LANGIT yang cerah
membiru, awan putih terus bergerak di atas sana. Tumbuhan segar yang menghijau
menyejukkan mata yang memandang. Gunung Setong atau juga dikenali sebagai
Gunung Stong menjanjikan satu pengalaman yang berbeza bagi mereka yang
mencintai alam semula jadi dan meminati aktiviti sukan lasak. Terletak di
Daerah Dabong, gunung yang berada di negeri Cik Siti Wan Kembang ini menjanjikan
pengalaman baru buat Aryana.
Semangat
yang asalnya berkobar-kobar seperti api yang marak menyala tiba-tiba padam.
Peluh dingin mula keluar membasahi dahi. Tertanya-tanya pada diri sendiri,
mampu atau tidak hendak meneruskan perjalanan sehingga ke puncak atau
tersangkut di tengah jalan sahaja? Abe Man yang dipanggil mengikut dialek
negeri ini sesekali memantau pergerakan setiap peserta.
“Boleh
ke tidak ni? Belum apa-apa lagi dah semput semacam aje,” soal Haniff.
“Boleh.”
Rendah sahaja suara Aryana. Tidak boleh sekalipun, perlu dilakukan juga. Sudah
tidak boleh berpatah balik lagi.
“Makanlah
lolipop tu. Tak adalah cepat sangat pancit.”
Sekali
dengar bunyinya macam orang yang mengambil berat. Tetapi, dua kali dengar dalam
mengambil berat pun sempat lagi Haniff mengutuknya secukup rasa. Aryana
mencebik geram. Mira yang berada tidak jauh darinya kelihatan masih gagah dari
tadi. Sebelum ini, Mira juga yang beria-ia takut hendak mendaki gunung. Tetapi
hari ini Aryana lihat rakannya itu okey sahaja. Tiada gaya orang takut pun.
Haniff
yang santai bergaya dengan pakaian mendakinya sempat tersenyum nakal memandang
Aryana. Seluar yang kelihatan agak ranggi dan bersaiz agak besar, bercorak
celoreng-celoreng dan mempunyai poket di bahagian tepi kiri dan kanan serta
belakang nampak padan dengan tubuh Haniff yang tinggi.
Berbaju
T-shirt lengan pendek bewarna hijau lumut nampak kena dengan tubuh atlet Haniff
yang tinggi serta berbahu lebar. Topi hitam kosong yang sedikit lusuh sentiasa
melekat kemas di kepala nampak kontra dengan warna kulit Haniff yang cerah.
Kasut dan jam tangan Adidas berwarna hitam melengkapkan gaya. Beg yang penuh
dengan muatan sentiasa melekat kemas di belakang Haniff.
“Hah...
jangan buang sampah merata-rata pulak.” Sempat Haniff menegur Aryana yang sedang
menyumbat masuk lolipop ke dalam mulut.
Ketika
ini mereka sedang berehat di perhentian yang berupa pondok tetapi tidak
berdinding yang sememangnya sudah ada di sini.
“Tahulah...”
Aryana menjawab sepatah.
Tempat
yang indah, aman damai lagi permai ini, tidak sanggup rasanya hendak dicemari
dengan plastik lolipop. Tidak perlu Haniff ingatkan, Aryana tidak akan buat
begitu.
“Hati-hati
sikit jalan tu. Tengok bawah. Takut nanti jatuh sampai terseliuh kaki kan
susah.” Perlahan suara Haniff tapi kedengaran tegas di telinga.
Dari
tadi Haniff memerhatikan setiap langkah Aryana. Aryana pula jenis yang meredah
sesuka hati. Apabila berjalan mata sibuk tengok kiri kanan. Bukannya nak
pandang bawah langsung.
“Tak
perasan. Nak buat macam mana.” Oleh kerana tidak perasan, Aryana hampir
terjatuh.
“Buatnya
terseliuh sampai tak boleh berjalan tadi macam mana? Kan susah. Lain kali
hati-hatilah sikit.” Berkerut dahi Haniff memandang Aryana.
“Yalah,
nanti terjatuh atau terseliuh susahkan orang tu pulak.” Datar suara Aryana seolah-olah
berjauh hati.
“Yana…
Tahu kan bukan tu maksud aku.” Suara Haniff mula berubah tegas.
Anak
mata Haniff dicari.
“Tahulah.
Gurau aje.” Aryana mengendurkan nada suara.
“Tahu
pun.” Haniff masih dengan wajah kelatnya.
“Tak
payah risau sangatlah.”
“Ini
bukan soal susahkan orang lain. Buatnya jatuh sampai tercedera, orang pertama
yang susah diri sendiri jugak, bukannya orang lain.” Suara Haniff yang
mengendur tetap kedengaran tegas.
SEMANGAT yang tadinya
hampir terpadam tiba-tiba melonjak-lonjak semula. Bunyi air terjun sudah mula
kedengaran. Semakin tiba di puncak, kedinginan mula terasa. Perasaan turut
teruja melihat air terjun yang gah mengalir menuruni lekukan batu yang curam.
Laluan untuk mendaki ke puncak gunung semakin curam dan licin. Ingatkan bila
dah sampai di kawasan air terjun, dah sampailah ke kawasan perkhemahan. Rupanya
tidak.
Nak
sampai ke tapak perkhemahan perlu mendaki lagi rupanya. Laluannya semakin
mencabar dengan pokok-pokok yang berduri. Tiba di puncak Gunung Setong terus
rasa ingin melompat gembira. Seawal mendaki tadi, kemampuan diri sendiri
diragui.
Tetapi
apabila sudah sampai ke puncak rasa tidak percaya pun ada. Terlupa segala penat
lelah ketika mendaki digantikan pula dengan rasa gembira, puas dan rasa
bersyukur yang teramat. Sekalipun bukanlah memenangi pingat Olimpik, tetapi
tetap gembira dan berbangga dengan pencapaian sendiri.
Mungkin
rasa gembiranya tidak sama dengan rasa gembira ketika menawan puncak Everest.
Tapi cukuplah pencapaian yang satu ini membuktikan kemampuan sendiri. Bunyi
deruan air terjun yang berdekatan dengan tapak perkhemahan menarik perhatian
Aryana. Jernih lagi dingin airnya. Bersih tanpa sebarang pencemaran. Rasa tak
sabar nak terjun masuk ke dalam air yang jernih.
Di
atas batuan besar Aryana berdiri. Di bawah sana kelihatan tanah landai. Tinggi.
Terasa ngeri dan gayat apabila memandang ke bawah. Rasa tidak percaya pun ada
kerana mampu berdiri di puncak air terjun yang dilihatnya ketika mula mendaki
sebelum ini.
“Cantik
kan?” Haniff yang entah bila berada di situ sama-sama berdiri di atas batu
besar bersebelahan Aryana.
Aryana
mengangguk perlahan. Memang cantik, sampai tidak terkata. Benar kata orang,
selagi tidak cuba sendiri memang tidak akan tahu.
Kembali
semula ke tapak perkhemahan, di situ El dan Kak Nik sudah mula menghidupkan api
untuk memasak air yang akan diletakkan ke dalam mi cawan. Apabila sampai sahaja
di puncak sebentar tadi, semuanya sudah kelaparan.
Kawasan
tapak perkhemahan lebih rata dan landai tanahnya sekalipun ditumbuhi akar pokok
yang panjang menjalar dan berceracak serta batuan gunung yang agak besar.
“Pandai
pasang khemah ke tak ni?” tegur Haniff apabila khemah yang cuba dipasang Aryana
masih belum tegak-tegak dari tadi.
“Tahulah.
Pergilah sana. Kacau orang kat sini buat apa?” Selamba Aryana menghalau Haniff
yang bagaikan sengaja mahu memperkecilkan kemampuannya.
“Tapi khemahnya tak tegak-tegak jugak dari tadi.
Senget sana, senget sini. Boleh ke tidak ni?” Makin selamba Haniff bersuara.
Khemah yang sedang dipasang Aryana adalah jenis
khemah moden. Senang untuk dipasang. Bukannya khemah jenis lama yang memang
agak sukar untuk dipasang. Tetapi jika dilihat dari gaya Aryana ketika ini,
seperti sangat susah untuk dipasang.
“Janganlah kacau. Tak concentrate aku nak
pasang khemah ni,” rungut Aryana geram.
“Bukan nak kacau, tapi aku nak tolonglah.” Laju
bibir Haniff menuturkan kata sambil cuba membantu Aryana.
“Tak payah, aku boleh buat sendiri,” tolak Aryana
tidak mahu menerima bantuan Haniff.
“Orang nak tolong dia tak kasi. Pasang khemahnya
tak siap-siap jugak dari tadi. Kalau macam nilah gayanya, sampai malam esok pun
tak payah tidur.”
“Eee... sibuklah. Pergi sana!” halau Aryana,
selamba.
“Pakai kasut bukan main sama. Mengalahkan pakwe-makwe. Tapi nak pasang khemah pun
bergaduh. Sudahnya khemah macam tu jugak dari tadi,” tegur Kak Nik.
Kak Nik, walaupun dia tidak marah atau suaranya
tidak melenting tinggi seperti komando, tetapi tegasnya tetap ada. Kalau Kak
Nik bercakap, seorang pun tidak berani melawan. Itu baru tegur manja-manja.
Terus Aryana tayang muka tidak puas hati pada Haniff apabila Kak Nik sudah
beredar jauh dari mereka. Ini semua Haniff punya pasal.
“Meh sini aku buat.” Sekali lagi Haniff membantu
apabila Aryana bagaikan blur saja nak memasang khemah yang sebenarnya
sangatlah senang untuk dipasang.
“Betullah cara ni aku guna tadi. Apa bezanya?”
rungut Aryana pula.
“Cuba tengok betul-betul,” kata Haniff perlahan
sambil memandang Aryana.
“Tadi besi ni termasuk dalam lubang yang lain.
Sebab tu khemah ni tak boleh tegak dari tadi. Degil kan? Tak nak dengar cakap
orang,” sambung Haniff lagi.
Sedar salah sendiri. Tetapi sengaja Aryana tayang
muka tidak bersalah.
Setelah mi segera dalam cawan sudah elok
mengembang, tak tunggu lama, terus diambil lalu dimakan. Aryana duduk berjuntai
di sebelah Kak Ila dan Mira. Tidak jauh dari situ Haniff, Nasrul, Pa’an dan
Adli sudah mula makan.
“Makan mi segera atas gunung ni tiba-tiba rasa mi
ni ekstra sedap pulak,” ujar Mira, tergelak kecil.
Mi segera yang berada di tangan disuap ke mulut sekali
lagi.
“Mi ni rasa sama aje. Sebab lapar tu yang rasa mi
ni ekstra sedap.” Nasrul ikut mencelah.
CAHAYA bulan dan
bintang mula menjelma. Pendaki lelakilah yang paling seronok. Boleh berbaring
santai di atas batu besar sambil mengira bintang di langit macam yang Pa’an dan
Nasrul tengah buat. Kalau Aryana memang tidaklah. Segan dengan semua pelajar
lelaki yang ada.
Mata mula terasa mengantuk. Aryana melangkah masuk
ke dalam khemah. Mira sudah mula melelapkan mata. Sedang elok Aryana berlingkar dalam sleeping bag,
tiba-tiba telefon bimbit yang berada di tepi kepala melagukan irama menandakan
masuknya pesanan ringkas.
Anip: Dah tidur ke?
Yana: Belum.
Anip: Okey tak sleeping bag tu? Selesa?
Yana: Okey aje. Selesa.
Anip: Dah tu kenapa tak tidur lagi? Takut nak
tidurlah tu.
Bagaimana mata hendak tidur kalau tangan sibuk
sangat membalas mesej yang dihantar. Aryana keluar dari khemah. Sekalipun
telefon bimbit telah disetkan ke mode senyap tetapi risau juga jika mengganggu
rakan-rakan lain yang sedang lena.
Keluar dari khemah, Aryana sudah ternampak kelibat
Haniff di sebelah sana. Sama seperti Aryana, Haniff di sebelah sana duduk di
atas tikar di tepi khemah. Lampu suluh yang sentiasa terpasang diletakkan di
sebelah tepi. Walaupun khemah perempuan dan khemah lelaki tidaklah dekat mana,
jauh jugalah jarak dan kedudukannya. Tetapi mata masih mampu melihat Haniff di
sebelah sana dengan bantuan cahaya dari lampu suluh yang terpasang.
Yana: Tak ada maknanya takut.
Anip: Tak nak ngakulah tu.
Yana: Ramai orang. Nak takut apanya.
Anip: Keluar malam-malam dari khemah macam ni. Tak
takut nampak kepala ke?
Kepala? Tiba-tiba Aryana teringat semula kenangan
lama mereka ketika di bangku sekolah. Mesti Haniff hendak cakap pasal kepala
paip. Tidak sempat Aryana membalas semula mesej, Haniff terlebih dahulu
menghantar satu lagi pesanan ringkas.
Anip: Tapi atas gunung ni tak ada kepala paip Yana.
Kepala hantu penanggal mungkin ada. Jaga2, nanti tiba2 dia ada kat sebelah masa
dalam khemah. Hee...
Berasap telinga bila baca mesej Haniff yang satu
ini. Terus meremang bulu roma. Terang-terangan Haniff cuba menakut-nakutkannya.
Malam yang indah damai dan permai begini sangatlah tak seronok bila ada
cerita-cerita hantu. Agaknya di sebelah sana Haniff sudah gelak sakan sambil ketawa
bergolek-golek.
Yana: Sudah-sudahlah tu kacau aku. Pergi tidur.
Anip: Mata tak ngantuk lagi.
Yana: Ke tak boleh tidur sebab teringatkn seseorang?
Dalam hati Aryana tersenyum sendiri. Haniff pun
sama dengannya juga agaknya. Mata tidak mahu lelap sekalipun badan terasa
penat.
Anip: Memang pun tengah teringatkan seseoranglah ni.
Yana: Ingatkan Hannalah tu.
Anip: ...:p
Yana: Ceh, tak nak ngaku pulak.
Anip: Rindu tak semestinya pada yang jauh.
Yana: Bila orang yang disayang ada depan mata. Tak
sempat nak rindulah rasanya.
Anip: Tak semestinya. Kadang-kadang, yang dekat tu
jugaklah yang dirindu.
Yana: Aik? Boleh pulak macam tu?
Anip: Rindu bukan sekadar diukur pada jarak.
Yana: Dah rindu sangat call ajelah.
Anip: Tak perlu rasanya.
Tadi kata rindu. Bila disuruh telefon katanya tak
perlu pula. Tak ke pelik tu?
Anip: Pergilah tidur.
Yana: Okey.
Aryana masuk semula ke dalam khemah. Sebelum zip
khemah ditutup sempat Aryana melihat Haniff yang sedang memandang ke arahnya.
Sengih sahaja Aryana walaupun mungkin Haniff tidak nampak. Baru hendak
melelapkan mata, sekali lagi telefon bimbit Aryana menyala-nyala tanda ada
pesanan ringkas yang baru diterima. Haniff? Sah tak tidur lagi. Orang lain
semuanya sudah terbongkang kepenatan. Tetapi Haniff pula tidak tidur-tidur lagi
dari tadi.
Anip: Hah... jangan lupa baca doa tidur. Karang
mimpi benda lain pulak.
Ini yang membuatkan Aryana hendak meletup
tengah-tengah malam begini. Elok-elok tengah berani, mulalah takut semula.
Walaupun Haniff tidak cakap secara terang-terangan, tetapi mesej Haniff itu
seperti sengaja mahu menakut-nakutkan dirinya.
Yana: Tahulah!
Haniff di sebelah sana sedang terkekeh ketawa
sambil berguling-guling dalam khemah agaknya. Apabila sudah lama berkawan
mulalah semua kelemahannya diketahui Haniff. Senang sangatlah Haniff ambil
kesempatan untuk menakut-nakutkan dirinya. Kelakar pun ada kerana mereka berada
di tempat yang sama tapi masih mahu berbalas pesanan ringkas begitu. Paling
seronok di Gunung Setong ini ada liputan rangkaian telefon. Bolehlah mereka
berbalas mesej begitu.
Lebih elok berbalas mesej begitu daripada mereka
duduk berdua-duaan di dalam gelap. Apabila orang tengok pun tak bagus apatah
lagi masa semakin menginjak malam. Memanglah atas gunung ni tiada pencegah
maksiat. Tetapi diri sendiri dulu yang perlu mencegah. Sekalipun tiada orang
yang memantau dan menghalang. Atas gunung atau bawah gunung, jangan sengaja
cari pasal duduk berdua-duaan yang boleh menimbulkan fitnah.
Sebelum kena lebih baik elak sebarang perbuatan
zina atau perkara-perkara yang mengarah kepada perbuatan zina. Syaitan ada di
mana-mana. Kiri, kanan, depan atau belakang. Tunggu masa nak menghasut dan
menyesatkan seluruh keturunan Adam.
Wahai anak-anak Adam!
Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan
kedua-dua ibu bapa kamu dari syurga, ia melucutkan pakaian mereka berdua untuk
memperlihatkan aurat mereka berdua. Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat
kamu dimana kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan
syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang yang tidak beriman. (Surah Al-A’Raaf, ayat-27)
KEESOKAN harinya
selepas Solat Subuh, semuanya segar-bugar. Masing-masing teruja menunggu matahari
terbit. Kabus pagi terasa dingin. Sejuk tidak terkata sehingga mencengkam
tulang hitam. Langit yang tadinya gelap mula bertukar cerah. Di bawah sana
kelihatan kabus putih yang tebal. Jelas kelihatan satu lapisan kabus membentuk
seperti awan apabila melihat ke bawah tebing yang curam.
Kedudukan
tapak perkhemahan ini lebih tinggi dari lapisan kabus yang terbentuk.
Betul-betul terasa diri seperti berada di atas awan.
“Semalam
boleh tidur tak?” soal Haniff yang baru muncul lalu duduk di atas batu tidak
jauh dari Aryana.
“Bolehlah.
Tapi, sejuk sangat semalam sampai menggigil-gigil,” jawab Aryana sambil
menggosok-gosok kedua-dua tapak tangannya. Cuba mengumpul haba untuk
menghilangkan sejuk.
Sejuk
semakin terasa apabila menjelang subuh. Semasa mengambil wuduk untuk Solat
Subuh pagi tadi, sejuknya tidak terkata. Menggigil-gigil Aryana. Jika tidak
memikirkan kewajipan yang satu itu pada yang Maha Esa, jangan haraplah Aryana
hendak menyentuh air dingin subuh-subuh begitu. Lebih baik berlingkar dalam sleeping
bag.
Matahari
yang tadinya bersembunyi di ufuk timur mula menjelmakan diri. Indah bercahaya
sang mentari pagi yang mula garang memancarkan cahaya. Semakin lama, semakin
besar matahari yang sedang naik meninggi mengikut aturan alam. Warna jingga
keemasan terpancar pada kabus yang memutih. Tangan diangkat. Terasa seperti
matahari berada di tapak tangan sendiri. Dari saiz awalnya yang kelihatan
seperti bola golf kini sudah semakin membesar kelihatan seperti saiz bola
sepak.
Perlahan-lahan
kabus yang tadinya tebal memutih menghilang di sebalik cahaya matahari yang
memancar. Dingin yang terasa semakin menghilang diganti dengan rasa bahang
mentari yang selesa menyentuh tubuh yang masih terasa sejuk. Menjadikan Aryana
semakin selesa di tempat duduknya. Pertama kali melihat matahari terbit dari
atas gunung, membuatkan Aryana tidak mahu terlepas walau sesaat pun detik indah
saat ini.
Puas
tengok matahari terbit, leka pula mengambil gambar tumbuhan yang ada di
sekeliling. Bunga hutan yang tumbuh meliar jarang dijumpai menarik perhatian
Aryana.
“Sejak
bila ada hobi macam ni?” Haniff mula bersuara apabila Aryana begitu leka
mengambil gambar bunga hutan.
“Sejak
tahu Danial sukakan fotografi,” jawab Aryana selamba.
“Patutlah
pun.” Memang Haniff dah agak. Apa sahaja hobi baru Aryana sekarang ni semuanya
berkaitan dengan Danial.
“Tapi,
Danial suka ambil gambar bangunan,” sambung Aryana lagi sambil menghalakan
lensa kameranya ke arah bunga hutan yang tumbuh renek.
“Tapi
minat kita berdua sama. Aku pun suka ambil gambar tumbuhan,” balas Haniff
bersahaja sambil tangannya menekan butang kamera.
Di sebelah sana sesi masak-memasak sarapan sedang
bermula. Padahal bukan masak apa sangat. Setakat masak air untuk buat kopi dan
teh panas. Sarapan pagi hanya makan roti sahaja. Aryana membantu apa yang perlu
sambil menyalakan lilin memasak untuk menghidupkan api. Tetapi kalau memasak
dalam mess tin menggunakan lilin memasak dan ranting kayu, perlu pandai
mengawal apinya kerana nyalaan api memang agak susah dikawal.
BACA LAGI DI SINI http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195