LAGU Allahyarham
Sudirman Haji Arshad bergema di corong radio. Bulan kemerdekaan sudah tiba.
Sedar tidak sedar kini Aryana sudah melangkah ke tingkatan lima. Cepat sahaja
masa berlalu. Alih-alih sudah masuk tingkatan lima.
“Dulu
masa kat sekolah lama. Bila masuk bulan Ogos mesti cerita hantu mula keluar,”
ujar Atin, tergelak-gelak mengingati kenangan yang dikorek dari kotak memori.
“Ada
hantu Jepun keluar ke?” soal Helmy separuh mengusik.
“Hantu
Jepun, hantu Cina, hantu British, semuanya keluar. Bila masuk aje bulan Ogos
macam-macam hantu keluar,” sambung Atin lagi. Rajin sangat melayan soalan
Helmy.
“Pernah
nampak ke?” soal Syikin pula ingin tahu.
“Nampak
tu tak pernahlah. Tapi senior selalu cerita. Tiap-tiap tahun keluar
cerita yang sama. Junior yang baru masuk dah sah-sahlah takut.”
Budak
lelaki apabila mendengar cerita hantu mereka ketawa saja. Sedikit pun tidak
takut. Begitu juga Haniff, Helmy, Megat Faiz dan Fauzi hanya gelak sakan.
“Cerita
hantu ni bermusim. Satu aje cerita hantu keluar, lepas tu mulalah keluar pulak
cerita hantu yang lain. Tiap-tiap tahun pun memang macam tu. Padahal tak ada
apa sangat pun,” ujar Atin tak habis lagi dengan cerita hantu dia.
“Hantu
tengkuk panjang. Hantu tulah yang paling glamor kat hostel dulu.” Megat Faiz
ikut menambah.
“Sampai
nak masuk tandas pun takut.”
“Hantu
bungkus pun glamour jugak. Tengah-tengah tidur bukan main sedap lagi
peluk. Ingatkan peluk bantal golek. Tapi rupa-rupanya... peluk hantu golek,”
ujar Helmy ketawa nakal. Sengaja menakut-nakutkan pelajar perempuan.
Hampir
terjerit Atin dan Saleha. Aryana juga.
“Dalam
banyak-banyak hantu yang wujud di hostel, hantu loker yang paling popular. Ayat
yang selalu hantu tu sebut., ‘saya tahu awak tak tidur lagi’. Elok aje hantu tu
bercakap sambil tengah bertenggek atas loker.” Sekarang Fauzi pula yang ikut
mengusik.
“Hati-hati tidur malam ni Yana. Silap-silap
kembar awak yang ada kat makmal patologi tu datang teman malam ni. Elok-elok
aje pusing dia dah ada kat sebelah.” Haniff mula menyakat dengan wajah
nakalnya.
“Eee....”
Aryana menahan geram.
Mana
boleh mengaku takut depan Haniff. Padahal dalam hati rasa seram juga mendengar
cerita hantu yang diceritakan. Memang betullah cakap Atin tadi. Satu sahaja
cerita hantu keluar, mulalah diikuti cerita hantu lain.
Rangka
lengkap tulang manusia yang berada di Makmal Patologi tidaklah begitu seram
jika dilihat di siang hari. Tetapi apabila Haniff cakap macam tu, memanglah
seram. Daripada tiada perasaan takut, terus jadi takut. Imaginasi pula terlebih
advance. Sudah terbayang di kepala Aryana bentuk tulang manusia itu
berada di sebelah.
“Hah,
nak ke mana pulak tu?” tegur Syikin apabila melihat Aryana melangkah ke luar
kelas.
“Nak
pergi toilet.”
Syikin
mengangguk perlahan. Takut sangat ke apa ni, sampai nak ke toilet bagai,
fikir Syikin.
“Yana!”
laung Haniff sebelum Aryana melangkah lebih jauh.
Terus
sahaja Aryana berpaling memandang Haniff.
“Hati-hati...”
tutur Haniff dengan wajah yang bersahaja.
“Kenapa?”
tanya Aryana pelik.
“Nanti
jumpa kepala.”
“Anip!”
Hampir menjerit Aryana di situ.
Elok-elok
tiada perasaan takut, tiba-tiba jadi takut semula. Di minda automatik
terbayangkan kepala manusia yang sudah bercerai dari badan. Berdarah dan
berambut panjang mengurai di dalam tandas.
“Kepala
paiplah,” ujar Haniff tergelak kuat. Buat-buat tidak nampak muka Aryana yang
sudah merah menyala menahan geram.
GAMBANG dipukul
perlahan. Sudah tiga minggu Aryana dan rakan-rakannya gigih berlatih gamelan
sempena sambutan Karnival Hari Merdeka peringkat negeri. Syikin di sebelah tepi
bermain keromong, manakala Atin pula bermain kenong. Ikut pantang larang, semua
alatan gamelan tidak boleh dilangkah. Jika terlangkah, akan sumbanglah bunyinya
menurut kata Cikgu Samad.
Entah
betul atau tidak. Tetapi mungkin itu adalah pantang larang yang orang tua-tua
dahulu buat. Lebih kepada memupukkan sikap hormat kepada alat muzik tradisional
sekalipun ia tidak bernyawa. Tetapi kalau memang tidak pandai main, setakat
main ketuk-ketuk sahaja, terlangkah ataupun tidak, memanglah sumbang bunyinya.
Lagu
Ya Maulai bergema di seluruh dewan mengiringi persembahan kumpulan tarian yang
sedang berlatih di pentas utama. Raptai penuh diadakan hari ini untuk
membetulkan mana yang sumbang.
“Yana,
tengok tu,” arah Syikin yang menghalakan pandangannya ke arah sudut dewan.
Aryana
mengikut sorot pandangan mata Syikin dan ketika itu wajah Haniff bertamu di
ruang mata. Terpegun seketika melihat Haniff yang lengkap dengan pakaian silat
serba hitam. Memanglah Cikgu Hazli sudah memaklumkan persembahan silat akan
diadakan selepas persembahan tarian tamat. Tetapi tidak disangka Haniff yang
akan membuat persembahan. Tidak pernah lihat Haniff berlatih sebelum ini.
“Dah
macam Pendekar Melayu Terakhir,” tambah Syikin.
Memanglah
dia sudah tahu Haniff adalah ahli Persatuan Seni Silat Gayong, tetapi apabila
melihat Haniff buat persembahan, kagum juga dengan persembahannya. Bunga
silatnya nampak berseni. Kuda-kudanya kemas dan tangkas. Betul kata Syikin,
sekali tengok nampak seperti Pendekar Melayu Terakhir.
“Ada
darah keturunan Hang Jebat ke Anip ni?” Mata Aryana masih lagi menyoroti setiap
gerakan dan bunga silat Haniff.
“Entah-entah
darah keturunan Hang Tuah kot.” Ketawa Syikin sudah berpadu dengan ketawa
Aryana.
“Lepas
ni panggil Aniplah kalau ada orang buli kita,” ujar Atin tidak habis-habis lagi
dengan pujian melambung dia.
“Buatnya
Anip dengar kita puji dia, mesti dia kembang semangkuk.” Sudah terbayang di
minda Aryana, Haniff yang tersengih-sengih apabila dipuji.
Nasib
baik hari ini cuma raptai penuh. Yang ada di dalam dewan ini cuma cikgu-cikgu
dan para pelajar yang terlibat. Bolehlah mereka bergelak ketawa dan tidak
serius begitu. Tetapi andai kata hari ini adalah hari persembahan yang sebenar,
pasti semuanya serius. Mahu kena pancung dengan Cikgu Samad sebab buat bising.
DI belakang
pentas, Aryana yang sudah lengkap berpakaian tiba-tiba pula terasa gemuruh
sementara menunggu masa untuk membuat persembahan. Terus sahaja lolipop
disumbat ke dalam mulut. Rasa manis lolipop mengurangkan debaran. Memang
sengaja seplastik kecil lolipop dibawa dan diletakkan di atas meja yang
berhampiran dengannya sebagai bekal. Ada lebih boleh bagi pada kawan-kawan.
“Nak
satu.” Haniff yang entah dari mana tiba-tiba sahaja muncul lalu dengan selamba
mengambil satu lolipop milik Aryana yang ada di atas meja.
Aryana
sekadar mengangguk. Sudah biasa sangat dengan perangai selamba Haniff. Haniff
yang sudah segak dengan pakaian silat yang tersarung kemas di tubuh rupanya
baru keluar dari bilik persalinan lelaki.
“Say
cheese...”
Suara
seseorang membuatkan Aryana dan Haniff serentak berpaling. Serentak itu juga
cahaya yang memancar berserta bunyi klik menyilaukan mata.
Blur seketika
Aryana dibuatnya. Cahaya dari flash kamera masih terasa silau di mata.
“Hmm...
dua-dua tengah makan lollipop,” ujar Farah tersengih sambil memandang kamera di
tangan.
“Comel
kot. Dua-dua tengah pandang kamera.” Farah mengomel sendirian sambil
memerhatikan gambar kandid Aryana dan
Haniff.
Ambil
gambar rupanya. Kenangan di belakang pentas. Mulut masing-masing menggumam
lolipop. Yang kelihatan hanyalah tangkai lolipop yang putih. Kebetulan
kedua-duanya sedang memandang kamera.
Suara
Cikgu Nisa yang mengarahkan semua pelajar yang akan membuat persembahan agar
bersedia menyedarkan Aryana dan rakannya yang lain. Sebentar lagi tetamu
kehormat akan tiba. Semuanya perlu bersedia di posisi masing-masing. Dewan pula
sudah dipenuhi dengan pelbagai rupa manusia.
MASA yang terus bergerak membuka lembaran baru. Habis tingkatan lima, masing-masing membawa haluan sendiri. Namun walaupun sesi persekolahan sudah tamat, Aryana tetap berhubung dengan rakan-rakan sekelasnya yang lain.
Syikin sentiasa menjadi keutamaan. Rakan baiknya itu sedang sibuk membuat persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Di meja batu marmar berhampiran rumah, Aryana tersenyum sendirian memandang komputer riba sambil berchating dengan Syikin. Mulutnya pula disumbat dengan lolipop.
“Mentang-mentanglah dah tak sekolah. Bukan main sibuk lagi berchit-chat. Kawan ke pakwe?”
Aryana menoleh ke arah abangnya, Firdaus Izzany.
“Alah… dengan siapa lagi, dengan Syikinlah. Adik abang ni mana ada pakwe.”
“Papa... anak papa kata dia dah apa pakwe!”
Terjegil mata Aryana memandang abangnya yang tiba-tiba menjerit nakal.
“Apalah abang ni. Memandai aje. Orang cakap lain, dia cakap lain pulak.” Sempat Aryana menampar perlahan lengan kanan abangnya.
“Tahu pun takut. Baru usik sikit aje tu.”
Selamba Aryana mencebik. Geram dengan abangnya yang masih tergelak-gelak mengusik.
“Ajaklah Syikin datang sini.”
“Dia sibuklah,” ujar Aryana sambil menaip di komputer riba.
“Memanglah semua orang sibuk. Awak seorang aje yang tak sibuk. Asyik dengan laptop aje.”
“Mana ada selalu pun. Sekali-sekala aje. Abang tu sibuk pasal Yana. Nanti Yana bagi tahu papa dan mama abang dah ada makwe baru tahu.” Aryana bagaikan mengugut pula.
“Senyaplah.” Pantas Firdaus Izzany menekup mulut Aryana.
Dengan pantas juga Aryana menepis tangan abangnya yang masih menekup mulutnya.
“Tahu
pun takut.” Aryana sudah tergelak-gelak nakal.
“Memandai
aje. Mana ada girlfriend lagi.”
“Ye
ke tak ada. Habis semalam bergayut dengan siapa?” tanya Aryana kembali.
“Yang
semalam tu kawan ajelah.”
“Yalah
tu.” Sengaja Aryana mempamerkan reaksi kurang mempercayai.
Serentak
itu mereka sama-sama ketawa.
“Lepas
habis matrik nanti nak apply course apa masa dekat U nanti?” tanya
Firdaus Izzany setelah ketawa mereka reda.
“Rasanya
macam nak pilih bidang ekonomilah,” beritahu Aryana.
“Kata
hari tu minat Sains Bioperubatan.” Berkerut dahi Firdaus Izzany memandang
Aryana.
“Tak
jadilah. Rasanya memang nak ambil ekonomi,” ujar Aryana tersengih-sengih.
“Papa
dan mama kata apa?”
“Dia
orang tak kisah. Yana dah tanya dah hari tu. Papa dan mama okey aje,” balas
Aryana.
Firdaus
Izzany mengangguk lagi. Puas hati dengan jawapan Aryana.
BACA LAGI DI SINI
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
BACA LAGI DI SINI
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
No comments:
Post a Comment