Thursday, 2 October 2014

DIA YANG KUCARI bAb 4

DANIA membuka pintu rumahnya dengan berhati-hati. Kalau boleh dia tidak mahu sesiapa tahu kepulangannya saat itu walaupun dia yakin yang mama dan papanya memang tiada di rumah. Walaupun begitu, dia juga tidak mahu pembantu rumahnya, Mak Ton menyedari dirinya yang baru pulang. Jam tangan dikerling, hampir pukul sepuluh pagi. Baru sahaja Dania ingin mendaki anak tangga pertama, dia terdengar namanya dipanggil. 

Segera Dania menoleh ke arah suara yang memanggil. Lega kerana itu bukanlah suara mamanya tetapi suara Mak Ton. Dania segera mendaki anak tangga, tidak dipedulikan panggilan Mak Ton. Hairan Mak Ton melihat tingkah Dania yang agak ganjil. Dilihatnya gadis itu sedang menangis dan berada dalam keadaan yang tidak terurus. Kalau tidak salah, semalaman Dania tidak pulang ke rumah langsung. Dia ingin bertanya tetapi terbit sedikit rasa takut dan musykil di hatinya. Ada rasa risau yang bermukim di hati tuanya apabila melihat keadaan Dania itu. 


Adakah Dania menghadapi sebarang masalah atau ada perkara buruk yang sudah terjadi kepada anak majikannya itu? Mak Ton bingung sendiri. Perlukah dia menelefon majikannya memberitahu keadaan Dania? Tetapi, pasti majikannya itu sedang sibuk memandangkan mereka baru sahaja berangkat ke Singapura secara tiba-tiba petang semalam. Entah apa halnya, dia sendiri pun kurang pasti. Orang sibuklah katakan, ada sahaja hal yang perlu diuruskan. Mak Ton menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Jelas terpancar riak kerisauan di wajah tuanya yang sudah dimakan usia. “Nak cakap ke tak nak? Karang kalau cakap, banyak pulak puan tanya. Nanti tak tahu nak jawab apa. Isy... tak payah cakap dululah.”Mak Ton berkata sendirian. Kepalanya sekali lagi digaru kebingungan. Di dalam bilik, Dania menangis sepuasnya. Bantal peluknya dipukul berkali-kali untuk melepaskan rasa yang terbuku dalam hati. Cadar yang tersarung kemas di tilamnya dicengkam kuat. Dania meraung sekuat hati. Dunianya terasa gelap. Menggeletar tubuhnya akibat rasa takut, marah, benci dan sedih. Bercampur baur menjadi satu. Bermacam-macam andaian buruk berlegar-legar di mindanya kini. Dibaling kuat bantal yang tersusun kemas ke lantai. 

Dania turut mencampak barang-barang yang ada berhampiran dengannya. Habis semuanya berterabur di atas lantai. Dania menangis lagi. Bengkak matanya menampung air mata yang tidak berhenti mengalir. Perit tekaknya akibat meraung berkali-kali. Peristiwa semalam kembali terlayar di ingatan Dania. Tertekan apabila mengingati semua yang terjadi adalah di luar kawalannya. Semuanya mengusutkan fikirannya yang semakin berkecamuk. Dania memandang ke sekeliling bilik tidurnya yang sudah pun bersepah. Apa yang harus dilakukannya kini? Semuanya sudah pun terjadi dan dirinya sudah tidak mampu untuk mengubah apa-apa. Dania tersandar lemah di penjuru katil. Terasa masa depannya kini bagaikan sudah musnah. Hancur hatinya mengenangkan perkara yang baru sahaja menimpa dirinya. Lebih baik dia mati daripada terus hidup terseksa sebegini. Apa yang akan terjadi kepada dirinya kelak? Bagaimana kalau suatu hari nanti papa dan mamanya tahu? Bagaimana pula kalau orang sekeliling tahu? Dania menjerit sekali lagi. Tertekan. Raungan Dania kini lebih kuat daripada tadi. Mak Ton yang berada di luar bilik, kehairanan. 


Dari mula Dania balik ke rumah sehinggalah sekarang, Dania masih belum berhenti menangis. Risau hatinya mendengar Dania yang tiba-tiba menjerit kuat. Berkali-kali pintu bilik gadis itu diketuknya namun, masih tiada respons. Mana tahu kalau-kalau Dania bertindak di luar kawalan. Mak Ton memberanikan diri membuka pintu bilik tidur Dania yang tidak berkunci. Teragak-agak dia mendapatkan Dania yang sedang duduk di tepi katil. Ada sedikit keraguan di hatinya untuk merapati Dania. Tetapi tidak patut pula rasanya jika dia terus membiarkan Dania menangis di situ. Kalau tidak dipujuk entah sampai bila pula Dania akan menangis. Segera Mak Ton memeluk erat tubuh Dania. Seketika, Dania meronta-meronta minta dilepaskan. Penuh kasih sayang Mak Ton memujuk anak majikannya itu. Akhirnya, Dania terus menangis di bahu Mak Ton. “Sabar Dania, jangan nangis macam ni. Mak Ton, kan ada. Dania boleh cerita kepada Mak Ton kalau Dania ada apa-apa masalah. Tak elok menangis macam ni, Dania.”Sedaya upaya Mak Ton cuba memujuk Dania. Rambut anak majikannya itu diusap perlahan.


“Dania tak nak hidup lagi, Mak Ton. Lebih baik Dania mati aje daripada hidup macam ni!”Dania terus meraung. 

“Jangan macam ni, Dania. Tak baik cakap macam tu, Tuhan marah. Kalau orang lain dengar Dania menjeritjerit macam nikan malu. Sabar ya, nak.”Mak Ton terus memujuk. 

Dania terus mengalirkan air mata. Sesekali rasa tenang hadir dalam hatinya dengan pujukan lembut Mak Ton yang penuh keibuan. Alangkah indahnya jika mamanya yang merangkul erat tubuhnya kini. 

“Dania nak mama. Mana mama, Mak Ton? Dania nak mama!”Semakin kuat pula tangisan Dania. Suaranya kedengaran begitu hiba. Hari ini Dania betul-betul rindukan mamanya. Saat yang sukar begini, Dania benar-benar mengharapkan kehadiran mamanya supaya berada di sisinya memujuk dan meredakan perasaan sedihnya. Kini di mana mamanya berada? 

“Puan dan tuan... pergi Singapura...”jawab Mak Ton teragak-agak. Serba salah untuk memberitahu Dania. Belum pun sempat Mak Ton habis berkata-kata, Dania meraung lagi. 

“Kenapa diorang pergi tak bagi tahu Dania dulu? Sampai hati diorang tinggalkan Dania macam ni. Mama... kenapa mama tinggalkan Dania macam ni? Kenapa mama tak ada bila Dania betul-betul perlukan mama?”Laju air mata Dania turun bersama kata-katanya. Tangisannya pula semakin menjadi-jadi. Tubuh Mak Ton dicengkam kuat seolah-olah ingin meminjam kekuatan daripada pembantu rumahnya itu. Kenapa papa dan mamanya sering sahaja sibuk? Kenapa papa dan mamanya tidak pernah ada bersamanya


waktu dirinya amat memerlukan kehadiran mereka? Kenapa dirinya sering dibiarkan begini? Untuk apa harta setinggi gunung kalau dirinya sering dibiarkan kesunyian? Mak Ton tertanya-tanya kepada dirinya sendiri apabila melihat keadaan anak majikannya itu. Apa sebenarnya yang mengganggu Dania sehingga membuatkan dia bersedih sedemikian rupa? Melihatkan daripada cara gadis itu menangis pasti sesuatu telah berlaku. Situasi Dania kini benar-benar membuatkan Mak Ton serba salah. “Sabar Dania... jangan menangis macam ni. 

Papa dan mama Dania ada kerja tu. Mak Ton, kan ada dekat sini dengan Dania. Kalau ada apa-apa masalah, Dania boleh cerita kepada Mak Ton. Kalau mampu insya-Allah, Mak Ton tak keberatan tolong Dania. Dania tak boleh menangis macam ni.”Pujuk Mak Ton. Hiba hati Mak Ton melihat keadaan anak majikannya itu. Walaupun Dania bukan darah dagingnya namun, gadis itu sudah dijaga sedari kecil lagi. Sedikit sebanyak kasih sayangnya sudah tumpah buat Dania. Terusterusan Mak Ton memujuk Dania di penjuru bilik tidur Dania. Air matanya turut mengalir melihat anak majikannya itu yang bersedih. Tubuh Dania didakap lebih erat lagi.


DANIA memasukkan beberapa helai baju lagi ke dalam bagasi miliknya. Rasanya sudah tiada barang lagi yang perlu dikemas. Tinggal beberapa barang kecil sahaja yang masih belum dimasukkan ke dalam beg. Kurang dari seminggu, dia akan berangkat ke London bersama papa dan mamanya. Papanya akan mula bertugas di London manakala mamanya akan menguruskan perniagaan keluarga di sana. Dania pula

38


Cempaka Qistina

akan menyambung pengajiannya di sana. Akan bermulalah kehidupan baharunya di London kelak. Dania melangkah menuju ke tingkap biliknya. Fikirannya menerawang mengingati papa dan mamanya. Esok papa dan mamanya akan pulang ke tanah air. Tanpa sedar air mata Dania menitis lagi. Perlukah dia menceritakan segala-galanya kepada papa dan mamanya? Sanggupkah dia berterus terang tentang apa yang telah terjadi? Dania buntu sendiri. Bagaimana pula penerimaan papa dan mamanya nanti? Adakah dia akan dimarahi atau dirinya akan dipersalahkan? Memikirkan kemungkinan penerimaan papa dan mamanya adalah negatif, Dania semakin takut dan sedih. 

Terasa dirinya berseorangan menghadapi semua ini. Apa yang pasti, Dania takut... takut dan tertekan mengenangkan masa depannya. Bagaimana kalau dia mengandung? Apa yang harus dijawab kepada papa dan mamanya nanti? Sekelip mata sahaja dunianya bagaikan sudah musnah. Berkali-kali Dania menyalahkan dirinya sendiri. Dania akui, apa yang terjadi memang salah dirinya. Dia yang terlalu bodoh kerana merelakan setiap perbuatan Haiqal terhadap dirinya. Kalau dari awal lagi dia sudah menghalang Haiqal daripada menyentuh tubuhnya, tentu semua ini tidak akan terjadi. 

Bayangan wajah Haiqal semakin menambahkan rasa sakit hati Dania. Sesungguhnya, Dania terlalu bencikan lelaki yang bernama Ameer Haiqal. Kini, Dania tidak mahu lagi meletakkan kesalahan itu di bahunya. Bagi Dania, memang semua yang terjadi ini adalah salah Haiqal dan bukan salah dirinya. Haiqal adalah lelaki durjana yang telah merosakkan masa depannya. Bagaimanalah dia boleh terperangkap dengan tipu daya lelaki buaya seperti Haiqal. Sekarang dirinya pula yang terpaksa menanggung seksa.


Dania berasa dirinya sudah kotor kini. Dia bukan lagi gadis suci. Maruahnya sudah tercemar dengan perbuatan lelaki bernama Ameer Haiqal. Berkali-kali dia cuba meletakkan kesalahan itu sepenuhnya di bahu Haiqal. Tapi Dania tetap tidak mampu mengelak daripada menyalahkan dirinya sendiri. Kalau dia tidak pergi ke pusat hiburan sebegitu sudah tentu perkara ini tidak akan terjadi. Ketidakmatangannya juga yang menyebabkan dirinya dengan mudah tersungkur di kaki Haiqal. 

Dania menangis lagi. Peristiwa malam itu benarbenar mengganggunya. Sungguh, Dania menyesal dengan apa yang terjadi. Namun, menyesal sekarang pun sudah tiada gunanya. Memang salah sendiri kerana dengan mudah menyerahkan diri kepada Haiqal. Kesucian dirinya yang diragut oleh Haiqal sudah tidak mampu dikembalikan. Dania sudah tidak sabar ingin meninggalkan Kuala Lumpur. Dan ingin meninggalkan segala-galanya yang ada di sini. Ingin lari jauh daripada realiti dan perasaan takut yang menghantui dirinya kini. Kalau boleh, saat ini juga dia ingin pergi. Terasa masa bergerak begitu perlahan. 

Alangkah bagus jika dirinya punya kuasa untuk memutarkan waktu. Namun, semua itu adalah mustahil. Keberangkatan Dania ke London bagaikan satu kelebihan buat dirinya. Pemergiannya nanti bagaikan jalan keluar untuk dia melupakan segala-galanya yang berlaku di sini. Sekali dia melangkah, tidak akan sesekali berpaling lagi. Tinggallah segala kenangan pahit itu di sini. Pemergiannya ini langsung tidak diberitahu kepada sesiapa, termasuk Tasya. Biarlah... tiada siapa pun perlu tahu pemergiannya kali ini.



HAIQAL masih lagi teringatkan Dania. Siang dan malam wajah gadis itu tidak pernah luput daripada ingatannya. Haiqal terbaring lemah di atas katil miliknya. Hari sudah merangkak ke tengah malam namun, matanya tetap juga tidak mahu lelap. Terasa sesak nafasnya akibat ingatannya yang terlalu kuat terhadap Dania. Tanpa sedar akhirnya, Haiqal terlena. Lena bersama bayangan wajah Dania dalam tidurnya.

No comments:

Post a Comment