MALAM terakhir di atas gunung dinikmati sepenuhnya oleh semua pendaki. Sejuk-sejuk begini seronok juga dapat duduk beramai-ramai mengelilingi unggun api sambil minum kopi panas, berbual dan berkongsi pelbagai cerita. Apabila Abe Man membuka mulut untuk bercerita. Pada mulanya, teruja jugalah Aryana mahu mendengarnya. Tetapi, lama-kelamaan Aryana terasa ingin menutup telinga.
Mana
tidaknya, dari pengalaman Abe Man mula-mula menjejakkan kaki ke gunung ini
sehinggalah pengalaman mistik yang pernah dilaluinya ketika berada di atas
gunung ini habis diceritakan kesemuanya. Itu yang membuatkan Aryana tidak tahan
sampai rasa ingin tutup telinga. Malam yang gelap gelita seperti ini semakin seram apabila ditambah cerita seram
dan pengalaman mistik Abe Man. Baru hendak berangan yang indah-indah terus
terbantut bila dengar cerita begitu.
“Dah
takutlah tu.” Haniff yang duduk berhampiran Aryana seperti biasa mudah sangat
meneka apa jua yang ada dalam fikiran Aryana.
Mahunya
tak takut. Bila dah keluar cerita seram macam tu, hati yang berani dan keras
macam besi waja pun boleh jadi takut.
“Garang
bukan main, tapi penakut,” usik Haniff lagi. Tidak dipedulikan langsung Aryana
yang memandang geram ke arahnya.
Berhadapan
dengan orang ramai seperti sekarang, malaslah Aryana hendak bertegang urat
dengan Haniff. Lainlah jika tinggal mereka berdua sahaja. Mahu Aryana menjawab
balik semua kata-kata Haniff sebentar tadi. Tadi bukan main baik lagi Haniff bagi nasihat. Suruh
jaga keselamatan diri. Sekarang bila sudah tiba perangai kuat mengusik dia tu,
mulalah tidak tahu duduk diam.
“Lah...
Yana ni penakut ke orangnya?” usik Pa’an pula.
“Yana
ni memanglah. Bila keluar aje cerita hantu, dialah yang paling penakut sekali.”
Selamba Haniff ketawa mengusik.
“Jangan
percaya sangatlah cakap Anip ni,” balas Aryana pantas. Membulat matanya
memandang Haniff.
“Hah,
kau tengok tu Pa’an. Bukan main bulat lagi mata Si Yana ni. Garang bukan main.
Tapi bila orang cerita pasal hantu tahu pulak dia takut.”
Wah,
bukan main sedap lagi Haniff mengutuknya. Tengok cerita hantu atau dengar kisah
hantu, memang Aryana tidak suka.
Tetapi
sebagai manusia, takut hanya pada ALLAH, bukan pada makhluk ciptaan-NYA.
KEESOKAN hari, bila
keluar sahaja kepala dari khemah, orang pertama yang Aryana lihat adalah
Haniff. Di khemah sebelah sana Haniff sedang duduk santai menampakkan
sebahagian kepala dan kakinya yang terlunjur keluar dari khemah. Sebahagian
badannya pula masih berada di dalam khemah. Haniff yang sedang duduk santai
leka memandang telefon bimbit di tangan.
Tadi
selepas Solat Subuh, Aryana berbaring-baring dahulu di dalam khemah. Tidak
seperti semalam. Pukul 6.30 dia sudah tercongok di atas batu semata-mata ingin
melihat matahari terbit. Gembira punya pasal sampai sanggup meredah kabus di
waktu pagi walaupun satu badan menggigil-gigil.
Beranganlah tu.
Itu
mesej yang Aryana terima seawal pagi. Wajah diangkat memandang Haniff. Ketika
itu Haniff sedang tersenyum nakal ke arahnya. Lalu mesej dari Haniff dibalas.
Sibuk aje!
Sesudah
menghantar mesej tersebut kepada Haniff, jam tangan yang masih berada di dalam
khemah diambil Aryana.
“Tengok
matahari terbit, jom.” Haniff sudah tercegat di hadapan Aryana yang masih duduk
di dalam khemah.
Aryana
yang sebahagian tubuhnya masih berada di dalam khemah mendongak memandang
Haniff. Agak terkejut melihat Haniff yang sudah berdiri tegak di hadapannya.
Matahari
masih belum kelihatan tetapi langit sudah mula cerah. Sama seperti semalam
mereka duduk santai di atas batu besar. Kabus tebal membentuk seperti kepulan
awan yang memutih. Dingin terkena kulit.
“Dengar
lagu apa tu?” tanya Aryana apabila Haniff dari tadi leka mendengar koleksi lagu
dari telefon bimbit miliknya.
Tiada
kata-kata balasan, sebaliknya Haniff memasukkan earphone ke dalam lubang
telinga Aryana. Satu masih di telinga kirinya. Satu lagi di telinga kanan
Aryana.
I
Can Love You Like That nyanyian All 4 One bergema di corong telinga. Sesekali
Aryana dapat mendengar suara Haniff yang menyanyi perlahan mengikut rentak
muzik di telinga.
Dapat
kekasih yang suka hiking kan seronok. Sempat pula Aryana berangan
seperti semalam. Hendak mendaki gunung bersama kekasih hati. Boleh mereka
sama-sama panjat gunung sambil melihat matahari terbit. Apabila diri berada di
puncak yang tinggi begini, mulalah angan-angan pun tinggi melangit.
“Kan
best bila kekasih hati melamar atas gunung macam ni. Tak payah fikir
panjang. Terus terima. Lagi best kalau dilamar ketika matahari tengah
nak terbit macam sekarang ni. Romantiknya.” Aryana tersenyum sendiri dengan
penuh perasaan.
“Sekarang
pun boleh.” Bersahaja Haniff mengeluarkan getah gelang dari kocek seluarnya.
Getah
gelang yang bulat seperti roda disimpulkan di bahagian tengah. Terbentuk dua
lubang lebih kecil seperti reben apabila getah tersebut disimpulkan di bahagian
tengah.
“Cuba
sarung kat jari,” usul Haniff.
Aryana
sudah tersenyum lebar menyambut huluran Haniff. Tidak sangka Haniff boleh
terfikir begitu. Terus sahaja Aryana memasukkan jari tengahnya ke dalam
kedua-dua bulatan getah gelang yang terbentuk apabila disimpulkan di bahagian
tengahnya. Sekali tengok bentuknya memang seperti cincin yang mempunyai permata
bila disarungkan ke jari. Elok tersarung kemas di jari Aryana dan kelihatan
seperti cincin yang mempunyai permata yang menonjol di bahagian tengah.
“Ni
cincin getah sebagai ganti cincin permata,” ujar Haniff tersenyum mesra.
Getah
gelang yang sudah tersarung di jari Aryana diperhatikan.
I
can love you like that
I will make you my world
Move heaven and earth
If you were my girl
I will make you my world
Move heaven and earth
If you were my girl
I
would give you my heart
Be all that you need
Show you you're everything
That's precious to me
If you give me a chance
Be all that you need
Show you you're everything
That's precious to me
If you give me a chance
Lirik
lagu yang sedang mereka dengar bersama mengalunkan baris rangkap tersebut.
Aryana dan Haniff sama-sama berpandangan sesama sendiri sebelum mereka
sama-sama ketawa kecil.
Seketika
Haniff menyanyi kecil mengikut rentak korus yang berulang. Aryana diam tidak
terkata. Sekali lagi matanya memandang cincin getah gelang yang berada di jari.
Sekali
lagi Aryana menoleh memandang Haniff yang sedang menyanyi perlahan. Cincin
getah buatan Haniff elok tersarung di jari tengahnya. Jari-jemarinya yang
runcing sekali lagi bermain dengan bahagian simpulan getah yang membentuk
seperti permata. Nun di sana, sang mentari perlahan-lahan menjelmakan dirinya.
Bahang panas sudah mula terasa dan alam mula disimbah cahaya matahari.
Saat
ini terasa begitu indah dan berharga untuk dilepaskan begitu sahaja. Di puncak
gunung, bersaksikan mentari pagi yang baru memancarkan cahayanya, semakin
meninggi kedudukannya di langit pagi yang cerah. Cahayanya yang memancar
mengindahkan alam yang terbentang luas, bunyi air terjun yang megah mengalir
bagaikan irama yang mengasyikkan. Dingin kabus tidak lagi terasa.
“Tak
sangka kawan aku ni bijak sampai boleh terfikir perkara macam ni.”
“Hmm...”
Haniff berjeda seketika. “Tiba-tiba aje aku terfikir tadi.” Haniff yang sedang
memandang cincin getah buatannya di jari Aryana tersenyum kecil sebelum
pandangannya dialihkan ke wajah Aryana yang sedang memandang ke arahnya.
I
never make a promise,
I
don't intend to keep,
So
when I say forever,
forever's
what I mean,
I'm
no Casanova,
But
I swear this much is true,
I'll
be holding nothing back,
When
it comes to you.
Sekali
lagi Haniff ikut menyanyi perlahan lagu yang sedang mereka dengari.
“Dalam
ramai-ramai kawan perempuan yang aku ada, yang kat sebelah aku ni jugaklah yang
paling unik sekali. Nak dilamar atas gunung.” Haniff kembali menyambung kata
setelah melagukan perlahan lirik lagu yang dinyanyikan sebentar tadi.
Orang
lain sibuk mahukan bunga ros di tempat yang mewah apabila kekasih hati melamar.
Tetapi Aryana, sibuk nak dilamar atas gunung. Perempuan lain mungkin tidak mahu
atau tidak terfikir langsung macam tu.
“Sebab
aku rasa tempat ni romantik sangat. Dapat cincin sambil tengok matahari
terbit.” Ceria bercampur teruja suara Aryana.
Wajah
Haniff dipandang seketika. Tetapi entah-entah dirinya sahaja yang berperasaan
begitu. Orang lain rasa biasa sahaja.
“Hah,
kenapa pulak tersengih-sengih ni? Berangan lagilah tu.” Haniff memandang pelik
Aryana yang sedang tersenyum-senyum dari tadi.
“Taklah.”
Aryana bersuara perlahan. Tetapi bibir masih lagi tersenyum nipis.
“Habis
tu?” tanya Haniff pelik.
“Lesung
pipit kau tu...”
“Comel
eh?” Pantas Haniff memintas sebelum tersenyum nakal.
Ketawa
kecil Aryana apabila Haniff bereaksi begitu. Tetapi malas mahu mengulas lanjut
tentang lesung pipit Haniff yang mahal sangat itu. Susah sangat untuk dilihat.
Nanti kalau puji, kembang semangkuk pula Haniff.
Lesung
pipit Haniff tidak akan keluar sekiranya Haniff sedang tersenyum lebar atau
sedang ketawa. Tetapi sebaliknya hanya akan keluar apabila Haniff tersenyum
nipis. Sama ada senyuman kecil yang nakal atau bersahaja. Juga akan keluar
sekiranya Haniff tersenyum sinis. Sama ada sinis nakal atau sinis memerli.
“Dulu orang tu nakal sangat. Kuat mengusik. Tapi
tak sangka sekarang kita boleh duduk berdua atas gunung macam ni.”
“Betul
ke tak suka kena usik dengan aku?” Anak mata Haniff merenung anak mata Aryana
yang sedang memandang ke arahnya.
Suara
dan senyuman Haniff yang kelihatan nakal mengundang senyuman kecil di bibir
Aryana. Soalan yang sama yang pernah ditanya Haniff ketika mereka masih
bersekolah dahulu.
PERJALANAN turun tidak
begitu lama bila laluan pintas menjadi pilihan. Hati terasa sayang untuk
meninggalkan tempat yang indah ini. Petang semalam, sempat Abe Man membawa
mereka mendaki ke bahagian yang lebih tinggi berbanding kawasan tapak
perkhemahan. Sempat Abe Man menunjukkan kawasan Telaga Tujuh. Teringat Seven Wells yang juga dikenali sebagai Telaga
Tujuh ketika berkunjung ke Pulau Langkawi.
Tidak disangka atas Gunung Setong ini pun ada Telaga
Tujuh.
Lekukan batu yang agak dalam membentuk
lorongan lubang yang kelihatan seperti telaga. Betul kata Abe Man, cerita
dongeng rakyat dahulu kala ini lebih kurang sama saja di serata negeri. Seperti
di Langkawi, di Gunung Setong ini pun kisah yang lebih kurang sama diceritakan
semula.
Ikut cerita rakyat, di Gunung Setong ini pun
turunnya puteri tujuh beradik dari kayangan yang mandi di kawasan ini. Betul
atau tidak, tiada siapa yang boleh pastikan. Ia sekadar cerita rakyat yang
disampaikan secara lisan dari generasi ke generasi. Terpulang kepada diri
sendiri hendak percaya atau tidak. Hebatnya Abe Man kerana dia sudah
menghafal serata ceruk kawasan di Gunung Setong.
Siap
tolong ambilkan lagi air mata air gunung. Boleh diminum terus katanya. Selamat
tanpa perlu dimasak terlebih dahulu. Sejuknya sama seperti air yang baru
dikeluarkan dari peti sejuk. Bahkan lebih sejuk dan menyegarkan.
SEBELUM pulang ke
rumah keluarga untuk bercuti, Aryana mengasingkan terlebih dahulu apa yang
perlu dan tidak perlu dibawa balik. Tidak perlu dibawa balik semua
barang-barang yang ada di dalam beg ketika pergi mendaki.
Tiba-tiba
Mira memegang jari Aryana.
“Apa
ni?”
Dari
atas gunung tadi Mira sudah perasan getah gelang tersebut di jari Aryana.
Tetapi baru sekarang berkesempatan untuk bertanya.
Serta-merta
senyuman kecil terukir di bibir Aryana.
“Oh...
ni, tak ada apa. Cincin...”
“Cincin?”
Membulat mata Mira memandang Aryana. “Cincin apa? Getah?”
Aryana
sekadar mengangkat bahunya. Malas hendak mengulas apa-apa.
“Dari
atas gunung lagi pakai, lama dah tu. Tak sakit ke jari?” tanya Mira lagi.
“Taklah...”
jawab Aryana perlahan sambil memandang cincin getah di jari tengahnya. Jemari
runcingnya sekali lagi bermain dengan ikatan getah yang membentuk seperti
permata.
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
No comments:
Post a Comment