Thursday, 2 October 2014

DIA YANG KUCARI BAB 8

SUASANA di Tropicana Golf & Country Resort sedikit sebanyak membantu menghilangkan resah di hati Haiqal. Cuaca agak terik namun, masih terdapat tiupan angin yang mampu menghilangkan bahang cuaca. Haiqal sukakan keindahan landskap kawasan tersebut. Suasana padang golf yang menghijau menggamit pandangan matanya. Begitu santai dan mendamaikan. Hilang sedikit rasa tegang yang bermukim di hatinya. 

“Kau ni kenapa, Haiqal? Dari mula kita datang tadi aku tengok kau asyik termenung aje. Kebelakangan ni aku tengok kau lain macam pulak,”soal Emir dengan wajah bersahaja. 

“Entah la Mir, aku sendiri pun tak tau nak cakap macam mana.”Haiqal mengeluh perlahan sambil memandang rakannya itu. 

“Kau ada masalah ke? Cuba kau cakap pada aku, mana tau aku boleh tolong.”Emir memerhatikan reaksi di wajah Haiqal.

“Aku... aku dah banyak buat dosa, Mir.”Haiqal berkata lambat-lambat. Sukar baginya untuk meluahkan kata yang terpendam di lubuk hatinya kini. Emir tersenyum kecil memandang Haiqal. Dia ketawa perlahan sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Semua orang buat dosa. Aku atau kau, kita semua ni sama aje. Selagi kita bergelar manusia, selagi itu la kita tak lari daripada buat silap dan buat dosa macam orang lain.”

“Tapi dosa aku kali ni terlalu besar, Mir.”Haiqal berkata lagi. 

“Aku tau....”Emir berkata perlahan. 

“Perempuan tu... aku tak pernah lupakan dia...”luah Haiqal. Dia terdiam seketika. Emir turut terdiam memerhatikan Haiqal, cuba menyelami apa yang dirasai oleh rakannya itu. Dia sudah tahu apa yang pernah terjadi kepada Haiqal. Dahulu, Haiqal sudah menceritakan segala kisah hidupnya. 

“Aku rasa terbeban dengan rasa tanggungjawab aku kepada dia, Mir. Dia pulak tiba-tiba hilang macam tu aje. Betul-betul buat aku tak tentu arah.”Haiqal meraup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangannya. Tengkuknya yang terasa lenguh dipicit perlahan. 

“Mungkin satu hari nanti kau akan jumpa dia?”Emir cuba memberi keyakinan kepada Haiqal. 

“Aku dah tak tau nak cari dia dekat mana. Rumah dia pun aku dah pergi tapi dia langsung tak ada. Kat mana lagi aku nak cari dia, Mir? Bila aku call handphone dia, langsung tak dapat.”Sudah pelbagai usaha yang dilakukan oleh Haiqal selama ini namun, semuanya tidak mendatangkan hasil. Apa yang dia dapat hanya perasaan lelah yang tidak henti.

“Aku takkan pernah dapat lupakan dia, Mir. Aku nak minta maaf dengan dia dan aku nak tebus segala dosa aku pada dia. Aku betul-betul rasa bersalah. Selagi aku tak jumpa dia dan tak minta maaf dengan dia, selagi itu la hidup aku tak akan tenang. Aku berdosa dengan apa yang aku dah buat.”Haiqal mengeluh perlahan. 

“Insya-Allah Haiqal, aku yakin suatu hari nanti kau tetap akan jumpa dia semula.”Sebagai rakan, Emir memberi keyakinan kepada Haiqal. 

“Selagi aku hidup, aku akan terus cari dia. Cuma sekarang ni aku betul-betul buntu. Ke mana lagi aku nak cari dia?”Haiqal memandang Emir, dalam hatinya terasa hiba tiba-tiba. 

“Mungkin belum masanya untuk kau jumpa dengan dia lagi. Mesti ada sebabnya. Mungkin Allah tak nak pertemukan lagi kau dengan dia masa ni. Akan datang, mana tau? Tanpa perlu kau cari, dia sendiri yang akan datang kepada kau.”Tenang Emir menuturkan kata-katanya. Masih tidak putus asa memberi keyakinan kepada Haiqal. 

“Mungkin betul, tapi macam mana kalau aku tak akan jumpa dia langsung sampai bila-bila? Tentu seumur hidup, aku akan rasa bersalah. Macam mana aku nak tebus semula dosa aku pada dia, Mir?”Haiqal berkata lemah. 

“Kita serahkan segalanya kepada Allah, Haiqal. Dia yang menentukan segalanya. Insya-Allah... suatu hari nanti bila tiba masanya, kau dan dia akan tetap berjumpa. Kau kena yakin Haiqal, ni semua ketentuan Allah.”Emir masih menasihati rakannya itu. Bahu Haiqal ditepuk perlahan. 

“Kalau boleh, aku betul-betul nak bertanggungjawab atas perbuatan aku. Selepas kejadian tu, tak pernah sekali pun aku dapat tidur lena, setiap masa aku teringatkan dia.

Emir terdiam, tersentuh juga hatinya melihat keadaan Haiqal begitu. Nampaknya Haiqal benar-benar sudah menyesal atas segala kesilapannya. Begitu bersungguhsungguh Haiqal mahu menebus segala dosanya. 

“Mesti dia bencikan aku. Mungkin dia tak akan maafkan aku sampai bila-bila. Kalau aku jadi dia pun, mesti aku buat perkara yang sama.”

“Sekarang mungkin dia bencikan kau. Mana tau satu hari nanti Allah gerakkan hati dia untuk maafkan kau. Selama mana dia akan marahkan kau? Ada hikmahnya kau tak dapat jumpa dia sekarang. Mungkin masa yang akan ubati luka dia tu. Lama-kelamaan dia akan maafkan kau jugak. Mana tahu masa yang akan datang bila kau jumpa dia semula, dia dah boleh maafkan kau? Percaya la cakap aku.”Kalau boleh Emir tidak mahu Haiqal berputus asa dan terus menyalahkan takdir. 

“Aku pun harap macam tu. Selagi dia tak maafkan aku, selagi itu la aku tak dapat nak maafkan diri aku, Mir.”“Insya-Allah, Haiqal... insya-Allah....”Emir menepuk bahu Haiqal beberapa kali. 

“Aku lega sebab aku ada kawan macam kau. Dalam keadaan aku macam ni kau masih boleh terima aku seadanya sebagai kawan kau walaupun aku dah banyak buat silap. Kau sanggup dengar semua masalah aku dan nasihatkan aku.”Haiqal tersenyum hambar. Dalam ramai-ramai rakannya hanya Emir seorang sahaja yang berbeza. 

“Aku, kan kawan kau. Tak ada guna la kalau aku kawan dengan kau tapi tak boleh nak tolong kau.”Emir tergelak perlahan sambil memandang Haiqal yang kelihatan lebih tenang berbanding tadi. Haiqal ikut tergelak. 

“Kau pun tahu la kawan-kawan aku yang lain, sorang pun tak ada yang sama macam kau. Semuanya kaki enjoy macam aku ni. Bila ada kau, lega sikit hati aku sekarang ni. Sekurang-kurangnya dapat jugak aku share masalah aku ni dengan kau.”Emir tersenyum kecil, ada sesuatu yang ingin disampaikannya kepada Haiqal. Kalau boleh biarlah Haiqal benar-benar mengerti apa yang cuba disampaikan ini. 

“Apa kata kau ambil peluang ni untuk kau ubah cara hidup kau, Haiqal. Aku tak bermaksud apa-apa, cuma apa kata kau guna kesempatan ni untuk kau tinggalkan segala keseronokan dunia yang kau kejar selama hari ni. Hidup tanpa arah tujuan yang akhirnya tak bawa kau ke mana-mana pun,”nasihat Emir penuh berhati-hati. Takut temannya terasa hati dengan kata-katanya. 

“Aku faham maksud kau... tapi... entah la. Aku tak bersedia lagi nak tinggalkan cara hidup aku sekarang ni. Pintu hati aku ni masih belum terbuka sepenuhnya untuk berubah,”ujar Haiqal berterus terang. Emir mengangguk perlahan. Dalam hal begini dia tidak boleh memaksa Haiqal untuk terus berubah menjadi baik secara mendadak. 

“Aku sedar, aku tak boleh nak paksa kau, Haiqal. Tapi, kalau tak hari ni, aku harap sangat suatu hari nanti kau boleh berubah menjadi lebih baik. Setiap orang yang nak berubah tu tak boleh buat secara drastik, semuanya kena buat secara perlahan-lahan.”Emir tersenyum di akhir katakatanya. Haiqal terdiam seketika. Ya, mungkin suatu hari nanti dia akan berubah. Yang pasti bukan ketika ini, bisiknya dalam hati. 

“Kau ni asyik dengar cerita pasal aku aje, bila aku nak dengar cerita pasal hidup kau pulak?”soal Haiqal tibatiba setelah mendiamkan diri seketika. 

“Hmmm... tak ada yang menarik tentang aku pun. Tak tau nak cerita macam mana pada kau.”Emir tergelak suka. Riang sahaja bunyinya. 

“Takkan la tak ada? Kau masih taruh hati pada sepupu kau tu ke? Dari kecil sampai besar takkan kau tak berubah hati lagi?”usik Haiqal sambil tergelak. 

“Yup... aku masih sukakan dia. Tapi kau pun tahu, kan kisah cinta aku ni one sided love aje. Sampai sekarang pun adik sepupu aku tu tak tau yang aku cintakan dia. Cara aku layan dia selama ni pun sama macam cara aku layan seorang adik. Sebab tu sampai sekarang dia tak perasan aku sukakan dia.”Emir akui memang sudah lama dia memendam rasa cinta buat sepupunya itu. Tapi dirinya masih tiada keberanian untuk berterus terang. 

“Takkan sampai sekarang kau masih tak bagitau dia? Mana tahu kalau dia pun sukakan kau.”Haiqal memberi semangat. 

“Aku masih tak ada kekuatan nak bagitau dia. Akan datang tak tau la.”Emir tergelak lagi. 

“Sampai bila kau nak tunggu, Mir? Nanti tak pasalpasal orang lain yang kebas dulu,”kata Haiqal lagi. 

“Entah la Haiqal, aku pun tak pasti sampai bila. Aku tak tau macam mana nak mula.”Emir berterus terang. 

“Kau kena la yakin, Mir. Terus terang dengan sepupu kau tu tentang perasaan kau yang sebenarnya pada dia. Lagi cepat kau cakap, lagi bagus. Kata la sekalipun kalau sepupu kau tu minat pada sesiapa, sekurang-kurangnya kau boleh tau lebih awal. Tak ada la kau terus mengharap macam ni,”nasihat Haiqal pula.

“Tengok la dulu macam mana.”Emir tergelak kecil. Haiqal juga ikut tergelak memandang rakannya itu. 

“Kelakar la kita nikan? Tadi aku yang nasihatkan kau, sekarang ni kau yang nasihatkan aku pulak,”kata Emir yang masih dengan sisa tawanya. 

“Biasa la tu... kawan-kawan....”Ujar Haiqal di hujung sisa tawanya.




HAIQAL tersandar lemah di keretanya. Wajahnya diraup beberapa kali. Sejak kebelakangan ini prestasi kerjanya semakin merosot. Entahlah, fikirannya sering sahaja terganggu. Kerjanya tidak mampu disiapkan dengan segera. Bayangan wajah Dania sentiasa menabiri ruang matanya. Walaupun segala kisah hidupnya sudah diceritakan kepada Emir namun, hatinya tetap tidak tenang. Terasa begitu sukar hidupnya kebelakangan ini. 

Tidak mungkin perkara ini akan berakhir dengan begitu mudah. Haiqal tidak pernah menyangka segalanya akan bertukar begini. Tidak pernah lagi sebelum ini hidupnya tidak keruan disebabkan seorang perempuan. Dahulu hatinya memang keras, ego lelakinya terlalu tinggi. Pada mulanya, Dania sekadar sama seperti perempuan yang lain, langsung tiada sebarang makna buat dirinya. 

Tetapi selepas apa yang telah berlaku antara dirinya dan Dania, Haiqal terasa dirinya pula dibelenggu rasa bersalah yang tidak sudah atas perbuatannya terhadap Dania. Masih Haiqal ingat dengan jelas wajah Dania yang mengalirkan air mata pagi itu. Ketika itulah ego lelakinya kalah dengan permainan yang diciptanya sendiri.

Bagaimanalah agaknya keadaan Dania kini? Entah di mana pula gadis itu berada kini. Sejak Dania hilang tempoh hari, Haiqal tetap berharap dan masih cuba untuk mencari Dania. Sudah beberapa kali Haiqal pergi semula ke rumah Dania, berharap benar agar gadis itu dapat ditemuinya di situ. Namun, sebanyak itu jugalah dia kecewa dan semakin hampa. Harapan yang hanya tinggal harapan. 

Kelibat Dania langsung tidak kelihatan di rumah itu. Pernah juga Haiqal terfikir, perlukah dia menghentikan sahaja segala usaha pencariannya selama ini? Adakah dirinya harus pasrah sahaja dengan ketentuan ini? Mungkin benar kata Emir, masih belum masanya lagi untuk dirinya bertemu semula dengan Dania. Selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah adanya peluang untuk dirinya bertemu semula dengan Dania. 

Ingatannya terhadap Dania tidak mungkin dapat dipadam begitu sahaja. Selagi rasa bersalah dan rasa berdosa ini tidak surut dari hatinya, selagi itulah dirinya tidak akan berhenti berharap.

No comments:

Post a Comment