Thursday, 2 October 2014

CINTA LOLIPOP (KISAH SI LOLIPOP) BAB 3

‘Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat yang telah kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kepada mereka di bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan ke atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain.’ (Surah Al-An’am, ayat-6)

MAKSUD Surah Al-An’am meresap jauh ke dasar hati. Aryana memandang buku teks di atas meja. Tajuk yang dibincangkan hari ini ialah manusia perlu bersyukur. Sukatan tajuk pelajaran Pendidikan Islam tingkatan empat. Manusia adalah sebaik-baik ciptaan kerana dikurniakan akal dan fikiran. Mampu membezakan yang baik dan yang buruk. Al-Quran pula sebagai sumber ilmu yang lengkap merangkumi semua aspek dijadikan sebagai pedoman untuk menjalani kehidupan.
Maksud ayat Surah Al-An’am ayat enam dibincangkan dengan terperinci oleh Ustazah Fatimah. Istiqamah dalam membaca al-Quran adalah cara untuk menghayati al-Quran itu sendiri. Memahami kandungan di dalamnya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Al-Quran terpelihara dari sebarang perubahan. Setiap huruf yang dibaca di dalam al-Quran dikira sebagai ibadah.
“Haniff, bacakan petikan ayat ini,” arah Ustazah Fatimah.
Surah Al-An’am, ayat enam diulang baca oleh Haniff. Tadi Ustazah Fatimah menyuruh Syikin membacakan ayat itu. Sekarang tiba giliran Haniff pula. Kebetulan dalam kalangan pelajar lelaki Haniff yang terkena.
Terpegun seketika Aryana mendengar suara Haniff yang sedang membaca ayat hafazan dengan lancar dan fasih. Sedap jugaklah suara Haniff bila mengaji. Pertama kali dengar ni, getus hati Aryana.
“Bagus! Tajwidnya pun betul,” puji Ustazah Fatimah.
Apabila berhadapan dengan ustazah, mana mungkin Haniff hendak tunjuk perangai nakalnya. Apabila tiba sesi subjek Pendidikan Islam, terus Haniff bertukar menjadi budak paling baik di abad ini. Khusyuk dan diam sahaja apabila ustazah masuk ke kelas sambil menunjukkan muka budak baik. Tetapi apabila pandangan mata Aryana dan Haniff bertembung, terus Haniff menayangkan wajah nakalnya di sebalik buku teks yang diangkat agar terlindung dari pandangan Ustaza Fatimah.
Menggeleng perlahan Aryana. Tarik balik segala pujiannya terhadap Haniff yang dari tadi sekadar dipuji di dalam hati.


SELEPAS tamat waktu rehat, subjek Sejarah pula yang mengisi slot pembelajaran. Sudahlah waktu tengah hari, ditambah pula dengan perut yang masih lagi kenyang. Betul-betul menguji iman! Waktu-waktu begini memang mengantuk apatah lagi subjek yang sedang dipelajari adalah subjek Sejarah.
Rasa mengantuknya mengalahkan orang yang tertelan ubat tidur! Mata pula senang sangat tertutup rapat. Lainlah kalau dapat sumbat lolipop dalam mulut. Kot lah boleh hilang sikit rasa mengantuk. Tapi, kalau makan lolipop, ketara sangat pula. Tangkai lolipop yang berwarna putih tu nak sorok kat mana? Bukan sekadar tak sopan tapi akan nampak macam tak cukup diajar pula kalau makan lolipop ketika cikgu sedang mengajar di depan, rungut hati Aryana.
Setelah Cikgu Aswani keluar, lolipop yang disimpan di dalam laci meja diambil. Mahu disumbatkan ke dalam mulut untuk menghilangkan rasa mengantuk. Baru hendak membuka plastik pembalut lolipop, Aryana terdengar namanya dipanggil Haniff.
“Nak satu boleh?” pinta Haniff sambil tayang muka kasihan gaya budak tadika inginkan gula-gula.
Aryana pula yang jadi serba salah. Lolipop yang tinggal hanyalah satu, iaitu yang berada di tangannya kini. Lolipop itu jugalah yang diharapkan dapat menghilangkan rasa mengantuk yang teramat sangat. Tetapi apabila melihatkan muka Haniff yang polos keanak-anakan, Aryana pula yang tidak sampai hati mahu menghampakan Haniff. Muka Haniff juga sudah mengantuk semacam. Lolipop yang berada di tangan diberikan kepada Haniff.
Ucapan terima kasih mengetuk gegendang telinga Aryana. Sepantas itu juga Haniff memasukkan lolipop ke dalam mulut. Wajah yang mengantuk bertukar ceria. Aryana telan air liur memandang lolipopnya yang selamat dimakan Haniff. Mata mengantuk bukan main, tetapi sabar sajalah. Takkan nak minta balik. Nanti, tak pasal-pasal siku sendiri yang buruk.
“Tak makan ke?” soal Haniff apabila sudah tinggal separuh saiz lolipop yang bukan main enak lagi dimakan.
“Tak apa, makanlah.” Hanya itu jawapan Aryana. Takkan nak cakap, ‘awak dah makan lolipop terakhir saya’. Bagi ikhlas ya!
Haniff terdiam seketika. Bagaikan baru tersedar sesuatu.
“Tak apa ke saya makan lolipop awak ni?” soal Haniff nampak ragu-ragu.
“Awak dah makan pun kan?” Perlahan sahaja suara Aryana.
Mahu tergelak pun ada. Mungkin sekarang Haniff baru perasan. Lolipop yang terakhir sudah selamat dimakannya. Sedangkan Aryana tidak kisah sangat pun. Takkanlah setakat lolipop hendak berkira sangat.
Haniff tersenyum kelat seperti tertelan buah langsat yang tidak berapa masak.
“Nak pulangkan tapi... dah makan...” kata-kata Haniff terhenti di situ.
“Nanti saya gantikan dengan yang lain.” Bukan main bersungguh-sungguh lagi Haniff menuturkan kata.
“Betul nak ganti?” soal Aryana kembali.
Sudah mula rasa hendak mengusik. Idea nakal mula terbayang-banyang di kepala. Tanduk pun sudah tumbuh dua ni ha! Sekali-sekala balas dendam pada Haniff yang sering mengusiknya seronok juga.
Pantas Haniff mengangguk. Nampak lurus sangat di mata Aryana. Muka sudah bertukar menjadi budak paling baik di abad ini. Ke dia tertinggal muka nakal dekat Planet Marikh? Usik hati Aryana.
“Gantilah. Ganti banyak-banyak. Ganti satu plastik lagi bagus!” Aryana menyimpan tawa di dalam hati. Jangan suara ketawanya terhambur keluar sudah. Bukan main lagi ditahan rasa lucu yang semakin menjentik-jentik tangkai hati.
“Okey.” Itu pula jawapan Haniff.
Walaweh! Hampir jatuh rahang Aryana mendengar jawapan Haniff. Rasanya tidaklah kejam sangat sampai Haniff perlu ganti dengan seplastik lolipop. Tak ganti terus pun tak apa Encik Haniff oi!


TAMAN Botanikal Buluh menyambut kedatangan Aryana dengan cuaca yang baik. Pokok-pokok yang merimbun subur membuatkan kawasan sekitar sentiasa teduh. Selepas meletakkan pakaian di dalam khemah, setiap peserta diarahkan untuk berkumpul di Lapangan Kawad untuk mendengar taklimat terlebih dahulu.
“Tahun lepas saya dah jadi macam Zorro, nak kena tangkap senior kamu yang terkena histeria.”
Histeria? Gulp! Aryana telan air liur. Biar betul Encik Hamid ni. Bergurau ke betul-betul? Di tempat yang indah lagi permai ni sangatlah tidak seronok apabila terdengar jeritan orang yang terkena histeria. Lagilah kalau sudah masuk waktu malam atau senja. Seram! Tetapi, daripada memikirkan hal itu, lebih baik hirup udara segar puas-puas.
Kawasan perkhemahan ini sememangnya luas. Ada tasik untuk aktiviti kayak. Sesiapa yang meminati aktiviti lasak, boleh cuba flying fox, abseiling dan rope climbing. Habis sahaja taklimat sebentar tadi, setiap peserta kembali semula pada pasukan masing-masing.
“Yana, ada bawak insect repellent tak?” soal Haniff yang sudah seperti kera kena belacan. Habis merah tangannya kerana digigit nyamuk.
Insect repellent dikeluarkan dari kocek seluar lalu dihulurkan ke arah Haniff. Muka Haniff seperti biasa, selamba sahaja. Ikut rasa geram, malas Aryana mahu berikan kepada Haniff. Tetapi kalau tidak diberi, kasihan pula. Senyuman kecil terukir di bibir. Belum apa-apa lagi sudah kena gigit nyamuk.
Dalam hati Aryana terasa ingin ketawa kuat-kuat. Kelakar tengok muka Haniff yang sedang menahan rasa gatal akibat digigit nyamuk. Dalam ramai-ramai, Haniff juga yang diserang nyamuk-nyamuk di situ. Sebelum ini, Haniff juga yang cakap tidak perlu bawa insect repellent kerana tiada nyamuk. Alih-alih diri sendiri yang terkena dulu.
“Ingatkan kebal.”
“Memang kebal pun. Tak kebal dengan nyamuk aje,” balas Haniff selamba.


APA yang perlu dan apa yang tidak perlu ada di dalam peti pertolongan cemas? Tidak semua tahu dan tidak semua pasti. Inilah salah satu pertandingan yang diadakan untuk menguji pengetahuan asas setiap wakil sekolah untuk perkhemahan St John Ambulance kali ini. Pasti ramai yang tidak tahu, ada juga yang meletakkan Panadol dalam peti pertolongan cemas, dan ia menjadi kebiasaan di rumah. Sedangkan peti pertolongan cemas bukanlah tempat yang sewajarnya untuk menyimpan Panadol.
Triangular bandage (kain anduh), sterile gauze, roller bandage, acriflavine, kapas, plaster dan beberapa jenis barang lagi adalah antara barang asas yang perlu disimpan di dalam peti pertolongan cemas.
Aryana dan Haniff yang mewakili sekolah dalam pertandingan ini sudah ingat-ingat lupa. Sekejap rasa sepuluh barang sahaja yang perlu ada. Sekejap lagi rasa ada 12 barang pula. Masing-masing keliru.
Mata sudah terkebil-kebil melihat barang yang diletakkan di depan mereka. Sampaikan Optium (alat mengukur kadar glucose dalam darah) pun dilambakkan sekali. Sudahnya Aryana dan Haniff main campak sahaja apa yang dirasakan betul. Lagi lucu apabila ada peserta yang memasukkan sekali Urinary Catheter (tiub kencing). Terus menjadi bahan ketawa.
Selesai pertandingan kawad kaki, mereka berehat sebentar kemudian pertandingan CPR (cardiopulmonary resuscitation) bermula. CPR dilakukan apabila pernafasan seseorang itu terhenti atau apabila jantung terhenti bertujuan untuk mengekalkan fungsi otak secara manual. Darah yang beroksigen akan terus mengalir ke otak dan organ-organ penting jika teknik yang digunakan adalah betul sementara menunggu seseorang itu mendapat rawatan susulan. Tekanan pada dada pula sekurang-kurangnya lima sentimeter.
Teringat ketika pertandingan anduh. Macam-macam gaya ikatan yang dibuat. Sebelum pertandingan bukan main lagi praktis. Apabila tiba hari pertandingan jadi berdebar sakan, sampai tersilap ikat. Kata Haniff ketika itu, kain anduh kena diikat elok-elok, kalau salah teknik ikatan, akan kelihatan seperti mumia pula.
Malamnya aktiviti Pandu Arah bermula tepat jam 9.00 malam. Dalam samar cahaya Aryana dan rakan-rakannya meredah kegelapan malam. Tangan Syikin yang berada di belakang digenggam erat. Bunyi cengkerik bukan main kuat lagi kedengaran di telinga diselang-selikan dengan bunyi nyamuk yang riang berterbangan.
Mana tidak riang-ria nyamuk-nyamuk ini. Makanan terhidang di depan mata. Yang pendek dan yang tinggi, yang macam-macam warna kulitnya. Putih atau kelabu. Pilih sahaja mana yang mahu. Agaknya itulah kata-kata nyamuk yang sedang berkomunikasi nyaring bersama rakan-rakan yang seangkatan mereka.
Bulan kelihatan mengambang terang. Agak-agaknya kalau ditambah bunyi serigala menyalak di sebalik bukit, mahu Aryana terkucil di sini juga.
Berbekalkan cahaya bulan dan hanya dua buah lampu suluh sahaja yang dibenarkan untuk dibawa, harap-harap tiada yang digigit pacat. Haru juga kalau ada yang tiba-tiba terjerit-jerit malam-malam begini disebabkan pacat.
Udin yang berada di belakang Helmy pun sudah berkeluh kesah. Kena gigit nyamuk agaknya. Bukan main lagi tangan dia bersilat ke kiri dan ke kanan, ke depan dan belakang menghalau nyamuk yang bingit di tepi telinga.
Gaya seperti Hang Jebat hendak bertarung dengan Hang Tuah yang berebut Keris Taming Sari. Aryana pula, insect repellent 24 jam dilumur pada badan. Kurang sedikit gangguan. Mereka kembali semula ke Lapangan Kawad. Encik Hamid mengarahkan mereka mengira semula ahli kumpulan. Sama ada cukup atau tidak bilangannya.
“Masa pergi tadi cukup-cukup aje ahlinya. Macam mana bila balik terlebih seorang.” Terdengar suara Encik Hamid yang kehairanan.
Encik Hamid mengira sekali lagi masih juga terlebih seorang ahli. Berkali-kali kira pun masih sama jumlahnya.
“Kurang bilangan ahli bermaksud ada yang tercicir. Bahaya ni. Tapi bila balik, terlebih pulak bilangan ahlinya, lagi bahaya. Siapa pulak yang ikut?”
Encik Hamid dah mula nak berlucu. Sempat dia buat lawak waktu kecemasan begini. Encik Rafal yang ada di sebelah ikut tersenyum-senyum. Eii... malam-malam begini seram pula buat lawak begitu.
“Ada hantu Kak Limah ikut sekali ke apa?”
Entah suara nakal siapalah yang berkata begitu. Mulut memang tidak ada insurans. Tetapi sempat jugalah kata-kata itu singgah di telinga Aryana. Yang pasti kata-kata itu bukan datang dari rakan sekolahnya. Entah pelajar dari sekolah mana yang main lepas cakap waktu malam-malam begini.
Jam sudah merangkak hampir pukul 12.00 malam. Terus meremang bulu roma! Sampai sudah tidak ingat berapa kali kira, barulah betul jumlah ahlinya. Haru jugak buatnya sampai esok pagi pun ahli kumpulan masih terlebih seorang! Alamatnya satu malam tidak boleh tidur!


HARI terakhir perkhemahan, semua pelajar dibenarkan melakukan aktiviti sendiri. Sudah puas bergayut masa aktiviti flying fox, Aryana mencuba pula aktiviti rope climbing. Di bawah pokok Haniff sudah tergelak-gelak. Tidak tahu di mana silapnya tali yang digunakan tiba-tiba tersekat menyebabkan Aryana tergantung di tengah-tengah antara tanah dan dahan pokok.
“Sebijik macam rupa Si Jane dah Yana ni? Bergayut sambil tunggu Tarzan datang,” ujar Haniff, tersenyum lebar sambil memandang Syikin.
Syikin tersengih sahaja. Tidak berani komen lebih-lebih. Takut menyinga pula Aryana nanti. Sudah habis segala aksi Tarzan dan Jane ketika aktiviti rope climbing, Aryana kemudiannya mencuba aktiviti abseiling.
“Berani ke nak cuba,” ujar Haniff mula menyakat.
“Nak takut apanya? Tengok kakilah.” Yakin Aryana bersuara.
Entah bagaimana, Aryana sendiri pun kurang pasti. Tetapi sekarang dia sudah boleh berbual santai dengan Haniff begini. Kalau di awal-awal dahulu, asal ternampak kelibat Haniff saja, perasaan Aryana akan menggelegak panas macam lahar gunung berapi. Tetapi sekarang sudah okey.
“Kaki macam orang lidi,” kutuk Haniff sambil tergelak-gelak.
Orang lidi? Memang sengaja agaknya Haniff mencurah minyak tanah atas bara api. Ada ke patut dikatanya kaki orang lidi.
Apabila tiba aktiviti berkayak, Haniff juga sibuk ingin berkayak. Tadi aman damai Aryana dan Syikin berkayak berdua. Tiba-tiba Haniff datang menyibuk. Udin yang menaiki kayak bersama Haniff bersusah payah mendayung sendiri. Haniff pula bersenang-lenang gaya Sultan Mahmud duduk santai di atas kayak sambil menyilangkan tangan. Kerjanya asyik mengusik sahaja. Gamat tengah-tengah tasik itu dengan suara dia seorang.
“Pergilah jauh-jauh. Tasik ni kan luas lagi,” halau Aryana selamba apabila kayak yang dinaiki Haniff semakin menghampiri dengan kayak yang dinaikinya.
“Hari tu Udin jumpa lintah besar. Habislah kau orang kena gigit,” sakat Haniff lagi tanpa mempedulikan kata-kata Aryana sebentar tadi.
Jangankan Aryana, Syikin yang mendengar pun turut geli-geleman. Haniff yang sedang memegang pendayung merapatkan kayak yang dinaikinya dengan kayak yang dinaiki Aryana. Tiba-tiba Haniff menolak kayak Aryana dengan pendayung yang dipegangnya membuatkan kayak yang dinaiki Aryana dan Syikin bergoyang-goyang ke kiri dan kanan.
“Janganlah!” marah Aryana.
Haniff tidak mempedulikan kata-kata larangan dari Aryana sebaliknya terus terkekeh ketawa. Sekali lagi Haniff menggunakan pendayung yang dipegangnya untuk menolak dan mengetuk-ngetuk kayak yang dinaiki Aryana dan menyebabkan mereka panik.
“Weh, janganlah! Buatnya kita orang jatuh macam mana?” Sudah mula terdengar suara Syikin yang tidak puas hati.
Makin dilarang, makin menjadi-jadi pula usikannya. Buatnya kayak ni terbalik, habislah basah satu badan. Orang lain boleh mendayung dengan tenang sambil menikmati keindahan alam. Tetapi Aryana tidak sempat bertenang, kerana asyik diganggu. Huru-hara jadinya. Tetapi Haniff tetap Haniff. Gelakkan orang sampai merah muka. Cuma tangannya sahaja yang tidak senakal tadi mengetuk dan menggoyang-goyangkan kayak yang dinaiki Aryana dan Syikin.
“Nasib baik tak jatuh,” ujar Aryana sambil menayangkan muka tidak puas hati. Buatnya jatuh tengah-tengah tasik ini pasti menjadi bahan ketawa.
“Jatuh pun apa salahnya. Udin boleh jadi penyelamat,” ujar Haniff, selamba.
Air tasik yang tadinya berombak kecil kini sudah mula tenang. Aryana sudah malas bertikam lidah. Tidak terjatuh ke dalam tasik pun sudah cukup baik. Hari yang tidak terlalu terik mendamaikan suasana. Sudah hampir lima minit mereka semua terdiam di situ. Banyak sangat bertekak sampai sudah tiada tenaga untuk mendayung balik. Haniff yang sudah berada di hadapan menoleh ke belakang. Dilihatnya perlahan sahaja dayungan Aryana dan Syikin.
“Dah tak larat nak dayung ke?” soal Haniff tersengih sambil menoleh ke arah Aryana.
Pandangan pelik dilemparkan kepada Haniff. Ni nak memerli ke apa? Aryana sudah kembali cuak. Jangan Haniff sengaja cari pasal hendak terbalikkan kayak yang dinaikinya sudahlah. Memang sudah tiada tenaga hendak melawan.
“Kau orang berdua tak payah susah-susah dayung. Biar kita orang aje yang dayung,” ujar Haniff tiba-tiba sambil mencapai tali yang berada pada kayak yang dinaikinya dan disangkutkan pada kayak yang dinaiki Aryana dan Syikin.
Di bahagian belakang kayak yang dinaiki mereka ada tali yang sudah sedia terpasang. Tali tersebut disangkutkan di bahagian depan kayak yang dinaiki Aryana dan Syikin. Biasanya tali penyambung kayak ini digunakan ketika aktiviti menyelamat. Bukannya mereka tidak larat sangat sampai tidak boleh mendayung balik. Tetapi Haniff terlebih baik sangat hari ni. Terlebih rajin! Tak payahlah mereka bersusah payah nak mendayung bagai. 
Orang dah offer kita rembat aje. Boleh mereka bersenang-lenang di atas kayak yang ditarik oleh Haniff dan Udin dari depan, fikir Aryana.
Pendayung diletakkan di atas riba dan tangan didepakan ala-ala kisah Titanic. Biar Haniff dan Udin tarik mereka sambil mendayung sehingga ke hujung tasik.
Aryana tenang apabila terasa angin meniup ke muka. Tiba-tiba terasa diri seperti tuan puteri zaman dahulu kala. Di hadapan pula si panglima gagah berani sedang mendayung sampan. Bukan senang hendak merasa apabila sesekali budak yang nakal bertukar jadi baik. Di bawah langit biru, bersaksikan segalanya. Dan memori itu terus terukir di lubuk hati.

SAMBIL menunggu bas sekolah, Aryana dan rakan-rakannya yang lain menanti bas di bawah pokok buluh.
“Besarnya beg. Letak apa dalam tu?” soal Haniff apabila terpandangkan beg Aryana.
“Bajulah,” jawab Aryana sambil lewa.
“Apasal besar sangat?” Haniff sudah mula menyakat.
“Angkut sekali teddy bear ke? Buat peluk waktu malam bila sejuk.”
Sampai ke situ pula tekaan Haniff. Tidak kuasalah nak bawa teddy bear. Sekalipun sejuk, tidaklah sampai perlu membawa teddy bear ketika nak berkhemah.
“Tak ada faedahnya bawak benda alah tu datang sini,” balas Aryana geram.
“Tak bawak teddy bear? Habis tu bawak apa? Ke bawak bantal peluk yang dah masam dengan air liur basi? Tu yang beg besar macam buah nangka.” Haniff ketawa nakal.

Bas sekolah yang dipandu Pak Mail sudah pun tiba. Haniff terus melangkah ke dalam perut bas dengan suara ketawa yang menyakitkan hati. Ditinggalkan Aryana terkulat-kulat di situ.


LAGI DI SINI
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195

No comments:

Post a Comment