BAB 3
Senyuman manis
terukir di wajah Dani. Suasana kelab yang sesak dengan kehadiran pengunjung
yang sedang ghairah menari tidak sedikit pun menghalangnya untuk Tidak sangka
malam ini dia akan bertemu kembali dengan Tasya dan Dania. Haiqal pula tetap
kelihatan apabila melihat kelibat Dania dan Tasya. Masih jelas lagi diingatan
Haiqal dengan sikap jual mahal Dania tempoh hari. Tidak menunggu lama terus
saja Dani menegur Tasya yang sudah pun berada di hadapannya. Reaksi Tasya yang
kelihatan gembira dengan kehadiran mereka melebarkan lagi senyuman Dani.
Dalam pada itu
sempat juga Haiqal memandang kearah Dania. Dikerlingnya Dania yang berada
disebelah Tasya dari atas hingga ke bawah untuk melihat penampilan gadis
tersebut. Dania pula buat-buat tidak nampak. Reaksinya masih seperti dahulu
ketika kali pertama mereka bertemu. Selamba sahaja, sama seperti orang yang
tiada perasaan. Jual mahal betul perempuan ni. Detik hati Haiqal. Atau
sememangnya Dania sedang menunggu kehadiran lelaki yang bernama Zack tempoh
hari.
“Selalu
ke datang sini? Sebelum ni tak ada pulak kita terserempak macam ni.” Dani
bertanya memulakan perbualan.
“Boleh la... tak la selalu sangat,”jawab Tasya
bersahaja. “Kalau macam tu apa kata kita duduk sekali. Boleh
borak-borak,” pelawa Haiqal. Dia sebenarnya cuba mencari ruang agar Dania turut
bercakap. Tapi malangnya Dania masih mendiamkan diri.
“Okey, tak ada
masalah!” Terus persetujuan diberikan oleh Tasya.
Dani duduk di sebelah Tasya
manakala Haiqal duduk berhampiran dengan Dania. Dani dan Tasya leka berbual
bersama. Tidak mempedulikan Haiqal dan Dania.
“Tak nak order air lagi ke? Atau
awak nak saya yang tolong orderkan?”Haiqal bersuara agak nakal sambil
tersenyum, cuba untuk menarik perhatian Dania. Dania masih lagi mendiamkan
diri. Masih belum ada tanda-tanda yang dia akan bercakap. Cuma pandangannya
sudah mula terarah kepada Haiqal. Satu permulaan yang baik bagi Haiqal. Haiqal
tersenyum.
“Coke, maybe?” soal Haiqal lagi.
“Okey,”jawab Dania sepatah.
Namun,
itu sudah cukup untuk membuatkan Haiqal tersenyum lebar. Akhirnya bercakap jugak
minah ni. Ditelitinya Dania satu per satu. Memang cantik orangnya. Rambutnya
yang lurus panjang keperangan itu dipotong layer. Matanya yang bulat kelihatan
galak bersinar, kulitnya pula putih gebu. Mempunyai ketinggian yang sederhana tetapi
kelihatan cukup menawan dengan tubuh langsingnya. Kebetulan pula Dania memang
seorang yang pandai bergaya. Keseluruhannya gadis di hadapannya ini memang
cantik menawan jika dilihat daripada gaya dan penampilannya dan boleh juga
dikategorikan sebagai seksi. Teringat kembali kejadian yang berlaku tempoh
hari.
Haiqal seolah-olah dapat melihat semula wajah Zack yang mentertawakannya.
Ego lelakinya kembali tercabar. Kalau diikutkannya, dia memang tiada sebarang
masalah dengan Zack. Tetapi, apabila dia teringatkan senyuman sinis Zack
kepadanya tempoh hari, dapat dirasakan seolah-olah Zack mengejeknya. Ternyata
Haiqal juga tidak mahu kalah dalam pertaruhan egonya. Mungkin inilah masanya
untuk dia merapati Dania. Haiqal tersenyum sinis. Silap hari bulan Dania akan
menjadi miliknya dan Zack akan berputih mata. Dania di sebelahnya dipandang
lagi.
“Kawan awak yang hari tu tak datang ke? Apa nama dia...?” Haiqal
meleretkan suaranya, buat-buat lupa. Padahal dia masih ingat lagi nama anak
muda tersebut. Sengaja Haiqal mahu menarik perhatian Dania untuk bercakap. Dania buat muka bosan. Banyak tanya pulak Haiqal ni. Apesal la mamat ni sibuk
sangat?
“Takkan la selama kita duduk sini awak nak diam aje? Lagipun, takkanlah
awak tak nak berkenalan dengan saya yang handsome ni?” soal Haiqal nakal.
Sengaja mahu mengusik Dania. Mahu dilihat sejauh mana ego gadis yang bernama
Dania ini.
Dania tersenyum sinis. Meluat pula dia mendengar kata-kata Haiqal
yang dianggap perasan ni. Boleh tahan poyo jugak mamat ni.
“Awak ni
tak boleh duduk diam-diam ke? Atau awak ada masalah kalau saya tak
bercakap?” Selamba ayat yang dituturkan oleh Dania. Rimas juga dia dengan Haiqal
yang duduk rapat di sebelahnya ini. Sudahlah mata lelaki itu asyik memandang
dan merenung dirinya. Korek biji mata baru tahu. Macamlah tak ada benda lain
yang nak dipandang.
“Boleh pun bercakap. Ingatkan bisu tadi,” balas Haiqal
sambil ketawa mengusik.
“Tengah tunggu kekasih hati ke? Zack mungkin?” Sengaja
Haiqal bertanya. Mahu dilihat bagaimana pula reaksi Dania apabila nama Zack
disebut.
“Jangan sebut nama lelaki tu boleh tak?” Dania bersuara agak kasar
sambil menjeling ke arah Haiqal. Panas hati apabila nama Zack mula disebut.
“Bunyi macam ada masalah aje. Takkan la awal-awal lagi dah ada masalah dengan
boyfriend, kut?” Haiqal bersuara agak sinis. Namun, senyumannya pula semakin
lebar.
Nampaknya makin senanglah kerjanya kali ini. Peluang untuk merapatkan
diri dengan Dania sudah semakin terbuka luas. Dania ingin membalas namun,
terhenti apabila suara Tasya mendahului kata-katanya.
“Dania, aku dengan Dani
nak pergi menari ni. Kau nak ikut tak?” soal Tasya tiba-tiba.
“Kau menari aje la
dengan Dani tu. Aku malas la nak menari malam ni.” Meluat betul Dania melihat
Dani yang tersengih-sengih ke arahnya macam kerang busuk. Dah tak ada kerja
lain ke?
“Sure?”soal Tasya lagi meminta kepastian. Dania mengangguk.
“Betul,
aku nak duduk aje kat sini. Aku
memang tak ada mood nak menari. Dah penat nanti pandai-pandai la kau datang
sini semula.”
Leka Haiqal memerhatikan Dania. Sekilas dia terpandangkan tanda
hitam di pergelangan tangan Dania. Saiznya tidaklah begitu besar tetapi cukup
jelas pada pandangan matanya. Sekali pandang sudah boleh ingat. Haiqal terus
memerhati tanpa menyedari Dania perasan akan perbuatannya itu.
“Kenapa?”tanya
Dania sambil memandang wajah Haiqal. Kurang selesa dengan cara Haiqal
memandangnya. Haiqal hanya menggeleng perlahan. Sekadar tersenyum memandang
Dania yang sedang merenung ke arahnya dengan wajah yang sengaja diselambakan.
Dania memandang pergelangan tangannya. Kemudian pandangannya dihalakan ke arah
Haiqal sekali lagi yang sedang merenungnya. Tentu tanda lahir yang berada di
pergelangan tangannya ini menarik perhatian Haiqal.
“Tahi lalat ni sebenarnya
tanda lahir. Mama cakap kalau hilang senang nak cari....”
“Betul la tu. Kalau
awak hilang suatu hari nanti, senang la saya nak cari awak. Tengok sekali aje
dah boleh ingat.” Haiqal tersengih kecil.
Kata-kata Haiqal disambut dengan suara
tawa Dania. Terpaku seketika Haiqal melihat Dania dalam keadaan sebegitu.
Barisan gigi Dania yang putih bersih serta tersusun rapi menambahkan lagi seri
di wajahnya. Bibir halusnya menguntum senyuman ceria. Pertama kali dia melihat
Dania ketawa seumpama itu. Haiqal terasa hatinya bagaikan dijentik satu
perasaan indah.
“Hmmm... tanda lahir pun comel macam tuannya,”komen Haiqal
bersahaja.
“Tak
sangka ek, playboy macam awak pun pandai buat lawak jugak.”Dania terus ketawa
dengan kata-katanya.
Haiqal turut ketawa mendengar ungkapan playboy yang
ditujukan kepadanya. Pada mulanya sahaja Dania kelihatan seperti susah untuk
didekati. Atau mungkinkah jeratnya sudah mulai mengena? Haiqal tersenyum sinis.
“Opsss... silap tu. Saya bukan playboy.”Haiqal menafikan sambil tersengih.
“Mana ada playboy yang mengaku diri dia playboy,”balas Dania sambil tersenyum
sinis.
“Hmmm... kalau pergi uji bakat filem untuk watak playboy agaknya tentu
dah lama David Teo ambil awak berlakon,” sambung Dania lagi.
Dalam pada itu
Haiqal ketawa sinis dalam hatinya. Playboy atau tidak, itu tidak penting. Apa
yang penting Dania akan ditundukkan malam ini. Haiqal memandang pula dirinya
dari atas hingga ke bawah. Ada gaya playboy ke aku ni? Muka aku ni ala-ala muka
playboy ke? Haiqal bertanya kepada dirinya sendiri. Sebelum ni, tak ada pula
orang kata dirinya playboy. Lagipun dia memang bukan playboy. Cuma mungkin dia
boleh dikategorikan sebagai agak nakal.
Selama ini pun bukan dia yang datang
kepada mana-mana perempuan. Nak buat macam mana kalau diorang datang menyerah
diri kepadanya? Kalau nak dibandingkan dengan Dani, rasanya lelaki itu lebih
layak digelar sebagai playboy. “Kenapa? Awak takut ke kawan dengan playboy
macam saya ni?”duga Haiqal sambil mengangkat keningnya. Dania hanya ketawa
sambil meneguk minumannya. Malas mahu mengulas apa-apa.
“Kenapa tak ajak
boyfriend datang sini? Kawan yang nama Zack hari tu tak datang ke?” Haiqal
bertanya ingin tahu.
“Buat apa ajak dia? Lagi menyakitkan hati ada la.” Dania
merengus marah. Sakit hatinya apabila lelaki itu menyebut nama Zack sekali
lagi. Buat rosak mood aje. Dia sudah malas mahu ambil tahu tentang Zack. Kalau
boleh, nama Zack pun dia tidak mahu dengar lagi. Haiqal tersenyum meleret. Di
sebalik senyumannya tersembunyi seribu satu makna. Yang pasti makna itu tidak
diketahui oleh Dania. Nampaknya kali ini Zack benar-benar tidak lagi menjadi
penghalang.
“Jangan la marah. Takkan la sebab Zack kita nak rosakkan mood malam
ni.” Haiqal bersuara seperti ingin menggoda. Dirapatkan lagi kedudukannya dengan
Dania. Dengan selamba tangan sasa Haiqal merangkul erat bahu Dania sambil
membelai-belai rambut Dania. Semakin lebar senyumannya apabila Dania langsung
tidak membantah perbuatannya itu. Akhirnya, kau mengalah juga kepada aku.
Haiqal ketawa dalam hatinya. Dulu kau tidak layan pun aku, pandang aku pun kau
tak mahu. Sekarang kau dah pun berada dalam pelukan aku. Bukannya susah sangat
pun nak tundukkan gadis secantik kau ni.
“Awak pun sama. Kenapa tak ajak
girlfriend, maybe?”soal Dania sambil tersenyum sinis memandang Haiqal. Sengaja
mahu mengenakan lelaki itu pula. Tapi Dania sendiri hairan, kenapa dia dengan
begitu mudah melayan Haiqal? Sedangkan sebelum ini begitu sukar untuk dia
berkawan atau melayan sembarangan lelaki. Mungkin kerana dia begitu kecewa
dengan sikap Zack membuatkan dirinya dengan mudah menerima Haiqal pula. “Kalau nak tahu, saya ni single lagi.”Haiqal berkata perlahan. Tangannya
bermain-main dengan hujung rambut Dania. Dania masih tersenyum sinis. Lelaki!
Mudahnya mengaku single, tetapi kekasih keliling pinggang.
“Malam ni nak buat
apa? Takkan sepanjang malam nak lepak dekat sini aje? Tak ada apa-apa rancangan
ke selepas ni?” Haiqal sudah mula menjerat. Suaranya begitu hampir di telinga
Dania.
“Nak buat apa lagi? Balik rumah terus tidur la.” Dania tersenyum kecil.
Entah mengapa dengan senang sahaja dia merelakan Haiqal menyentuhnya. “Takkan
terus nak balik rumah? Rugi la. Dekat rumah bukannya boleh buat apa-apa pun.
Selain dari balik rumah ada banyak lagi perkara lain yang kita boleh
buat.” Haiqal melunakkan suaranya.
Bahu Dania dielus mesra.
“Habis tu awak nak suruh saya buat apa?” Mata Dania
tepat memandang ke arah Haiqal.
“Apa kata kalau kita pergi ke suatu
tempat?” Haiqal tersenyum menggoda. “Ke mana?”Soal Dania ingin tahu. Dia sedikit
kehairanan.
“Rahsia... tapi kalau nak tahu, kena la ikut.”Haiqal tersenyum
meleret. Jeratnya sudah mengena.
PAGI itu,
Dania terjaga dalam keadaan yang amat keliru. Diperhatikan ruang kamar yang
begitu asing pada pandangan matanya. Yang pasti, ini bukan bilik tidurnya.
Dania memegang kepalanya yang terasa pening. Bagaimana dia boleh ada disitu?
Ketika ini fikirannya dirasakan kosong. Dia langsung tidak ingat apa-apa. Apa
yang telah berlaku sebenarnya?
Dania cemas apabila menyedari keadaannya
sekarang. Kain selimut ditarik menutupi tubuhnya yang terdedah. Selimut tebal
yang membaluti tubuhnya dicengkam erat. Dania hampir menjerit apabila dia baru
menyedari yang Haiqal sedang tidur lena di sebelahnya. Lebih menakutkan apabila
melihat dirinya dan Haiqal sekadar dibaluti dengan selimut. Saat itu juga Dania
mencampak bantal ke arah Haiqal yang masih lena. Dia menjerit-jerit bagaikan
orang terkena histeria.
“Lelaki tak guna!”tempik Dania kuat. Haiqal tersedar
daripada tidurnya. Dia menggosok matanya beberapa kali. Masih lagi separuh
mamai.
“Kau ni memang lelaki tak guna yang pernah aku jumpa! Dari mula aku
jumpa kau hari tu, aku dah tau yang kau ni memang lelaki tak guna. Kau ni
manusia yang bertopengkan syaitan!” Dania menjerit kuat. Suaranya bergema ke
seluruh ruang bilik. Sekali lagi Dania mencampakkan bantal ke arah Haiqal. “Apa
ni pagi-pagi lagi dah bising?!” marah Haiqal apabila tidurnya diganggu.
Mendengarkan kata-kata Haiqal itu, Dania bertambah marah. Perasaan bencinya
pula semakin meluapluap.
“Apa yang kau dah buat kepada aku, hah?! Apa yang kau
dah buat?!” tempik Dania lagi. Sudah hilang sabar sepenuhnya.
“Aku buat
apa?”Haiqal bertanya dengan angkuh. Dania bagaikan tidak percaya mendengar
kata-kata yang keluar daripada mulut Haiqal. Kalau diikutkan hatinya mahu
dirobek-robekkan sahaja wajah tampan Haiqal dengan tangannya.
“Kau ni memang
lelaki tak guna!!!” jerit Dania sekali lagi.
“Kenapa nak marah-marah pulak ni?
Bukan ke semalam kau yang rela? Bukannya aku yang paksa kau pun. Takkan dah tak
ingat?” soal Haiqal dengan sinis. Riak wajahnya terlalu selamba seperti tiada
apa yang berlaku.
Dania terdiam. Benarkah begitu?
“Bukannya aku yang paksa kau
datang sini. Kau jugak yang rela ikut aku datang sini. Takkan la sekarang nak
salahkan aku pulak? Semalam aku tengok kau seronok aje, ni kau nak marah-marah
pulak?” ujar Haiqal yang mula berang. Langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.
Sedikit demi sedikit memori semalam kembali ke dalam ingatan Dania. Benar,
malam semalam dia juga yang mengikut Haiqal dan dengan rela hati membiarkan
Haiqal melakukan apa sahaja terhadap dirinya. Memang silap dirinya yang mudah
sahaja hanyut dengan mainan perasaan. Kenapalah dia menjadi begitu bodoh
bagaikan lembu dicucuk hidung? Menurut sahaja setiap kata-kata Haiqal. Begitu
mudah dia terpedaya dan begitu mudah juga dirinya digoda oleh
Haiqal dengan kata-kata manis lelaki itu sehingga dia sendiri yang terjerat.
Akhirnya, sekelip mata sahaja dirinya tewas di tangan Haiqal. Serta-merta Dania
menjadi takut. Tubuhnya menggeletar dan seram sejuk. Dunia yang tadinya
terangbenderang serta-merta menjadi gelap-gelita.
“Kau ni memang tak guna!
Lelaki yang paling tak guna pernah aku jumpa!” Serentak itu Dania memukul Haiqal
kuat. Berkali-kali pukulannya mengenai tubuh Haiqal akibat rasa takut yang yang
semakin merantai jiwanya.
Haiqal naik berang. Kenapa pagi ini Dania mahu
menyalahkan dirinya pula? Haiqal mencengkam kuat pergelangan tangan Dania.
Tangan Dania ditarik kuat sekali gus menghentikan perbuatan gadis itu yang
sedang memukul-mukul tubuhnya.
“Kau...!”tempik Haiqal kuat. Namun, Haiqal tidak
jadi meneruskan kata-katanya. Tiba-tiba sahaja lidahnya menjadi kelu. Suaranya
yang ingin keluar tersekat di kerongkong. Rasa marahnya serta-merta hilang.
Saat itu juga Haiqal dapat melihat air mata Dania yang mengalir menuruni
wajahnya. Hati lelakinya tersentuh. Tumpah rasa bersalah terhadap gadis itu.
Serta-merta rasa kasihan terbit di hati Haiqal apabila melihat air mata Dania
yang mengalir perlahan. Rasa teramat berdosa memperlakukan Dania sebegitu.
Sudahlah Dania masih terlalu muda, masih terlalu mentah. Tidak patut perkara
seperti semalam berlaku kepada Dania.
Rasa bersalah yang tiada langsung pada
mulanya semakin menggigit tangkai hati Haiqal. Sekelip mata sahaja perasaannya
bertukar kasihan apabila melihat Dania dalam keadaan begini. Haiqal terdiam.
Cuba disentuhnya wajah Dania namun, segera tangannya ditepis kasar.
“Jangan kau
sentuh aku lagi! Aku benci kau! Benci! Kau dah rosakkan hidup aku. Sampai
bila-bila aku bencikan kau!” marah Dania walaupun dia tahu salah itu terletak
juga di bahunya sendiri. Air matanya pula semakin laju merembes keluar. Dania semakin
gementar apabila dia kembali teringat dengan jelas setiap peristiwa yang
berlaku semalam. Itu yang
membuatkan dirinya menghamburkan perasaan marahnya kepada Haiqal. Rasa takut
dengan impak peristiwa semalam menjadikan Dania semakin tidak keruan. Kini,
seratus peratus setiap kesalahan mereka diletakkan di bahu Haiqal sepenuhnya.
“Dania... aku tak....”Haiqal masih belum mampu berkata-kata. Suaranya masih
tidak mahu keluar. Dia ingin meminta maaf. Rasa bersalah terus menyelubungi
Haiqal membuatkan lidahnya menjadi kelu.
“Aku dah tak nak dengar apa yang kau
nak cakap. Sampai bila-bila pun aku takkan maafkan kau! Ingat tu.” Ujar Dania
dengan tegas. Terus dia bangun dan meninggalkan katil. Pakaiannya yang
bertaburan di atas lantai dikutip. Kakinya melangkah ke bilik air untuk
menyarung kembali tubuhnya dengan pakaian.
Haiqal menunduk lemah, dipandang
sekeliling bilik itu. Kepalanya diangkat apabila terdengar pintu bilik air
dibuka. Tanpa sempat Haiqal bersuara, Dania terlebih dahulu meninggalkan
dirinya keseorangan di situ.