Friday, 22 January 2016

CINTA LOLIPOP BAB 11

OTAK mula terasa tepu, kepala pula terasa pening-pening lalat. Semakin lama semakin susah setiap subjek. Mana hendak dikejar tugasan, pembentangan, kuiz lagi. Pening... pening...
Aryana dan Mira beriringan melangkah keluar dari dewan kuliah. Tamat kuliah hari ini, Aryana kembali lega. Tidak sabar hendak balik. Bantal dan tilam di rumah sudah memanggil-manggil. Tubuh terasa penat. Mata mula terasa mengantuk.
“Nak singgah beli makanan dulu tak?” soal Mira sambil melihat jam di pergelangan tangan.
“Boleh jugak,” jawab Aryana pendek.
“Yana.” Danial yang entah dari mana tiba-tiba muncul di hadapan mata.
Mata yang tadinya layu dan kuyu boleh jadi segar-bugar apabila si pujaan hati muncul di hadapan mata. Alahai si pengarang jantung hati. Sentiasa tersenyum manis apabila bersua. Tidak jemu mata yang memandang.
“Kenapa?” soal Aryana sambil tersipu malu.
Mira di sebelah sudah memandang semacam sahaja. Pelik agaknya apabila melihat wajah Aryana yang tiba-tiba merona kemerahan.
“Anip suruh saya bagi pendrive ni pada awak,” jawab Danial menghulurkan sambil pendrive milik Aryana
Thanks.” Sekalipun suka pada jejaka tampan di hadapan mata, tidak boleh tunjuk sangat. Nanti jatuh pula saham.
Mira pula melangkah ke tepi beberapa langkah. Pura-pura mencari barang dalam beg. Sengaja baik hati memberi ruang Aryana bercakap dengan Danial berdua.
Baru tadi hati terasa rindu-rinduan. Alih-alih si dia sudah muncul di hadapan mata. Pendrive ini, memang Aryana tertinggal semalam ketika kebetulan bertemu dengan Haniff dan Danial di kafeteria. Lalu diambil dan disimpan Haniff. Perkara itu memang telah Haniff maklumkan padanya.
“Anip mintak tolong saya bagi pendrive ni pada awak.” Tersenyum kecil Danial memandang Aryana.
“Tapi semalam saya dah cakap, tak kisahlah pulangkan pendrive ni bila-bila pun.” Aryana berjeda seketika.
Sedar dengan kesibukan masing-masing dan fakulti mereka yang berbeza dalam keluasan kawasan universiti tidak membuatkan mereka sering bertemu.
“Anip paksa awak pulangkan pendrive ni pada saya ke?” Aryana menyambung kata.
“Tak adalah. Dia kan tak ada kat kampus dalam masa dua minggu ni. Dia risau takut-takut awak nak guna. Dia mintak saya tolong pulangkan pada awak kalau saya terjumpa awak hari ni.”
“Tak kisah pun dia nak pulangkan bila sebab saya boleh guna pendrive satu lagi. Tak pasal-pasal pulak awak yang jadi mangsa.”
Aryana sebenarnya sengaja mencari peluang untuk berbual lebih lama dengan Danial. Oleh itu, sengaja dipanjangkan perbualan antara mereka. Alang-alang sudah berjumpa, biar berborak lama. Kenangan hari ini boleh disimpan untuk satu jangka masa tertentu sebelum mereka bertemu semula. Maklumlah bukan hari-hari boleh jumpa.
“Anggap aje ini alasan untuk kita jumpa hari ni sebab dari awal lagi saya memang jadikan pendrive ni sebagai alasan untuk jumpa awak.” Bersahaja Danial menuturkan kata dengan senyuman manis yang terukir di bibir.
Tidak sempat Aryana bersuara, Danial sudah melangkah pergi. Mata hanya mampu memerhati. Senyuman yang disimpan di dalam hati semakin melebar. Namun dalam sekelip mata tiba-tiba Danial berpatah balik merapati Aryana yang masih tidak berganjak dari tadi.
“Semalam saya harap sangat awak akan pakai baju kurung bila kita jumpa hari ni. Tapi mungkin bukan rezeki. Tapi saya tetap happy kita dapat jumpa hari ni.” Danial berkata perlahan sebelum meninggalkan Aryana di situ sekali lagi.
Terasa mahu gugur jantung ke tanah apabila Danial berkata begitu. Kaki seperti tidak lagi berada di bumi. Bagaikan diri sudah terapung-apung melayang di udara apabila Danial mengatakan pertemuan hari ini menggembirakannya. Apatah lagi Aryana. Sejuta kali lebih gembira. Gembira punya pasal, sampaikan jantung yang berdegup pun bukan main laju lagi.
Alahai, manisnya mulut yang berkata-kata. Ikhlas ke tidak tu? Omel Aryana di dalam hati.


“TAK payah nak berangan sangatlah,” tegur Mira yang sudahpun terpacak di sebelah Aryana.
Sejak balik dari kampus tadi, Aryana dilihatnya tidak habis-habis tersenyum. Sampaikan nasi dalam pinggan pun tidak luak.
“Tak payah nak feeling sangatlah. Lelaki memanglah suka cakap macam tu. Entah-entah dengan perempuan lain pun dia cakap macam tu jugak.” Mira selamba menyambung kata.
“Tak baiklah buruk sangka. Danial tak macam tulah. Dia bukannya kaki perempuan.” Bukan main lagi Aryana membela si jantung hati.
“Mana tahu dia bukan lelaki macam tu?” Sengaja Mira bertanya begitu. Sekadar menguji.
Aryana mula kehilangan kata. Tiada jawapan untuk pertanyaan Mira itu.
Mira menggeleng perlahan. Alahai... Yana.
“Sekalipun kalau sudah kenal lama, tak semestinya semua perangai buruk dia kita tahu. Inikan pulak yang baru kenal. Aku tak adalah kata yang Danial tu playboy. Cuma, janganlah terlebih feeling sangat bila dia cakap macam tu. Nanti diri sendiri jugak yang merana,” nasihat Mira.
Pada pandangannya, Danial itu mungkinlah bukan yang jenis buaya darat atau buaya tembaga. Hendak dikata jenis lelaki yang suka mengambil kesempatan pun tidak juga. Tetapi kes Aryana ini parah juga. Cepat sangat terbuai rasa. Buatnya Danial itu betul-betul tiada perasaan pada temannya ini, nanti Aryana juga yang kecewa.
Lelaki biasalah. Mulut sentiasa manis walaupun tidak semua seperti itu. Andainya semua lelaki begitu, alamatnya musnahlah dunia ni. Habis semua perempuan yang ada dalam dunia ini menjadi bahan mainan. Tetapi, bagaimana baik sekalipun Danial pada luarannya, dalam hati tiada siapa yang tahu. Perlu lebih berhati-hati.  
“Sekarang ni mungkinlah dia tak suka lagi. Nanti lama-lama mana tahu dia sukakan aku.” Aryana tersenyum kecil.
“Kalau aku tahu nak terjumpa Danial tadi, sah-sah aku pakai baju kurung hari ni.” Aryana menyambung kata.
Mira menepuk dahi. Sudah parah kes Aryana ini. Sekiranya betul-betul berjaya tidak mengapa. Tetapi jika sebaliknya macam mana? Jangan waktu itu baru hendak menangis sampai tidak cukup tisu. Nanti badan sendiri juga yang merana.
Bukannya Mira tidak suka Aryana berkawan dengan Danial. Tetapi janganlah letakkan harapan yang menggunung tinggi.
Letak harapan terlalu tinggi pada sesuatu yang tidak pasti itu tidak bagus. Andainya suatu hari nanti jatuh tergolek, tidaklah terluka parah sangat kalau harapan tu biasa-biasa sahaja.
“Jadi diri sendiri Yana. Tak perlu nak ubah apa-apa semata-mata untuk lelaki yang belum tentu akan jadi suami kita. Dah kahwin nanti lain ceritalah. Bila suami suruh kita berubah ke arah kebaikan memanglah kena ikut.” Mira mengingatkan Aryana sekali lagi.
Mira memang kawan yang baik. Sentiasa memberi nasihat dan sering mengingatkan. Itu memang Aryana hargai. Memang Aryana tahu, bukannya Mira tidak suka pada Danial. Cuma sebagai teman, Mira menasihatinya atas rasa tanggungjawab bersahabat.
“Memanglah baik pakai baju kurung. Tapi niat yang tak betul tu yang tak baiknya. Pakai baju kurung semata-mata kerana Danial. Tolonglah jangan buat lagi. Aku tak nak satu hari nanti kau menangis Yana,” ujar Mira sekali lagi mengingatkan.
“Jangan  risaulah Mira. Aku takkan menangis.” Aryana tersenyum penuh yakin.
Mira menggeleng dengan sikap ambil mudah Aryana. Apalah yang susah sangat Aryana hendak menerima nasihat. Tidak mungkin Aryana terlajak minat sangat pada Danial sampai buta hati dan buta mata tidak menerima nasihat kawan-kawan.
Apalah yang Aryana minat sangat pada Danial tu? Memanglah Danial tu segak orangnya. Tetapi takkanlah minat semata-mata disebabkan paras rupa.
Jika minat disebabkan paras rupa semata-mata, memanglah minda Aryana harus dicuci dengan Clorox. Lainlah kalau Aryana kata minat pada Danial sebab boleh imamkan solat berjemaah. Sejuk sedikit telinga yang mendengar.

Dalam dunia ini tiada apa pun yang berlaku tanpa izin ALLAH. Semua yang terjadi atas kehendak dan aturan-NYA. Sekuat mana pun manusia berusaha, jika ia bukan milik kita maka ia tetap bukan milik kita.

No comments:

Post a Comment