DARI jauh Si
Helang Gergasi gah menyambut kedatangan setiap pelancong. Di atas feri Aryana
terus memerhatikan air laut yang berombak kecil. Tidak pasal-pasal dirinya
terjebak sekali. Ingatkan apabila tiba cuti semester, boleh terus balik rumah dan
berjumpa keluarga. Tetapi tidak! Semuanya angkara Haniff dan Mira. Dua orang
rakannya itu mendaftarkan namanya untuk menyertai program kali ini tanpa
pengetahuannya.
Program
lawatan kali ini adalah anjuran pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan untuk
pelajar tahun satu dan dua. Turut terbuka untuk pelajar jurusan lain yang
berminat dan ingin turut serta. Pelajar yang ambil jurusan Pengurusan
Perniagaan sangat sesuai dengan aktiviti begini sebagai pengalaman sebelum
menamatkan pengajian. Tetapi yang ambil jurusan ekonomi macam Aryana, tidak
pergi pun tak apa.
“Jangan
nak monyok sangatlah. Panjang lagi cuti kita. Ada banyak masa lagi nak jumpa
keluarga.” Mira yang ketika itu berdiri di sebelah Aryana mula bersuara.
“Mana
ada monyok. Nampak tak muka aku yang tengah ceria ni.” Aryana sudah
tergelak-gelak memandang Mira.
“Sekejap
aje monyoknya tu. Kejap lagi gembiralah Yana ni. Lagi-lagilah bila dia dapat shopping,”
celah Haniff sebelum merakam satu lagi gambar.
Shopping apa
kebendanya. Bukannya banyak duit sangat nak shopping bagai. Kalau dah
kerja tu lainlah. Ini, duit makan pun mak ayah lagi yang tanggung, nak shopping
beria-ia memang tak merasalah, rungut hati Aryana.
Sebaik
sahaja melangkah ke pelantar Jeti Kuah, hati mula berbunga riang. Kalau sebelum
ini Aryana tidak begitu teruja kerana pernah sampai ke Pulau Lagenda ini.
Tetapi entah kenapa perasaan yang lemau pada awalnya bertukar teruja. Mungkin
kerana kali ini pergi bersama rakan-rakan. Berbezalah pengalamannya jika pergi
bersama keluarga. Rasa teruja sama seperti pertama kali menjejakkan kaki di
tanah kelahiran Mahsuri ini.
Destinasi
pertama yang dikunjungi ialah Galeria Perdana. Apabila sampai di situ mulalah
Aryana terasa seperti mengikuti rombongan sekolah Cik Kiah. Setahu Aryana,
tujuan utama lawatan kali ini untuk mengunjungi salah seorang pengusaha minyak
gamat yang terkenal di Langkawi bagi memenuhi tuntutan tugasan pelajar jurusan
perniagaan. Rupanya singgah ke sini dahulu. Memanglah terasa macam ikut
rombongan sekolah Cik Kiah kerana selalunya rombongan pelajar sekolah yang
sering berkunjung ke sini.
Tetapi
kira okey juga. Galeri unik ini terletak di Mukim Air Hangat. Menempatkan
hadiah, cenderamata dan anugerah yang diterima oleh mantan Perdana Menteri
iaitu Tun Dr Mahathir. Hadiah pemberian
dari negarawan dalam dan luar negara sehinggalah ke pemimpin dari serata
pelosok dunia. Sedang
elok Mira mengambil gambar Aryana, Haniff tiba-tiba pula datang menyibuk. Terus
termasuk sekali gambarnya.
“Kan
berseri bila ambil gambar ramai-ramai macam ni.” Itulah kata-kata selamba
Haniff apabila Aryana tayang muka tak puas hati.
“Sama
aje! Apa yang berserinya?” balas Aryana bersahaja.
TIBA acara
utama di kilang minyak gamat, Mira sakan memborong dua dozen minyak gamat dan
dua dozen balm buah pala. Pelajar jurusan perniagaan pula sedang sibuk
menemuramah pemilik kilang minyak gamat ini. Anak jati Pulau Langkawi ini
memang sudah cukup terkenal seluruh Malaysia kerana kepopularan minyak gamat
keluaran kilangnya. Bukan sahaja mengeluarkan produk berasaskan gamat, malah
produk kesihatan dari sumber semulajadi turut dikeluarkan. Pasarannya sudah
mencecah seluruh Malaysia.
Kejayaannya
memang boleh dijadikan inspirasi bukan sahaja untuk pelajar jurusan Perniagaan.
Malah juga kepada pelajar jurusan Ekonomi seperti Aryana apabila mendengar
kisah kejayaan pemilik kilang ini. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan
di rumah, kini sudah mempunyai kilang sendiri. Di kilang gamat ini juga peserta
dapat melihat proses pembuatan minyak gamat. Tahulah Aryana serba-sedikit
bagaimana prosesnya.
Setelah
puas melihat proses pembuatan minyak gamat, Mira sekali lagi menarik Aryana ke
bahagian hadapan. Apa lagilah yang nak dibeli Si Mira ni? Omel Aryana.
“Nak
rasa air gamat tak?” Haniff yang kebetulan ada di situ menegur.
“Tak
naklah.” Aryana sudah ternampak air gamat yang diberikan secara percuma kepada
pengunjung ketika mula masuk ke kilang tadi. Tetapi tekak tidak terasa mahu
mencuba.
“Dah
penat-penat datang sini rugilah tak nak cuba. Sedap air gamat ni. Cubalah
rasa,” ujar Haniff tersengih-sengih.
Aryana
telan air liur. Ini kali pertama dia mengenali tentang air gamat. Sebelum ini Aryana
hanya mengenali minyak gamat sahaja. Entah apa yang merasuk, Aryana bagaikan
lembu dicucuk hidung. Air gamat yang dihulurkan Haniff terus diminum.
Mata
terpejam celik secara automatik. Gulp! Air gamat yang berada di dalam mulut
ditelan. Perlahan-lahan menuruni kerongkong. Rasanya agak pelik. Payau, kelat
dan agak pahit. Aryana sendiri susah hendak menerangkan rasa air gamat yang
menuruni celahan kerongkongnya.
“Sedap
tak?” soal Mira apabila melihat Aryana yang terpejam celik begitu.
“Hmm...”
Itu sahaja yang mampu dijawab Aryana. Hendak bercakap pun lidah terasa keras
semacam.
Haniff
ketawa geli hati. Baru kini Aryana menyedari dirinya dipermainkan. Kenapalah
boleh percaya sangat bila Haniff cakap air tu sedap? Walaupun rasanya tak
adalah teruk mana. Tetapi Aryana tetap terasa dirinya ditipu hidup-hidup!
“Kira
okey apa air gamat ni. Boleh telan lagi kan.” Selamba Haniff bercakap.
Tahu
tak tekak setiap orang tu berbeza? Rungut hati Aryana. Cukuplah dia sudah rasa
sekali. Pertama kali rasa sudah terpejam celik begitu. Tidak dapat dibayangkan
jika dipaksa untuk menelan satu botol sekali gus.
PERJALANAN pulang dari
tapak Beras Terbakar, Aryana berkesempatan berlegar-legar mencari barang di
sekitar bazar yang ada di Padang Matsirat. Jualan baju dan kain batik sangat
banyak. Pelajar seperti Aryana tidaklah begitu teruja sangat apabila melihat
kain batik. Walaupun dilonggok selori kain batik depan mata, perasaannya begitu
sahaja.
Perkara
yang paling utama nak dibeli Aryana ialah bagasi. Semasa mula bertolak semalam,
hanya beg kecil sahaja yang dibawa. Setakat muat untuk isi beberapa helai baju
dan barang keperluan asas. Apabila sudah sampai sini dan membeli-belah,
tentulah beg yang lebih besar diperlukan.
“Buat
apa beli besar sangat?” Haniff tiba-tiba menyibuk.
“Beli
yang kecil tak muatlah nak letak barang.”
“Beg
dah sama besar dengan tuan. Boleh sumbat sekali dengan tuan-tuannya.” Haniff
berkata selamba.
“Setakat
beli yang kecil, baik tak payah beli langsung. Sama aje.” Aryana masih meneliti
bagasi yang akan dibelinya. Tidak dipedulikan kata-kata Haniff. Suka hatilah
nak beli yang besar atau yang kecil.
IKAN jerung? Ikan
pari? Penyu? Apa lagi yang terlintas dalam kepala? Semuanya ada di Under Water World Langkawi. Dari Freshwater Section beralih pula ke bahagian
Tropical Rainforest Section. Selain boleh melihat ikan
Arowana antara ikan tropika yang mendapat perhatian. Boleh cuci mata tengok
tumbuh-tumbuhan Hutan Hujan Tropika yang menghijau.
Masuk
pula ke kawasan African Penguins (Tunnel View) dah mula rasa duduk bawah laut.
Terowong yang berbentuk hemisfera memberikan kesan dimensi yang berbeza kepada
pengunjung. Terpegun, apabila melihat hidupan laut yang bermacam jenis berenang
bebas di sekeliling. Ini baru betul terasa seperti duduk di dalam laut!
Kemudian
mereka bergerak pula ke Wildlife
Gallery. Di sini menempatkan hidupan laut yang bersaiz besar (Ocean Giants)
seperti Whale Shark, Giant Squid dan Manta Ray. Gerun juga apabila tiba-tiba
ikan jerung lalu di sebelah.
Sepanjang
berada di situ, semua pelajar sangat aktif dan periang. Pelajar lelaki sibuk
dengan idea nakal mereka. Beria-ia berposing sakan kononnya sedang berlari
ketakutan dikejar Sang Jerung besar yang lalu di sebalik kaca jernih.
Haniff
pula hanya melayan. Gambar Pa’an yang konon-kononya tengah gigih menyelamatkan
diri diambil. Pa’an pula memang pandai mencari peluang. Apabila tiada orang
lain selain pelajar universiti mereka, mulalah keluar idea yang bukan-bukan.
Mengalahkan budak tadika.
Pantai Chenang terletak
tidak jauh dari Under Water World yang terletak di mukim yang sama, iaitu Mukim
Kedawang. Sambil berjalan, Aryana ralit melihat cengkerang siput bersama Mira. Cahaya dari
kamera Haniff membuatkan Aryana dan Mira segera menoleh. Entah bila Haniff
sudah berada di sebelah mereka.
“Bukan
ambil gambar kau orang, tapi
ambil gambar cengkerang siput tu.” Haniff tersengih sambil tayang muka tidak
berdosanya.
Setelah
berjalan-jalan di pantai, hati terasa ingin membeli cenderamata. Sedang Aryana
leka memilih baju, Haniff menyibuk sekali.
“Ambil
yang nilah lagi cantik,” usul Haniff.
“Tak
naklah. Yang ni lagi cantik,” bantah Aryana. Mengganggu fokus betul bila Haniff
menyibuk begitu.
“Pa’an,
mana satu lagi cantik?” Tidak sempat Aryana bertanya, Haniff terlebih dahulu
menyoal Pa’an yang kebetulan lalu di situ.
“Dua-dua
cantik.” Jawapan Pa’an memang tidak membantu langsung. Rasanya apabila tanya
pendapat orang lelaki, memang begitulah jawapannya.
Aryana
sakan membeli dan memilih barang sampai tidak sedar hari yang merangkak pergi.
Nun di hujung sana warna merah jingga sang mentari yang hampir terbenam
menggamit pandangan. Alam yang tadinya cerah bertukar warna disimbah cahaya
mentari petang.
HARI terakhir di
Pulau Langkawi, sangat tak bestlah kalau tak singgah dulu ke Pekan Kuah
sebelum balik. Orang lain sibuk memilih, Aryana pun sibuk memilih. Masih
tercari-cari barang yang hendak dibeli.
“Cari
untuk siapa?” soal Haniff yang turut menyibukkan diri di sebelah Aryana.
“Anak
buah.”
“Beli
ajelah kain batik.”
Kain
batik? Budak tu umur dia baru nak masuk tiga tahun. Nak bagi kain batik apa
kejadahnya, rungut hati Aryana.
“Budak
lelaki. Kecil lagi. Takkan nak bagi kain batik.”
“Apa
salahnya,” jawab Haniff selamba.
Rasa
tercekik Aryana mendengar jawapan selamba Haniff. Naufal, anak kepada kakak
sulung Aryana baru mencecah usia tiga tahun. Tambahan pula, anak buah Aryana
ini lelaki. Tidak mungkin akan diberi kain batik. Kalau kain pelikat logik dek
akal juga. Tetapi tetap jugak rasa pelik sebab Naufal masih kanak-kanak.
“Okey
apa? Boleh guna kain batik tu buat balut baby.”
Jawapan
Haniff itu memang buat Aryana ingin pengsan. Daripada marah-marah Haniff lebih
baik dia sambung membeli-belah yang tergendala sebentar tadi. Rambang mata
dengan coklat yang banyak dijual di sini pun belum habis lagi.
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195
No comments:
Post a Comment