KELAS yang tadinya
hingar-bingar bertukar sunyi sepi apabila Cikgu Asmah masuk ke kelas untuk
mengajar subjek Matematik Tambahan. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba Cikgu
Asmah memberikan soalan kuiz secara mengejut. Dari ekor mata, Aryana dapat
melihat Syikin yang begitu khusyuk dengan soalan di depan mata.
“Tak
perlu nak toleh ke kanan kiri. Kan saya dah bagi soalan satu seorang. Tengok
kertas masing-masing,” ujar Cikgu Asmah, memberi amaran apabila ada dua tiga
orang pelajar berbisik-bisik dengan rakan di sebelah.
Rasa
hendak ketawa dengan teguran Cikgu Asmah sebentar tadi. Seolah-olah terkena
batang hidung sendiri. Walhal mungkin Cikgu Asmah bermaksud menegur pelajar
lain yang nyata sedang tertoleh-toleh. Tempoh masa 15 minit yang diberikan
untuk menjawab soalan sudah pun tamat. Ketika itu pula tiba-tiba sahaja telefon
bimbit milik Cikgu Asmah yang diletakkan di atas meja guru berbunyi nyaring.
Sebelum
ini tidak pernah Cikgu Asmah atau mana-mana guru lain membawa telefon bimbit ke
dalam kelas. Mungkin sememangnya Cikgu Asmah menantikan panggilan tersebut yang
sememangnya penting, lalu telefon bimbit dibawa ke kelas hari ini.
“Aryana,
tolong kutip semua kertas soalan tadi,” arah Cikgu Asmah yang kebetulan berdiri
berhampiran meja Aryana sebelum panggilan telefon dijawab.
Seperti
yang diarahkan, satu per satu kertas soalan yang sudah dijawab oleh rakan
sekelas dikutip. Sehinggalah apabila tiba di meja Haniff, langkah Aryana
terhenti. Tidak seperti pelajar lain yang dengan senang hati menghulurkan
kertas yang sudah dijawab kepada Aryana, namun Haniff pula hanya membiarkan sahaja
kertas itu di atas meja. Riak wajah Haniff begitu selamba.
Malas
hendak fikir panjang, Aryana mencapai kertas soalan yang masih berada di atas
meja Haniff. Namun, ketika Aryana ingin menarik kertas tersebut, Haniff
tiba-tiba sahaja turut meletakkan tangannya di hujung kertas itu menyebabkan
pergerakan tangan Aryana terhenti. Tapak tangan Haniff yang menekan kuat kertas
itu menyukarkan Aryana untuk menariknya.
“Cepatlah!”
Aryana menekan suaranya.
Korek
biji mata karang baru tahu. Geram Aryana melihat wajah Haniff yang masih beriak
selamba seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Sekali lagi Aryana menarik kuat
kertas yang masih ditekan Haniff. Kali ini barulah Haniff melepaskan kertas
itu. Tanpa menunggu lama Aryana terus berlalu dari situ.
Namun
dari ekor mata, sempat Aryana menangkap bibir Haniff yang mengukir senyuman
kecil.
Eee...
geram betullah dengan mamat seorang ni. Makin meluap-luap rasa marah Aryana.
Nampak sangat Haniff sengaja mahu mempermainkan dirinya sebentar tadi. Bukannya
Aryana tidak nampak senyuman nakal Haniff yang semakin melebar kala kakinya
melangkah ke arah meja lain.
DI Makmal Patologi, Kak Ina pembantu
makmal mengarahkan semua pelajar masuk. Cikgu Hazlin yang mengajar subjek
Biologi masih belum sampai.
“Kembar
awaklah Yana. Sebijik sama,” usik Haniff yang ketika itu berada tidak jauh di
belakang Aryana sambil tangannya dihalakan ke arah sudut yang berhampiran pintu
masuk makmal.
Membulat
mata Aryana memandang ke arah rangka tulang manusia yang ditunjukkan Haniff.
Kembar apa kejadahnya! Ada ke patut dirinya disamakan dengan rangka manusia!
Apa Haniff ingat dirinya skeleton bergerak?
“Bezanya
sikit aje. Kembar awak ni tak ada rambut. Licin aje kepala dia,” sakat Haniff
lagi dengan wajahnya yang bersahaja.
Ya
ALLAH... sakitnya hati!
“Syikin,
baik suruh Yana ni pinjamkan tudung kat kembar dia ni. Tak pun suruh aje Yana
ni cukur kepala dia sampai licin macam ni ha,” ujar Haniff sambil menghalakan
jari telunjuknya ke arah tengkorak yang licin di bahagian kepala.
Dah
namanya tengkorak. Memanglah tak ada rambut!
Habis
berkata-kata Haniff terus berlalu pergi dengan wajah yang selamba. Haniff tidak
ketawa atau tersenyum nakal seperti selalu. Wajahnya begitu selamba dan
tingkahnya begitu bersahaja. Makin membuatkan hati Aryana meluap marah. Aryana
melangkah ke meja paling hadapan dengan rasa marah yang masih bersisa, lalu
duduk di situ. Syikin pula hanya tersenyum dari tadi.
Aryana
yang masih mencuka terpandangkan struktur rangka tulang manusia yang lengkap
setiap inci dari kepala hingga ke kaki. Replika rangka tulang manusia yang
berwarna putih susu itu elok sahaja berada di tepi pintu masuk. Cikgu letak
situ sebab mahu murid-muridnya belajar. Bukan mahu dijadikan bahan lawak macam
yang Haniff buat tadi. Memang menyakitkan hati.
Habis
sahaja sesi pembelajaran, semua pelajar beransur-ansur meninggalkan Makmal
Patologi. Aryana yang ketika itu sudah pun berada di hadapan pintu Makmal
Patologi terhenti melangkah apabila Haniff tiba-tiba berjalan agak laju
melintasinya. Kemunculan Haniff yang tiba-tiba dari arah belakang membuatkan
langkah Aryana terhenti secara mengejut.
“Yang
awak ni suka sangat kacau saya kenapa?” tanya Aryana garang sambil memandang
Haniff yang tiga tapak di hadapannya.
Perbuatan
Haniff sebentar tadi seolah-olah sengaja mahu membangkitkan rasa marahnya.
Namun suaranya masih mampu dikawal. Takkan hendak terjerit-jerit gaya apek cari
surat khabar lama dalam Makmal Patologi ini pula.
“Yang
awak marah sangat ni kenapa? Dengan saya awak garang. Dengan orang lain tak
pulak,” soal Haniff dengan wajah tanpa sebarang riak.
“Mana
ada saya garang. Lagipun awak memang suka cari pasal dengan saya kan?” balas
Aryana kembali.
“Tak
garang apanya. Setiap kali nampak saya muka awak berubah masam. Dengan orang
lain tak pulak awak macam tu. Kita kan satu kelas. Takkan tak boleh berbaik
macam orang lain? Peliklah. Apa yang awak tak puas hati sangat dengan saya?”
soal Haniff lagi.
Terdiam
Aryana bila Haniff menyoal begitu. Bibirnya diketap perlahan. Malas hendak
bercakap panjang, terus sahaja Aryana melangkah melintasi Haniff tanpa langsung
menoleh ke belakang walaupun sekali.
PENING-PENING lalat Aryana
melihat buku teks Matematik Tambahan di depan mata. Langkah kira-kiranya mati
pada soalan nombor tiga. Lama Aryana berfikir. Laporan makmal subjek Biologi
yang sudah ditanda oleh Cikgu Hazlin diletakkan oleh Haniff di atas meja secara
tiba-tiba menyedarkan Aryana.
“Buat
latihan Matematik Tambahan ke?” Haniff terlebih rajin pula menyoal apabila
melihat buku teks Matematik Tambahan tingkatan empat di atas meja Aryana.
“Hmm...”
jawab Aryana, pendek.
Tiada
hati hendak bercakap. Apatah lagi yang bertanya itu adalah Haniff. Si mamat
Hitler!
“Tapi...
ada yang tak dapat jawab. Keliru sikit.” Entah bagaimana Aryana boleh
menyambung kata. Selalunya berat mulut hendak bercakap dengan Haniff. Tapi
entah kenapa kali ini bibirnya ringan pula menuturkan kata.
Haniff
mula berfikir sejenak sebelum jarinya mencapai pensel di atas meja Aryana.
Tingkahnya begitu bersahaja. Hari Jumaat. Setiap minggu semua pelajar lelaki
diwajibkan memakai baju Melayu bewarna putih, bersongkok serta memakai sampin
sekolah. Haniff yang lengkap berbaju Melayu putih dan bersongkok hitam. Nampak
kemas dan hilang gaya budak nakal.
Laju
tangan Haniff menulis langkah kira-kira di atas kertas conteng. Aryana hanya
memerhatikan Haniff yang bersahaja tetapi khusyuk dengan langkah pengiraan di
depan mata. Sekejap sahaja sudah siap dan kertas conteng itu dihulurkan semula
ke arah Aryana.
“Faham?”
soal Haniff.
“Dah!”
jawab Aryana sambil bersorak riang. Agak lepas laku dan tidak mempedulikan
Haniff yang sedang memandang ke arahnya.
“Bagus.
Sekarang buat semula langkah kiraan tadi. Tapi tak boleh tengok kertas ni,”
arah Haniff.
Kertas
kiraan sebentar tadi ditarik dari meja Aryana dan dipegang.
“Alah...
mana ingat lagi. Baru faham aje,” ujar Aryana sambil tayang muka tidak puas
hati. Mulalah Haniff nak tunjuk perangai Hitler dia tu!
“Buat
sekarang!” arah Haniff sekali lagi. Tegas! Cuma suaranya tidak meninggi.
Sudah
mengalahkan Cikgu Asmah pula lagaknya. Geram pula Aryana dibuatnya. Pensel
dicapai. Aryana mula menulis langkah kiraan yang diajar Haniff sebentar tadi.
Ingatan dari kotak memori ditarik. Gigih mengingati langkah kiraan yang
ditunjukkan Haniff.
“Salah
tu... tertinggal langkah nombor empat.” Haniff menegur perlahan.
Dua
tiga kali Haniff menegur barulah betul. Aryana tersenyum riang. Yehaaaa!
“Sekarang
buat sekali lagi.” Sekali lagi Haniff memberi arahan.
“La...
kan dah betul cara kira ni. Tak payahlah buat lagi.” Darah Aryana sudah mula
menggelegak panas.
“Tadi
kan merangkak-rangkak lagi. Bila buat sekali lagi baru betul-betul boleh
ingat.”
Ee...
Haniff ni betullah keturunan Hitler. Sekalipun bibir Aryana merungut perlahan,
tapi tangan tetap juga mengikut arahan Haniff.
“Dah
siap.”
“Boleh
pun,” ujar Haniff, tersengih.
“Ingat
orang budak kecil ke tak pandai buat.” Garang Aryana membalas.
Haniff
sudah tolong pun bukannya hendak ucap terima kasih. Tetapi dimarah pula.
“Marah
pulak?” ujar Haniff, tersenyum kecil.
Tiba-tiba
sahaja Aryana naik angin. Pantang diusik sikit mulalah hendak mengamuk.
“Cuba
jangan garang sangat,” sambung Haniff lagi.
“Jangan
sibuklah!” marah Aryana lagi. Jasa Haniff yang mengajarnya sebentar tadi
bagaikan sudah luput dari ingatan.
Bibir
Haniff serta-merta mengorak senyuman kecil. Tanpa membalas kata-kata Aryana,
Haniff terus berlalu dengan senyuman yang masih bersisa. Sikap Haniff yang
bersahaja itu sebenarnya yang semakin membuatkan Aryana bertambah marah.
Ketenangan Haniff itu seolah-olah sedang mengejeknya. Apabila Haniff sentiasa
tenang begini, Aryana pula yang tercabar.
JAMY masih
berlatih di tengah padang. Aryana yang sudah kepenatan berjalan menuju ke
kawasan yang teduh. Di situ Saleha dan Atin sudah sedia menanti. Sambil duduk
Aryana terpandangkan kelibat Haniff yang sedang berlatih lompat tinggi. Latihan
untuk acara sukan sekolah yang bakal tiba lebih memenatkan bila tiba musim
panas begini.
Tidak
lama kemudian Haniff dan Helmy datang menyertai kumpulan Aryana yang sedang
bersantai di tepi padang. Mereka duduk sambil membentuk bulatan kecil. Duduk di
tepi padang bertemankan angin petang begini mampu menenangkan jiwa.
“Makan
lolipop lagi.” Haniff yang sudah selesai meneguk air mineral mula menegur.
“Hmm...”
Itu sahaja jawapan Aryana. Malas hendak bercakap panjang. Tetapi ingin dimarah
Haniff lama-lama tidak boleh juga. Terkenang kebaikan Haniff yang mengajarnya
subjek Matematik Tambahan tempoh hari.
“Kalau
terlebih makan, bahaya pulak untuk kesihatan,” celah Helmy.
“Tapi
ada yang bagus jugak makan lolipop ni. Bila senyum makin bertambah sweet.
Macam lolipop.” Becok mulut Saleha mencelah.
“Sweet
tu sweet jugak. Nanti tercabut gigi kat depan tu baru tahu. Terus jadi
hantu Kak Limah.”
Membulat
mata Aryana dengan usikan selamba Haniff. Sudah mula aura budak nakal Haniff
tu.
“Tak
ada hantu lain ke?” soal Aryana selamba.
Haniff
yang lengkap dengan pakaian sukannya sekadar tergelak-gelak.
“Nak
hantu apa? Hantu pocong atau hantu bungkus?”
Ni
yang Aryana malas nak berkacap dengan Haniff ni. Mengarut aje!
“Tak
sabar nak tengok. Agaknya macam manalah rupa Yana bila dia bertukar jadi hantu
Kak Limah,” sambung Haniff sambil tergelak-gelak memandang Helmy.
“Dia
tu hantu bungkus! Kata kat orang,” balas Aryana apabila Haniff sakan
mentertawakannya.
Makin
kuat Haniff mentertawakannya. Sedikit pun dia tidak peduli Aryana marah-marah
begitu.
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
BACA LAGI DI SINI
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
BACA LAGI DI SINI
No comments:
Post a Comment