MATA terpaku pada
komputer riba di depan mata, tetapi fikiran melayang entah ke mana. Di ingatan
terlayar seraut wajah yang mula mengganggu ketenangan emosi. Di dalam bilik,
Aryana duduk di meja studinya. Fikiran terus menerawang jauh pada si dia.
Danial.
Bayangan
wajah Danial tetap juga tidak pergi menjauh. Masih kekal utuh dalam bayangan.
Dalam ramai-ramai lelaki yang ditemui, Danial satu-satunya lelaki yang telah
berjaya mencuri hatinya. Bagaimana boleh jatuh suka pada Danial? Entah!
Perasaan itu datang tanpa dipinta. Sukar dijangka dan diduga apabila ia mula
tumbuh mekar mewangi di hati. Segar tanpa perlu dibaja.
Apa
istimewanya Danial berbanding lelaki lain? Tiada jawapan yang pasti. Apabila
hati sudah mula kata suka, semuanya nampak baik dan indah belaka. Tiada buruk
dan cacat-celanya. Suka tanpa sebarang syarat. Senyuman Danial yang manis
bergula. Redup pandangan mata Danial sudah mampu mencairkan hatinya. Itu
sahaja. Tidak perlulah Danial menjadi Prince Charming atau Mr.
Perfect yang lengkap serba serbi.
Apabila
hati sudah mula kata suka. Perkara yang mungkin paling biasa itulah yang akan
menjadi keistimewaannya. Tiba-tiba bibir Aryana mengorak senyuman kecil.
Senyuman, kata-kata, semua tentang Danial membuatkan Aryana tersenyum sendiri.
Perbualan ketika mereka di dalam perpustakaan kembali mengusik minda.
‘Kalau
pakai tudung mesti lagi cantik.’
Kata-kata
itu sekali lagi terus terngiang-ngiang di telinga.
Tiba-tiba
Aryana mengeluh perlahan. Adakah dirinya termasuk dalam golongan gadis yang
terlalu mudah dimain dengan perasaan dan kata-kata manis seorang yang bernama
lelaki. Pantang dilagukan dengan pujian, terus hati melayang-layang dipanah
asmara.
Atau
adakah dirinya tergolong dalam golongan yang terlalu mudah diperdaya hanya
dengan kata-kata seorang yang bernama lelaki. Kata-kata itu benarkah sekadar
pujian atau ia sekadar kata-kata yang tidak mengandungi apa-apa makna.
Atau
adakah kata-kata itu memang mengandungi makna tersirat yang akan menjadi
penentu permulaan baru hubungannya dengan Danial? Semuanya terlalu kabur. Sama
kaburnya dengan harapan yang belum pasti. Harapan dan impian yang disandarkan
kepada manusia sekabur senja di petang hari. Tidak seperti harapan dan sandaran
pada TUHAN.
Jika
engkau mencintai bunga
Sedarlah
engkau bunga itu akan layu
Jika
engkau cintakan manusia
Sedarlah
suatu hari dia akan pergi
Jika
engkau mencintai harta
Harta
itu nanti kau akan tinggalkan
Jika
engkau cintakan Ilahi
Hanya
Dia yang akan kekal abadi
Lirik
lagu nyanyian In-Team, Cintailah Ilahi terus berlegar legar-legar di ruang
minda Aryana.
SIBUK Aryana
menyiapkan tugasan yang diberi. Haniff yang berada di sebelah pula khusyuk
dengan buku di tangan. Mereka berada di kawasan berhampiran perpustakaan. Di
situ mereka duduk di meja dan kerusi berhampiran taman. Namun tangan yang
sedang menekan papan kekunci komputer riba tiba-tiba terhenti.
“Hanna
mana?” Aryana mengalihkan pandangannya dari skrin komputer riba ke wajah
Haniff.
“Dia
tak sihat, dapat MC dua hari.”
Mata
kembali difokuskan pada skrin komputer riba. Laju jari Aryana menekan papan
kekunci.
“Yana...”
panggil Haniff perlahan.
“Hmm...”
Mata masih di skrin komputer riba. Tidak langsung mengangkat wajah memandang
Haniff yang memanggil.
“Tak
ada apalah.” Haniff kembali memandang buku di tangan.
Terus
Aryana mengangkat wajahnya.
“Cepatlah
cakap,” desak Aryana.
Geram
pula bila Haniff main tarik tali macam tu. Nak cakap, cakap ajelah.
“Tak
ada apa. Cuma kau tu, nampak lain sikit sekarang ni.”
Seketika
Aryana terdiam seolah-olah sedang berfikir.
“Lain?
Apa yang lainnya?” Berkerut dahi Aryana memandang Haniff.
“Entah.”
Selamba Haniff bersuara.
Susah
mahu cakap. Sekadar ingin cakap yang Aryana rajin sangat pakai baju kurung kebelakangan
ni. Itu saja. Tapi... tak payah cakaplah.
“Suka
sangat main-main kan. Dah cakap, tapi cakap separuh-separuh pula.” Mulalah
Aryana naik geram.
Tiada
kata balasan dari Haniff. Malas mahu mengulas apa-apa. Bahunya sekadar
dijungkitkan.
“Hai...”
Danial yang entah dari mana menegur mereka.
Serentak
Aryana dan Haniff memandang ke arah Danial yang sudah berada di hadapan Haniff.
“Dari
mana?” soal Haniff.
“Blue
Hall. Baru habis kelas.” Sempat Danial melemparkan senyuman manis ke arah
Aryana. Santai dengan beg galasnya yang diletakkan di bahagian kerusi kosong
lalu duduk di meja yang sama dengan Haniff dan Aryana.
Tiba-tiba
sahaja Aryana terasa wajahnya hangat membahang. Apabila Danial ada di depan
mata mulalah perasaan yang tadinya tenang bak air di kali menjadi kalut tidak
keruan bak ombak yang mengganas dilanda tsunami. Berdentam-dentum bunyi si
jantung yang mula bergerak laju.
Deringan
telefon bimbit Haniff menyedarkan Aryana. Panggilan itu dijawab sebelum Haniff
bangun dari kerusi yang didudukinya ketika ini. Bergerak menjauh dari Aryana
dan Danial.
“Dah
makan?” soal Danial memulakan bicara.
“Dah,”
jawab Aryana sepatah.
Redup
pandangan mata Danial membuatkan Aryana semakin dilambung perasaan. Andainya
Danial tahu apa yang dirasa kini.
“Segan
dengan saya lagi ke? Senyap aje dari tadi.”
Apabila
ditanya soalan begitu, perasaan Aryana tidak perlu diceritakan lagi. Terasa
muka terus diserbu darah merah yang hangat mengalir. Panas! Selambanya Danial
tanya soalan berani mati begitu. Terus buat Aryana semakin tidak tentu arah.
Ketara sangat ke dirinya yang sedang malu-malu kucing ni?
“Tak...”
jawab Aryana dengan wajah yang selamba.
Pipi
terasa keras kerana sedaya-upaya wajah selamba selamba cuba ditunjukkan. Tetapi
di dalam, bunyi jantung yang berdetak kuat itu tidak hilang-hilang juga dari
tadi. Makin laju adalah.
“Yana...
dengan Anip awak banyak cakap. Tapi dengan saya awak pendiam sangat. Sebelum
saya duduk kat sini awak boleh ketawa dangan Haniff. Tapi bila saya datang,
awak terus senyap.”
“Kita
orang dah lama kenal. Dari tingkatan empat lagi.” Tanpa berfikir panjang terus
Aryana memberi jawapan. Kelihatan agak kalut. Mana sempat hendak fikir
lama-lama.
“Tapi
sekarang kita berdua satu universiti.” Semakin melebar senyuman Danial.
Kata-kata
itu terus membuatkan lidah Aryana menjadi kelu, beku dan kaku untuk
berkata-kata.
Danial
tiba-tiba bangun. Tetapi senyuman dan renungannya tetap pada Aryana. Beg
sandang kembali disangkut pada bahu. Aryana hanya memerhatikan. Tidak mampu
berkata apa-apa apabila senyuman Danial mengunci lidahnya.
“Saya
pergi dulu,” kata Danial perlahan.
Aryana
sekadar mampu memerhatikan Danial yang mula mengorak langkah. Senyuman Danial
bagaikan menyimpan seribu satu rahsia yang tidak terungkap. Danial yang sedang melangkah tiba-tiba berhenti
di sebelahnya.
“Cantik
awak pakai baju kurung hari ni,” tutur Danial lembut. Dengan senyuman meleret
Danial terus melangkah.
Hati
yang melonjak suka terus memakukan Aryana di situ. Perasaan yang dilambung
bahagia bagaikan melumpuhkan setiap anggota badan. Bagaikan berada di
awang-awangan apabila pujian yang tidak dijangka keluar dari bibir Danial.
“Nak
pergi dah ke?” Haniff yang baru selesai berbual di telefon mula menegur.
“Hmm...
Ada kelas. Aku gerak dulu.”
“Okey.”
Haniff hanya memerhatikan langkah Danial. Kemudian pandangannya beralih pula
pada Aryana.
“Hah...
mulalah berangan,” tegur Haniff apabila Aryana dilihatnya tersenyum-senyum dari
tadi.
Tertunduk
malu Aryana apabila Haniff menegur begitu. Malas mahu mengulas apa-apa. Kalau
Haniff tahu pasti dia gelak sakan.
“Sukakan
Danial ke?” mengecil mata Haniff meminta kepastian.
Terus
Aryana mengulum senyum. Wajahnya sekali lagi terasa membahang. Serkap jarang
Haniff tu sememangnya tepat. Soalan Haniff tidak dijawab. Tetapi dengan selamba
soalan lain pula ditanyakan pada Haniff.
“Dia
ada girlfriend tak?” Perasaan Aryana mula berdebar. Ingin tahu kerana
hati sudah mula jatuh suka pada si dia. Jangan Danial sudah berpunya sudahlah.
Nanti diri sendiri juga yang gigit jari. Makan hati berulam jantung.
Haniff
mula tersenyum nakal.
“Jadi
memang sukakan Daniallah ni?”
“Cepatlah
jawab. Dia ada girlfriend tak?” Aryana sedikit mendesak.
“Manalah
aku tahu...”
“Takkanlah
tak tahu. Kau orang kan duduk
sekali. Takkanlah langsung tak tahu.” Berkerut dahi Aryana. Nyata tidak puas
hati dengan jawapan Haniff.
“Tak
pastilah. Tapi mungkin tak ada sebab Danial tak pernah sebut pun tentang
kekasih atau girlfriend.” Jujur Haniff memberitahu.
“Pernah
dengar dia sebut nama mana-mana perempuan?” tanya Aryana lagi.
“Setakat
ni tak ada pulak. Tapi tak tahulah kalau aku tak perasan.”
“Danial
tu suka perempuan yang macam mana? Yang lemah lembut atau yang happy go
lucky? Minat yang rambut panjang atau yang rambut pendek? Yang putih
melepak atau yang hitam manis?”
“Manalah
aku tahu,” jawab Haniff sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Pening-pening lalat dengan soalan Aryana yang bertubi-tubi.
SETELAH agak lama
tidak bertemu, hari ini Aryana bertemu semula dengan Haniff. Macam-macam soalan
yang ditanya pada Haniff mengenai Danial. Orang lain datang kafeteria sebab
hendak makan atau minum. Aryana pula, datang sini ambil peluang korek rahsia
tentang Danial daripada Haniff.
“Confirm
Danial tak ada girlfriend?” tanya Aryana yang inginkan kepastian dengan
senyuman yang semakin melebar di bibir.
Ikut
rasa hati yang gembira, rasanya mahu sahaja Aryana melompat keriangan saat ini
juga. Hati mana yang tidak gembira apabila tahu si pujaan hati masih tidak
berpunya. Single and available.
“Macam
mana tahu Danial tak ada girlfriend. Tanya sendiri pada dia ke?”
“Minggu
lepas masa kita orang borak-borak, tiba-tiba aku teringatkan apa yang kita
borak hari tu. Aku cubalah tanya. Danial cakap sendiri yang dia tak ada girlfriend
lagi.”
Terus
melebar senyuman Aryana.
“Sukalah
tu!” giat Haniff lagi.
Senyuman
lebar terus mekar di bibir Aryana. Mudah sangat Haniff meneka perasaannya.
“Dia
tak pelik ke bila kau tanya macam tu?”
“Tak
pulak rasanya. Lagipun aku cakaplah yang aku saja tanya,” beritahu Haniff.
Aryana
mengangguk perlahan. Puas hati dengan jawapan Haniff.
“Terus-terang
ajelah. Cakap kat Danial, saya sukakan awak. Habis cerita.” Haniff menyambung
kata.
Selambanya
Haniff bercakap. Kalaulah semudah itu, sudah lama dibuat.
“Memang
taklah. Malu kot!” bantah Aryana.
“Dah
lama kita belajar kat sini. Dah masuk tahun ketiga. Nak malu apanya?” Haniff
berkata selamba.
Hisy,
hati kering betullah mamat ni, getus hati Aryana.
“Dah
namanya perempuan. Ada jugaklah perasaan segan,” bantah Aryana.
Selamba
betul ya Haniff bercakap. Tidak semudah itu. Nanti dikata orang hidung tak
mancung pipi tersorong-sorong. Perigi mencari timba. Segan dia hendak buat
macam tu. Idea Haniff memang tidak boleh dipakai. Kalau Danial langsung tiada
perasaan terhadapnya. Nanti diri sendiri juga yang malu.
“Dah
lama kita belajar kat sini. Nak malu apanya? Kita dah sama-sama kenal Danial
tu. Terus-terang ajelah.” Haniff masih tersengih-sengih.
“Agak-agaknya
Danial tu sukakan perempuan yang cantik ke?” Soalan tu pula yang terlintas di
benak fikiran Aryana.
“Yana...
ini bukan soal cantik atau tak. Cantik macam mana sekalipun, tapi kalau garang
sangat, semua lelaki pun takut nak dekat. Dengan mata bulat kau tu. Aku pun
takut.” Haniff menggeleng perlahan. Pening... pening...
“Mana
ada aku garang,” bantah Aryana.
“Tak
garang apanya. Nasib baik dah kenal lama. Kalau kita baru kenal, aku pun takut
nak dekat.” Selamba Haniff menyakat.
Mulalah
muncung Aryana keluar sedepa. Geram dengan Haniff yang tidak habis-habis
mengusiknya.
“Hah,
tengok tu. Orang cakap bukannya nak dengar. Yana, cubalah dengar sikit nasihat
kawan kau ni. Tak rugi apa pun. Jangan garang-garang sangat.” Pening-pening
lalat Haniff dibuatnya melayan kerenah Aryana.
Sedang
Aryana rancak berbual dengan Haniff, tiba-tiba matanya menangkap kelibat
Danial bersama seorang gadis manis. Danial yang tidak perasan kehadiran mereka
terus melangkah. Seingat Aryana, Haniff pernah memberitahunya, gadis cantik
manis di sebelah Danial tu namanya Akila. Memang lawa orangnya. Putih melepak.
Memang selalu Akila dilihat bersama Danial. Mereka sama-sama mengambil jurusan
Senibina.
Entah
kenapa tiba-tiba Aryana merasakan tiada tempat di hati Danial buatnya.
“Akila
tu cantik kan?” Aryana tersenyum tawar memandang Haniff.
“Yana...
tak ada lelaki yang tak suka perempuan cantik. Lelaki yang tak normal
mungkinlah agaknya. Tapi tak semua lelaki suka pada perempuan yang cantik
semata-mata. Bila nak dijadikan isteri, cantik fizikal bukan lagi di tangga
pertama. Setakat nak dijadikan stok sementara, memanglah semuanya nak yang lawa-lawa
belaka sebab nak tayang pada kawan-kawan ada girlfriend cantik.
Esok-esok bila nak kahwin yang cantik tu ditinggalkan terkontang-kanting
sendirian. Mungkin ada. Tapi tak semua lelaki kahwin dengan perempuan yang
cantik fizikal semata-mata. Cantik fizikal okey?”
Haniff
siap buat gaya dengan jari lagi bila perkataan cantik fizikal disebut. Siap ada
kurungan lagi untuk perkataan cantik fizikal tu.
“Fahamlah...”ujar
Aryana, ketawa kecil.
No comments:
Post a Comment