MUSIM terus berlalu
bersilih ganti. Masa yang bergerak tidak pernah berhenti. Hari pertama mendaftar
di universiti dengan semangat yang berkobar-kobar membuatkan Aryana bagai tidak
sabar lagi untuk memulakan kehidupan baru sebagai seorang mahasiswi. Ditemani
ayah dan ibu yang sentiasa di sisi, kaki yang melangkah lebih bersemangat untuk
menimba ilmu di menara gading.
Di
ruang legar Aryana menunggu mama dan papanya. Sedang Aryana leka memandang
telefon bimbit yang berada di tangan, dirinya ditegur satu suara.
“Tumpang
tanya, kat mana kafeteria?”
“Sorry,
saya pun tak tahu. Mungkin boleh tanya orang lain.” Aryana menghalakan
pandangannya ke arah suara yang menegur. Agak kesal kerana tidak dapat
membantu.
“Pelajar
baru ke?” Jejaka di hadapan bertanya lagi.
“Ya
pelajar baru,” jawab Aryana.
“Saya Danial, pelajar baru jugak. Ingat nak
bawak mak ayah saya makan di kafeteria tadi. Tapi tak apalah. Saya cuba tanya
orang lain.”
Aryana
tersenyum kecil sambil menunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada kedua-dua
orang tua Danial. Ramah pula jejaka yang baru dikenalinya ini bercerita.
Seketika
kemudian sebaik sahaja Danial berlalu, Aryana sudah dapat melihat kelibat mama
dan papanya yang sedang melangkah menghampiri.
“Anak
mama ni cakap dengan siapa tadi?” soal Puan Aisyah.
“Pelajar
baru jugak. Dia tanya kat mana kafeteria,” balas Aryana sambil tersenyum kecil ke
arah mamanya.
“Papa
ingatkan calon menantu tadi. Terkejut papa. Hari pertama masuk universiti, anak
papa ni dah jumpa calon suami,” seloroh Encik Hafizuddin pula.
Wajah
anak gadisnya dipandang berselang-seli dengan wajah isterinya sambil tersenyum
mengusik.
“Papa
ni, ke situ pulak. Baru aje jumpa tadi. Calon menantu apanya,” ujar Aryana
tersengih-sengih.
“Anak
mama ni dah besar panjang. Ingat, datang sini kena belajar rajin-rajin,” pesan
Puan Aisyah sambil menepuk mesra bahu Aryana dengan penuh kasih sayang.
“Jangan
risau. Yana ingat semua pesanan mama tu,” tutur Aryana sambil memeluk bahu Puan
Aisyah mesra dan kelihatan sangat manja.
Tersenyum
Encik Hafizuddin dan Puan Aisyah memandang anak gadis mereka.
“Dah
besar panjang pun nak manja-manja lagi,” usik Puan Aisyah.
“Yana
nak manja-manja dengan siapa lagi. Dengan mama dan papa ajelah.” Manja suara
Aryana membalas.
Ketika
sekolah menengah, dia perlu duduk berjauhan dari mama dan papanya. Apabila
masuk universiti pun perlu berjauhan dari kedua-dua orang tua. Dia perlu
belajar lebih berdikari. Tetapi apabila mama dan papanya ada di hadapan mata,
mulalah perangai terlebih manja sengaja dipamerkan.
DI universiti
menemukan Aryana dengan ramai kawan baru. Di sini Mira menjadi teman rapat
Aryana. Ke mana sahaja mereka pasti berdua. Perwatakan Mira sama seperti Syikin
teman rapatnya semasa sekolah. Ceria dan sporting orangnya. Aryana
sangat bersyukur dipertemukan dengan Mira.
Bagi
Aryana, ke mana sahaja dia pergi di dunia ni, ada rakan baik yang sanggup
bersusah senang bersama, semuanya akan jadi baik tidak kiralah sesukar mana pun
cabaran yang dihadapi. Apatah lagi, apabila berada di tempat baru. Rakan yang
baik dan memahami sangatlah diperlukan. Keluarga adalah teman yang terbaik yang
dikurniakan ALLAH kepada manusia.
Tetapi
hakikat kehidupan, kadangkala masa lebih banyak dihabiskan bersama orang lain,
rakan-rakan di tempat belajar dan di tempat kerja. Tuntutan kehidupan
menjadikan manusia begitu. Siapa jua sebagai rakan, itulah cermin diri.
Ketika
Aryana dan Mira sedang makan di kafeteria, mereka bertembung dengan Danial.
“Hai...
kita jumpa lagi. Jom makan sekali,” tegur Danial ramah.
“Boleh jugak.” Sempat Aryana menoleh ke arah
Mira meminta persetujuan.
Mereka
berempat duduk semeja. Aryana bertemankan Mira. Manakala Danial bertemankan
rakannya Bad.
“Sama
course ke?” soal Danial sambil memandang Aryana dan Mira silih berganti.
“Hmm...
kita orang memang satu course.” Sempat Aryana memandang Mira yang sedang
tersenyum ke arahnya.
Nasi
lemak disuap perlahan. Selebihnya Aryana sudah mula mati kutu. Mahu berperangai
gila-gilanya seperti di zaman sekolah menengah dahulu, segan pula, fikir
Aryana. Sikap periang begitu hanya dipamerkan dengan orang yang betul-betul
rapat dengannya. Apabila berhadapan dengan Danial ni malulah dia. Dia belum
biasa lagi dengan Danial. Tidak tahu lagi hati budinya bagaimana.
“Tak
ada selera?” Tepat mata Danial memandang Aryana.
“Tak
adalah,” jawab Aryana sambil menggeleng perlahan.
Bukannya
Aryana tiada selera. Cuma terasa kekok sahaja. Tetapi Mira di sebelah nampak
selamba. Bukan main berselera lagi dia makan.
“Dah
tu kenapa tak makan?” tanya Danial lagi.
Hisy...
Danial ni. Terlebih rajin pula tengok pinggan nasi orang.
“Nak
makanlah ni.” Sekali lagi Aryana menyuap nasi lemak ke dalam mulut
perlahan-lahan.
“Selalunya
orang yang tak berselera makan ni sebab dia teringatkan buah hati. Tengah rindu
kat buah hatilah ni sampai tak selera nak makan,” usik Danial nakal.
“Mana
ada.” Aryana tergelak kecil.
Sampai
ke situ pulak Danial berfikir. Buah hati pun tak ada. Nak teringat apanya,
rungut hati Aryana.
Sudahnya,
tidak lama selepas itu Aryana mati kutu semula. Masih tidak tahu apa yang boleh
dibualkan dengan Danial yang sedang menyuap makanan.
“Tak
habis segan dengan saya lagi? Senyap aje dari tadi,” tegur Danial semula.
Tiada
jawapan balas daripada Aryana. Sekadar senyuman dilemparkan ke arah Danial yang
berada di hadapannya. Bukanlah dia segan sangat. Cuma tidak tahu topik apa yang
harus dibualkan. Apatah lagi, tekaan Danial kali ini tepat pula.
RUANG perpustakaan
yang luas membuatkan Aryana tenggelam dalam dunianya sendiri. Tangan lincah
mencari buku rujukan yang dikehendaki di sebalik rak-rak buku yang tinggi. Mira
pula leka mencari buku di rak sebelah sana. Mira si ulat buku yang suka membaca
semua jenis genre buku. Apabila jumpa banyak buku begini mulalah hormonnya
melonjak gembira.
Sedang
leka di situ, Aryana terpandangkan sebuah buku yang berada di rak berhadapan
dengannya. Human Behaviour berjaya menarik perhatiannya. Tangannya pantas mencapai
buku yang dikehendaki. Namun pautan di buku itu tiba-tiba terhenti. Rupanya di
sebelah sana ada tangan lain yang turut memegang buku yang sama. Pantas Aryana
melepaskan pegangannya pada buku itu.
Dibiarkan
gerangan manusia di sebelah sana mengambil buku itu. Buku berkulit keras yang
jumlah muka suratnya mencecah 400 halaman dikeluarkan dari rak. Terpaku
seketika apabila bertembung mata dengan orang di sebelah sana. Hanya sebahagian
wajahnya yang mampu dilihat Aryana melalui ruang kosong di antara celahan buku
yang tersusun kemas.
“Yana...”
Aryana
hilang kata-kata apabila orang di sebelah sana memanggil namanya. Tetapi minda
masih terasa kabur. Siapa? Dari celahan buku Aryana dapat melihat pelajar
lelaki tersebut mula melangkah. Dia yang berada di sebelah sana pastinya sedang
melangkah ke arahnya.
“Yana!”
“Ya
ALLAH... Anip!” Hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Terus sahaja
senyuman lebar terukir di bibir.
“Kecilnya
dunia ni.” Haniff ikut tersenyum.
“Hmm...
tulah. Memang tak sangka.”
Selepas
tamat tingkatan lima, Aryana diterima masuk ke kolej matrikulasi. Begitu juga
dengan Haniff. Tetapi mereka langsung tidak berhubung. Aryana di utara tanah
air manakala Haniff di Pahang. Setelah lama tidak bertemu, sekarang Haniff
macam mana pula orangnya? Nakal lagi dengan perangainya yang kuat mengusik atau
sudah berubah? Habis tingkatan lima mereka sudah tidak bertemu. Sekarang
kematangan usia Haniff datang bersama masa.
Seronok
dapat bertemu semula dengan Haniff tidak dapat ditafsirkan. Siapa yang tidak
suka apabila kawan dari zaman sekolah belajar di universiti yang sama.
Tambah-tambah pula jika datangnya dari kelas yang sama. Haniff si budak nakal
yang rajin mengajarnya subjek Matematik Tambahan suatu ketika dahulu. Sekarang
Haniff sudah menjadi rakan seuniversiti pula.
“Masa
pendaftaran hari tu tak terjumpa pulak,”
“Yalah...”
Aryana cuba mengingati semula hari pendaftaran tempoh hari.
Tetapi
ketika itu memang ramai pelajar baru. Sedangkan satu jurusan sahaja sudah ramai
jumlah pelajarnya. Sekali pengambilan ada banyak jurusan yang ditawarkan.
Memang tidak sempat kenal semua orang apatah lagi nak perhatikan semua orang.
“Sorang
aje?” Haniff memerhati sekeliling.
“Tak,
dengan kawan.”
“Syikin
kat mana sekarang?”
“Dia
pergi Ireland, sambung Medic kat sana.”
Haniff
mengangguk.
“Tercapai
jugak cita-cita dia nak jadi doktor.”
“Megat
kat mana?”
“Dia
ambil law kat UK.”
“Wow...
tak sangka dia nak jadi lawyer.”
Seingat
Aryana, Megat Faiz bukanlah jenis yang banyak cakap sangat. Tidak sangka dia
menyambung di bidang guaman.
“Masa
nak tegur tadi takut jugak. Takut salah orang, sebab masa sekolah dulu...”
Kata-kata Haniff terhenti di situ. Jari telunjuknya bergerak-gerak ke arah
kepala.
Aryana
tersenyum nipis. Faham apa yang dimaksudkan Haniff. Tetapi Haniff langsung
tidak pelik atau hairan melihat dirinya yang langsung tidak mengenakan tudung
kini sebab Haniff awal-awal lagi sudah tahu yang Aryana memang tidak bertudung
sejak mereka masih bersekolah lagi. Pakai tudung ke sekolah hanya sebagai
syarat sebab terikat dengan peraturan sekolah dan peraturan asrama. Kalau di
luar memang Aryana tidak bertudung.
“Anip...”
Tiba-tiba ada suara yang memanggil.
Aryana
dan Haniff berpaling serentak. Wajah seorang gadis manis bertudung memenuhi
ruang mata.
“Kat
sini rupanya. Puas cari.” Si gadis manis melangkah merapati Haniff.
“Terjumpa
kawan lama. Kawan masa sekolah menengah.” Tersenyum Haniff pada teman di
sebelah.
“Oh...”
jawab si cantik manis sambil tersenyum memandang Aryana.
“Hai...
saya Hanna.” Si gadis memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangan untuk
bersalaman.
“Yana...”
Huluran tangan Hanna disambut Aryana.
Cantik
manis betul kawan Si Haniff ni. Lemah lembut dan peramah orangnya. Manis
bertudung. Pandai Haniff pilih.
“Satu
course ke?” tanya Aryana ingin tahu kerana Hanna kelihatan mesra dengan
Haniff.
“Yup,
kita orang satu course.” Haniff mengangguk mengiakan.
Oh,
student engineering jugak macam Haniff. Aryana mengangguk tanda
mengerti.
Mereka
bertiga berbual seketika di situ sebelum masing-masing mengikut haluan sendiri.
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
No comments:
Post a Comment