ARYANA duduk di atas batu besar sambil sebahagian kaki dicelupkan ke dalam air yang mengalir. Novel di tangan dibaca membuatkan Aryana leka dalam dunianya sendiri. Sambil itu mulut disumbat dengan lolipop.
“Rajinnya
bawak novel sekali.” Haniff yang duduk santai di atas batu besar tidak jauh
dari Aryana turut mencelupkan kakinya ke dalam air jernih yang mengalir sama
seperti yang Aryana lakukan.
Berbaju
T-shirt lengan panjang bewarna hitam tanpa sebarang corak, seperti biasa Haniff
nampak santai dengan gayanya yang bersahaja. Seluar tiga suku separas lutut
berwarna coklat cair membuatkan penampilan Haniff nampak segar. Rambutnya yang
hitam berkilat sedikit lembab kerana baru lepas mandi.
“Memang
dari hari tu lagi berangan nak rasa apa perasaannya baca novel masa atas gunung
macam ni. Sebab tu aku bawak,” beritahu Aryana dengan wajah yang ceria.
Buku yang berada di tangan ditutup sambil senyuman
dilemparkan ke arah Haniff. Duduk di atas batu, di tempat yang tinggi dan mata
disajikan dengan pemandangan yang indah serta udara yang segar, novel yang
sedang dibaca terasa lebih manis dan romantik dari biasa walaupun sudah banyak
kali novel yang sama dibaca.
“Meh sini nak tengok,” pinta Haniff sambil
mengambil novel dari tangan Aryana.
Seketika Haniff leka membelek novel yang berada di
tangannya. Khusyuk melihat novel sampaikan Aryana yang ada di sebelah
seolah-olah tidak wujud.
“Berangan nak ada boyfriend macam dalam
novel ke?” tanya Haniff pula.
“Tak... tapi dapat boyfriend yang suka
panjat gunung lagi best. Boleh hiking sama-sama,” jawab Aryana sambil
tersenyum.
“Hmm... dah sahlah ni kuat berangan sebab suka
sangat baca novel.”
“Taklah, ini tak ada kena-mengena dengan novel.
Tiba-tiba aje terfikir masa kita mula-mula sampai semalam. Sebab pemandangan
kat sini cantik sangat. Damai, tenang dan tempat ni boleh bertukar jadi tempat
yang sangat romantik,” ujar Aryana selamba.
Tempat ini sememangnya romantik. Tetapi untuk
orang yang tahu menilainya sahaja. Kalau jenis yang tidak suka masuk hutan dan
tengok alam semula jadi memang tidak akan tahu. Dengar orang lain bercerita
sampai berbuih mulut tentang keseronokan mendaki, tetap tidak akan merasai
apa-apa kerana tidak minat. Tetapi bagi mereka yang suka, dengar sahaja sudah
pasti mendatangkan rasa teruja. Mendaki gunung begini bukan tujuannya
semata-mata untuk melihat pemandangan indah atau tujuannya sekadar mencabar
diri untuk menguji kemampuan sendiri.
Bukan juga untuk menabur angan-angan kosong.
Tetapi apabila mendaki, mampu membuatkan seseorang itu lebih dekat dengan Maha
Pencipta. Terbentang luas di hadapan mata segala kekuasaan-NYA. Mata yang
diberi untuk melihat, akal waras yang diberi untuk berfikir, tubuh badan yang
sihat digunakan sebaik mungkin untuk mencari redha ALLAH dan di situ satu per
satu nikmat-NYA mampu dirasa. Berdepan dengan laluan sukar, berdepan dengan
bahaya di depan mata. Hati dan akal semakin mengingati ALLAH. Hanya berserah
kepada-NYA.
Perasaan dari atas yang melihat sesuatu di bawah
sana membuatkan Aryana sedar ada sesuatu di atas langit sana yang jauh lebih
berkuasa. Sentiasa melihat dan memerhati
setiap perbuatan makhluk ciptaan-NYA dari atas sana. Setinggi ini manusia mampu
naik, tetapi ada yang lebih tinggi di atas sana menyaksikan segala-galanya.
Amal baik atau buruk yang sentiasa dicatat setiap saat oleh malaikat yang ada
di kiri dan kanan bersaksikan DIA.
Sebagaimana menyaksikan apa yang ada di bawah
sana, begitu jugalah dengan DIA yang lebih berkuasa sentiasa melihat perlakuan
hamba-NYA. Benarlah, jika mahu merasakan kekuasaan ALLAH, maka lihatlah bumi
yang terbentang luas. Lihatlah makhluk ciptaan-NYA. Ketika itu mampu dirasai
kekuasaan-NYA bagi orang yang celik hatinya.
‘Kami akan
perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat dan
pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata kepada mereka bahawa al-Quran
adalah benar. Belumkah cukup bagi mereka bahawa Tuhanmu mengetahui dan
menyaksikan tiap-tiap sesuatu?’ (Surah Fussilat, ayat 53)
KETIKA Aryana
sedang duduk di atas batu sambil kaki dicelupkan ke dalam air, waktu-waktu
begini mulalah terasa ingin bermain simbah air. Baru sahaja perkara itu terlintas
di fikiran Aryana, tiba-tiba pula Aryana terasa ada percikan air mengenai dirinya.
Terus Aryana menoleh memandang Haniff yang sedang tergelak nakal.
“Apa
main percik-percik air ni?” Aryana dengan garangnya membulatkan mata ke arah
Haniff.
Tanpa
amaran Aryana turut melakukan perkara yang sama. Air yang menyentuh tangan
dipercikkan ke arah Haniff.
“Alah...
la... la... Yana.” Haniff sengaja mengusik sambil terkekeh ketawa.
Boleh
pula mereka berdua berkejar di situ sambil membalas simbahan air antara satu
sama lain. Suara mereka yang ketawa riang senada dengan keceriaan di wajah
masing-masing.
“Dahlah.
Tak nak... tak nak... basah satu badan nanti.” Aryana akhirnya mengalah.
Bukannya
banyak baju yang dibawa Aryana untuk mendaki gunung. Kalau basah, susahlah
nanti.
“Okey,
aku tak simbah dah.” Haniff akhirnya mengalah.
Fuh!
Lega bila Haniff cakap begitu. Terus Aryana tersenyum kecil. Heh, ingat Aryana
hendak mengalah begitu saja? Aryana yang sebenarnya sama nakal dengan Haniff,
sepantas kilat memercikkan semula air yang disentuh dengan jari sebaik sahaja
Haniff berpaling membelakanginya.
Sepantas
kilat juga Haniff berpusing semula ke arah Aryana.
“Hah,
pandai nak kenakan aku balik.” Haniff mula membongkokkan badannya sekali lagi.
Bersedia untuk menyimbah air ke arah Aryana.
Terus
Aryana mengangkat kedua-dua tangannya gaya orang menyerah diri.
“Okey...
okey... aku tak simbah air dah. Janji.”
Haniff
mula tersengih nakal. Tahu pun takut.
“Eh,
Yana. Apa kat belakang tu?” suara Haniff bertukar cemas tiba-tiba.
“Hah,
apa dia?” Membulat mata Aryana memandang Haniff. Wajahnya bertukar panik
serta-merta.
“Tu
dalam air. Kat kaki. Warna hitam.”
Dalam
air? Warna hitam? Terjerit kecil Aryana sebelum berlari lalu bersembunyi di
belakang Haniff.
“Mana-mana?”
Meliar mata Aryana memandang tempat di mana kakinya berdiri sebentar tadi.
Haniff
ketawa nakal. Badannya segera dipusingkan ke arah Aryana yang sedang berdiri
agak rapat di belakangnya.
“Mana
ada. Aku tipu aje.” Nakal suara Haniff senakal senyumannya.
Dengan
selambanya Haniff ketawa sakan apabila Aryana sudah mencuka dengan helahnya.
Itulah,
tadi bukan main lagi Aryana cari helah nak mengenakan dirinya.
“Teruklah!
Buat orang terkejut aje.” Aryana melampiaskan rasa tidak puas hatinya.
Haniff
masih seperti tadi. Hanya menunjukkan wajah selamba gaya tidak berdosa.
“Siapa
suruh percaya. Baru acah sikit aje dah percaya bulat-bulat.”
Kadangkala
Haniff pelik juga dengan rakannya yang seorang ini. Aryana kadangkala lurusnya
tak bertempat. Ketika di zaman sekolah lagi. Apabila orang cakap betul-betul
bukannya Aryana percaya. Tetapi kalau orang bergurau, senang pula Aryana nak
percaya. Tak faham betul.
“Sudahlah.
Jom kita duduk atas batu semula. Keringkan baju.” Terus sahaja Haniff melangkah
semula ke arah batu besar yang mereka duduki sebentar tadi.
Sekalipun
geram dengan kenakalan Haniff kaki tetap juga melangkah. Matahari 11.00 pagi
sudah mula meninggi. Boleh sangatlah duduk santai di atas batu sambil keringkan
baju. Jangan terdampar macam ikan kering sudah.
“Hah,
dah puas main simbah air?” tegur Mira sambil menghalakan lensa kamera ke arah
Aryana dan Haniff. Mira dengan selamba mengambil gambar dua orang rakannya yang
gemar sangat bertekak.
“Taklah...
Tadi baru part one aje. Kejap lagi kita orang sambung balik. Part two
pulak.” Haniff berkata nakal.
“Hah!”
Pantas Aryana menoleh ke arah Haniff yang berada di sebelahnya.
“Tak
naklah...”
“Tipulah.”
Haniff ketawa lagi.
Aryana
masih dalam mood lurus tidak bertempat. Haniff hanya menyimpan gelak di
dalam hati. Kalau ketawa kuat-kuat nanti mengamuk pulak Aryana ni.
MALAM kembali menjelmakan diri. Sekali lagi pakat ramai-ramai bertenggek atas batu sambil melihat bintang di langit. Malam terakhir di Gunung Setong. Esok lebih kurang sebelas pagi mereka akan pulang. Tinggal segala kenangan yang bertapak di sini. Aryana yang terpandangkan kelibat Haniff sedang duduk santai di atas batu pantas merapati rakannya itu.
“Nak tanya sesuatu boleh?” soal Aryana tiba-tiba.
“Selalunya main redah aje tanya. Kenapa malam ni
tiba-tiba skema habis. Nak minta izin bagai.” Terdengar suara Haniff yang
ketawa mengusik.
“Nak tanya tu memang boleh. Tapi sebelum aku
jawab, ada satu syarat. Kena teka dulu. Antara tangan kanan dan kiri aku ni,
yang mana satu ada cincin?” sambung Haniff.
Heh, banyak songeh pula Haniff ni. Nak main
syarat-syarat pulak. Layan ajelah, fikir Aryana.
“Tangan kanan,” jawab Aryana sambil lewa. Tidak
serius. Setakat melayan kerenah Haniff.
“Salah... tangan kirilah.” Serentak itu Haniff
membuka genggaman tangan kirinya. Ketika itu terlihat sebentuk cincin silver
yang sentiasa dipakai Haniff. Entah bila masa Haniff menanggalkan cincin
tersebut. Tidak pula Aryana perasan.
Sambil tersengih nakal Haniff melambung perlahan
cincin yang berada di atas tapak tangannya.
“Dah salah jawab ni, kiranya tak payahlah aku
jawab soalan yang belum ditanya tu kan Yana.”
Tetapi entah bagaimana tiba-tiba sahaja cincin silver
yang sedang dilambung Haniff terlepas dari tangan dan terjatuh ke arah Aryana
sebelum cincin tersebut jatuh ke arah batuan besar yang curam di kawasan yang
gelap.
“Itulah, main-main lagi. Kan dah jatuh cincin tu.”
Aryana cuba melihat dengan mata kasarnya dan mencari-cari cincin Haniff yang
jatuh entah ke mana di dalam samar cahaya.
Haniff
turut membongkokkan badannya. Mencari-cari sekiranya cincin yang terjatuh
sebentar tadi boleh dijumpai semula. Sama seperti Haniff, Aryana yang masih
duduk di atas batu besar di tempat yang sama turut membongkokkan badannya
mencari di celahan batu.
“Dah terjatuh ke bawah agaknya. Tak payahlah cari
lagi.” Risau Haniff melihat cara Aryana membongkokkan badannya sambil
tercari-cari di dalam gelap.
“Tapi kau kan sayang cincin tu.” Tanpa
mempedulikan Haniff, sekali lagi Aryana membongkokkan badannya mencari cincin
milik Haniff yang terjatuh.
Aryana yang semakin membongkokkan badannya
tiba-tiba terasa lengannya dipaut kemas. Serentak itu Aryana terasa tubuhnya
ditarik agak laju. Automatik Aryana yang masih duduk di atas batu tegak semula.
Pantas Aryana berpaling ke arah Haniff.
“Tapi aku sayang kau lagi.” Tegas kata-kata Haniff
sambil matanya tepat memandang Aryana.
Mereka sama-sama terdiam memandang satu sama lain
sebelum Haniff kembali bersuara.
“Aku sayang kau lagi dari cincin tu.”
Sekali lagi mereka terdiam memandang antara satu
sama lain.
“Tak sayang ke kalau tak dapat cincin tu semula?”
tanya Aryana lambat-lambat.
“Dah jatuh nak buat macam mana. Salah aku. Kenapa
susah-susah bahayakan diri. Kita tengah duduk atas gunung sekarang ni. Curam.
Bukannya atas busut. Bahaya tahu tak. Dah terjatuh nak buat macam mana.”
“Niat aku nak tolong aje.” Bukannya Aryana tidak
tahu Haniff sayangkan cincin itu.
“Yana... kalau ada apa-apa terjadi tadi macam
mana? Tak fikir mak ayah? Tak fikir orang sekeliling yang selama ni sayangkan
kau?” Jelas kedengaran suara Haniff yang tegas.
“Sorry, okay.”
“Yana... ni bukan pasal maaf. Ni tentang
keselamatan sendiri, faham tak? Jangan buat orang sekeliling risau. Boleh?”
Suara Haniff masih seperti tadi, tegas dalam kelembutannya menuturkan kata.
No comments:
Post a Comment