BUNYI tiupan wisel
kedengaran nyaring di telinga. Aryana Imani berlari anak sepantas yang mampu.
Hari pertama minggu orientasi, yang Aryana tahu dirinya satu kumpulan dengan
Farah, rakan sekelas yang baru dikenali minggu lepas. Puas tercari-cari,
akhirnya ternampak juga kelibat Farah.
Sedang
Aryana tergesa-gesa melangkah, dirinya hampir terlanggar seseorang.
Berkerut-kerut dahi Aryana memandang seorang pelajar lelaki yang hampir
dilanggarnya sebentar tadi. Entah siapa namanya, Aryana kurang pasti. Tidak
sampai seminggu di sekolah baru, tidak sempat lagi hendak hafal nama semua
pelajar yang ada.
Malas
nak ambil pusing Aryana mula melangkah ke arah Farah yang sudah pun berbaris
dalam kumpulan.
“Masamnya
muka...”
Terhenti
langkah Aryana apabila kata-kata itu menerobos masuk ke telinga. Eh, mamat ni
dah kenapa? Kata-kata itu walaupun perlahan namun masih didengari dengan jelas.
“Yang
pakai baju biru tu buat apa lagi. Dari tadi tertoleh-toleh. Cepat masuk dalam
kumpulan awak.”
Hampir
tercabut jantung akibat rasa terkejut apabila ditegur oleh Amir Saifullah.
Pelajar tingkatan lima merangkap ketua penyelaras orientasi kali ini.
“Sepanjang
sesi orientasi ni jangan ada yang berangan atau mengelamun!” sambung Amir
Saifullah lagi.
“Yang
pakai baju biru tu faham tak?”
Terasa
kering darah apabila ditegur sekali lagi. Rasa tidak puas hati menggunung
tinggi. Ini semua salah pelajar lelaki yang hampir dilanggarnya sebentar tadi.
Disebabkan pelajar lelaki itu yang berjaya menarik perhatiannya dengan
kata-katanya itu, maka dirinya pula ditegur ketua fasilitator. Buat malu
setahun aje! Geram pula jadinya pada pelajar lelaki yang masih belum diketahui
namanya itu.
Ketika
sesi suai kenal barulah Aryana tahu nama pelajar lelaki yang hampir
dilanggarnya sebentar tadi ialah Mohd Haniff Irfan atau lebih mesra dipanggil
Anip. Rasa marah dan tidak puas hati masih berbaki. Tetapi terpaksa Aryana
sabarkan diri apatah lagi mereka berada dalam satu kumpulan yang sama sepanjang
sesi orientasi kali ini.
Makin
bengkak pula hati Aryana kala Haniff dipilih menjadi ketua kumpulan. Huh, tak
ada orang lain yang lebih layak ke?
Tetapi
apabila semua ahli yang lain bersetuju, malaslah Aryana hendak membangkang
secara terang-terangan.
“Sekarang
kita pilih penolong kumpulan pulak,” ujar Haniff yang baru sahaja diberi mandat
mula menjalankan tugasnya sebagai ketua kumpulan.
“Saya
rasa awak yang paling sesuai.”
Membulat
mata Aryana bila Haniff menghalakan pandangan ke arahnya.
“Kenapa
saya pulak?”
“Sebab
saya rasa awak yang paling sesuai. Berani pun ya. Garang pun ya jugak.” Semakin
perlahan suara Haniff di hujung kata-katanya. Namun masih mampu didengari
Aryana.
“Pilihlah
orang lain. Saya tak nak jadi penolong kumpulan,” bangkang Aryana.
Sudahlah
Haniff bukan main selamba lagi mengutuknya garang secara terang-terangan.
Sekarang mahu dipaksa-paksa pula agar dirinya menjadi penolong kumpulan.
“Saya
ketua kumpulan. Awak kenalah ikut cakap saya,” balas Haniff bersahaja.
Makin
geram Aryana jadinya. Muka Haniff jangan cakaplah. Bukan main selamba lagi bila
berkata-kata. Tak sampai sepuluh minit dapat mandat sebagai ketua kumpulan,
tetapi perangai dah gaya diktator mengalahkan Hitler! Entah kenapalah ahli
kumpulannya ini setuju sangat pilih Haniff sebagai ketua kumpulan mereka. Kalau
Aryana, awal-awal lagi dah bangkang.
“Tak
kira. Macam mana sekalipun saya nak tulis jugak nama awak sebagai penolong
kumpulan,” ujar Haniff sambil menulis nama Aryana sebagai penolong kumpulan.
Tidak
terkata Aryana dibuatnya. Malas betullah nak jadi penolong kumpulan. Bukan apa,
sepanjang minggu orientasi ni, kalau ada ahli kumpulan yang buat silap, ketua
dan penolong kumpulan dulu yang kena jawab dengan ketua penyelaras orientasi
nanti. Lagi pula Haniff yang jadi ketua. Tak berapa gembira aku nak
berkerjasama dengan dia. Kalau orang lain okey sikit agaknya. Tapi dengan
Haniff ni tak tahulah. Awal-awal lagi dah tunjuk perangai Hitler dia tu! Rungut
hati Aryana.
Sudahlah
sepanjang sesi perbincangan hari ini, ada sahaja pendapat mereka yang
bercanggah. Silap gaya, boleh bergaduh agaknya. Apabila Aryana senyap, Haniff
sibuk meminta pendapat dan buah fikiran. Tetapi apabila Aryana bagi cadangan,
bukan main lagi Haniff tolak mentah-mentah. Kalau macam tu baik tak payah
tanya. Buat sakit hati aje. Manalah Aryana tak geram dengan perangai Haniff tu,
fikirnya lagi.
AROMA menu makanan
tengah hari menusuk deria bau. Aryana mengambil peluang duduk di kerusi kosong
bersebelahan Syikin.
“Sengal
betullah Si Anip tu. Perangai macam Hitler!” marah Aryana. Tetapi suaranya
tidaklah kuat mana. Takut orang lain dengar.
“Siapa
yang macam Hitler?” soal Syikin, pelik melihat Aryana yang tiba-tiba marah.
Sahlah Syikin tidak kenal siapa. Jadi manalah dia tahu Aryana marahkan siapa.
“Cakaplah slow sikit.
Nak suruh satu dewan makan dengar ke?” ujar Aryana sambil meletakkan jari
telunjuknya di bibir apabila mendapati beberapa orang pelajar lain yang duduk
semeja memerhatikan ke arah mereka.
Syikin,
rakan yang baru dikenali ini merupakan rakan sekelas merangkap teman sebilik.
“Kuat
eh?” soal Syikin, tersengih-sengih.
“Kuatlah.
Cacing dalam tanah pun boleh dengar,” ujar Aryana, selamba.
Dalam
pada itu hatinya geram memikirkan kemungkinan Haniff yang telah menconteng buku
notanya yang tertinggal di pavilion sebelum ini. Di buku notanya terlukis
gambar orang lidi yang sedang menjelirkan lidah. Wajah orang lidi yang terlukis
nampak nakal dan menyakitkan hati. Di bawahnya pula siap ada pesanan ringkas
yang berbunyi;
Jangan nakal-nakal ya budak nakal.... ;p
Dalam
hati Aryana hampir pasti. Ini semua Haniff punya angkara. Bukannya sengaja nak
tuduh melulu. Tetapi apabila buku notanya yang tertinggal di pavilion diambil
semula, ketika itu Haniff masih berada di situ bersama beberapa orang pelajar
lelaki yang lain. Rasanya tak ada orang lain yang buat benda macam ini
melainkan Haniff.
“Nah,
tengok apa yang dia buat pada buku nota aku,” ujar Aryana sambil menghulurkan
buku notanya untuk menunjukkan bukti.
Syikin
pula sekadar tersenyum-senyum mendengar jawapan Aryana. Ketika Aryana mengambil
kembali buku notanya yang dihulurkan Syikin, saat itu juga Aryana terpandangkan
senyuman selamba Haniff. Walaupun jarak mereka jauh dan diselangi beberapa buah
meja makan, namun jelas riak senyuman nakal di wajah Haniff walaupun pandangan
mata mereka tidak bertaut.
Dapat
Aryana bayangkan, Haniff yang duduk bertentangan dengannya saat ini sudah
tentulah dapat mengagak ‘hasil seni’ yang ditinggalkan di buku nota ini sudah
dilihat. Sebab itu Haniff boleh tersenyum-senyum begitu. Memanglah menyakitkan
hati!
MINGGU orientasi,
kerjanya asyik berlari sahaja. Risau pula kalau terlambat akan didenda. Mahu
terjegil biji mata Aryana apabila terpandangkan kelibat Farah yang masih lagi
berlari anak menuju ke padang sekolah. Sudah tentu kumpulan mereka yang
terakhir sekali tiba.
“Ketua
dan penolong kumpulan tak cakap dekat ahli kumpulan ke? Kena punctual. Ingat tu! Tak boleh lewat!” tegur
Amir Saifullah.
Hampir
tercekik air liur sendiri dibuatnya. Aryana mengetap bibirnya perlahan. Kan
betul apa yang difikirnya. Kalau ada ahli kumpulan yang buat salah, ketua dan
penolong kumpulan yang kena sembur dulu. Sekarang Aryana sudah terasa bahangnya.
“Ada
ahli kumpulan yang lambat lagi, ketua dan penolong yang kena denda dulu!”
sambung Amir Saifullah.
Air
liur yang ditelan terasa kesat. Sempat Aryana mencuri pandang ke arah Haniff.
Ni semua mamat Hitler tu punya pasallah. Kalau Haniff tidak memandai-mandai
tulis namanya sebagai penolong kumpulan, tidaklah dirinya terlibat sama.
Sekarang, apa-apa sahaja yang terjadi, Aryana terasa nak salahkan Haniff.
“Cepat
masuk kumpulan kamu. Kita dah nak mula aktiviti sekarang,” arah Amir Saifullah
akhirnya.
Fuhh!
Baru lega perasaan Aryana dibuatnya. Ingatkan tadi dia bakal didenda
betul-betul. Amir Saifullah tu boleh tahan tegas juga orangnya.
HARI Isnin minggu
berikutnya, pagi-pagi lagi mood Aryana sudah terbantut. Bengkak hatinya
apabila terpandangkan Haniff tercongok di kelasnya. Agak terkejut apabila
mengetahui Haniff akan menjadi rakan sekelasnya. Apabila ketidakpuasan hati itu
disuarakan pada Syikin, jawapan Syikin mudah sahaja.
“Biasalah
tu. Kan tak sampai dua minggu lagi kita sekolah. Hari tu cikgu ada bagi tahu,
dalam masa dua minggu ni boleh tukar kelas ikut subjek elektif yang diminati.”
Memanglah
apa yang Syikin cakapkan itu betul kerana ketika hari pendaftaran kelas tempoh
hari, Aryana sendiri dengar dengan jelas taklimat guru yang bertugas mengenai
perkara yang sama. Tetapi hati tetap juga tidak berapa gembira apabila
membayangkan selama dua tahun dirinya akan belajar di kelas yang sama dengan
Haniff. Si mamat Hitler!
Apabila
Aryana mengenangkan peristiwa orientasi tempoh hari, perasaan tidak puas hati
masih berbaki. Haniff si Hitler. Ada sahaja yang menyakitkan hatinya.
Ketika
waktu rehat, Aryana dan Syikin singgah ke taman sains sekolah yang terletak
bersebelahan dengan pusat sumber. Aryana duduk di bangku yang berhampiran
dengan kolam ikan. Kelihatan beberapa ekor ikan yang Aryana pun tidak tahu
speses apa, berenang sambil berkejaran antara satu sama lain. Di tepi kolam
pula terdapat kawasan yang agak berpasir. Dihiasi pelbagai jenis pokok kaktus
yang juga terdiri dari pelbagai saiz dan speses yang berbeza.
Tidak
jauh dari situ terdapat pondok yang tidak terlalu besar yang dijadikan sebagai
rumah arnab. Tangan Aryana lincah menyelak setiap helaian buku nota. Memang di
kawasan ini selalu menjadi tempat pilihan pelajar untuk duduk santai di waktu
rehat. Tambahan pula berdekatan dengan perpustakaan sekolah.
“Boleh
join?” tanya satu suara.
Aryana
dan Syikin mengangkat muka serentak. Ketika itu Haniff sudah tersengih ke arah
mereka. Sempat pula Syikin tersenyum nakal memandang Aryana. Dalam kepala
Syikin sudah tahu yang Aryana memang anti betul dengan Haniff. Pantang sebut
nama saja, mula Aryana bengang.
Tanpa
menunggu jawapan, dengan selamba Haniff duduk di kerusi yang bertentangan
dengan Aryana tanpa dipelawa. Tingkahnya pula begitu bersahaja. Buku yang baru
dipinjam dari perpustakaan sebentar tadi diselak. Syikin masih tersengih-sengih
dari tadi. Aryana pula yang jadi sakit hati.
“Study
apa?” tanya Haniff memecah kesunyian. Matanya tepat memandang ke arah Aryana.
“Bio...”
jawab Aryana dengan suara yang mendatar sambil tangan menyelak helaian buku
nota yang dibawa. Tidak ingin Aryana bercakap panjang-panjang.
Haniff
kembali fokus pada buku di tangan. Sempat Aryana mencuri pandang tingkah Haniff
yang duduk santai di kerusi. Dari ekor mata Aryana dapat menangkap kelibat
Haniff seperti mahu mengangkat wajah. Sepantas kilat juga Aryana menyorokkan
wajahnya disebalik buku nota yang dipegang. Tidak mahu tertangkap!
Dengan
selamba Aryana mengeluarkan sebatang lolipop dari poket baju sekolah. Lolipop
yang sudah dibuka dimasukkan ke dalam mulut. Sekalipun Haniff khusyuk dengan
buku di tangan dan kedudukan mereka agak jauh, tetapi kehadirannya tetap
membuatkan Aryana tidak selesa. Disebabkan rasa tidak puas hati yang masih
berbaki, Aryana mengajak Syikin ke pondok arnab. Main dengan arnab lagi bagus
dari tengok muka Haniff.
Suara
ketawa Aryana dan Syikin silih berganti. Terhibur dengan keletah si arnab yang
sedang diberi makan oleh mereka. Aryana mengusap lembut bulu arnab yang
bertompok hitam dan putih. Nampak comel dan manja arnab-arnab yang makan di
tapak tangannya. Sebelah tangan lagi mengusap lembut badan arnab yang montel
dan bulat.
Dalam
banyak-banyak arnab yang ada di taman ini, Aryana paling sukakan Pluffy. Nama
tidak rasmi yang diberikan pada arnab yang berbulu putih bersih tanpa sebarang
tompok. Saiz badannya pula agak montel berbanding arnab-arnab yang lain. Memang
comel dan jinak. Langsung tidak takut atau lari apabila didekati. Leka Aryana
memerhatikan Pluffy yang sedang makan di tapak tangannya. Sebelah tangan lagi
mengurut lembut badan Pluffy yang montel dan bulat.
“Comel!”
Aryana
menoleh apabila terdengar suara Haniff. Entah bila mamat ni datang. Sedar-sedar
aje dah terpacul di depan mata.
“Apa
yang comel?” Cepat sahaja Syikin bertanya.
Ramah
pula Syikin bersoal jawab dengan Haniff. Tetapi suara Syikin sebentar tadi
kedengaran lain macam. Seperti mahu mengusik. Sesekali Syikin tersengih nakal
memandang Aryana.
Bertambah
sakit hati Aryana. Bukannya Aryana tidak faham maksud senyuman nakal Syikin
itu.
Tiada
jawapan dari Haniff. Sebaliknya bibirnya sekadar tersenyum nipis. Matanya tidak
lari dari memandang beberapa ekor arnab yang ada. Dengan selamba, Haniff
mengusap lembut salah seekor arnab yang ada.
Dari
ekor mata, Aryana memerhatikan Haniff sedikit pun tidak berkalih pandangan
matanya dari menatap arnab yang sedang makan. Bibirnya pula tersenyum nipis.
Bunyi
loceng kedengaran nyaring, mereka semua bergegas kembali ke kelas.
http://ilham.karangkraf.com/senarai.aspxBACA LAGI DI SINI
http://ilham.karangkraf.com/senarai.aspxBACA LAGI DI SINI
No comments:
Post a Comment