Friday, 22 January 2016

CINTA LOLIPOP BAB 14






SAMPAI di pusat membeli-belah, Aryana sekadar mengikut sahaja langkah Haniff. Malas mahu bertanya. Tunggu dan lihat sahaja barang apa yang hendak dibeli Haniff. Petang begini orang tidak ramai sangat. Terasa bebas sedikit hendak berjalan. Tanpa banyak soal Aryana hanya mengikut Haniff yang naik ke tingkat dua pusat membeli-belah yang mereka kunjungi.
Aryana meneruskan langkah apabila Haniff sudah masuk ke kedai yag menjual peralatan sukan.
“Nak cari apa?” tanya Aryana sambil merapati Haniff.
“Sleeping bag,” jawab Haniff sambil mata masih leka mencari barang yang diingini.
Berkerut dahi Aryana memandang Haniff.
“Nak buat apa?”
“Dah agak dah. Tak ambil berat langsung pasal perkara kecil macam ni kan?” Haniff mengangkat sebelah keningnya.
“Tak lama lagi kita kan nak pergi hiking. Sleeping bag ni nak guna masa kita kat sanalah. Atas gunung tu sejuk, nanti tak boleh tidur,” terang Haniff sambil matanya tepat memandang Aryana.
Yalah, atas gunung mestilah sejuk. Sedangkan ketika mereka pergi berkhemah dalam hutan masa sekolah menengah dulu pun sangat sejuk. Inikan pula atas gunung. Berganda sejuknya. Aryana tayang sengih selamba.
“Selalu macam tu kan? Tak ambil berat langsung untuk diri sendiri. Takkan nak angkut selimut tebal masa nak naik gunung nanti.”
“Tak ingatlah.” Aryana tayang muka tak bersalah.
Haniff, apabila membebel kalah orang perempuan. Tidak pernah ada pengalaman naik gunung. Jadi, Aryana tidak terfikir benda-benda begitu. Haniff lainlah. Selalu mengikuti aktiviti daki-mendaki. Jadi, dia lebih arif.
“Ada pulak tak ingat. Awak tu perempuan, kena jaga diri.”
“Yalah... yalah...” Malas Aryana hendak bertikam lidah dengan Haniff. Nanti tak pasal-pasal mereka bergaduh pula tengah-tengah pusat membeli-belah ni.
Selepas meminta bantuan pekerja butik yang menjual pakaian dan alatan sukan, akhirnya Haniff memilih sleeping bag yang dirasakan sesuai.
“Nak warna apa?” tanya Haniff sambil menoleh ke arah Aryana.
“Warna merahlah.” Akhirnya Aryana memilih sleeping bag yang berwarna merah.
“Tak nak beli untuk diri sendiri ke?” Hairan Aryana apabila Haniff hanya memilih satu sleeping bag sahaja.
“Aku dah ada sleeping bag kat rumah. Pilihlah untuk Mira sekali,” usul Haniff.
Ya tak ya juga. Macam manalah Aryana boleh terlupa tentang rakannya yang seorang itu. Nasib baik Haniff ingat juga pada Mira. Tidaklah muncung Mira keluar sedepa nanti kalau nampak Aryana bawa balik sleeping bag tetapi tiada untuknya.
“Amboi, bukan main ingat lagi dia kat Mira.” Sengaja Aryana mengusik begitu sambil tersengih nakal.
“Laa… Mira kan kawan kita berdua.” Polos jawapan Haniff. Tidak sedar yang Aryana sedang mengusiknya.
“Oh, ya tak ya jugak. Mana nak dicampak Hanna tu.”
“Yana...” Suara Haniff berubah tegas namun masih bernada lembut membuatkan Aryana menghentikan kata. Namun bibirnya tetap mengukir senyuman.
“Gurau ajelah.” Aryana sudah terkekeh ketawa.
“Ingatkan cemburu tadi.” Giliran Haniff pula mengusik.
“Tak kuasalah nak cemburu. Lainlah kalau Danial yang cakap macam tu, cemburu jugaklah.” Aryana berkata selamba.
“Tak ada Danial beranilah cakap macam tu. Cuba Danial ada depan mata, mulalah malu-malu kucing. Cakap pun bukan main sopan lagi, sepatah-sepatah.”
“Dia tu pendiam. Bukan macam kita yang banyak cakap ni. Cakap banyak-banyak dengan Danial pun buat penat aje. Dia setakat tahu senyum aje.”
Memang begitulah sikap Danial. Agak pendiam orangnya. Tidak seperti Haniff yang banyak mulut dan periang. Bercakap banyak ketika bersama dengan Danial pun, nanti Aryana juga yang malu sendiri kerana Danial jarang sangat mengulas panjang.
“Yang pendiam tu jugaklah yang boleh buat kawan aku ni angau sampai tak lena tidur malam,” kata Haniff selamba dan nada suaranya sedikit perlahan.
Malas hendak mengulas lanjut Aryana menukar topik perbualan.
“Ada barang lain lagi ke yang nak dibeli?”
Dari tadi Haniff masih tercari-cari sesuatu. Ada lagilah tu barang yang diinginkan.
“Ada, nak cari kasut.” Haniff membelek beberapa pasang kasut yang ada di butik peralatan sukan yang mereka kunjungi ketika ini.
“Cari hiking shoes, encik?” Salah seorang pekerja wanita yang ada bertanya dengan dialek Cina yang agak pekat.
Agaknya dari tadi lagi pekerja wanita itu melihat Haniff hanya membelek kasut yang sesuai digunakan ketika mendaki.
Pantas Haniff mengangguk.
“Untuk kawan saya.” Haniff menghalakan pandangannya ke arah Aryana.
Sambil itu dua pasang kasut yang telah dipilih sebentar tadi diberikan kepada Aryana untuk dicuba.
“Pakai kasut sukan biasa tak boleh ke?” Berkerut-kerut dahi Aryana bertanya.
“Laluan naik ke gunung bukannya macam laluan yang rata masa kita berlari kat tengah padang. Bukannya tak boleh langsung, boleh. Tapi kurang sesuai. Boleh nak pakai kasut sukan biasa tapi licin sikitlah. Bahaya. Buatnya terjatuh atau terseliuh, kan susah. Tak pasal-pasal pulak cedera masa atas gunung nanti. Selalu sangat tak alert benda-benda macam ni kan.”
Haniff sudah mula membebel. Terpaksa Aryana tadah telinga. Kalau menjawab makin panjang pula khutbah Haniff. Kalah mak nenek. Sambil itu Aryana melihat juga koleksi kasut yang ada. Ada beberapa pasang kasut yang menarik perhatiannya, lalu dicuba. Kasut mendaki yang dipilih Haniff sebentar tadi turut dicuba.
“Boleh cuba yang ni jugak. Bulan ni kami ada promosi. Couple hiking shoes untuk pasangan kekasih. Limited edition punya. Ada potongan harga sehingga 50 peratus. Boleh cuba.” Lembut gadis manis yang berbangsa Cina itu mempromosikan beberapa pasang kasut yang dimaksudkan.
Haniff yang pada asalnya sekadar ingin memilih kasut mendaki untuk Aryana ikut teruja meneliti kasut mendaki yang dibawa oleh pekerja wanita itu. Ada tiga pasang semuanya untuk lelaki dan perempuan. Cantik-cantik juga warnanya. Bahagian dalamnya lembut dan selesa dilapisi span yang lebih tebal berbanding kasut sukan biasa. Bentuknya hampir sama, cuma ada sedikit perbezaan. Kasut untuk perempuan lebih bercirikan feminin dan lelaki pula kelihatan lebih kelelakian.
“Nak yang mana?” Selamba Haniff bertanya.
“Untuk couple kot.”
Aryana tayang muka pelik. Keliru dan tak pasti.
“Bukan kau dah ada kasut mendaki ke? Nak beli lagi ke?” Tetapi suara Aryana perlahan sahaja. Cukup sekadar untuk pendengaran mereka berdua.
Agaknya pekerja wanita Cina yang berada di hadapan mereka ini menganggap dirinya dan Haniff sebagai pasangan kekasih.
“Apa salahnya. Beli untuk suka-suka aje pun.” Haniff berkata selamba.
Entah bagaimana, dengan sekelip mata Aryana ikut mengangguk. Betul juga. Kasut-kasut yang ada memang cantik. Separuh harga pula. Beli untuk suka-suka bak kata Haniff. Mereka pasangan kekasih atau tidak, itu tidak penting. Bukannya pekerja wanita Cina di hadapan mereka ini kisah mereka betul-betul pasangan kekasih atau tidak. Apabila sudah dapat tawaran harga yang berpatutan begini, rugi pula kalau menolak. Takkan menjadi satu kesalahan pun setakat pakai kasut yang dipromosikan untuk pasangan kekasih sekalipun mereka bukanlah pasangan kekasih.
“Tapi tak rasa membazir ke beli satu lagi hiking shoes ni? Tadi kata dah ada,” tanya Aryana perlahan. Hampir berbisik.
“Yang ada kat rumah tu aku dah beli dua tahun dulu. Sebab tak selalu guna jadi kasut tu elok lagi. Memang tak ada niat nak beli baru. Tapi bila tengok couple hiking shoes ni cantik jugak. Boleh pakai gilir-gilir.” Bersahaja Haniff bersuara. Riak wajahnya bukan main selamba lagi.
Haniff sudah kata begitu, apa lagi yang Aryana boleh cakap. Pekerja wanita ini pun bukannya tahu mereka pasangan kekasih atau tidak.
“Kita ambil yang inilah. Okey tak?” Aryana memilih sepasang kasut yang dirasakan sesuai untuk dirinya dan Haniff.
“Okey.” Cepat sahaja Haniff memberikan persetujuan.
Kasut mendaki yang dipilih Aryana adalah gabungan warna hijau lumut dan hitam. Di bahagian tapak dan bahagian tepi tapak bewarna merah darah. Tapaknya pula lebih tebal dari kasut sukan biasa. Bunga pada tapak kasutnya juga lebih dalam dan lebih mencengkam.
Kasut yang telah disarung di kaki dilihat pada cermin. Aryana berpusing kiri dan kanan untuk melihat kesesuaian dengan kakinya. Memang Aryana puas hati. Sangat selesa ketika dipakai. Terasa ringan di kaki.
Haniff turut berdiri di sebelah Aryana. Sama-sama melihat pantulan imej mereka di cermin. Kedua-dua kaki mereka tersarung couple hiking shoes yang sama. Sekali tengok memanglah seperti pasangan kekasih. Apabila berdiri sebelah-menyebelah macam ni, tiba-tiba Aryana terasa Haniff ni tinggi sangatlah pula orangnya. Aryana baru capai paras bahu Haniff je. Sejak bila pula Haniff jadi tinggi sangat ni?
“Okey tak? Selesa?” tanya Haniff sambil menoleh memandang Aryana.
“Selesa.” Aryana mengangguk perlahan. Melantun pergi segala apa yang bersarang di benak fikirannya sebentar tadi dengan pertanyaan Haniff.
Dari tadi mereka berdua terpusing-pusing di hadapan cermin. Kalah model antarabangsa buat catwalk. Mereka sakan mencuba kasut-kasut yang ada. Sekiranya tidak jadi membeli, pasti pekerja wanita Cina itu mengamuk.
“Kena ajak Mira datang kat sini jugaklah. Dia tak ada hiking shoes.” Aryana mengomel sendirian.
“Beli ajelah untuk Mira sekali.” Haniff sudah mula menanggalkan hiking shoes yang dicubanya sebentar tadi.
“Mana nak tahu dia suka yang macam mana. Kalau beli takut Mira tak selesa pulak. Membazir aje kalau dia tak pakai nanti.”
“Esok-esok pun boleh pergi. Sempat lagi nak beli. Bukannya kita nak pergi esok.”
“Tadi kalau beritahu awal-awal tujuan datang sini nak beli sleeping bag dengan hiking shoes kan senang. Sah Mira ikut sekali.”
“Tak apa. Sempat lagi nak beli lain kali. Aku ingat Mira tak nak ikut tadi sebab dia sibuk.” Mudah jawapan Haniff.
“Mana ada sibuknya. Kelas kita orang dah habis tengah hari tadi. Yang petang ni punya batal. Mira dengan aku kat library tadi tengah menghadap buku rujukan buat nota aje,” beritahu Aryana.
Selesai membuat pembayaran di kaunter, mereka sama-sama melangkah keluar.
“Thanks. Susah-susah aje ingatkan aku.” Aryana tersenyum kecil.
“Kasih diterima.”
Mereka sama-sama ketawa di situ.
“Nanti masa kita pergi hiking jangan lupa pakai baju lengan panjang.” Sambil mengerling jam di pergelangan tangan kiri, Haniff mengingatkan Aryana.
Mereka duduk sebentar di Food Court untuk membasahkan tekak.
“Apa salahnya pakai baju lengan pendek.” Berkerut dahi Aryana memandang Haniff.
Haniff bukan abangnya, bukan juga ayahnya, jauh sekali kekasih hati. Takkanlah baju apa yang nak dipakai nanti perlu ikut persetujuan Haniff. Mulalah Aryana tayang muka tak puas hati.
“Asal cakap aje mesti nak lawan balik.” Haniff menggeleng perlahan.
“Tak salah kan kalau pakai baju lengan panjang. Nanti tak adalah kena gigit nyamuk. Tangan tu, tak adalah calar-balar atau terluka sebab terlanggar ranting kayu atau duri masa kita pergi hiking nanti. Sebab tu awal-awal aku bagi ingatan supaya pakai baju lengan panjang. Nanti bila terkena duri atau kena gigit nyamuk sampai berparut baru tahu. Pakai lengan panjang tu untuk keselamatan diri sendiri jugak. Faham?”
“Tahulah,” jawab Aryana sepatah.



http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195



CINTA LOLIPOP BAB 13

SESEKALI memang Aryana akan bertembung dengan Danial. Semakin lama kenal, semakin banyak perkara yang Aryana tahu mengenai Danial. Apa yang menjadi kesukaannya dan apa yang tidak disukainya. Walaupun tempoh hari Haniff sudah memberitahu, tetapi Aryana terus berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenai Danial. Walaupun tidak semua berada di dalam genggaman, tetapi banyak juga yang Aryana sudah tahu mengenai Danial.
Apabil bersama-sama Danial, memang Aryana menjaga tutur kata. Apabila berbual, Aryana menggunakan ganti nama saya. Tidak seperti berbual dengan Haniff, Aryana lebih selesa menggunakan perkataan aku. Dari dulu memang begitu. Terasa rapat sebagai rakan. Tetapi dengan Danial agak berbeza situasinya. Ada ketikanya Danial agak formal.
“Saya nak belajar makan lolipoplah.” Tiba-tiba Danial berkata begitu.
“Betul?” Membulat mata Aryana memandang Danial dengan perasaan teruja yang membuak-buak.
Dengar si dia nak buat apa yang disukai biarpun ia sekadar perkara kecil terus sahaja terasa ingin melompat tinggi-tinggi sambil petik bintang di langit. Hatinya bagaikan dipenuhi taman bunga. Harum mewangi memenuhi ruang hati.
“Boleh mulakan dari hari ni,” ujar Aryana sambil menghulurkan sebatang lolipop ke arah Danial.
Tanpa banyak soal Danial mengambil lolipop yang dihulurkan Aryana.
“Sayanglah nak makan lolipop ni.” Lama mata Danial terpaku pada lolipop yang diberikan Aryana sebentar tadi. Dibelek-beleknya lolipop tersebut.
“Dah bagi,  makanlah. Kenapa pulak nak sayang?”
“Sayanglah sebab lolipop ni pemberian daripada awak. Kalau makan nanti habis,” kata Danial perlahan.
Aduh! Nikmat atau dugaan kah ini? Wajah Aryana merona kemerahan. Oh, Danial, janganlah selalu diucap kata-kata begitu. Boleh meletup jantung dibuatnya kerana kadar denyutan jantung yang mengepam darah semakin laju rentaknya dek lambungan perasaan yang tentulah gembira.
Sebentar tadi Danial nampak seperti keberatan, tetapi kali ini perlahan-lahan lolipop yang berada di tangan dimasukkan ke dalam mulut. Ralit Aryana memerhatikan Danial yang sedang menikmati lolipop yang baru diberikan sebentar tadi.
“Makan lolipop sampai tak boleh bercakap?” soal Aryana, hairan melihat Danial yang tiba-tiba mendiamkan diri. Sedap sangat ke lolipop tu sampai tak boleh bercakap?
“Manisnya lolipop ni. Manis macam...” ujar Danial sengaja menggantungkan ayatnya.
Aryana sabar menanti. Menunggu Danial menghabiskan ayatnya yang tergantung.
“Manis macam... awak...” Perlahan sahaja suara Danial sambil melemparkan pandangan ke arah Aryana.
“Tak baik reka cerita.”
Sekalipun bibir Aryana tersenyum, tapi kenapa hati terasa pedih. Adakah hati mula belajar erti hakikat? Kata-kata itu sekadar mainan di bibir. Janganlah terlampau mengharap. Memang hati melambung suka apabila Danial berkata begitu. Pujian daripada insan tersayang.
Kalut di hati dan perasaan jangan ditunjukkan. Sekalipun perasaan sayang pada si dia yang berada di sebelah melambung tinggi, tapi jangan direndahkan maruah yang sedia terpelihara. Kata-kata Mira melekat elok di hati dan kotak ingatan Aryana. Sesekali ingatan itu menyedarkan Aryana. Mungkin kata-kata itu sekadar kata-kata biasa. Bukan kata-kata yang menunjukkan rasa hati dan perasaan sayang.
“Rasanya tak. Apa yang saya cakap, itu yang saya rasa,” sambung Danial lagi.
Baru hendak berperasaan sedih konon-kononnya. Tetapi apabila Danial sudah cakap begitu mulalah hati yang tadinya layu berkembang mekar kembali. Hati tidak mampu menipu. Sekalipun setiap kata-kata dan nasihat dari Mira diingat dengan jelas, tetapi apabila si dia berkata begitu hatinya pasti tercuit. Bibir terus mengorak senyuman kecil.


 “BETUL ke Danial dan Akila tu kawan aje?” tanya Aryana pada suatu hari apabila bertemu dengan Haniff setelah agak lama mereka tidak berbual kerana kesibukan masing-masing.
“Dah Danial sendiri yang cakap macam tu. Yalah agaknya. Dalam hati dia tak tahulah sebab tak boleh nampak.” Itu jawapan Haniff.
“Sekarang ni memanglah kawan. Esok lusa siapa yang tahu. Lagipun Akila tu pakai tudung. Danial kan suka orang yang pakai tudung.”
Aryana berjeda seketika. Itu Haniff sendiri pernah cakap. Danial memang sukakan gadis yang bertudung.
“Yana... positif okey. Tak semestinya Danial tu betul-betul akan kahwin dengan orang yang pakai tudung. Danial cuma cakap yang dia suka tengok perempuan bertudung. Itu aje. Selebihnya kita tak tahu hati dia. Tak mustahil jugak dia akan terpikat dengan orang yang tak pakai tudung,” sambung Haniff lagi.
Lama sudah tidak berbual dengan Haniff begini. Sesekali bercerita sambil meluahkan perasaan. Haniff pun tidak kisah hendak melayan. Aryana sebenarya selesa berkongsi rahsia hatinya dengan Haniff. Selain dari Mira, Haniff sahaja tempat Aryana meluahkan perasaan mengenai Danial. Dengan orang lain, jangan harap hendak diceritakan rasa hatinya.


SEDANG Aryana leka duduk di perpustakaan sambil mengulang kaji pelajaran bersama Mira, tiba-tiba satu pesanan ringkas diterima daripada Haniff. Nasib baik telefon bimbit awal-awal lagi sudah disetkan mode senyap. Kalau tidak, pasti bising.

Jom teman aku pergi shopping. Ajak Mira sekali.

Itu mesej dari Haniff. Ingatkan pasal apa. Rupanya ajak teman pergi membeli-belah. Ceh!

Kalau Danial pergi sekali aku ikut.

Sengaja Aryana membalas mesej Haniff begitu. Mana tahu kotlah bulan jatuh ke riba, dan Haniff akan ajak Danial sekali.

Nanti aku cuba tanya dia.

Tersenyum lebar Aryana membaca balasan mesej dari Haniff. Taktiknya menjadi!
Aryana mengajak Mira pergi bersama mereka tetapi Mira menolak. Jadi, terpaksa Aryana pergi sendiri. Entah barang apa yang hendak dicari Haniff. Kebetulan kelasnya sudah tamat. Bolehlah temankan Haniff mencari barang yang dimahukan.
Apabila Aryana melangkah keluar dari perpustakaan, kelihatan Haniff sudah menantinya di situ. Gayanya seperti sudah tidak sabar hendak membeli barang.
“Danial ikut tak?” Terus sahaja soalan itu ditanya Aryana.
“Danial kata dia ada hal. Baru aje bercakap dengan dia tadi,” beritahu Haniff.
Semangat yang konon-kononnya berkobar-kobar dari tadi terus terpadam bagai api yang disimbah air batu. Baru berangan hendak pergi shopping dengan Danial. Tidak dapat pula. Kuncup dan layu senyuman Aryana.


“Tak payah nak tayang muka kecewa sangatlah.” Selamba Haniff mengenakan Aryana.



http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195

CINTA LOLIPOP BAB 12

SUDAH lama tidak bertemu, akhirnya Aryana bertemu dengan Haniff hari ini di kafeteria. Hanna yang duduk di sebelah Haniff sekadar tersenyum. Mira pula sibuk meneguk air soya di tangan. Haus sangat gayanya.
“Kau orang nak pergi hiking tak? Anjuran kelab rekriasi.” Suara Haniff yang tiba-tiba bertanya kedengaran teruja.
“Hiking? Kat mana?” soal Aryana yang teruja.
Bab-bab macam ni memang Aryana suka. Sudah lama ditunggu peluang ini. Menikmati keindahan alam semulajadi. Salah satu aktiviti yang sihat untuk tubuh badan sambil berpeluang menghirup udara yang segar. Jauh dari hiruk-pikuk dan kesibukan kota.
“Dia orang belum decide lagi. Antara Gunung Setong atau Gunung Ledang. Nak pergi tak? Nanti aku tolong register nama korang berdua sekali.” Gaya Haniff bercakap macam orang yang tak sabar sangat nak mendaki.
Aryana menoleh seketika ke arah Mira.
“Macam mana?” Aryana bertanya pendapat Mira.
“Macam seronok. Tapi takutlah. Tak biasa. Tak pernah cuba pun. ” Jelas kelihatan wajah Mira yang ragu-ragu.
“Bukannya pergi seorang. Nak takut apanya. Kita orang kan ada.” Aryana cuba meyakinkan Mira. Selagi tidak cuba mana tahu seronok atau tidak.
“Yana pun baru pertama kali nak cuba daki gunung. Jangan risaulah. Ramai yang pergi.” Haniff tersenyum-senyum memandang Aryana sambil cuba meyakinkan Mira.
“Jomlah kita pergi.” Aryana memaut tangan Mira beria-ia memujuk agar temannya ini bersetuju.
“Okey... okey... kita pergi.” Mira akhirnya memberikan persetujuan.
Lebar senyuman Aryana mendengar jawapan Mira.
“Hanna ikut tak?” Pandangan mata Aryana beralih pula pada Hanna yang tersenyum melihat telatah mereka.
“Saya tak pergilah Yana. Tak berani.” Lembut Hanna berkata-kata. Sesuai sangatlah dengan perwatakannya.
“Hisy... kenapa pulak macam tu? Anip tak ajak ke?” Aryana melemparkan pula pandangannya ke arah Haniff.
“Aku dah ajaklah. Tapi Hanna yang tak nak ikut.” Pantas Haniff memberitahu. Pandai-pandai aje Aryana menuduhnya.
“Ajak-ajak ayam aje agaknya. Sebab tu Hanna tak nak ikut.” Aryana membidas balik. Sengaja mengenakan Haniff.
“Taklah Yana, Haniff dah ajak. Saya yang tak nak pergi. Tak biasalah pergi tempat macam tu.” Lembut Hanna memberitahu.
“Dengar tu.” Terangkat kening Haniff apabila Hanna membelanya.
Aryana tayang muka kering. Suka sangatlah Haniff apabila Hanna membelanya begitu.
“Sebab tak biasalah kena pergi Hanna. Sekali seumur hidup. Sekurang-kurangnya kena merasa sekali.”
“Dah Hanna tak nak pergi. Tak payahlah kita paksa.” Mira menegur.
“Okeylah.” Pendek sahaja jawapan Aryana. Kendur suaranya seperti orang yang sedang merajuk.
“Mulalah muncung keluar sedepa,” usik Haniff sambil terkekeh ketawa.
“Tengok Mira, kuat betul Yana ni merajuk.”
“Kita merajuk dengan orang yang kita sayang.” Hanna ikut mencelah mengusik Aryana.
“Memang betul, kita merajuk dengan orang yang kita sayang. Tapi dengan Anip ni, sekalipun merajuk sebab dia ni kuat sangat mengusik. Masa sekolah menengah dulu, Anip ni lagi kuat mengusik. Lagi berganda nakalnya dari sekarang,” beritahu Aryana selamba sambil silih berganti memandang Mira dan Hanna.
“Budak lelaki memang suka mengusik budak perempuan yang dia suka,” komen Hanna bersahaja sambil memandang ke arah Haniff dan Aryana silih berganti.
“Yeke? Tapi rasanya teori tu salah. Anip ni semua orang dia usik. Tak ada pengecualian.” Tersengih-sengih Aryana memandang Haniff yang sedang tersenyum ke arahnya.
“Nak tahu tak kenapa dalam ramai-ramai orang aku suka usik Yana masa kita orang sekolah dulu.” Mata Haniff beralih pula memandang Mira.
“Kenapa?” Teruja suara Mira yang bertanya bagaikan tidak sabar lagi untuk tahu.
“Sebab Yana ni kepala angin. Garang. Pantang kena usik sikit mesti dia lawan balik. Macam kartun.”
“Kartun?” Membulat mata Aryana memandang Haniff. Hai... sabar ajelah.
“Hah... tengok. Kan betul aku cakap. Macam kartun. Bila usik sikit aje mulalah buat mata bulat dia tu.” Haniff ketawa nakal.
Berpadu suara ketawanya dengan suara ketawa Mira dan Hanna.
“Eee... malaslah cakap dengan kau orang.” Mencuka wajah Aryana memandang Haniff dan Mira silih berganti.
“Tengok tu,” usik Haniff sekali lagi.
Apabila terdengar Haniff berkata begitu, barulah Aryana mengunci mulutnya.
Hanna pula tersenyum-senyum memandang Aryana. Hanna si lemah lembut. Mana reti dia nak ketawa kuat-kuat macam orang  lain.
“Kuat merajuk, nanti cepat tua tahu tak.” Haniff masih dengan sengihan nakalnya.
“Itu orang lain, bukan aku.” Aryana tayang muka comel. Wajah yang tadinya kelat bagaikan tertelan langsat muda kembali terukir senyuman lebar.
MALAM sudah menjelmakan diri. Aryana duduk santai di balkoni bilik sambil memerhatikan bulan dan bintang yang bertaburan di langit malam. Mulut pula disumbat dengan lolipop. Lenguh buat assignment dan mata pula penat menghadap skrin komputer. Curi masa seketika hirup udara segar malam hari. Mira pula masih khusyuk dengan assignment di hadapan mata.
Sambil memerhatikan bulan purnama, mata sesekali memandang skrin telefon bimbit yang dari tadi dipegang. Mencari-cari nombor telefon Haniff. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan pada rakannya itu. Siang tadi ada Hanna sekali, segan pula Aryana mahu bertanya tentang Danial secara terang-terangan di hadapan Hanna.
“Hah, dah rindu kat aku ke telefon malam-malam ni?”
Di hujung talian Aryana dapat mendengar suara Haniff yang sedang ketawa nakal. Selepas salam yang diberi dijawab Haniff sebentar tadi, tidak sempat mahu berkata apa-apa terus sahaja Haniff mengusiknya.
“Mengarutlah,” balas Aryana acuh tak acuh.
“Call aku ni ada masalah ke? Ke rindu kat Danial? Nak bercakap dengan dia tak? Dia ada kat sebelah aku sekarang ni.”
“Eh, jangan! Tak payah... err... tak nak.” Serta-merta Aryana jadi kalut tak menentu bila nama Danial disebut.
“Jauh... jauh... dekat... err... jangan duduk dekat dengan Danial.” Semakin berterabur ayat yang keluar dari mulut Aryana.
Seboleh mungkin Aryana tidak mahu Danial mendengar perbualan antara dirinya dan Haniff tika ini.
Suara ketawa Haniff yang nakal serta-merta menyedarkan Aryana yang dirinya sedang dipermainkan.
“Anip!”
“Kalut sangat ni kenapa? Aku seorang aje ni. Danial tak ada pun. Aku acah aje tadi.” Haniff ketawa perlahan di hujung kata-katanya.
Lega Aryana dibuatnya. Haru jugak kalau Danial betul-betul ada di sebelah Haniff saat ini.
“Danial ikut sekali tak masa kita pergi hiking nanti?” Tidak mahu memanjangkan cerita, terus sahaja Aryana bertanya. Itulah tujuan utamanya menelefon Haniff.
“Aku dah ajak, tapi dia kata ada hal tarikh tu,” beritahu Haniff lurus.
Terus hilang rasa teruja Aryana. Baru hendak berangan. Tetapi belum apa-apa lagi, angan-angan yang baru hendak bercambah retak seribu. Seperti kaca yang berderai jatuh di lantai.
“Kecewanya.” Layu dan kuyu suara Aryana.
Cinta dan harapan pada manusia memang sering mengecewakan. Tetapi cinta dan harapan kepada ALLAH itulah sandaran yang sebaik-baiknya. Tidak akan pernah rugi, tidak akan pernah kecewa kerana DIA sentiasa bersama hamba-NYA. Aryana mengeluh untuk kesekian kalinya.
“Entah-entah ajak-ajak ayam aje tak. Sebab tu Danial cakap dia tak boleh pergi,” tuduh Aryana melulu.
“Aku ajak betul-betullah. Danial sendiri cakap yang dia tak boleh pergi, takkan aku nak paksa dia pulak. Danial tu bukannya budak kecil lagi yang kita boleh heret dia ke sana sini.” Menggeleng Haniff dengan tekaan Aryana yang melulu walaupun tahu Aryana di sebelah sana tidak nampak.
“Mana nak tahu. Entah-entah ajak aku dengan Mira pergi hiking ni pun sebab Hanna tak nak ikut. Cuba Hanna ikut sekali. Agaknya tak ingat pun nak ajak kita orang pergi hiking sekali.” Sekali lagi Aryana main serkap jarang sesuka hati.
“Ya ALLAH, Yana... Hanna nak pergi atau tak, aku tetap akan tanya sama ada korang berdua nak pergi atau tak. Tak ada kena-mengena langsung dengan Hanna.” Haniff melepaskan keluhan perlahan. Sedikit kecewa dengan tekaan Aryana yang melulu.
“Manalah tahu. Kau orang berdua kan rapat. Kutlah sebab kecewa Hanna tak dapat ikut, aku pula yang dirembat.” Aryana mengendurkan suaranya.
Kecewa punya pasal sebab Danial tidak dapat ikut mereka pergi mendaki gunung, Haniff pula yang dituduh sesuka hati. Harapan yang hanya tinggal harapan menjadikan Aryana menuduh melulu.
“Yana... kita berdua lagi rapat sebab kita dah kenal lama. Kita berdua dah kenal sejak kita sama-sama pakai baju sekolah warna putih lagi. Dari Aryana yang lasak masa zaman sekolah dulu, sehinggakan sekarang dia yang dah pandai bergaya. Mestilah aku ingat kawan aku ni. Lagilah aku memang dah tahu yang kau sukakan aktiviti lasak. Sebab tu aku ajak.” Jenuh Haniff nak menerangkan.
Aryana apabila sesekali serkap jarang, mulalah main agak-agak benda yang pelik-pelik.
“Selalu sangat main serkap jarang macam ni, tak elok tau. Jangan buat perangai macam tu. Danial lari baru tahu,” sambung Haniff.
“Yalah, aku ni memang teruk. Suka sangat serkap jarang, garang pulak tu. Tak macam Hanna. Lemah-lembut sopan-santun, kan?” Meleret perlahan suara Aryana bagaikan merajuk.
“Tengok tu. Yana... berhenti karang novel sendiri. Jangan nak main teka-teka, jangan nak main agak-agak. Jangan nak memandai tambah plot cerita yang mengarut-ngarut. Tak ada satu apa pun yang betul. Tahu tak?”
Ketawa Aryana apabila mendengar Haniff berkata begitu. Apabila Haniff sebut tentang perangai, baru Aryana teringatkan sesuatu. Haniff cakap Danial sukakan perempuan yang lemah-lembut. Bila tengok balik pada diri sendiri, sah-sahlah bukan gadis idaman Danial. Walaupun Aryana bukan kategori tomboy, tetapi kalau hendak dikategorikan lemah-lembut seperti yang diminati Danial rasanya tidak jugak.
Berlakon jadi lemah-lembut? Mahu Aryana dulu yang muntah hijau. Memang tidak sanggup sekalipun sekadar berlakon. Jangankan hendak buat. Membayangkan pun sudah membuatkan Aryana geli-geleman.
“Tak perlu hipokrit atau tak perlu bertukar jadi orang lain. Jadi diri sendiri. Sekalipun nak buat orang lain sukakan kita, biar dia sukakan diri kita yang sebenar. Bukan  berubah jadi orang lain semata-mata nak buat dia sukakan kita,” nasihat Haniff.
Sudah macam-macam info yang dikorek Aryana mengenai Danial dari Haniff. Sekadar untuk tahu. Usahanya tiada lagi. Tetapi mampukah dia? Setakat gigit jari sahaja apabila tengok Danial disamping perempuan lain.
“Kawan aku yang cantik manis ni, ramai lagi orang lain kat luar sana yang nak. Apalah yang nak dikisahkan sangat pasal Danial tu?” Haniff di hujung talian ketawa mengusik.
“Orang lain tak sama. Macam mana perasaan kau kepada Hanna, macam tu jugaklah perasaan aku pada Danial.”
“Perasaan tu, tak sama Yana.” Haniff bersuara perlahan.
Terdiam Aryana bila Haniff bersuara begitu.
“Tengah buat apa?” Sengaja Aryana menukar topik perbualan. Cerita pasal Danial berulang kali pun pening juga. Buat serabut kepala.
“Tak buat apa. Tapi tengok bulan yang ada kat atas tu. Cerah betul malam ni. Banyak bintang.”
“Samalah. Cantik kan?” Aryana memandang ke langit. Memang banyak bintang seperti yang Haniff katakan.
“Tengah bulan purnama. Memanglah cantik.” Haniff berkata perlahan.
“Kenapa senyap?” Haniff bertanya kehairanan apabila Aryana tiba-tiba mendiamkan diri.
“Tiba-tiba teringat zaman kita sekolah dulu.” Sambil menghela nafas Aryana berkata perlahan.
“Teringat malam selepas kita habis buat persembahan untuk Karnival Hari Merdeka peringkat negeri tu ke?” teka Haniff.
Tinggg... dan jawapannya betul.
“Mana tahu. Memang tengah teringat kenangan malam tu pun.”
“Samalah. Aku pun tengah teringatkan perkara yang sama.”
Aryana dan Haniff ketawa serentak.
Malam itu sama dengan malam yang sedang mereka lalui ketika ini. Langit cerah bertemankan cahaya bulan purnama. Bintang yang bergugusan di dada langit ibarat permata yang bertaburan. Mana mungkin dilupa kenangan yang satu itu. Sekalipun ia telah lama berlalu tetapi ia tetap utuh di dalam memori. Sekalipun terlupa, tetapi memori itu ada kalanya akan menjelma kembali.
“Seronok kan bila kenang semula zaman sekolah dulu. Antara zaman yang paling seronok untuk dikenang,” sambung Haniff lagi.
“Cepat sangat masa berlalu. Rasa perkara tu baru aje berlaku semalam. Alih-alih sekarang kita dah masuk zaman universiti pun. Ikut rasa hati malam ni jugak nak ke sana. Nak kutip semula kenangan yang tertinggal kat situ.” Sambung Aryana sebelum ketawa kecil.
“Jomlah kita pergi sama-sama. Ke nak cari buluh dulu. Kita sama-sama kait bintang kat langit tu nak?” sakat Haniff nakal.
“Hisy, main-mainlah dia ni.”
Kata-kata Aryana itu terus disambut dengan suara ketawa Haniff.
Memang masa terlalu cepat berlalu. Dari zaman persekolahan, mereka yang sama-sama memakai baju sekolah sehinggalah sekarang mereka yang sama-sama menginjak dewasa. Aryana terus leka dengan apa yang dilihatnya. Dingin malam semakin terasa. Tapi sedikit pun tidak mengganggu. Mata menyaksikan kebesaran Maha Pencipta.

‘Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan di langit bintang-bintang serta kami hiasi langit itu bagi orang yang melihatnya. Dan Kami pelihara langit itu dari tiap-tiap syaitan yang kena rejam. Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan malaikat di langit, maka ia diburu oleh api yang menyala, yang nyata kelihatan.’


(Surah Al Hijr, ayat-16-18)


http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=5276&idc=28195

CINTA LOLIPOP BAB 11

OTAK mula terasa tepu, kepala pula terasa pening-pening lalat. Semakin lama semakin susah setiap subjek. Mana hendak dikejar tugasan, pembentangan, kuiz lagi. Pening... pening...
Aryana dan Mira beriringan melangkah keluar dari dewan kuliah. Tamat kuliah hari ini, Aryana kembali lega. Tidak sabar hendak balik. Bantal dan tilam di rumah sudah memanggil-manggil. Tubuh terasa penat. Mata mula terasa mengantuk.
“Nak singgah beli makanan dulu tak?” soal Mira sambil melihat jam di pergelangan tangan.
“Boleh jugak,” jawab Aryana pendek.
“Yana.” Danial yang entah dari mana tiba-tiba muncul di hadapan mata.
Mata yang tadinya layu dan kuyu boleh jadi segar-bugar apabila si pujaan hati muncul di hadapan mata. Alahai si pengarang jantung hati. Sentiasa tersenyum manis apabila bersua. Tidak jemu mata yang memandang.
“Kenapa?” soal Aryana sambil tersipu malu.
Mira di sebelah sudah memandang semacam sahaja. Pelik agaknya apabila melihat wajah Aryana yang tiba-tiba merona kemerahan.
“Anip suruh saya bagi pendrive ni pada awak,” jawab Danial menghulurkan sambil pendrive milik Aryana
“Thanks.” Sekalipun suka pada jejaka tampan di hadapan mata, tidak boleh tunjuk sangat. Nanti jatuh pula saham.
Mira pula melangkah ke tepi beberapa langkah. Pura-pura mencari barang dalam beg. Sengaja baik hati memberi ruang Aryana bercakap dengan Danial berdua.
Baru tadi hati terasa rindu-rinduan. Alih-alih si dia sudah muncul di hadapan mata. Pendrive ini, memang Aryana tertinggal semalam ketika kebetulan bertemu dengan Haniff dan Danial di kafeteria. Lalu diambil dan disimpan Haniff. Perkara itu memang telah Haniff maklumkan padanya.
“Anip mintak tolong saya bagi pendrive ni pada awak.” Tersenyum kecil Danial memandang Aryana.
“Tapi semalam saya dah cakap, tak kisahlah pulangkan pendrive ni bila-bila pun.” Aryana berjeda seketika.
Sedar dengan kesibukan masing-masing dan fakulti mereka yang berbeza dalam keluasan kawasan universiti tidak membuatkan mereka sering bertemu.
“Anip paksa awak pulangkan pendrive ni pada saya ke?” Aryana menyambung kata.
“Tak adalah. Dia kan tak ada kat kampus dalam masa dua minggu ni. Dia risau takut-takut awak nak guna. Dia mintak saya tolong pulangkan pada awak kalau saya terjumpa awak hari ni.”
“Tak kisah pun dia nak pulangkan bila sebab saya boleh guna pendrive satu lagi. Tak pasal-pasal pulak awak yang jadi mangsa.”
Aryana sebenarnya sengaja mencari peluang untuk berbual lebih lama dengan Danial. Oleh itu, sengaja dipanjangkan perbualan antara mereka. Alang-alang sudah berjumpa, biar berborak lama. Kenangan hari ini boleh disimpan untuk satu jangka masa tertentu sebelum mereka bertemu semula. Maklumlah bukan hari-hari boleh jumpa.
“Anggap aje ini alasan untuk kita jumpa hari ni sebab dari awal lagi saya memang jadikan pendrive ni sebagai alasan untuk jumpa awak.” Bersahaja Danial menuturkan kata dengan senyuman manis yang terukir di bibir.
Tidak sempat Aryana bersuara, Danial sudah melangkah pergi. Mata hanya mampu memerhati. Senyuman yang disimpan di dalam hati semakin melebar. Namun dalam sekelip mata tiba-tiba Danial berpatah balik merapati Aryana yang masih tidak berganjak dari tadi.
“Semalam saya harap sangat awak akan pakai baju kurung bila kita jumpa hari ni. Tapi mungkin bukan rezeki. Tapi saya tetap happy kita dapat jumpa hari ni.” Danial berkata perlahan sebelum meninggalkan Aryana di situ sekali lagi.
Terasa mahu gugur jantung ke tanah apabila Danial berkata begitu. Kaki seperti tidak lagi berada di bumi. Bagaikan diri sudah terapung-apung melayang di udara apabila Danial mengatakan pertemuan hari ini menggembirakannya. Apatah lagi Aryana. Sejuta kali lebih gembira. Gembira punya pasal, sampaikan jantung yang berdegup pun bukan main laju lagi.
Alahai, manisnya mulut yang berkata-kata. Ikhlas ke tidak tu? Omel Aryana di dalam hati.


“TAK payah nak berangan sangatlah,” tegur Mira yang sudahpun terpacak di sebelah Aryana.
Sejak balik dari kampus tadi, Aryana dilihatnya tidak habis-habis tersenyum. Sampaikan nasi dalam pinggan pun tidak luak.
“Tak payah nak feeling sangatlah. Lelaki memanglah suka cakap macam tu. Entah-entah dengan perempuan lain pun dia cakap macam tu jugak.” Mira selamba menyambung kata.
“Tak baiklah buruk sangka. Danial tak macam tulah. Dia bukannya kaki perempuan.” Bukan main lagi Aryana membela si jantung hati.
“Mana tahu dia bukan lelaki macam tu?” Sengaja Mira bertanya begitu. Sekadar menguji.
Aryana mula kehilangan kata. Tiada jawapan untuk pertanyaan Mira itu.
Mira menggeleng perlahan. Alahai... Yana.
“Sekalipun kalau sudah kenal lama, tak semestinya semua perangai buruk dia kita tahu. Inikan pulak yang baru kenal. Aku tak adalah kata yang Danial tu playboy. Cuma, janganlah terlebih feeling sangat bila dia cakap macam tu. Nanti diri sendiri jugak yang merana,” nasihat Mira.
Pada pandangannya, Danial itu mungkinlah bukan yang jenis buaya darat atau buaya tembaga. Hendak dikata jenis lelaki yang suka mengambil kesempatan pun tidak juga. Tetapi kes Aryana ini parah juga. Cepat sangat terbuai rasa. Buatnya Danial itu betul-betul tiada perasaan pada temannya ini, nanti Aryana juga yang kecewa.
Lelaki biasalah. Mulut sentiasa manis walaupun tidak semua seperti itu. Andainya semua lelaki begitu, alamatnya musnahlah dunia ni. Habis semua perempuan yang ada dalam dunia ini menjadi bahan mainan. Tetapi, bagaimana baik sekalipun Danial pada luarannya, dalam hati tiada siapa yang tahu. Perlu lebih berhati-hati.  
“Sekarang ni mungkinlah dia tak suka lagi. Nanti lama-lama mana tahu dia sukakan aku.” Aryana tersenyum kecil.
“Kalau aku tahu nak terjumpa Danial tadi, sah-sah aku pakai baju kurung hari ni.” Aryana menyambung kata.
Mira menepuk dahi. Sudah parah kes Aryana ini. Sekiranya betul-betul berjaya tidak mengapa. Tetapi jika sebaliknya macam mana? Jangan waktu itu baru hendak menangis sampai tidak cukup tisu. Nanti badan sendiri juga yang merana.
Bukannya Mira tidak suka Aryana berkawan dengan Danial. Tetapi janganlah letakkan harapan yang menggunung tinggi.
Letak harapan terlalu tinggi pada sesuatu yang tidak pasti itu tidak bagus. Andainya suatu hari nanti jatuh tergolek, tidaklah terluka parah sangat kalau harapan tu biasa-biasa sahaja.
“Jadi diri sendiri Yana. Tak perlu nak ubah apa-apa semata-mata untuk lelaki yang belum tentu akan jadi suami kita. Dah kahwin nanti lain ceritalah. Bila suami suruh kita berubah ke arah kebaikan memanglah kena ikut.” Mira mengingatkan Aryana sekali lagi.
Mira memang kawan yang baik. Sentiasa memberi nasihat dan sering mengingatkan. Itu memang Aryana hargai. Memang Aryana tahu, bukannya Mira tidak suka pada Danial. Cuma sebagai teman, Mira menasihatinya atas rasa tanggungjawab bersahabat.
“Memanglah baik pakai baju kurung. Tapi niat yang tak betul tu yang tak baiknya. Pakai baju kurung semata-mata kerana Danial. Tolonglah jangan buat lagi. Aku tak nak satu hari nanti kau menangis Yana,” ujar Mira sekali lagi mengingatkan.
“Jangan  risaulah Mira. Aku takkan menangis.” Aryana tersenyum penuh yakin.
Mira menggeleng dengan sikap ambil mudah Aryana. Apalah yang susah sangat Aryana hendak menerima nasihat. Tidak mungkin Aryana terlajak minat sangat pada Danial sampai buta hati dan buta mata tidak menerima nasihat kawan-kawan.
Apalah yang Aryana minat sangat pada Danial tu? Memanglah Danial tu segak orangnya. Tetapi takkanlah minat semata-mata disebabkan paras rupa.
Jika minat disebabkan paras rupa semata-mata, memanglah minda Aryana harus dicuci dengan Clorox. Lainlah kalau Aryana kata minat pada Danial sebab boleh imamkan solat berjemaah. Sejuk sedikit telinga yang mendengar.

Dalam dunia ini tiada apa pun yang berlaku tanpa izin ALLAH. Semua yang terjadi atas kehendak dan aturan-NYA. Sekuat mana pun manusia berusaha, jika ia bukan milik kita maka ia tetap bukan milik kita.