KAKI yang
melangkah terasa semakin laju. Tergesa-gesa Aryana berjalan sambil mata berulang
kali memandang jam di pergelangan tangan. Petang ini ada perbincangan secara
berkumpulan tentang tugasan yang bakal disiapkan bersama. Ikut perjanjian
sepatutnya sudah bermula sekarang. Entah apa malangnya, boleh pula terlewat
hari ini. Jenuh Mira hendak bersoal jawab dengan rakan-rakan yang lain kalau
ada yang bertanya tentangnya nanti.
“Nak ke mana? Tergesa-gesa sangat ni.” Terdengar
suara seseorang yang menegur.
Laju
sangat berjalan sampai tidak pandang kiri kanan. Rupanya orang yang hampir
dilanggar sebentar tadi adalah Haniff. Aryana beristighfar beberapa kali di
dalam hati. Habis bertabur buku di atas lantai. Haniff dan Danial yang turut
berada di situ membantu mengutip semula barangan Aryana yang terjatuh. Nasib
baik juga yang hampir dilanggar itu kawan sendiri. Kalau orang lain, mahu kena
sembur! Tetapi barang yang dibawa tetap juga berterabur akibat terkejut.
“Nah.” Haniff menghulurkan semula barangan Aryana
yang telah dikutipnya sebentar tadi.
“Sorry.
Tak perasan tadi. Aku ada group discussion kat library. Dah
lewat.” Termengah-mengah Aryana bersuara.
Danial
yang berada di sebelah Haniff hanya tersenyum memandang. Tingkah Aryana yang
tergesa-gesa hanya diperhatikan sahaja dari tadi.
“Nak
cepat pun hati-hatilah sikit.” Haniff menggeleng perlahan melihat telatah
Aryana.
Apabila
tergesa-gesa, itulah yang berlaku. Aryana mula menggelabah tak tentu pasal.
“Dah
lambat ni. Aku pergi dulu.” Aryana terus meninggalkan Haniff.
Danial
yang berada di sebelah Haniff pun tidak sempat ditegur. Sekadar senyuman sahaja
dilemparkan ke arah Danial tanda berbahasa.
“Yana...
nak ke mana tu?” Tiba-tiba ada suara lain pula yang memanggil.
Ketika
Aryana menoleh, wajah Mira singgah di ruang mata.
“Buat
apa kat sini? Tak masuk library lagi ke?” tanya Aryana kehairanan apabila
melihat Mira sekadar melangkah santai menghampiri mereka.
“On
the way nak masuk library lah ni. Yang tergesa-gesa sangat ni
kenapa?” Hairan Mira dengan tingkah Aryana yang tiba-tiba kalut tak menentu.
Sempat
Mira bertukar senyuman dengan Haniff dan Danial yang kebetulan ada di situ
sebelum pandangannya jatuh semula pada Aryana.
“Bukan
kita ada group discussion ke petang ni.” Pelik Aryana melihat Mira yang
kelihatan tenang.
“Memanglah.
Tapi pukul 2.30. Sekarang baru 2.15.” Mira mengingatkan.
“Laa...
pukul 2.30 ke?” Aryana sengih selamba.
Aryana
benar-benar ingatkan perbincangan mereka bermula pukul 2.00 petang. Oleh sebab
itu, jalannya laju tidak pandang kiri kanan. Cuak memikirkan kelewatan. Rupanya
diri sendiri yang tersilap.
“Adi
dengan Anis pun tak datang lagi.” Ketawa kecil Mira memandang Aryana yang
terlupa atau barangkali tersilap dengar.
“Sejak
bila pulak ada penyakit nyanyuk ni.” Haniff yang tadinya mendiamkan diri
menyampuk. Setahu Haniff, Aryana ni bukanlah orang yang pelupa.
“Sejak
kita bertemu semula.” Selamba Aryana bersuara.
Sempat
Aryana tersenyum kecil mengingatkan kekalutan sendiri. Segan pula apabila
perasan Danial yang dari tadi memerhatikan dirinya. Nampak segala perangainya
yang kelam-kabut hari ini. Dengan Haniff dia tidak kisah sangat.
“Entah-entah
nyanyuk sebab dah makin tua.” Selamba Haniff bersuara sambil meleretkan
suaranya.
“Tak
ada maknanya nyanyuk.”
Walaupun
geram, tetapi cara Aryana menjawab tidak segarang selalu. Segan pula apabila
terpandangkan mata Danial masih tertumpu ke arahnya dari tadi. Kalau Danial
tiada di situ, memang Aryana bertikam lidah dengan Haniff.
“Yang
ni barang awak kan, Yana?” Perlahan dan sopan Danial bersuara.
Segera
Aryana menoleh ke arah Danial yang sedang memandang ke arahnya. Di atas lantai
berhampiran mereka ada sebatang pen. Tadi ketika mengutip barang yang jatuh
berterabur mungkin mereka semua tidak perasan. Baru Aryana ingin mencapai pen
yang berada di atas lantai, Danial terlebih dahulu menghulurkan pen tersebut ke
arahnya.
“Thanks...”
Merona merah wajah Aryana menyambut huluran pen dari Danial.
SATU per satu
helaian buku diselak. Aryana leka membaca buku rujukan di hadapan mata. Bersendirian
sambil menyiapkan tugasan di perpustakaan. Buku rujukan di atas meja dibiarkan
terbuka. Sedar atau tidak, Aryana sudah masuk tahun ketiga menjadi penuntut di
universiti ini.
“Hai...”
Pantas
Aryana mengangkat wajahnya dan ketika itu Danial sudahpun duduk di kerusi yang
bertentangan dengannya.
“Hai...”
Itu sahaja yang mampu keluar dari celah bibir Aryana apabila mata masih lagi
terpaku pada empunya wajah yang tersenyum manis.
Tingkah
Danial yang bersahaja berkongsi meja dengannya mengundang debar di hati Aryana
tanpa sebab. Melihatkan Danial yang sentiasa dihiasi senyuman manis, terasa
jantung tidak lagi berdetak mengikut rentak normalnya. Terpukau di sebalik
senyuman Danial yang manis bergula.
Bila
berhadapan begini, mulalah perasaan jadi tidak keruan. Mungkin Danial tenang
sahaja. Tetapi di dalam hati Aryana, berdebar tidak tentu hala. Lidah terasa kelu
untuk menuturkan kata. Entah kenapa? Mungkin kerana hati sudah mula berdenyut
suka pada si teruna di depan mata.
“Seorang?”
soal Danial setelah masing-masing mendiamkan diri buat seketika.
“Hmm...
seorang.”
Mereka
kembali mendiamkan diri. Bagaikan sukar untuk kedua-duanya memulakan kata.
Kematangan usia menjadikan Danial seorang jejaka yang tampan. Itu yang
membuatkan lidah Aryana terasa kelu. Beku dan kaku. Danial yang turut
kehilangan kata mengeluarkan komputer riba dari beg sandangnya. Khusyuk membuat
kerja di hadapan mata.
Leka
Danial memandang skrin komputer riba. Ketika itu sempat Aryana mencuri peluang
yang ada. Dalam diam wajah Danial diperhatikan. Danial yang khusyuk dengan
kerjanya kelihatan semakin tampan. Oh, hati… janganlah dijentik perasaan yang
tidak-tidak. Takut orang di hadapan ini kepunyaan insan lain. Nanti diri
sendiri juga yang makan hati.
Sedang
Aryana leka dengan perbuatannya itu, tiba-tiba Danial mengangkat wajahnya. Mata
Danial tepat memanah ke dalam anak mata Aryana. Dengan pantas juga Aryana
melarikan pandangan ke arah lain. Mak aii... Dah kantoi!
Wajah
terasa membahang. Tertangkap dengan perbuatan sendiri. Malu dengan Danial
jangan ceritalah. Nanti apa pula yang Danial fikir. Andainya Danial tahu apa
yang ada di dalam fikirannya saat ini…
Danial
tersenyum.
“Tengah
tunggu orang ke?”
“Hmm…
tengah tunggu Mira.” Dalam kekalutan perasaan Aryana berkata perlahan.
Wajah
masih terasa kebas dan merah. Perasaan malu masih menguasai diri. Mira ke
bandar seketika bersama Anis. Mahu mencari barang katanya. Petang nanti Mira
akan menjemputnya di sini dan mereka akan pulang bersama.
“Yana...”
seru Danial perlahan.
Aryana
kembali mengangkat wajah. Terus pandangan mata bertembung dengan Danial yang
sedang merenung ke arahnya.
“Cantik
awak pakai baju kurung macam ni.”
Sekali
lagi terasa darah merah menyerbu ke muka. Kata-kata Danial sebentar tadi
membuatkan lidah Aryana kelu dan kaku. Tidak tahu mana hendak disembunyikan
wajah yang semakin merah. Ikut rasa ingin bersembunyi di bawah meja. Tetapi
takut Daniel pula yang terkejut. Janganlah Danial perasan dirinya yang sedang
menggelabah tidak menentu ni sudahlah.
“Kan
cantik bila pakai macam ni.” Dalam renungan mata Danial tersenyum manis ke arah
Aryana.
“Emm...”
Suara Aryana tersekat di kerongkong. Semakin membahang wajahnya apabila Danial
terang-terangan memuji begitu.
Terasa
seperti hatinya melompat gembira dari dalam apabila dipuji begitu. Apatah lagi
yang memuji itu datangnya dari si dia yang entah bila mendapat tempat di hati.
Memang sebelum ini baju kurung jarang dipakai. Lebih selesa memakai seluar dan
bergaya santai. Cuma kebetulan hari ini hari Jumaat, hati tiba-tiba terdetik
untuk memakai baju kurung.
“Masa
masuk library tadi, mula-mula saya ingatkan orang lain. Bila tengok
betul-betul, rupa-rupanya awak.”
“Nampak
lain sangat ke?” Hati yang kalut sampai tidak tahu apa yang ingin dikatakan.
Akhirnya soalan itu pula yang terkeluar dari bibir Aryana.
“Tak...
Tapi nampak lagi sweet bila awak pakai baju kurung macam ni.” Mata
Danial tepat memandang Aryana. Perlahan suara itu tetapi cukup jelas di
pendengaran Aryana.
Hati
yang baru belajar hendak bertenang menjadi kalut semula. Kata-kata Danial
mengundang debaran perasaan. Mudah sangat kata-kata seperti itu mengusik jiwa
dan menyentak emosi. Sepatah kata yang keluar dari mulut Danial mampu
membuatkan Aryana terasa dirinya seolah-olah sedang terbang di langit biru.
Apabila orang yang disukai berkata begitu, takkanlah hati langsung tidak
tercuit.
Manisnya
mulut yang berbicara. Adakah kata-kata itu datangnya dari hati atau sekadar
luahan biasa yang tidak mempunyai sebarang makna. Sekadar diri sendiri yang
terlebih rasa.
“Agaknya
kalau pakai tudung mesti lagi cantik kan?” sambung Danial
Tiada
jawapan dari Aryana. Bibirnya kelu seribu bahasa. Adakah itu satu pujian? Dalam
hati terasa bunga bahagia mula bercambah. Tetapi hati bagaikan tertampar kuat.
Sekalipun Danial memuji tetapi hati tetap terasa pedihnya. Zaman sekolah
bertudung sekadar menghormati peraturan dan undang-undang sekolah. Sekarang ini
langsung tidak bertudung.
Sesekali terfikir juga Aryana tentang perkara itu.
Ketika zaman persekolahan dahulu, bertudung di sekolah sekadar menghormati
peraturan sekolah. Undang-undang sekolah yang manusia buat mampu diikut. Tetapi
menutup aurat itu sebenarnya undang-undang yang ALLAH sudah tetapkan kepada
hamba-NYA, diingkari pula.
Ibarat undang-undang di jalan raya. Pengguna jalan
raya perlu memandu mengikut had laju dan mematuhi lampu isyarat. Ramai yang
boleh mematuhinya walaupun bukan semua. Tetapi apabila ALLAH suruh buat amal
ibadah, solat, mengaji, berpuasa, bayar zakat, diharamkan minum minuman keras,
ramai yang tidak mampu lakukan dan mematuhinya.
Api yang ada di dunia ini pun sudah cukup panas
membakar, bagaimana pula dengan api neraka kelak. Bukankah ia jauh berganda
lebih panas dari api dunia?
Sampai bila akan begini? Aryana sendiri pun tidak
pasti. Tunggulah sehingga dirinya benar-benar bersedia nanti. Masanya akan tiba
jua. Tidak mungkin sampai mati dia hendak hidup begitu. Setakat solat dan
berpuasa, tetapi aurat terdedah sana sini. Ketika ibu bapanya masih hidup,
memang mereka boleh menasihatinya. Yang tiada ibu bapa?
Papa
dan mamanya sudah menegur, cuma Aryana sahaja yang masih belum bersedia.
Mamanya seorang yang bertudung. Semestinya mamanya juga mengharapkan agar
dirinya turut bertudung suatu hari nanti.
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
No comments:
Post a Comment