JARAK dari Pekan
Kuah ke Dataran Lang tidak begitu jauh. Angin yang bertiup lembut menurunkan
sedikit suhu badan yang mula menghangat panas. Berpeluh-peluh kerana cuaca agak
terik. Tengah panas begini memang nikmat dapat makan aiskrim yang sempat dibeli
tadi sambil menyaksikan pemandangan indah di Dataran Lang.
“Tengoklah
Yana ni, makan aiskrim pun comot. Macam budak tadika,” sakat Haniff tiba-tiba.
“Mana
ada!” Selaju mulut menjawab, selaju itu juga Aryana mengesat tepi bibir.
Manalah tahu kalau bibirnya benar-benar comot walaupun penafian telah
mendahului perbuatan.
“Tak
comot apanya. Makan aiskrim sampai terkena hidung,” sakat Haniff lagi.
Erk,
betul ke? Sepantas kilat Aryana mengambil tisu yang berada di dalam poket beg
sandang. Beria-ia Aryana mengelap mulut dan hidung.
Apabila
terdengar suara ketawa Haniff yang mengusik barulah Aryana perasan yang dirinya
sedang dipermainkan. Serentak itu kilauan cahaya dari kamera Haniff membuatkan
Aryana silau seketika.
“Anip!”
“Sampai
merah hidung.” Haniff tidak mempedulikan wajah Aryana yang mencuka. Sebaliknya
gambar kandid Aryana yang diambil sebentar tadi ditunjukkan pada Pa’an.
“Bagi
sini kamera tu.” Aryana merampas dengan jayanya kamera digital dari tangan
Haniff.
“Delete
gambar ni. Buruk!” Aryana menekan-nekan butang kamera digital Haniff untuk
memadamkan gambarnya.
Belum
pun sempat Aryana menekan butang padam, Haniff terlebih dahulu merampas kamera
digitalnya dari tangan Aryana.
“Tak
boleh.” Haniff terkekeh ketawa. Kamera digitalnya diangkat tinggi.
Aryana
tergamam di situ. Memang tidak tercapai tangannya untuk mengambil kamera itu.
Tidak mungkin dia hendak buat perangai tidak senonoh terlompat-lompat sambil
berebut kamera dari tangan Haniff.
“Bagilah.”
Garang Aryana meminta.
“Tak
nak...” Haniff tayang muka toya dengan suara yang semakin menjengkelkan hati
dan perasaan Aryana.
“Eee...
geramnya!” Aryana mula hilang sabar.
“Eee...
geramnya...” Haniff mengejek suara Aryana.
Semakin
sakit hati Aryana dibuatnya.
“Tak
nak bagi sudahlah.” Aryana akhirnya mengalah. Malas mahu bergaduh dengan Haniff
lagi.
MASA untuk
meninggalkan Pulau Lagenda sudah tiba. Bagasi yang besar melambatkan langkah
Aryana. Sekalipun bagasi yang dibawa ini memang sudah tersedia roda, tetapi
lenguh juga tangan yang menarik kerana muatannya penuh dengan segala barang
yang dibeli. Aryana meneruskan langkahnya beriringan dengan Haniff dan Mira.
Tiba-tiba
Haniff menghentikan langkahnya. Serentak itu Aryana dan Mira turut berhenti
melangkah.
“Kan
aku dah cakap hari tu. Luggage ni besar sangat. Patutnya hari tu beli
yang kecil sikit. Kan dah berat nak bawak,” tegur Haniff.
Laluan
perjalanan dari Dataran Lang sehingga ke jeti agak jauh juga jaraknya.
Sekiranya bagasi agak berat, memang jenuh hendak dibawa.
“Kalau
aku beli yang kecil, tak muatlah nak letak semua barang yang aku beli dalam
satu luggage. Takkan nak bawak dua, tiga luggage pulak.”
“Sinilah
aku tolong bawakkan. Tengok gaya macam tak larat aje. Mira, patutnya kau
nasihatkan Yana ni. Jangan bagi dia beli luggage besar sangat.” Serentak
itu Haniff mencapai pemegang bagasi milik Aryana lalu menariknya.
Mira
sekadar tersenyum-senyum.
“Tak
payahlah. Aku boleh bawak sendiri,” halang Aryana.
“Tak
apa aku tolong bawakkan. Nah, bawak luggage aku ni.” Haniff menghulurkan
bagasi miliknya ke arah Aryana.
Tanpa
banyak soal Aryana mencapai bagasi milik Haniff yang jauh lebih kecil dan tidak
seberat bagasinya. Biasalah lelaki, mana nak bawa beg besar-besar bila
melancong. Lagipun, mereka ke sini sekejap sahaja. Jadi baju tidak perlu dibawa
dengan banyak.
“Beratnya.
Isi apa dalam ni?” sempat Haniff menoleh seketika ke arah Aryana ketika mereka
kembali melangkah.
“Berat
sebab dalam tu kebanyakannya barang yang mama aku pesan. Bukannya semua barang
aku pun. Aku bukannya banyak duit nak beli banyak-banyak macam ni.”
“Hari
tu bukan mainlah tak nak datang sini. Alih-alih sekarang luggage dialah
yang paling besar.” Sambil melangkah, suara Haniff meleret perlahan.
“Kan
dah cakap, barang mama akulah. Bukannya barang aku,” ulang Aryana.
Bagasinya
besar bukan disebabkan bajunya yang banyak sangat. Tetapi sengaja dibeli bagasi
yang besar semata-mata untuk mengisi barang yang dikirim mamanya. Kalau setakat
hendak isi baju sendiri, beg sandang pun sudah cukup. Tidak perlu beli bagasi
besar.
“Luggage
pun dah sama besar dengan tuan.” Sempat Haniff mengerling seketika ke arah
Aryana yang melangkah beriringan dengannya.
Sengaja
Aryana tayang muka selamba gaya orang tidak ada perasaan. Kalau menjawab nanti
panjang pula leteran Haniff. Mereka terus melangkah sehingga ke jeti untuk
menaiki feri.
SEPULUH minit berada
di dalam feri, semuanya hanya diam di tempat duduk masing-masing. Tidak lama
selepas itu mereka beramai-ramai naik ke bahagian atas feri. Angin terasa kuat
menghempas di muka. Si helang gergasi semakin jauh dari pandangan mata.
Seolah-olah ia mengucapkan kata selamat tinggal.
“Hah,
elok-elok sikit ambil gambar tu. Karang terjatuh dalam laut bertukar jadi
dugong baru tahu.” Haniff yang dari tadi sibuk dengan hal sendiri tiba-tiba
pula mengusik Mira.
Mira
sekadar menjuihkan bibir. Mana pernah dia melayan apabila Haniff mengusik.
Semasa di awal perkenalan dengan Haniff, Mira pasti akan melawan balik. Tetapi
apabila sudah lama, Mira sudah malas melayan. Tetapi lain pula bagi Aryana.
Pantang diusik. Mulalah melawan balik.
“Tepilah.”
Aryana berkata garang.
Dia
sedang cuba mengambil gambar pemandangan, tetapi terambil gambar Haniff sekali.
Penuh kameranya dengan gambar Haniff yang terakam secara tidak sengaja kerana
perangai Haniff yang suka muncul secara tiba-tiba dengan sengihan lebar.
“Kepala
angin betul,” kata Haniff selamba sebelum meninggalkan Aryana di situ.
“Yana,
marilah ambil gambar ramai-ramai pulak!” laung Ina dari hujung feri.
Tidak
jadi Aryana hendak membalas kata-kata Haniff apabila Ina memanggil namanya. Di
hujung feri kelihatan rakan-rakan yang lain sudah membentuk satu kumpulan. Semuanya
sudah bersedia untuk bergambar termasuklah Mira dan Haniff.
“Kaki
aje panjang. Tapi jalan terkedek-kedek.” Haniff yang sudah pun berada di dalam
kelompok barisan paling belakang selamba mengutuk.
“Diam-diam.
Nak ambil gambar dah ni.” Ina menegur apabila dari tadi Aryana dan Haniff tidak
habis-habis bertekak. Nak ambil gambar pun payah!
“Itik
jalan lagi laju,” sakat Haniff lagi.
Sempat
Aryana menoleh ke belakang memandang Haniff.
“Itu
itik dalam bayangan kau aje!”
“Cuba
duduk diam-diam sikit. Setiap kali bergambar mesti ada gambar kau orang berdua tengah bergaduh. Aku
kahwinkan kau orang baru tahu!” Sekali lagi Ina menegur dalam nada gurauan.
Haniff
dan Aryana terus terdiam. Masing-masing terbejat. Tetapi, Haniff tetap dengan
perangainya yang suka menjawab.
“Kita
orang memang macam ni. Sekejap panas, sekejap sejuk.” Haniff tergelak lagi.
Sempat dikerling ke arah Aryana yang berada di bahagian hadapan.
Apabila
bergambar beramai-ramai mesti ada terselit beberapa keping gambar Aryana dan
Haniff yang sedang bertegang urat. Pasti terakam sekali secara tidak sengaja.
JAM di
pergelangan tangan dilihat. Sudah mencecah pukul 9.00 malam. Mata mula terasa
berat dan mengantuk. Penat ketika perjalanan pulang dari Langkawi masih terasa.
Selepas Solat Isyak sebentar tadi, Aryana mengemas bagasinya. Barang yang perlu
atau tidak perlu dibawa pulang ke rumah, diasingkan siap-siap.
Sedang
Aryana leka mengemas, tiba-tiba deringan telefon bimbit miliknya berbunyi
menandakan ada pesanan ringkas.
Mesej
daripada Haniff!
Yana, turun bawah kejap. Aku ada kat depan ni.
Membulat
mata Aryana membaca mesej itu. Apa yang
Haniff buat kat sini? Nak turun bawah? Malaslah. Tapi tangan tetap
ringan bertanya.
Kenapa?
Itu
pesanan ringkas yang Aryana hantar kepada Haniff. Tiada angin tiada ribut,
tiba-tiba saja Haniff memberi arahan turun ke bawah. Ataupun Haniff sekadar
main-main? Karang penat-penat turun orangnya tak ada pun. Buat bengkak hati
aje.
Nak pulangkan coklat.
Coklat?
Fikir punya fikir. Tetapi Aryana tetap tidak ingat juga. Kabur!
Turun ajelah kalau tak ingat pun.
Haniff
menghantar lagi mesej untuk meyakinkan Aryana supaya turun ke bawah.
Aryana
terpaksa juga turun ke bawah bertemu Haniff. Esok dia akan pulang. Malam-malam
begini jumpa dengan pelajar lelaki sekalipun berteman dan di tempat terbuka
tetap membuatkan Aryana tidak selesa. Mira diajak untuk menemani.
Keluar
dari pintu pagar hostel penginapan pelajar sudah nampak muka Haniff yang
tercongok di situ. Di sebelahnya Pa’an ikut menemani.
“Nah.”
Haniff menghulurkan plastik yang berada di tangannya ke arah Aryana.
Beg
plastik bertukar tangan. Isi di dalam beg plastik itu diintai.
“Mesti
dah tak ingat pasal coklat ni kan?” Haniff kembali menyoal.
Aryana
tersengih sambil mengangguk. Tapi sekarang sudah ingat semula apabila melihat
isi kandungan di dalam beg plastik yang berada di tangan. Coklat yang dibeli
ketika mereka singgah di Pekan Kuah.
“Coklat
ni termasuk sekali dalam beg coklat aku. Tadi masa kemas barang baru terjumpa.”
Haniff menerangkan.
Dah
sah-sah Aryana yang sebenarnya terlupa nak minta semula coklat yang dipegang
Haniff ketika mereka sama-sama membeli barang di Pekan Kuah. Banyak sangat beli
coklat sampaikan tidak sedar ada coklat yang tertinggal. Nasib baik Haniff
jujur. Tahu pulangkan semula. Buatnya dipegang oleh orang yang tidak jujur
alamatnya berputih matalah Aryana.
“Nasib
baik aku perasan, tak adalah terbawak balik,” sambung Haniff lagi.
“Thanks.”
Aryana tersenyum kecil.
“Esok
balik pukul berapa?” soal Haniff lagi.
“Pagi,
lebih kurang pukul 10.00.”
“Hati-hati...”
kata Haniff sebelum berlalu pergi.
Terdiam
Aryana. Entah kenapa terasa lain apabila Haniff berkata begitu. Kemudian
barulah Aryana dan Mira sama-sama memanjat tangga untuk pulang semula ke bilik
mereka.
Di
bilik, beg plastik yang berisi coklat kembali diintai Aryana. Bermacam jenis
coklat bercampur dalam tu. Mujur Haniff terjumpa dan memulangkan semula coklat
itu. Jika tidak, pasti tidak dapat diberi pada keluarga.
Seingat
Aryana, hanya dua bekas coklat Ferrero Rocher sahaja yang dibeli. Kenapa dalam
beg plastik ini ada tiga bekas coklat Ferrero Rocher. Haniff tersalah bagi atau
dirinya yang tidak ingat jumlah coklat yang dibeli. Mulalah Aryana berteka-teki
sendiri. Ketiga-tiga bekas coklat Ferrero Rocher dikeluarkan dari beg plastik.
Di salah satu bekas coklat tersebut tertampal stiker pink yang tertulis
sesuatu.
Upah sebab tolong aku pilih barang yg mama aku
pesan.
Aryana
tersenyum kecil. Patutlah. Bukan terlupa atau Haniff yang tersalah bagi, tetapi
memang Haniff bagi betul-betul rupanya. Tolong pilihkan barang yang dipesan
mama Haniff, dapat pula upah coklat. Wah, perempuan mana yang tidak sukakan
coklat. Lagi-lagi pula yang percuma. Coklat sedap pula tu.
Telefon
bimbit di atas katil sekali lagi dicapai. Laju sahaja tangan menaip pesanan
ringkas.
Thanks
Anip.
Beberapa
saat kemudian Aryana menerima balasan mesej Haniff.
Sama-sama
Cik Yana.
Aryana
menoleh ke arah Mira. Rakannya itu sudah tergolek di atas katil. Ingin tidur
agaknya. Sebelum Mira tidur lebih baik ajak makan coklat ni dulu.
Aku kongsi coklat ni dengan Mira.
Sekali lagi Aryana menghantar pesanan ringkas
kepada Haniff.
Dipersilakan.
Itu
mesej balasan dari Haniff. Aryana tersenyum. Mira dipanggil. Sebelum balik
bercuti dia ingin ketawa riang dulu bersama Mira sambil menikmati coklat yang
diberi Haniff. Bila berborak-borak begini sambil mengingati semula kenangan di
Langkawi, mata yang kuyu pun boleh jadi segar-bugar.
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
No comments:
Post a Comment