Thursday, 2 October 2014

DIA YANG KUCARI BAB 7

DANIA mundar-mandir di dalam bilik tidurnya. Duduk salah, berdiri pun salah. Semuanya bagaikan tidak kena. Mamanya sudah hampir tahu yang dirinya mengandung. Kalau mamanya benar-benar sudah tahu nanti bagaimana pula? Pasti mama dan papa mengamuk. Apa yang harus dilakukannya kini? Dania buntu, terasa seperti ingin digugurkan sahaja kandungannya ini. Sudah tidak sanggup lagi untuk menyimpan bayi yang semakin hari semakin membesar di dalam rahimnya ini.
Namun, akal waras Dania pula menegah. Takut juga untuk berhadapan dengan sebarang komplikasi. Tapi jika terus menyimpan anak ini, dirinya pula yang akan menghadapai kesukaran kelak. Syaitan sentiasa berbisik di telinganya. Akal jahat pula tidak henti-henti menghasut dan menyuruh dia memilih jalan kejahatan. Tiada satu pun jalan keluar yang mampu difikirkannya saat ini. Dania duduk di atas katil dengan perasaan yang berbelah bahagi. Pil yang berada di tangannya dipandang lama. 

Mahu makan ataupun tidak? Itulah persoalan yang berlegar-legar di fikiran Dania saat ini. Jika dia menelan pil ini, serta-merta sahaja kandungannya ini boleh gugur. Tapi Dania bagaikan tidak sanggup pula untuk membunuh bayi yang tidak bersalah ini. Terus-terusan Dania berperang dengan perasaannya sendiri. Daripada dia terus mengandung, lebih baik jika kandungan ini digugurkan sahaja. Jika bayi ini lahir tanpa bapa bukankah akan lebih susah kelak? Mungkin lebih baik jika bayi ini tidak dilahirkan terus. Dirinya juga yang akan terlepas daripada beban ini. 

Akal jahat dan bisikan syaitan terus meracuni fikiran Dania, biar anak keturunan Adam ini terus hanyut dan sesat bermandikan dosa. Baru sahaja Dania ingin memasukkan pil tersebut ke dalam mulutnya, tangannya terlebih dahulu ditepis kuat. Baru kini Dania menyedari kehadiran mamanya di situ. Berterabur pil-pil di dalam genggamannya ke atas lantai. 

“Ubat apa yang Dania cuba makan ni?!”tanya Puan Syarifah agak kuat. Hatinya sudah mula rasa tidak sedap. Takkan Dania nak bunuh diri pulak? 

“Ubat biasa aje la, mama. Lagipun Dania rasa nak demam, takkan makan ubat pun tak boleh?”bohong Dania kepada mamanya. Wajahnya ditundukkan agar mamanya tidak perasan yang dia sedang berbohong. 

“Jangan nak tipu mama. Cakap betul-betul pada mama, ubat apa ni?”soal Puan Syarifah lagi. Entah mengapa sukar benar untuk dia mempercayai kata-kata anaknya itu. Puan Syarifah yakin Dania berbohong kepadanya. Tengok daripada reaksi Dania sahaja dia sudah tahu yang anaknya itu sedang berbohong. “Jangan-jangan Dania mengandung tak?”teka Puan Syarifah dengan nada yang penuh curiga.

“Mana ada!”Dania menafikan tekaan Puan Syarifah yang sememangnya tepat. 

“Cakap betul-betul! Dania mengandung, kan? Jangan nak tipu mama lagi!”gesa Puan Syarifah. “Dania tak mengandung la.”Dania sudah mula takut-takut. 

“Kalau tak mengandung, habis tu ni ubat apa? Dania nak gugurkan kandungan, kan?”Bulat mata Puan Syarifah memandang anaknya itu. Dania terdiam. Wajah mamanya tidak berani lagi dipandang. 

“Jadi, betul la Dania mengandung?”Puan Syarifah meminta kepastian. Tiada kata yang keluar daripada mulut Dania. Tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk terus membohongi mamanya. 

“Sejak bila Dania mengandung ni? Siapa lelaki tu? Mama dan papa akan minta dia bertanggungjawab pada Dania. Cepat cakap siapa lelaki tu?!”Bertubi-tubi soalan daripada Puan Syarifah. 

“Dania tak cakap pun yang Dania mengandung. Kenapa mama tak percayakan Dania ni?”Dania masih mahu mengelak. Seboleh mungkin dia tidak mahu mamanya tahu perkara sebenar. 

“Agaknya perkara ni Dania dah lama tau tak? Saja, kan Dania tak nak bagitau perkara yang sebenar kepada papa dan mama?!”Puan Syarifah bagaikan sudah hilang sabar. Jika benar Dania memang mengandung, nampaknya perkara ini sudah bertukar menjadi perkara yang besar. 

“Mama ni kenapa? Tak habis-habis nak tuduh Dania yang bukan-bukan?”ujar Dania tidak puas hati apabila rahsianya hampir terbongkar. 

“Kalau tak mengandung, kenapa Dania macam takut-takut bila mama tanya tadi? Mama dapat rasakan yang Dania memang ada sembunyikan sesuatu daripada mama, kan?”Dania tidak menjawab. Semakin dia menidakkan kata-kata mamanya semakin mamanya akan mencurigai dirinya pula. Tapi, kalau dia berdiam diri pula seolah-olah mengiakan apa yang diteka oleh mamanya itu. Dania buntu. 

“Kalau betul Dania mengandung, perkara ni tak boleh dibiarkan macam tu aje! Mama kena bagitau hal yang sebenarnya kepada papa.”Tegas Puan Syarifah kepada anaknya sebelum dia melangkah keluar. 

Dania sudah tidak keruan. Fikirannya semakin berserabut. Beg tangannya dicapai sebaik sahaja mamanya keluar dari bilik. Dikeluarkan beberapa jenis ubat yang terdapat di dalam begnya. Dania nekad. Dia tetap mahu menggugurkan kandungannya ini. Barulah semua masalah ini boleh selesai, fikirnya. Dosa pahala sudah tidak dihiraukannya. Yang dia tahu, kandungannya ini harus gugur saat itu juga. Hasutan syaitan telah berjaya memperdayakan Dania. 

Syaitan bersorak kegembiraan, biar seorang lagi anak Adam mati dalam kekafiran. Tanpa berfikir panjang terus sahaja Dania menelan berjenis-jenis ubat yang berada di tangannya itu. Begitu banyak ubat yang ditelan sehinggakan Dania sendiri pun sudah tidak tahu jumlah ubat yang telah diambilnya. Air mineral yang berada di sisi katil diambil untuk membantunya menelan ke semua ubat tersebut. Sebentar sahaja, akhirnya Dania terasa seluruh dunianya kini telah bertukar menjadi gelap-gelita. Dania sudah tidak sedarkan diri. Tubuhnya terbaring kaku di atas lantai.





PUAN SYARIFAH mengetuk pintu bilik tidur Dania. Naik lenguh tangannya mengetuk pintu bilik Dania yang berkunci rapat. Namun masih tiada sebarang tindak balas daripada anaknya itu. Puan Syarifah memanggil Dania berkalikali tetapi Dania langsung tidak menyahut panggilannya. Selalunya Dania tidak begini. Kali ini bunyi ketukan di pintu semakin kuat. Puan Syarifah sudah tidak sedap hati. Dia bergegas mendapatkan kunci pendua yang disimpannya di dalam bilik tidurnya. Dia bergegas membuka pintu bilik tidur Dania. 

Sebaik sahaja pintu berjaya dibuka, Puan Syarifah hampir pengsan. Terlepas kunci yang berada di tangannya akibat rasa terkejut. Kelihatan Dania sudah terbaring kaku berhampiran katil. Langsung tidak sedarkan diri. Puan Syarifah semakin gerun apabila melihat darah yang mengalir. Paha dan betis anaknya sudah dibasahi dengan darah merah yang pekat. Puan Syarifah sudah menggigil ketakutan. Berhampiran Dania pula bertaburan ubat yang pelbagai jenis. Berlari dia mendapatkan Dania. Terketar-ketar tangannya menyentuh tubuh anak gadisnya yang terbaring kaku. 

“Dania! Dania anak mama... bangun nak!!!!”Puan Syarifah sudah meraung kesedihan. Tubuh Dania dipangku dan pipi Dania ditampar perlahan. Dania langsung tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Wajah dan bibirnya sudah bertukar pucat bagaikan tiada darah langsung yang mengalir dalam tubuhnya. Puan Syarifah perasan tubuh Dania pula sudah mula terasa sejuk. 

“Anak mama... kenapa jadi macam ni? Bangun Dania... bangun!”Puan Syarifah meraung sambil berkali-kali memanggil nama Dania dengan kuat. Air matanya sudah mengalir deras. 

Tubuh Dania dirangkul erat, perasaannya semakin takut dan berdebar-debar. Terasa seperti ada batu besar yang menghempap kepala Puan Syarifah kala ini. Tidak sangka Dania sanggup bertindak sejauh ini. Puan Syarifah memandang sekeliling. Darah merah mengalir di atas lantai. Pil dan pelbagai jenis ubat yang bertaburan di merata-rata tempat mencemaskan hatinya. Kenapa dia begitu cuai sebentar tadi? Sebagai ibu, dia sepatutnya mengawasi Dania. Kalau apa-apa terjadi kepada anaknya ini, dialah orang pertama yang harus dipersalahkan. Puan Syarifah bergegas mendapatkan telefon bimbitnya. Nombor telefon suaminya didail.





SUASANA di sekeliling bilik terasa dingin dan sunyi. Puan Syarifah dan suaminya, Encik Hisyam kini berada di hospital. Tidak sedikit pun suara dari luar mengganggu dan memecah kesunyian yang dirasai oleh mereka. Puan Syarifah menangis teresak-esak menahan rasa sendu. Selang-seli terdengar suara suaminya Encik Hisyam yang memujuk lembut. Encik Hisyam turut menahan sebak, sesekali kelopak matanya turut berair. 

Apa lagi yang boleh disesalkan,semuanya sudah terjadi. Mungkin ini sudah suratan takdir daripada Ilahi. Encik Hisyam pasrah. 

“Semua ni salah saya, bang... salah saya....”Puan Syarifah merintih lagi kepada suaminya. Suaranya tersekatsekat menahan sebak. 

“Sabar la... mungkin ini dugaan Allah untuk kita.”Encik Hisyam mengeluh perlahan. Dia turut sebak. Mahu tidak mahu inilah yang harus mereka tempuhi. 

“Kalau tak kerana saya, tentu Dania tak jadi macam ni. Dia la satu-satunya anak kita tapi kita tak mampu nak jaga dia....”Puan Syarifah teresak di bahu suaminya. Air matanya semakin laju mengalir. 

“Salah abang juga... kita yang tak mampu nak jaga Dania elok-elok.”Encik Hisyam menepuk bahu isterinya perlahan-lahan. 

“Kita berdua terlalu sibuk sampaikan kita lupa tanggungjawab kita kepada Dania.”Sedikit sebanyak Encik Hisyam turut menyesal dengan sikapnya yang terlalu mementingkan kerja sehinggakan Dania terabai. 

Sekarang, kalau mahu menyesal pun sudah tiada gunanya lagi. Anak mereka, Dania sudah menjadi mangsa akibat kesibukan mereka suami isteri. 

“Dia la satu-satunya anak kita, bang... tapi sekarang....”Semakin kuat pula tangisan Puan Syarifah. 

“Memang Dania satu-satunya anak kita... dan kita gagal jadi ibu bapa yang baik untuk dia.”Encik Hisyam berkata lemah. Suaranya turut kedengaran sebak. 

“Apa yang kita dah buat, bang? Apa yang kita dah buat pada anak kita?!”raung Puan Syarifah lagi. 

“Sabar la, ya....”Encik Hisyam terus memujuk isterinya itu.


“Rupa-rupanya dah lama Dania berahsia dengan kita. Kenapa dia tak bagitau kita awal-awal?”Puan Syarifah mengelap air matanya. 

“Kita yang terlalu sibuk sampai abaikan Dania. Sekarang anak kita sendiri pun dah tak percayakan kita. Sebab itu la agaknya Dania dah tak reti nak kongsi masalah dia dengan kita.”Encik Hisyam akhirnya mengeluh perlahan. Masa yang berlalu terus menyaksikan tangisan Puan Syarifah dan Encik Hisyam yang penuh penyesalan.

No comments:

Post a Comment