Thursday, 2 October 2014

DIA YANG KUCARI BAB 5

hAIQAL memandu keretanya dengan laju. Rasanya dengan cara itu sahajalah dia dapat melepaskan perasaan yang semakin berkecamuk. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia jadi begini. Yang pasti, dia lebih marahkan dirinya sendiri. Kenapalah dia boleh bertindak sejauh itu. Semakin bertimpa-timpa rasa menyesal Haiqal atas perbuatannya terhadap Dania. Tiba-tiba Haiqal menjerit kuat untuk melepaskan perasaannya. Stereng kereta dihentak kuat dengan tangan. Selama ini, sejahat-jahatnya tidak pernah sekali pun dia tidur dengan mana-mana perempuan. 

Datanglah bagaimana rupa perempuan pun, yang genit, yang seksi namun, tidak pernah sama sekali dirinya tergugat. Haiqal akui, dirinya sering kali digoda oleh perempuan-perempuan cantik tapi tiada satu pun yang berjaya menundukkan egonya. Hidupnya mungkin bebas dan pergaulannya juga tidak terbatas namun, dirinya belum sekeji itu untuk tidur dengan mana-mana perempuan sesuka hati. Sikap ego Dania dan perasaan tidak mahu kalah terhadap Zack telah mendorong Haiqal untuk bertindak lebih jauh. Bukankah tindakannya itu terlalu melampau? 

Sekadar mahu mempertahankan ego lelakinya, dia sanggup bertindak sejauh itu. Tapi bukankah Dania sendiri merelakan setiap perbuatannya? Tangan Haiqal tiba-tiba menggeletar. Bagaimanalah keadaan Dania kini? Pasti Dania menderita. Haiqal menyesal, menyesal kerana terlalu mengikut egonya dan perasaan tidak mahu kalah kepada Zack. Bisikan syaitan di telinganya telah berjaya mendorongnya untuk bertindak sejauh itu. Dia memang melampau kerana memperdayakan gadis mentah seperti Dania. 

Kini, di mana dia mahu mencari Dania? Terasa hampir mustahil untuk mencari gadis itu kerana tiada satu perkara pun yang Haiqal tahu mengenai Dania. Langsung tidak diketahuinya alamat rumah dan nombor telefon gadis itu. Sudah puas Haiqal mencari Dania namun, gadis itu tetap tidak kelihatan. Habis serata pusat hiburan yang berada di Kuala Lumpur dicarinya. Akhirnya dirinya juga yang kecewa, bayang Dania langsung tidak kelihatan. Di mana lagi dia mahu mencari gadis itu? Adakah Dania sengaja mahu melarikan diri daripadanya? 

Kelibat Dania langsung tidak kelihatan di mana-mana. Gadis itu hilang dan lenyap begitu sahaja sehinggakan jejaknya juga tidak kelihatan. Kawankawan Dania, seorang pun dia tidak kenal. Mereka baru sahaja berkenalan dan berjumpa pun baru dua kali. Apa-apa sahaja mengenai Dania memang tiada dalam pengetahuan Haiqal. Tiba-tiba Haiqal teringatkan Tasya. Mungkin Tasya dapat membantu. Hanya Tasya sajalah satu-satunya rakan Dania yang dikenalinya. Pasti Tasya tahu mengenai Dania memandangkan mereka ialah rakan baik. 

Haiqal lega, terasa dirinya sudah memperoleh jalan keluar. Kenapalah dia tidak terfikir langsung tentang Tasya sejak dari awal lagi? Kalau tidak, sudah tentu dia tidak akan hilang arah begini. Sudah pasti awal-awal lagi Dania sudah ditemuinya. Haiqal tidak mahu membuang masa lagi. Malam ini juga dia harus bertemu dengan Tasya.





HAIQAL melangkah pantas menuju ke The Sky Night Disco. Matanya mencari kelibat Dani. Sudah diagak, Tasya pasti ada bersama Dani. Haiqal menarik nafas lega, terasa hilang segala lelahnya apabila melihat kelibat Tasya di situ. Akhirnya dapat juga Haiqal berjumpa dengan Tasya di situ. Haiqal segera mendapatkan Tasya dan Dani yang sedang leka berbual. Dani tidak langsung menyedari kehadirannya di situ. 

“Tasya, tahu tak Dania dekat mana sekarang ni?”tanya Haiqal terus dengan nafasnya yang termengah-mengah. 

“Wow... Haiqal, terkejut aku. Kau ke mana selama ni? Hari tu tiba-tiba aje kau menghilang. Alih-alih sekarang ni kau muncul tiba-tiba pulak.”Dani sedikit hairan melihat keadaan Haiqal yang nampak serabut. Entah kenapa dengan temannya yang seorang ini. 

“Aku ada hal sikit.”Haiqal menjawab pendek, menyembunyikan perkara yang sebenar. Ketika ini ada perkara yang lebih penting yang dia perlu tahu daripada Tasya. 

“Tahu tak dekat mana Dania sekarang?”Haiqal bertanya lagi. Matanya tepat memandang Tasya. Tidak dipedulikan Dani yang memandangnya hairan. 

“Relax la bro... datang sini tiba-tiba tanya pasal Dania. Apa kata kalau kita minum-minum dulu, tenangtenang dulu. Yang kau kecoh sangat ni kenapa?”Dani menepuk bahu Haiqal. Tidak pernah-pernah dia melihat Haiqal dalam keadaan begini. Dah macam kucing hilang anak aje. Haiqal mengeluh perlahan. Serabut betul fikirannya saat ini. 

“Ada hal apa cari Dania?”tanya Tasya kepada Haiqal yang kelihatan tidak tentu arah. 

“Dia dekat mana sekarang? Kenapa tak nampak Dania pun kebelakangan ni?”Haiqal tidak menjawab pertanyaan Tasya. Baginya, Tasya tidak perlu tahu apa yang berlaku antara dirinya dan Dania. 

“Tak tahu la, dua tiga hari ni aku tak jumpa Dania langsung. Tiba-tiba aje Dania senyapkan diri. Pelik jugak, selalunya Dania tak macam ni pun.”Tasya menjawab tenang. 

“Nombor phone dia ada tak?”tanya Haiqal tidak sabar. Tasya mengerutkan dahinya. Dia dan Dani berpandangan seketika, pelik dengan sikap Haiqal yang nampak tidak tentu arah. 

“Ada, dah dua tiga hari jugak la aku cuba call Dania, tapi tak dapat.”Tasya sendiri pun pelik, ke mana hilangnya Dania. Tiba-tiba aje menyepikan diri. Bila call pulak, talian tak dapat disambungkan. Entah ke manalah hilangnya Dania ni. 

Haiqal terdiam seketika. Sekali lagi terasa hilang punca. Ke mana lagi mahu mencari Dania? “Alamat rumah dia tau tak?”Terlintas pertanyaan tersebut di fikiran Haiqal. Bagi Haiqal, mungkin ini sahaja jalan yang ada untuk bertemu dengan Dania semula. Walau apa pun aralnya, Haiqal tidak peduli. Yang pasti dia harus bertemu Dania. Tasya mengangguk. 

“Tau, tapi tak guna kalau cari dia dekat sana pun.”“Kenapa?”tanya Haiqal kehairanan. 

“Semalam, aku pergi rumah Dania. Dia tak ada pun. Pelik juga bila sampai rumah dia, tak ada orang langsung. Semuanya berkunci, orang gaji pun tak ada,”beritahu Tasya. 

“Tak ada? Takkan la....”Haiqal seperti tidak berpuas hati. 

“Mungkin dia dah pindah. Tapi... kalau dia pindah kenapa tiba-tiba aje? Pelik jugak sebab Dania langsung tak bagitau apa-apa pun.”Bukan sahaja Haiqal, Tasya juga hairan dengan kehilangan Dania secara tiba-tiba itu. Haiqal mengeluh kuat. Kenapalah ada sahaja halangan untuk dia bertemu dengan Dania? 

“Haiqal, relax la... apa yang kau kecoh-kecoh sangat ni?”soal Dani yang tiba-tiba mencelah setelah agak lama dia mendiamkan diri. Haiqal memicit-micit kuat tengkuknya. Terasa lelah dengan situasi yang buntu ini. Usaha bagaimana lagi yang harus dilakukannya agar berpeluang bertemu dengan Dania? 

“Apa yang penting sangat ni, Haiqal? Beria-ia betul kau cari Dania ni, kenapa?”tanya Dani lagi, tidak puas hati. Pelik kerana Haiqal seolah-olah menyembunyikan sesuatu daripadanya. 

“Boleh bagi alamat dia tak? Please...”rayu Haiqal. Dibiarkan sahaja soalan Dani tidak berjawab. Dani menggelengkan kepalanya sambil mengeluh perlahan. Nampaknya, Haiqal langsung tidak mahu bercerita apa-apa kepadanya. 

“Nak pergi rumah dia jugak ke?”Tanya Tasya bagaikan tidak percaya melihat tingkah Haiqal. Bersungguhsungguh benar Haiqal mahu mencari Dania. 

Entah apalah yang penting sangat sehingga Haiqal beria-ia benar mahu berjumpa gadis itu. Haiqal tidak memberi sebarang reaksi. Bagi Haiqal biar dia sendiri yang memastikan perkara tersebut, baru hatinya akan puas. Selagi ada ruang, dia akan tetap mencari Dania. Tasya mengambil pen dan kertas yang terdapat di dalam beg tangannya. 

Dia mencatatkan alamat rumah Dania berserta nombor telefon gadis itu di atas sehelai kertas. Setelah siap alamat rumah Dania dicatatkan oleh Tasya, kertas tersebut terus diberikan kepada Haiqal. Haiqal meneliti seketika alamat rumah Dania yang sudah ditulis oleh Tasya. Tidak susah rasanya mahu mencari rumah gadis itu. 

“Thanks.”Tanpa membuang masa, Haiqal terus meninggalkan Tasya dan Dani di situ yang masih lagi terpinga-pinga memandang ke arahnya.





HAIQAL memandu keretanya menuju ke alamat yang diberikan oleh Tasya. Dia benar-benar berharap dapat bertemu dengan Dania walaupun Tasya sendiri telah menyatakan bahawa rumah tersebut telah kosong. Walaupun begitu, Haiqal tetap ingin memastikannya sendiri. Benarkah Dania sudah tidak ada seperti yang diberitahu oleh Tasya kepadanya?

Selagi dia tidak melihat sendiri dengan matanya, selagi itulah dia tidak akan tenang. Haiqal terus keluar dari keretanya sebaik sahaja sampai di rumah beralamat seperti yang telah ditulis oleh Tasya. Kelihatan kawasan banglo dua tingkat yang tersergam indah itu agak sunyi. 

Haiqal kembali memeriksa alamat yang tercatat di atas kertas yang berada di tangannya. Rasanya kalau mengikut alamat yang diberikan oleh Tasya, memang inilah rumahnya. Haiqal yakin dia tidak tersilap rumah. Haiqal cuba menekan loceng beberapa kali namun, tiada sebarang sahutan. Menandakan tiada sesiapa di rumah itu. Benar kata Tasya, tiada orang di rumah ini. Besar kemungkinan Dania dan keluarganya memang sudah berpindah. 

Sekalipun kalau benar Dania dan keluarganya sudah berpindah, tapi mereka berpindah ke mana? Kenapa tiada sebarang jejak atau petunjuk yang ditinggalkan oleh Dania agar senang untuk dia menjejakinya? Haiqal terduduk di hadapan pintu pagar rumah besar tersebut. Dia bagaikan sudah putus asa. Ke mana lagi dia mahu mencari Dania? Sudah pelbagai cara dicuba namun, semuanya sia-sia belaka. Nombor telefon Dania juga sudah didailnya berkali-kali namun, tetap tidak dapat dihubungi. Segala usahanya kini sia-sia belaka. 

Tiada satu pun yang mendatangkan hasil. Haiqal melangkah menuju ke arah keretanya semula. Tubuhnya terasa lemah serta-merta. Enjin keretanya dihidupkan semula namun, dia masih belum bergerak meninggalkan kawasan tersebut. Lama dibiarkan tubuh tegapnya bersandar pada kusyen kereta. Matanya hanya terpaku memandang jalan raya. Fikirannya terasa kosong. Beginikah pengakhiran hubungan mereka? Tiada ruang lagikah untuk dirinya bertemu semula dengan Dania?

Sedikit demi sedikit perasaan kecewa semakin menggigit tangkai hati Haiqal. Akhirnya hanya jalan buntu yang ditemuinya. Rasa bersalah semakin bertimpa-timpa di hatinya. Kalaulah dia tidak mengikut kata hatinya tempoh hari, tentu dirinya kini tidak akan menanggung beban perasaan yang berat seperti ini. Haiqal mengeluh perlahan, terasa kelopak matanya berair.


No comments:

Post a Comment