Friday, 22 January 2016

CINTA LOLIPOP BAB 12

SUDAH lama tidak bertemu, akhirnya Aryana bertemu dengan Haniff hari ini di kafeteria. Hanna yang duduk di sebelah Haniff sekadar tersenyum. Mira pula sibuk meneguk air soya di tangan. Haus sangat gayanya.
“Kau orang nak pergi hiking tak? Anjuran kelab rekriasi.” Suara Haniff yang tiba-tiba bertanya kedengaran teruja.
Hiking? Kat mana?” soal Aryana yang teruja.
Bab-bab macam ni memang Aryana suka. Sudah lama ditunggu peluang ini. Menikmati keindahan alam semulajadi. Salah satu aktiviti yang sihat untuk tubuh badan sambil berpeluang menghirup udara yang segar. Jauh dari hiruk-pikuk dan kesibukan kota.
“Dia orang belum decide lagi. Antara Gunung Setong atau Gunung Ledang. Nak pergi tak? Nanti aku tolong register nama korang berdua sekali.” Gaya Haniff bercakap macam orang yang tak sabar sangat nak mendaki.
Aryana menoleh seketika ke arah Mira.
“Macam mana?” Aryana bertanya pendapat Mira.
“Macam seronok. Tapi takutlah. Tak biasa. Tak pernah cuba pun. ” Jelas kelihatan wajah Mira yang ragu-ragu.
“Bukannya pergi seorang. Nak takut apanya. Kita orang kan ada.” Aryana cuba meyakinkan Mira. Selagi tidak cuba mana tahu seronok atau tidak.
“Yana pun baru pertama kali nak cuba daki gunung. Jangan risaulah. Ramai yang pergi.” Haniff tersenyum-senyum memandang Aryana sambil cuba meyakinkan Mira.
“Jomlah kita pergi.” Aryana memaut tangan Mira beria-ia memujuk agar temannya ini bersetuju.
“Okey... okey... kita pergi.” Mira akhirnya memberikan persetujuan.
Lebar senyuman Aryana mendengar jawapan Mira.
“Hanna ikut tak?” Pandangan mata Aryana beralih pula pada Hanna yang tersenyum melihat telatah mereka.
“Saya tak pergilah Yana. Tak berani.” Lembut Hanna berkata-kata. Sesuai sangatlah dengan perwatakannya.
“Hisy... kenapa pulak macam tu? Anip tak ajak ke?” Aryana melemparkan pula pandangannya ke arah Haniff.
“Aku dah ajaklah. Tapi Hanna yang tak nak ikut.” Pantas Haniff memberitahu. Pandai-pandai aje Aryana menuduhnya.
“Ajak-ajak ayam aje agaknya. Sebab tu Hanna tak nak ikut.” Aryana membidas balik. Sengaja mengenakan Haniff.
“Taklah Yana, Haniff dah ajak. Saya yang tak nak pergi. Tak biasalah pergi tempat macam tu.” Lembut Hanna memberitahu.
“Dengar tu.” Terangkat kening Haniff apabila Hanna membelanya.
Aryana tayang muka kering. Suka sangatlah Haniff apabila Hanna membelanya begitu.
“Sebab tak biasalah kena pergi Hanna. Sekali seumur hidup. Sekurang-kurangnya kena merasa sekali.”
“Dah Hanna tak nak pergi. Tak payahlah kita paksa.” Mira menegur.
“Okeylah.” Pendek sahaja jawapan Aryana. Kendur suaranya seperti orang yang sedang merajuk.
“Mulalah muncung keluar sedepa,” usik Haniff sambil terkekeh ketawa.
“Tengok Mira, kuat betul Yana ni merajuk.”
“Kita merajuk dengan orang yang kita sayang.” Hanna ikut mencelah mengusik Aryana.
“Memang betul, kita merajuk dengan orang yang kita sayang. Tapi dengan Anip ni, sekalipun merajuk sebab dia ni kuat sangat mengusik. Masa sekolah menengah dulu, Anip ni lagi kuat mengusik. Lagi berganda nakalnya dari sekarang,” beritahu Aryana selamba sambil silih berganti memandang Mira dan Hanna.
“Budak lelaki memang suka mengusik budak perempuan yang dia suka,” komen Hanna bersahaja sambil memandang ke arah Haniff dan Aryana silih berganti.
“Yeke? Tapi rasanya teori tu salah. Anip ni semua orang dia usik. Tak ada pengecualian.” Tersengih-sengih Aryana memandang Haniff yang sedang tersenyum ke arahnya.
“Nak tahu tak kenapa dalam ramai-ramai orang aku suka usik Yana masa kita orang sekolah dulu.” Mata Haniff beralih pula memandang Mira.
“Kenapa?” Teruja suara Mira yang bertanya bagaikan tidak sabar lagi untuk tahu.
“Sebab Yana ni kepala angin. Garang. Pantang kena usik sikit mesti dia lawan balik. Macam kartun.”
“Kartun?” Membulat mata Aryana memandang Haniff. Hai... sabar ajelah.
“Hah... tengok. Kan betul aku cakap. Macam kartun. Bila usik sikit aje mulalah buat mata bulat dia tu.” Haniff ketawa nakal.
Berpadu suara ketawanya dengan suara ketawa Mira dan Hanna.
“Eee... malaslah cakap dengan kau orang.” Mencuka wajah Aryana memandang Haniff dan Mira silih berganti.
“Tengok tu,” usik Haniff sekali lagi.
Apabila terdengar Haniff berkata begitu, barulah Aryana mengunci mulutnya.
Hanna pula tersenyum-senyum memandang Aryana. Hanna si lemah lembut. Mana reti dia nak ketawa kuat-kuat macam orang  lain.
“Kuat merajuk, nanti cepat tua tahu tak.” Haniff masih dengan sengihan nakalnya.
“Itu orang lain, bukan aku.” Aryana tayang muka comel. Wajah yang tadinya kelat bagaikan tertelan langsat muda kembali terukir senyuman lebar.
MALAM sudah menjelmakan diri. Aryana duduk santai di balkoni bilik sambil memerhatikan bulan dan bintang yang bertaburan di langit malam. Mulut pula disumbat dengan lolipop. Lenguh buat assignment dan mata pula penat menghadap skrin komputer. Curi masa seketika hirup udara segar malam hari. Mira pula masih khusyuk dengan assignment di hadapan mata.
Sambil memerhatikan bulan purnama, mata sesekali memandang skrin telefon bimbit yang dari tadi dipegang. Mencari-cari nombor telefon Haniff. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan pada rakannya itu. Siang tadi ada Hanna sekali, segan pula Aryana mahu bertanya tentang Danial secara terang-terangan di hadapan Hanna.
“Hah, dah rindu kat aku ke telefon malam-malam ni?”
Di hujung talian Aryana dapat mendengar suara Haniff yang sedang ketawa nakal. Selepas salam yang diberi dijawab Haniff sebentar tadi, tidak sempat mahu berkata apa-apa terus sahaja Haniff mengusiknya.
“Mengarutlah,” balas Aryana acuh tak acuh.
Call aku ni ada masalah ke? Ke rindu kat Danial? Nak bercakap dengan dia tak? Dia ada kat sebelah aku sekarang ni.”
“Eh, jangan! Tak payah... err... tak nak.” Serta-merta Aryana jadi kalut tak menentu bila nama Danial disebut.
“Jauh... jauh... dekat... err... jangan duduk dekat dengan Danial.” Semakin berterabur ayat yang keluar dari mulut Aryana.
Seboleh mungkin Aryana tidak mahu Danial mendengar perbualan antara dirinya dan Haniff tika ini.
Suara ketawa Haniff yang nakal serta-merta menyedarkan Aryana yang dirinya sedang dipermainkan.
“Anip!”
“Kalut sangat ni kenapa? Aku seorang aje ni. Danial tak ada pun. Aku acah aje tadi.” Haniff ketawa perlahan di hujung kata-katanya.
Lega Aryana dibuatnya. Haru jugak kalau Danial betul-betul ada di sebelah Haniff saat ini.
“Danial ikut sekali tak masa kita pergi hiking nanti?” Tidak mahu memanjangkan cerita, terus sahaja Aryana bertanya. Itulah tujuan utamanya menelefon Haniff.
“Aku dah ajak, tapi dia kata ada hal tarikh tu,” beritahu Haniff lurus.
Terus hilang rasa teruja Aryana. Baru hendak berangan. Tetapi belum apa-apa lagi, angan-angan yang baru hendak bercambah retak seribu. Seperti kaca yang berderai jatuh di lantai.
“Kecewanya.” Layu dan kuyu suara Aryana.
Cinta dan harapan pada manusia memang sering mengecewakan. Tetapi cinta dan harapan kepada ALLAH itulah sandaran yang sebaik-baiknya. Tidak akan pernah rugi, tidak akan pernah kecewa kerana DIA sentiasa bersama hamba-NYA. Aryana mengeluh untuk kesekian kalinya.
“Entah-entah ajak-ajak ayam aje tak. Sebab tu Danial cakap dia tak boleh pergi,” tuduh Aryana melulu.
“Aku ajak betul-betullah. Danial sendiri cakap yang dia tak boleh pergi, takkan aku nak paksa dia pulak. Danial tu bukannya budak kecil lagi yang kita boleh heret dia ke sana sini.” Menggeleng Haniff dengan tekaan Aryana yang melulu walaupun tahu Aryana di sebelah sana tidak nampak.
“Mana nak tahu. Entah-entah ajak aku dengan Mira pergi hiking ni pun sebab Hanna tak nak ikut. Cuba Hanna ikut sekali. Agaknya tak ingat pun nak ajak kita orang pergi hiking sekali.” Sekali lagi Aryana main serkap jarang sesuka hati.
“Ya ALLAH, Yana... Hanna nak pergi atau tak, aku tetap akan tanya sama ada korang berdua nak pergi atau tak. Tak ada kena-mengena langsung dengan Hanna.” Haniff melepaskan keluhan perlahan. Sedikit kecewa dengan tekaan Aryana yang melulu.
“Manalah tahu. Kau orang berdua kan rapat. Kutlah sebab kecewa Hanna tak dapat ikut, aku pula yang dirembat.” Aryana mengendurkan suaranya.
Kecewa punya pasal sebab Danial tidak dapat ikut mereka pergi mendaki gunung, Haniff pula yang dituduh sesuka hati. Harapan yang hanya tinggal harapan menjadikan Aryana menuduh melulu.
“Yana... kita berdua lagi rapat sebab kita dah kenal lama. Kita berdua dah kenal sejak kita sama-sama pakai baju sekolah warna putih lagi. Dari Aryana yang lasak masa zaman sekolah dulu, sehinggakan sekarang dia yang dah pandai bergaya. Mestilah aku ingat kawan aku ni. Lagilah aku memang dah tahu yang kau sukakan aktiviti lasak. Sebab tu aku ajak.” Jenuh Haniff nak menerangkan.
Aryana apabila sesekali serkap jarang, mulalah main agak-agak benda yang pelik-pelik.
“Selalu sangat main serkap jarang macam ni, tak elok tau. Jangan buat perangai macam tu. Danial lari baru tahu,” sambung Haniff.
“Yalah, aku ni memang teruk. Suka sangat serkap jarang, garang pulak tu. Tak macam Hanna. Lemah-lembut sopan-santun, kan?” Meleret perlahan suara Aryana bagaikan merajuk.
“Tengok tu. Yana... berhenti karang novel sendiri. Jangan nak main teka-teka, jangan nak main agak-agak. Jangan nak memandai tambah plot cerita yang mengarut-ngarut. Tak ada satu apa pun yang betul. Tahu tak?”
Ketawa Aryana apabila mendengar Haniff berkata begitu. Apabila Haniff sebut tentang perangai, baru Aryana teringatkan sesuatu. Haniff cakap Danial sukakan perempuan yang lemah-lembut. Bila tengok balik pada diri sendiri, sah-sahlah bukan gadis idaman Danial. Walaupun Aryana bukan kategori tomboy, tetapi kalau hendak dikategorikan lemah-lembut seperti yang diminati Danial rasanya tidak jugak.
Berlakon jadi lemah-lembut? Mahu Aryana dulu yang muntah hijau. Memang tidak sanggup sekalipun sekadar berlakon. Jangankan hendak buat. Membayangkan pun sudah membuatkan Aryana geli-geleman.
“Tak perlu hipokrit atau tak perlu bertukar jadi orang lain. Jadi diri sendiri. Sekalipun nak buat orang lain sukakan kita, biar dia sukakan diri kita yang sebenar. Bukan  berubah jadi orang lain semata-mata nak buat dia sukakan kita,” nasihat Haniff.
Sudah macam-macam info yang dikorek Aryana mengenai Danial dari Haniff. Sekadar untuk tahu. Usahanya tiada lagi. Tetapi mampukah dia? Setakat gigit jari sahaja apabila tengok Danial disamping perempuan lain.
“Kawan aku yang cantik manis ni, ramai lagi orang lain kat luar sana yang nak. Apalah yang nak dikisahkan sangat pasal Danial tu?” Haniff di hujung talian ketawa mengusik.
“Orang lain tak sama. Macam mana perasaan kau kepada Hanna, macam tu jugaklah perasaan aku pada Danial.”
“Perasaan tu, tak sama Yana.” Haniff bersuara perlahan.
Terdiam Aryana bila Haniff bersuara begitu.
“Tengah buat apa?” Sengaja Aryana menukar topik perbualan. Cerita pasal Danial berulang kali pun pening juga. Buat serabut kepala.
“Tak buat apa. Tapi tengok bulan yang ada kat atas tu. Cerah betul malam ni. Banyak bintang.”
“Samalah. Cantik kan?” Aryana memandang ke langit. Memang banyak bintang seperti yang Haniff katakan.
“Tengah bulan purnama. Memanglah cantik.” Haniff berkata perlahan.
“Kenapa senyap?” Haniff bertanya kehairanan apabila Aryana tiba-tiba mendiamkan diri.
“Tiba-tiba teringat zaman kita sekolah dulu.” Sambil menghela nafas Aryana berkata perlahan.
“Teringat malam selepas kita habis buat persembahan untuk Karnival Hari Merdeka peringkat negeri tu ke?” teka Haniff.
Tinggg... dan jawapannya betul.
“Mana tahu. Memang tengah teringat kenangan malam tu pun.”
“Samalah. Aku pun tengah teringatkan perkara yang sama.”
Aryana dan Haniff ketawa serentak.
Malam itu sama dengan malam yang sedang mereka lalui ketika ini. Langit cerah bertemankan cahaya bulan purnama. Bintang yang bergugusan di dada langit ibarat permata yang bertaburan. Mana mungkin dilupa kenangan yang satu itu. Sekalipun ia telah lama berlalu tetapi ia tetap utuh di dalam memori. Sekalipun terlupa, tetapi memori itu ada kalanya akan menjelma kembali.
“Seronok kan bila kenang semula zaman sekolah dulu. Antara zaman yang paling seronok untuk dikenang,” sambung Haniff lagi.
“Cepat sangat masa berlalu. Rasa perkara tu baru aje berlaku semalam. Alih-alih sekarang kita dah masuk zaman universiti pun. Ikut rasa hati malam ni jugak nak ke sana. Nak kutip semula kenangan yang tertinggal kat situ.” Sambung Aryana sebelum ketawa kecil.
“Jomlah kita pergi sama-sama. Ke nak cari buluh dulu. Kita sama-sama kait bintang kat langit tu nak?” sakat Haniff nakal.
“Hisy, main-mainlah dia ni.”
Kata-kata Aryana itu terus disambut dengan suara ketawa Haniff.
Memang masa terlalu cepat berlalu. Dari zaman persekolahan, mereka yang sama-sama memakai baju sekolah sehinggalah sekarang mereka yang sama-sama menginjak dewasa. Aryana terus leka dengan apa yang dilihatnya. Dingin malam semakin terasa. Tapi sedikit pun tidak mengganggu. Mata menyaksikan kebesaran Maha Pencipta.

‘Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan di langit bintang-bintang serta kami hiasi langit itu bagi orang yang melihatnya. Dan Kami pelihara langit itu dari tiap-tiap syaitan yang kena rejam. Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan malaikat di langit, maka ia diburu oleh api yang menyala, yang nyata kelihatan.’


(Surah Al Hijr, ayat-16-18)


http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195

No comments:

Post a Comment