Thursday, 2 October 2014

DIA YANG KUCARI BAB 6

DANIA kini sudah pun berada di London. Pengajiannya di universiti sudah bermula. Walaupun kejadian hitam itu masih belum mampu surut daripada ingatannya, Dania bertekad, dia mahu melupakan segala yang berlaku. Namun sehingga kini, dia langsung tiada sebarang kekuatan untuk berterus terang kepada papa dan mamanya. Dua bulan Dania berada di negara orang. Hatinya masih lagi sunyi dan kosong. Malah, dirinya lebih sunyi berbanding dahulu. Terasa dirinya terpinggir keseorangan di bumi asing ini. 

Papa dan mamanya pula lebih sibuk berbanding dahulu. Tiada langsung masa dan ruang yang diperuntukkan untuk dirinya. Segala kemungkinan buruk yang bermain di fikirannya sebelum ini seolah-olah menjadi kenyataan. Kebelakangan ini dia kerap muntah-muntah apatah lagi pada waktu pagi. Tubuhnya cepat letih dan tidak bermaya walaupun dirinya tidak melakukan sebarang kerja berat. Kepalanya pula sering terasa pening. Bagaimana dia mahu menghadapi situasi ini jika segala sangkaan buruk itu benarbenar berlaku sedangkan tiada sesiapa pun yang berada di sisinya ketika ini? 

Dania mencapai beg sandangnya yang terletak di atas katil. Sebelum pulang ke rumah sebentar tadi, dia sempat ke farmasi yang terletak berhampiran jalan yang menuju ke rumahnya. Pregnancy test yang dibeli di farmasi sebentar tadi dikeluarkan dari dalam beg. Alat itu digenggam sekuat hati. Ada rasa ragu-ragu di hati Dania namun, ini sahaja cara yang ada untuk mengetahui sama ada dirinya mengandung ataupun tidak. Dengan perasaan yang semakin berdebar, Dania melangkah ke dalam bilik air. Dania semakin tidak keruan. Perasaannya sudah tidak tentu arah. Alat yang berada di tangannya hampir terlepas. 

Menggigil tangannya memandang alat ujian kehamilan tersebut. Saat itu juga air mata yang sudah sedia bertakung di kelopak matanya gugur. Ujian kehamilannya adalah positif, bermakna dirinya kini benar-benar mengandung. Dania terasa dunianya serta-merta telah bertukar menjadi gelap. Seluruh tubuhnya kini sudah menggigil ketakutan, risau dan cemas. Serta-merta Dania terduduk. Tubuhnya tersandar lesu di pintu bilik air yang ditutup rapat dari dalam. Kakinya kini sudah tidak mampu lagi menampung tubuhnya untuk terus berdiri. Dania meraung sendirian di situ. Kenapalah nasibnya jadi begini? Saat itu juga terlintas bayangan wajah papa dan mamanya di ruang mata. 

Bagaimana kalau papa dan mamanya tahu yang dirinya sudah mengandung? Dania semakin takut, masa depannya kini bagaikan sudah musnah. Tidak dapat dibayangkan, bagaimanalah dia mahu menghadapi hari-hari yang mendatang? Bagaimana dia mahu menyorokkan kandungan ini? Lambat-laun papa dan mamanya sudah tentu akan perasan. Perubahan fizikal dirinya sudah tentu akan lebih ketara dari sehari ke sehari. Tidak sanggup rasanya ke hulu ke hilir dengan membawa perut yang kian membesar. Sungguh ngeri rasanya mahu membayangkan semua itu. Apa pula kata orang di sekeliling nanti? 

Dirinya masih belum bersuami tapi sudah mengandung pula. Tidak semena-mena terlintas pula bayangan wajah Haiqal di minda. Serta-merta Dania menjadi marah. Alat ujian kehamilan yang berada di tangannya dicampak kuat ke arah dinding. Seolah-olah alat tersebut dicampakkan ke arah Haiqal yang sedang berdiri di hadapannya kini. Barangbarang yang berada di bilik air tersebut turut menjadi mangsa. Habis semua barang tersebut dicampak sekuat hati. 

Berterabur semuanya di atas lantai. Pasti dirinya akan berdendam dengan Haiqal seumur hidup. Dania teresak-esak lagi setelah dia penat mencampakkan semua barang yang ada di situ. Bahunya terenjut-enjut menahan tangis. Sesungguhnya hakikat yang maha pedih ini tidak mampu diterima. Tiada siapa yang memberikan dirinya semangat kala ini melainkan bisikan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan dan menghasut dirinya ke arah kejahatan.




PAGI itu, Dania bangun daripada tidur dengan rasa mual yang teramat. Dia berlari menuju ke bilik air lalu membasuh mukanya yang pucat. Air yang terpasang laju membuak-buak keluar daripada paip sedikit sebanyak menyegarkan dirinya. Tekaknya terasa pahit dan masam. Dania berkumur berkalikali untuk menghilangkan rasa yang tidak selesa.

“Dania kenapa ni? Mama dengar teruk sangat Dania muntah. Tak sihat ke?”Terjengul wajah Puan Syarifah di pintu bilik air. Dia memandang anak tunggalnya itu semacam sahaja. 

Dania berpaling ke arah mamanya, terkejut dengan kemunculan mamanya yang tiba-tiba sahaja. Wajahnya seboleh mungkin diselambakan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Paip air ditutup. Dania melangkah keluar dari bilik air. Tidak dipedulikan mamanya yang masih lagi tercegat memandang ke arahnya. 

“Mama tanya ni, Dania tak sihat ke? Sampai muntah-muntah macam ni?”Puan Syarifah mengulang soalannya apabila Dania langsung tidak mahu menjawab pertanyaannya sebentar tadi. 

“Tak ada apa-apa la, mama,”jawab Dania dengan selamba. Tubuhnya dibaringkan semula di atas katil. Kepalanya terasa agak pening seperti hari-hari sebelumnya. Dania pura-pura tidur. Tidak mahu mamanya bertanya itu dan ini. Kalau mamanya sudah mengesyaki sesuatu, dia juga yang akan susah nanti. Sudah pasti sampai ke lubang cacing mamanya akan mengorek rahsia yang disimpan kemas selama ini. Bukannya dia tidak tahu perangai mamanya ini. 

“Mana boleh tak ada apa-apa. Dua tiga hari ni mama dengar Dania asyik muntah-muntah aje,”ujar Puan Syarifah yang masih tidak puas hati dengan jawapan anak tunggalnya itu. 

Pertama kali Puan Syarifah terdengar Dania muntah-muntah begini adalah secara tidak sengaja apabila dia kebetulan lalu berhampiran bilik Dania. Sekali terdengar tu tidak apalah memandangkan ketika itu dirinya sedang tergesa-gesa mahu bertemu rakan niaganya. Tapi apabila sudah kali kedua terdengar Dania muntah-muntah begitu, Puan Syarifah sudah mula rasa tidak sedap hati. 

Dania ni memang benar tidak sihat atau.... Dania yang pada mulanya berbaring terus bangun menghadap mamanya. Kata-kata mamanya itu tiba-tiba sahaja menaikkan suhu kemarahannya. 

“Kalau dah dua tiga hari mama dengar Dania asyik muntah-muntah, kenapa hari ni mama baru nak tanya? Sibuk sangat ke mama sampai anak mama sendiri pun mama tak boleh nak ambil tau? Selama hari ni mama tak pernah ambil kisah pun, kenapa hari ni mama baru nak tanya?!”kata Dania tidak puas hati. Suaranya sudah mula meninggi. Hilang terus rasa hormatnya selama ini kepada mamanya. 

Puan Syarifah tergamam seketika. Tidak pernah Dania meninggikan suara dan berkata kasar kepadanya seperti ini. Sejak bila pula Dania berperangai seperti ini? 

“Kenapa kurang ajar sangat ni? Mama tanya elokelok tak boleh nak jawab elok-elok ke?!”Suara Puan Syarifah turut meninggi. Sakit hatinya apabila mengenangkan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh selama ini akhirnya meninggikan suara kepadanya. 

“Selama hari ni mama tak pernah nak ambil tau hal Dania pun. Sakit pening Dania, makan pakai Dania, ada mama ambil tau? Kalau pasal syarikat boleh pula mama ambil tau!”Dania melepaskan rasa tidak puas hatinya. Sudah tidak peduli lagi jika mamanya marah. 

“Dania! Jangan nak melampau sangat. Nak jadi anak kurang ajar pulak?!”Tinggi suara Puan Syarifah. Baginya, kata-kata Dania memang sudah melampau kali ini.


“Memang Dania kurang ajar! Dania jadi kurang ajar pun disebabkan siapa? Salah papa dan mama sendiri yang selama ni tak cukup mengajar Dania. Kalau Dania kurang ajar siapa yang sepatutnya ajar Dania supaya jangan jadi anak kurang ajar? Takkanlah tanggungjawab tu semuanya nak diserahkan kepada ustaz atau ustazah dekat sekolah?!”jerit Dania, sengaja mencabar kesabaran Puan Syarifah. 

Saat itu juga tangan Puan Syarifah mengenai pipi Dania. Kuat tamparannya ke wajah Dania sehingga tangannya turut terasa perit. Kata-kata Dania sebentar tadi benar-benar telah membuatkan Puan Syarifah hilang sabar. Dania memegang pipinya yang terasa pijar dan sudah mula bertukar kemerahan. Tidak pernah-pernah lagi mamanya menamparnya seperti ini. Dania hanya tersenyum hiba memandang mamanya. 

Puan Syarifah tergamam dengan perbuatannya sendiri. 

“Kenapa mama tampar Dania? Betul, kan apa yang Dania cakap ni?”Balas Dania. Tidak dipedulikan langsung perasaan mamanya itu. 

“Dania... mama....”Puan Syarifah memandang tapak tangannya. Tidak percaya dengan perbuatannya terhadap Dania sebentar tadi. 

“Dania ni satu-satunya anak mama yang ada dekat dunia ni. Dania tak mintak banyak, mama. Dania cuma nak kasih sayang papa dan mama aje. Takkan itu pun papa dan mama tak boleh bagi pada Dania? Mahal sangat ke harga kasih sayang papa dan mama tu sampaikan anak mama sendiri pun tak boleh nak rasa kasih sayang papa dan mama tu?”Dania bersuara lirih. 

Dania terasa seperti ingin menangis. Bukan kerana rasa sakit di pipinya tetapi sedih mengenangkan nasib dirinya selama ini yang terlalu menagih perhatian daripada papa dan mamanya yang tidak pernah mahu mengerti. Sukar benarkah papa dan mamanya mahu meluangkan sedikit sahaja waktu bersamanya? 

“Tapi, papa dan mama tetap sayangkan Dania walaupun kami sibuk.”Perlahan sahaja suara Puan Syarifah di hujung kata-katanya. Dia akui, dia memang menyayangi anaknya itu, cuma dia dan suaminya memang terlalu sibuk. Sebagai ibu yang melahirkan Dania, mustahil dia langsung tidak menyayangi anaknya itu. 

“Bukan dengan kata-kata aje, mama....”Dania berkata lemah sambil air matanya mula mengalir perlahan. Dia tahu, mama dan papanya memang menyayangi dirinya. Apa sahaja kemahuannya selama ini pasti dituruti. Apa sahaja yang dia mahu pasti akan diperolehinya. Dia memang terlalu dimanjakan dengan harta benda dan wang ringgit. Tapi bukan sekadar harta dunia dan wang ringgit yang Dania perlukan, kasih sayang dan perhatian daripada papa dan mamanya amat Dania harapkan selama ini. 

Puan Syarifah sudah kehilangan kata. Perlahanlahan kakinya melangkah keluar dari bilik Dania. Terlupa terus tujuan asalnya masuk ke bilik Dania sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment