sampai perlu membawa teddy bear ketika nak berkhemah.
“Tak ada faedahnya bawak benda alah tu datang sini,” balas Aryana geram.
“Tak bawak teddy bear? Habis tu bawak apa? Ke bawak bantal peluk yang dah masam dengan air liur basi? Tu yang beg besar macam buah nangka.” Haniff ketawa nakal.

Bas sekolah yang dipandu Pak Mail sudah pun tiba. Haniff terus melangkah ke dalam perut bas dengan suara ketawa yang menyakitkan hati. Ditinggalkan Aryana terkulat-kulat di situ.


LAGI DI SINI
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195

CINTA LOLIPOP (KISAH SI LOLIPOP) BAB 2

KELAS yang tadinya hingar-bingar bertukar sunyi sepi apabila Cikgu Asmah masuk ke kelas untuk mengajar subjek Matematik Tambahan. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba Cikgu Asmah memberikan soalan kuiz secara mengejut. Dari ekor mata, Aryana dapat melihat Syikin yang begitu khusyuk dengan soalan di depan mata.
“Tak perlu nak toleh ke kanan kiri. Kan saya dah bagi soalan satu seorang. Tengok kertas masing-masing,” ujar Cikgu Asmah, memberi amaran apabila ada dua tiga orang pelajar berbisik-bisik dengan rakan di sebelah.
Rasa hendak ketawa dengan teguran Cikgu Asmah sebentar tadi. Seolah-olah terkena batang hidung sendiri. Walhal mungkin Cikgu Asmah bermaksud menegur pelajar lain yang nyata sedang tertoleh-toleh. Tempoh masa 15 minit yang diberikan untuk menjawab soalan sudah pun tamat. Ketika itu pula tiba-tiba sahaja telefon bimbit milik Cikgu Asmah yang diletakkan di atas meja guru berbunyi nyaring.
Sebelum ini tidak pernah Cikgu Asmah atau mana-mana guru lain membawa telefon bimbit ke dalam kelas. Mungkin sememangnya Cikgu Asmah menantikan panggilan tersebut yang sememangnya penting, lalu telefon bimbit dibawa ke kelas hari ini.
“Aryana, tolong kutip semua kertas soalan tadi,” arah Cikgu Asmah yang kebetulan berdiri berhampiran meja Aryana sebelum panggilan telefon dijawab.
Seperti yang diarahkan, satu per satu kertas soalan yang sudah dijawab oleh rakan sekelas dikutip. Sehinggalah apabila tiba di meja Haniff, langkah Aryana terhenti. Tidak seperti pelajar lain yang dengan senang hati menghulurkan kertas yang sudah dijawab kepada Aryana, namun Haniff pula hanya membiarkan sahaja kertas itu di atas meja. Riak wajah Haniff begitu selamba.
Malas hendak fikir panjang, Aryana mencapai kertas soalan yang masih berada di atas meja Haniff. Namun, ketika Aryana ingin menarik kertas tersebut, Haniff tiba-tiba sahaja turut meletakkan tangannya di hujung kertas itu menyebabkan pergerakan tangan Aryana terhenti. Tapak tangan Haniff yang menekan kuat kertas itu menyukarkan Aryana untuk menariknya.
“Cepatlah!” Aryana menekan suaranya.
Korek biji mata karang baru tahu. Geram Aryana melihat wajah Haniff yang masih beriak selamba seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Sekali lagi Aryana menarik kuat kertas yang masih ditekan Haniff. Kali ini barulah Haniff melepaskan kertas itu. Tanpa menunggu lama Aryana terus berlalu dari situ.
Namun dari ekor mata, sempat Aryana menangkap bibir Haniff yang mengukir senyuman kecil.
Eee... geram betullah dengan mamat seorang ni. Makin meluap-luap rasa marah Aryana. Nampak sangat Haniff sengaja mahu mempermainkan dirinya sebentar tadi. Bukannya Aryana tidak nampak senyuman nakal Haniff yang semakin melebar kala kakinya melangkah ke arah meja lain.


DI Makmal Patologi, Kak Ina pembantu makmal mengarahkan semua pelajar masuk. Cikgu Hazlin yang mengajar subjek Biologi masih belum sampai.
“Kembar awaklah Yana. Sebijik sama,” usik Haniff yang ketika itu berada tidak jauh di belakang Aryana sambil tangannya dihalakan ke arah sudut yang berhampiran pintu masuk makmal.  
Membulat mata Aryana memandang ke arah rangka tulang manusia yang ditunjukkan Haniff. Kembar apa kejadahnya! Ada ke patut dirinya disamakan dengan rangka manusia! Apa Haniff ingat dirinya skeleton bergerak?
“Bezanya sikit aje. Kembar awak ni tak ada rambut. Licin aje kepala dia,” sakat Haniff lagi dengan wajahnya yang bersahaja.
Ya ALLAH... sakitnya hati!
“Syikin, baik suruh Yana ni pinjamkan tudung kat kembar dia ni. Tak pun suruh aje Yana ni cukur kepala dia sampai licin macam ni ha,” ujar Haniff sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah tengkorak yang licin di bahagian kepala.
Dah namanya tengkorak. Memanglah tak ada rambut!
Habis berkata-kata Haniff terus berlalu pergi dengan wajah yang selamba. Haniff tidak ketawa atau tersenyum nakal seperti selalu. Wajahnya begitu selamba dan tingkahnya begitu bersahaja. Makin membuatkan hati Aryana meluap marah. Aryana melangkah ke meja paling hadapan dengan rasa marah yang masih bersisa, lalu duduk di situ. Syikin pula hanya tersenyum dari tadi.
Aryana yang masih mencuka terpandangkan struktur rangka tulang manusia yang lengkap setiap inci dari kepala hingga ke kaki. Replika rangka tulang manusia yang berwarna putih susu itu elok sahaja berada di tepi pintu masuk. Cikgu letak situ sebab mahu murid-muridnya belajar. Bukan mahu dijadikan bahan lawak macam yang Haniff buat tadi. Memang menyakitkan hati.
Habis sahaja sesi pembelajaran, semua pelajar beransur-ansur meninggalkan Makmal Patologi. Aryana yang ketika itu sudah pun berada di hadapan pintu Makmal Patologi terhenti melangkah apabila Haniff tiba-tiba berjalan agak laju melintasinya. Kemunculan Haniff yang tiba-tiba dari arah belakang membuatkan langkah Aryana terhenti secara mengejut.
“Yang awak ni suka sangat kacau saya kenapa?” tanya Aryana garang sambil memandang Haniff yang tiga tapak di hadapannya.
Perbuatan Haniff sebentar tadi seolah-olah sengaja mahu membangkitkan rasa marahnya. Namun suaranya masih mampu dikawal. Takkan hendak terjerit-jerit gaya apek cari surat khabar lama dalam Makmal Patologi ini pula.
“Yang awak marah sangat ni kenapa? Dengan saya awak garang. Dengan orang lain tak pulak,” soal Haniff dengan wajah tanpa sebarang riak.
“Mana ada saya garang. Lagipun awak memang suka cari pasal dengan saya kan?” balas Aryana kembali.
“Tak garang apanya. Setiap kali nampak saya muka awak berubah masam. Dengan orang lain tak pulak awak macam tu. Kita kan satu kelas. Takkan tak boleh berbaik macam orang lain? Peliklah. Apa yang awak tak puas hati sangat dengan saya?” soal Haniff lagi.
Terdiam Aryana bila Haniff menyoal begitu. Bibirnya diketap perlahan. Malas hendak bercakap panjang, terus sahaja Aryana melangkah melintasi Haniff tanpa langsung menoleh ke belakang walaupun sekali.


PENING-PENING lalat Aryana melihat buku teks Matematik Tambahan di depan mata. Langkah kira-kiranya mati pada soalan nombor tiga. Lama Aryana berfikir. Laporan makmal subjek Biologi yang sudah ditanda oleh Cikgu Hazlin diletakkan oleh Haniff di atas meja secara tiba-tiba menyedarkan Aryana.
“Buat latihan Matematik Tambahan ke?” Haniff terlebih rajin pula menyoal apabila melihat buku teks Matematik Tambahan tingkatan empat di atas meja Aryana.
“Hmm...” jawab Aryana, pendek.
Tiada hati hendak bercakap. Apatah lagi yang bertanya itu adalah Haniff. Si mamat Hitler!
“Tapi... ada yang tak dapat jawab. Keliru sikit.” Entah bagaimana Aryana boleh menyambung kata. Selalunya berat mulut hendak bercakap dengan Haniff. Tapi entah kenapa kali ini bibirnya ringan pula menuturkan kata.
Haniff mula berfikir sejenak sebelum jarinya mencapai pensel di atas meja Aryana. Tingkahnya begitu bersahaja. Hari Jumaat. Setiap minggu semua pelajar lelaki diwajibkan memakai baju Melayu bewarna putih, bersongkok serta memakai sampin sekolah. Haniff yang lengkap berbaju Melayu putih dan bersongkok hitam. Nampak kemas dan hilang gaya budak nakal.
Laju tangan Haniff menulis langkah kira-kira di atas kertas conteng. Aryana hanya memerhatikan Haniff yang bersahaja tetapi khusyuk dengan langkah pengiraan di depan mata. Sekejap sahaja sudah siap dan kertas conteng itu dihulurkan semula ke arah Aryana.
“Faham?” soal Haniff.
“Dah!” jawab Aryana sambil bersorak riang. Agak lepas laku dan tidak mempedulikan Haniff yang sedang memandang ke arahnya.
“Bagus. Sekarang buat semula langkah kiraan tadi. Tapi tak boleh tengok kertas ni,” arah Haniff.
Kertas kiraan sebentar tadi ditarik dari meja Aryana dan dipegang.
“Alah... mana ingat lagi. Baru faham aje,” ujar Aryana sambil tayang muka tidak puas hati. Mulalah Haniff nak tunjuk perangai Hitler dia tu!
“Buat sekarang!” arah Haniff sekali lagi. Tegas! Cuma suaranya tidak meninggi.
Sudah mengalahkan Cikgu Asmah pula lagaknya. Geram pula Aryana dibuatnya. Pensel dicapai. Aryana mula menulis langkah kiraan yang diajar Haniff sebentar tadi. Ingatan dari kotak memori ditarik. Gigih mengingati langkah kiraan yang ditunjukkan Haniff.
“Salah tu... tertinggal langkah nombor empat.” Haniff menegur perlahan.
Dua tiga kali Haniff menegur barulah betul. Aryana tersenyum riang. Yehaaaa!
“Sekarang buat sekali lagi.” Sekali lagi Haniff memberi arahan.
“La... kan dah betul cara kira ni. Tak payahlah buat lagi.” Darah Aryana sudah mula menggelegak panas.
“Tadi kan merangkak-rangkak lagi. Bila buat sekali lagi baru betul-betul boleh ingat.”
Ee... Haniff ni betullah keturunan Hitler. Sekalipun bibir Aryana merungut perlahan, tapi tangan tetap juga mengikut arahan Haniff.
“Dah siap.”
“Boleh pun,” ujar Haniff, tersengih.
“Ingat orang budak kecil ke tak pandai buat.” Garang Aryana membalas.
Haniff sudah tolong pun bukannya hendak ucap terima kasih. Tetapi dimarah pula.
“Marah pulak?” ujar Haniff, tersenyum kecil.
Tiba-tiba sahaja Aryana naik angin. Pantang diusik sikit mulalah hendak mengamuk.
“Cuba jangan garang sangat,” sambung Haniff lagi.
“Jangan sibuklah!” marah Aryana lagi. Jasa Haniff yang mengajarnya sebentar tadi bagaikan sudah luput dari ingatan.
Bibir Haniff serta-merta mengorak senyuman kecil. Tanpa membalas kata-kata Aryana, Haniff terus berlalu dengan senyuman yang masih bersisa. Sikap Haniff yang bersahaja itu sebenarnya yang semakin membuatkan Aryana bertambah marah. Ketenangan Haniff itu seolah-olah sedang mengejeknya. Apabila Haniff sentiasa tenang begini, Aryana pula yang tercabar.


JAMY masih berlatih di tengah padang. Aryana yang sudah kepenatan berjalan menuju ke kawasan yang teduh. Di situ Saleha dan Atin sudah sedia menanti. Sambil duduk Aryana terpandangkan kelibat Haniff yang sedang berlatih lompat tinggi. Latihan untuk acara sukan sekolah yang bakal tiba lebih memenatkan bila tiba musim panas begini.
Tidak lama kemudian Haniff dan Helmy datang menyertai kumpulan Aryana yang sedang bersantai di tepi padang. Mereka duduk sambil membentuk bulatan kecil. Duduk di tepi padang bertemankan angin petang begini mampu menenangkan jiwa.
“Makan lolipop lagi.” Haniff yang sudah selesai meneguk air mineral mula menegur.
“Hmm...” Itu sahaja jawapan Aryana. Malas hendak bercakap panjang. Tetapi ingin dimarah Haniff lama-lama tidak boleh juga. Terkenang kebaikan Haniff yang mengajarnya subjek Matematik Tambahan tempoh hari.
“Kalau terlebih makan, bahaya pulak untuk kesihatan,” celah Helmy.
“Tapi ada yang bagus jugak makan lolipop ni. Bila senyum makin bertambah sweet. Macam lolipop.” Becok mulut Saleha mencelah.
Sweet tu sweet jugak. Nanti tercabut gigi kat depan tu baru tahu. Terus jadi hantu Kak Limah.”
Membulat mata Aryana dengan usikan selamba Haniff. Sudah mula aura budak nakal Haniff tu.
“Tak ada hantu lain ke?” soal Aryana selamba.
Haniff yang lengkap dengan pakaian sukannya sekadar tergelak-gelak.
“Nak hantu apa? Hantu pocong atau hantu bungkus?”
Ni yang Aryana malas nak berkacap dengan Haniff ni. Mengarut aje!
“Tak sabar nak tengok. Agaknya macam manalah rupa Yana bila dia bertukar jadi hantu Kak Limah,” sambung Haniff sambil tergelak-gelak memandang Helmy.
“Dia tu hantu bungkus! Kata kat orang,” balas Aryana apabila Haniff sakan mentertawakannya.


Makin kuat Haniff mentertawakannya. Sedikit pun dia tidak peduli Aryana marah-marah begitu.





http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195    

BACA LAGI DI SINI

CINTA LOLIPOP (KISAH SI LOLIPOP) BAB 1







BUNYI tiupan wisel kedengaran nyaring di telinga. Aryana Imani berlari anak sepantas yang mampu. Hari pertama minggu orientasi, yang Aryana tahu dirinya satu kumpulan dengan Farah, rakan sekelas yang baru dikenali minggu lepas. Puas tercari-cari, akhirnya ternampak juga kelibat Farah.
Sedang Aryana tergesa-gesa melangkah, dirinya hampir terlanggar seseorang. Berkerut-kerut dahi Aryana memandang seorang pelajar lelaki yang hampir dilanggarnya sebentar tadi. Entah siapa namanya, Aryana kurang pasti. Tidak sampai seminggu di sekolah baru, tidak sempat lagi hendak hafal nama semua pelajar yang ada.
Malas nak ambil pusing Aryana mula melangkah ke arah Farah yang sudah pun berbaris dalam kumpulan.
“Masamnya muka...”
Terhenti langkah Aryana apabila kata-kata itu menerobos masuk ke telinga. Eh, mamat ni dah kenapa? Kata-kata itu walaupun perlahan namun masih didengari dengan jelas.
“Yang pakai baju biru tu buat apa lagi. Dari tadi tertoleh-toleh. Cepat masuk dalam kumpulan awak.”
Hampir tercabut jantung akibat rasa terkejut apabila ditegur oleh Amir Saifullah. Pelajar tingkatan lima merangkap ketua penyelaras orientasi kali ini.
“Sepanjang sesi orientasi ni jangan ada yang berangan atau mengelamun!” sambung Amir Saifullah lagi.
“Yang pakai baju biru tu faham tak?”
Terasa kering darah apabila ditegur sekali lagi. Rasa tidak puas hati menggunung tinggi. Ini semua salah pelajar lelaki yang hampir dilanggarnya sebentar tadi. Disebabkan pelajar lelaki itu yang berjaya menarik perhatiannya dengan kata-katanya itu, maka dirinya pula ditegur ketua fasilitator. Buat malu setahun aje! Geram pula jadinya pada pelajar lelaki yang masih belum diketahui namanya itu.
Ketika sesi suai kenal barulah Aryana tahu nama pelajar lelaki yang hampir dilanggarnya sebentar tadi ialah Mohd Haniff Irfan atau lebih mesra dipanggil Anip. Rasa marah dan tidak puas hati masih berbaki. Tetapi terpaksa Aryana sabarkan diri apatah lagi mereka berada dalam satu kumpulan yang sama sepanjang sesi orientasi kali ini.
Makin bengkak pula hati Aryana kala Haniff dipilih menjadi ketua kumpulan. Huh, tak ada orang lain yang lebih layak ke?
Tetapi apabila semua ahli yang lain bersetuju, malaslah Aryana hendak membangkang secara terang-terangan.
“Sekarang kita pilih penolong kumpulan pulak,” ujar Haniff yang baru sahaja diberi mandat mula menjalankan tugasnya sebagai ketua kumpulan.
“Saya rasa awak yang paling sesuai.”
Membulat mata Aryana bila Haniff menghalakan pandangan ke arahnya.
“Kenapa saya pulak?”
“Sebab saya rasa awak yang paling sesuai. Berani pun ya. Garang pun ya jugak.” Semakin perlahan suara Haniff di hujung kata-katanya. Namun masih mampu didengari Aryana.
“Pilihlah orang lain. Saya tak nak jadi penolong kumpulan,” bangkang Aryana.
Sudahlah Haniff bukan main selamba lagi mengutuknya garang secara terang-terangan. Sekarang mahu dipaksa-paksa pula agar dirinya menjadi penolong kumpulan.
“Saya ketua kumpulan. Awak kenalah ikut cakap saya,” balas Haniff bersahaja.
Makin geram Aryana jadinya. Muka Haniff jangan cakaplah. Bukan main selamba lagi bila berkata-kata. Tak sampai sepuluh minit dapat mandat sebagai ketua kumpulan, tetapi perangai dah gaya diktator mengalahkan Hitler! Entah kenapalah ahli kumpulannya ini setuju sangat pilih Haniff sebagai ketua kumpulan mereka. Kalau Aryana, awal-awal lagi dah bangkang.
“Tak kira. Macam mana sekalipun saya nak tulis jugak nama awak sebagai penolong kumpulan,” ujar Haniff sambil menulis nama Aryana sebagai penolong kumpulan.
Tidak terkata Aryana dibuatnya. Malas betullah nak jadi penolong kumpulan. Bukan apa, sepanjang minggu orientasi ni, kalau ada ahli kumpulan yang buat silap, ketua dan penolong kumpulan dulu yang kena jawab dengan ketua penyelaras orientasi nanti. Lagi pula Haniff yang jadi ketua. Tak berapa gembira aku nak berkerjasama dengan dia. Kalau orang lain okey sikit agaknya. Tapi dengan Haniff ni tak tahulah. Awal-awal lagi dah tunjuk perangai Hitler dia tu! Rungut hati Aryana.
Sudahlah sepanjang sesi perbincangan hari ini, ada sahaja pendapat mereka yang bercanggah. Silap gaya, boleh bergaduh agaknya. Apabila Aryana senyap, Haniff sibuk meminta pendapat dan buah fikiran. Tetapi apabila Aryana bagi cadangan, bukan main lagi Haniff tolak mentah-mentah. Kalau macam tu baik tak payah tanya. Buat sakit hati aje. Manalah Aryana tak geram dengan perangai Haniff tu, fikirnya lagi.
           
           
AROMA menu makanan tengah hari menusuk deria bau. Aryana mengambil peluang duduk di kerusi kosong bersebelahan Syikin.
“Sengal betullah Si Anip tu. Perangai macam Hitler!” marah Aryana. Tetapi suaranya tidaklah kuat mana. Takut orang lain dengar.
“Siapa yang macam Hitler?” soal Syikin, pelik melihat Aryana yang tiba-tiba marah. Sahlah Syikin tidak kenal siapa. Jadi manalah dia tahu Aryana marahkan siapa.
“Cakaplah slow sikit. Nak suruh satu dewan makan dengar ke?” ujar Aryana sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir apabila mendapati beberapa orang pelajar lain yang duduk semeja memerhatikan ke arah mereka.
Syikin, rakan yang baru dikenali ini merupakan rakan sekelas merangkap teman sebilik.
“Kuat eh?” soal Syikin, tersengih-sengih.
“Kuatlah. Cacing dalam tanah pun boleh dengar,” ujar Aryana, selamba.
Dalam pada itu hatinya geram memikirkan kemungkinan Haniff yang telah menconteng buku notanya yang tertinggal di pavilion sebelum ini. Di buku notanya terlukis gambar orang lidi yang sedang menjelirkan lidah. Wajah orang lidi yang terlukis nampak nakal dan menyakitkan hati. Di bawahnya pula siap ada pesanan ringkas yang berbunyi;

Jangan nakal-nakal ya budak nakal.... ;p

Dalam hati Aryana hampir pasti. Ini semua Haniff punya angkara. Bukannya sengaja nak tuduh melulu. Tetapi apabila buku notanya yang tertinggal di pavilion diambil semula, ketika itu Haniff masih berada di situ bersama beberapa orang pelajar lelaki yang lain. Rasanya tak ada orang lain yang buat benda macam ini melainkan Haniff.
“Nah, tengok apa yang dia buat pada buku nota aku,” ujar Aryana sambil menghulurkan buku notanya untuk menunjukkan bukti.
Syikin pula sekadar tersenyum-senyum mendengar jawapan Aryana. Ketika Aryana mengambil kembali buku notanya yang dihulurkan Syikin, saat itu juga Aryana terpandangkan senyuman selamba Haniff. Walaupun jarak mereka jauh dan diselangi beberapa buah meja makan, namun jelas riak senyuman nakal di wajah Haniff walaupun pandangan mata mereka tidak bertaut.
Dapat Aryana bayangkan, Haniff yang duduk bertentangan dengannya saat ini sudah tentulah dapat mengagak ‘hasil seni’ yang ditinggalkan di buku nota ini sudah dilihat. Sebab itu Haniff boleh tersenyum-senyum begitu. Memanglah menyakitkan hati!


MINGGU orientasi, kerjanya asyik berlari sahaja. Risau pula kalau terlambat akan didenda. Mahu terjegil biji mata Aryana apabila terpandangkan kelibat Farah yang masih lagi berlari anak menuju ke padang sekolah. Sudah tentu kumpulan mereka yang terakhir sekali tiba.
“Ketua dan penolong kumpulan tak cakap dekat ahli kumpulan ke? Kena punctual. Ingat tu! Tak boleh lewat!” tegur Amir Saifullah.
Hampir tercekik air liur sendiri dibuatnya. Aryana mengetap bibirnya perlahan. Kan betul apa yang difikirnya. Kalau ada ahli kumpulan yang buat salah, ketua dan penolong kumpulan yang kena sembur dulu. Sekarang Aryana sudah terasa bahangnya.
“Ada ahli kumpulan yang lambat lagi, ketua dan penolong yang kena denda dulu!” sambung Amir Saifullah.
Air liur yang ditelan terasa kesat. Sempat Aryana mencuri pandang ke arah Haniff. Ni semua mamat Hitler tu punya pasallah. Kalau Haniff tidak memandai-mandai tulis namanya sebagai penolong kumpulan, tidaklah dirinya terlibat sama. Sekarang, apa-apa sahaja yang terjadi, Aryana terasa nak salahkan Haniff.
“Cepat masuk kumpulan kamu. Kita dah nak mula aktiviti sekarang,” arah Amir Saifullah akhirnya.
Fuhh! Baru lega perasaan Aryana dibuatnya. Ingatkan tadi dia bakal didenda betul-betul. Amir Saifullah tu boleh tahan tegas juga orangnya.

HARI Isnin minggu berikutnya, pagi-pagi lagi mood Aryana sudah terbantut. Bengkak hatinya apabila terpandangkan Haniff tercongok di kelasnya. Agak terkejut apabila mengetahui Haniff akan menjadi rakan sekelasnya. Apabila ketidakpuasan hati itu disuarakan pada Syikin, jawapan Syikin mudah sahaja.
“Biasalah tu. Kan tak sampai dua minggu lagi kita sekolah. Hari tu cikgu ada bagi tahu, dalam masa dua minggu ni boleh tukar kelas ikut subjek elektif yang diminati.”
Memanglah apa yang Syikin cakapkan itu betul kerana ketika hari pendaftaran kelas tempoh hari, Aryana sendiri dengar dengan jelas taklimat guru yang bertugas mengenai perkara yang sama. Tetapi hati tetap juga tidak berapa gembira apabila membayangkan selama dua tahun dirinya akan belajar di kelas yang sama dengan Haniff. Si mamat Hitler!
Apabila Aryana mengenangkan peristiwa orientasi tempoh hari, perasaan tidak puas hati masih berbaki. Haniff si Hitler. Ada sahaja yang menyakitkan hatinya.
Ketika waktu rehat, Aryana dan Syikin singgah ke taman sains sekolah yang terletak bersebelahan dengan pusat sumber. Aryana duduk di bangku yang berhampiran dengan kolam ikan. Kelihatan beberapa ekor ikan yang Aryana pun tidak tahu speses apa, berenang sambil berkejaran antara satu sama lain. Di tepi kolam pula terdapat kawasan yang agak berpasir. Dihiasi pelbagai jenis pokok kaktus yang juga terdiri dari pelbagai saiz dan speses yang berbeza.
Tidak jauh dari situ terdapat pondok yang tidak terlalu besar yang dijadikan sebagai rumah arnab. Tangan Aryana lincah menyelak setiap helaian buku nota. Memang di kawasan ini selalu menjadi tempat pilihan pelajar untuk duduk santai di waktu rehat. Tambahan pula berdekatan dengan perpustakaan sekolah.
“Boleh join?” tanya satu suara.
Aryana dan Syikin mengangkat muka serentak. Ketika itu Haniff sudah tersengih ke arah mereka. Sempat pula Syikin tersenyum nakal memandang Aryana. Dalam kepala Syikin sudah tahu yang Aryana memang anti betul dengan Haniff. Pantang sebut nama saja, mula Aryana bengang.
Tanpa menunggu jawapan, dengan selamba Haniff duduk di kerusi yang bertentangan dengan Aryana tanpa dipelawa. Tingkahnya pula begitu bersahaja. Buku yang baru dipinjam dari perpustakaan sebentar tadi diselak. Syikin masih tersengih-sengih dari tadi. Aryana pula yang jadi sakit hati.
Study apa?” tanya Haniff memecah kesunyian. Matanya tepat memandang ke arah Aryana.
“Bio...” jawab Aryana dengan suara yang mendatar sambil tangan menyelak helaian buku nota yang dibawa. Tidak ingin Aryana bercakap panjang-panjang.
Haniff kembali fokus pada buku di tangan. Sempat Aryana mencuri pandang tingkah Haniff yang duduk santai di kerusi. Dari ekor mata Aryana dapat menangkap kelibat Haniff seperti mahu mengangkat wajah. Sepantas kilat juga Aryana menyorokkan wajahnya disebalik buku nota yang dipegang. Tidak mahu tertangkap!
Dengan selamba Aryana mengeluarkan sebatang lolipop dari poket baju sekolah. Lolipop yang sudah dibuka dimasukkan ke dalam mulut. Sekalipun Haniff khusyuk dengan buku di tangan dan kedudukan mereka agak jauh, tetapi kehadirannya tetap membuatkan Aryana tidak selesa. Disebabkan rasa tidak puas hati yang masih berbaki, Aryana mengajak Syikin ke pondok arnab. Main dengan arnab lagi bagus dari tengok muka Haniff.
Suara ketawa Aryana dan Syikin silih berganti. Terhibur dengan keletah si arnab yang sedang diberi makan oleh mereka. Aryana mengusap lembut bulu arnab yang bertompok hitam dan putih. Nampak comel dan manja arnab-arnab yang makan di tapak tangannya. Sebelah tangan lagi mengusap lembut badan arnab yang montel dan bulat.
Dalam banyak-banyak arnab yang ada di taman ini, Aryana paling sukakan Pluffy. Nama tidak rasmi yang diberikan pada arnab yang berbulu putih bersih tanpa sebarang tompok. Saiz badannya pula agak montel berbanding arnab-arnab yang lain. Memang comel dan jinak. Langsung tidak takut atau lari apabila didekati. Leka Aryana memerhatikan Pluffy yang sedang makan di tapak tangannya. Sebelah tangan lagi mengurut lembut badan Pluffy yang montel dan bulat.
“Comel!”
Aryana menoleh apabila terdengar suara Haniff. Entah bila mamat ni datang. Sedar-sedar aje dah terpacul di depan mata.
“Apa yang comel?” Cepat sahaja Syikin bertanya.
Ramah pula Syikin bersoal jawab dengan Haniff. Tetapi suara Syikin sebentar tadi kedengaran lain macam. Seperti mahu mengusik. Sesekali Syikin tersengih nakal memandang Aryana.
Bertambah sakit hati Aryana. Bukannya Aryana tidak faham maksud senyuman nakal Syikin itu.
Tiada jawapan dari Haniff. Sebaliknya bibirnya sekadar tersenyum nipis. Matanya tidak lari dari memandang beberapa ekor arnab yang ada. Dengan selamba, Haniff mengusap lembut salah seekor arnab yang ada.
Dari ekor mata, Aryana memerhatikan Haniff sedikit pun tidak berkalih pandangan matanya dari menatap arnab yang sedang makan. Bibirnya pula tersenyum nipis.


Bunyi loceng kedengaran nyaring, mereka semua bergegas kembali ke kelas.



http://ilham.karangkraf.com/senarai.aspxBACA LAGI DI SINI